LONDON: Kecemerlangan penjaga gol, Tim Howard menyelamatkan dua penalti membolehkan Everton menang 4-2 ke atas Manchester United pada penentuan sepakan penalti separuh akhir Piala FA, di Stadium Wembley, awal pagi tadi.
Ia adalah malam bersejarah bagi Howard yang berjaya menyingkirkan bekas kelabnya serta membawa Everton ke final sejak kali terakhir berada di Wembley pada 1995.
Howard menyelamatkan tendangan penalti Dimitar Berbatov dan Rio Ferdinand selepas kedua-dua pasukan seri 0-0 pada tamat masa tambahan.
Everton akan kembali semula ke Wembley untuk perlawanan akir bertemu Chelsea pada 30 May ini. Semalam, Chelsea menumpaskan Arsenal 2-1.
Pertahanan Everton, Phil Jagielka menjaringkan penaltinya yang membawa kemenangan Everton dengan sepakan deras mengelirukan penjaga gol United, Ben Foster.
Ia adalah kekalahan United pada separuh akhir yang pertama sejak 1970 dalam saingan Piala FA.
Nyata pertaruhan Pengurus United, Alex Ferguson menurunkan bukan pemain utama pasukan, nyata memakan diri selepas anak buahnya berhempas-pulas mencari gol.
Ini kerana Ferguson lebih gemar menyimpan pemain utamanya sebagai persediaan memenangi Liga Juara-Juara Eropah nanti.
Kekalahan itu juga menjadikan impiannya menggapai lima trofi untuk United musim ini musnah. - Reuters