Chef Wan: Sebagai duta saya ada hak tegur hotel 5 bintang
Chef selebriti terkenal tanah air, Chef Wan menegaskan tindakannya menegur sebuah restoran di hotel 5 bintang adalah disebabkan kekecewaan terhadap mutu makanan yang disediakan disamping peranannya sebagai Duta Pelancongan Makanan Malaysia. "Saya telah mengelilingi dunia untuk mempromosi dan memperkenalkan masakan tradisional Malaysia dan apabila kejadian itu berlaku saya jadi malu dan marah kerana sebuah hotel bertaraf 5 bintang di negara sendiri boleh menghidangkan makanan yang tidak sedap dan salah penyediaan resipinya kepada pelanggan. "Bayangkan jika ada pelancong asing yang datang dan merasai hidangan tersebut ia akan memberikan gambaran berbeza terhadap makanan berkenaan selain imej buruk kepada industri pelancongan makanan di negara ini," katanya kepada mStar. Jelas Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Mohd Redzuawan Ismail, sebagai seorang duta beliau ada hak untuk menegur sekiranya terdapat hidangan yang dimasak tidak betul lagi-lagi jika melibatkan masakan tradional tempatan. Selain itu, Chef Wan tidak peduli dengan pandangan serong dan negatif segelintir pihak mengenai tegurannya itu terhadap hotel 5 bintang berkenaan, kerana baginya imej masakan Malaysia harus dijaga dan dipelihara. "Mungkin saya ada kekurangan sebagai seorang chef tetapi pengalaman saya dalam bidang makanan sudah terlalu lama dan jika ada sebarang kesilapan sudah tentu saya akan tegur." Malah Chef berusia 55 tahun itu turut menasihati kepada tukang masak di negara ini agar lebih teliti terhadap penyediaan sesuatu hidangan dan sikap malas serta tidak boleh ditegur haruslah dibuang sekiranya ingin berjaya di dalam bidang kulinari ini. "Ini satu masalah tentang tukang masak di Malaysia, mereka enggan menerima teguran apabila berlaku sesuatu kesalahan dan sentiasa anggap diri mereka sudah cukup hebat dan sepatutnya mereka perlu lebih peka kerana kesilapan kecil boleh menyebabkan masalah lebih besar." Pada Ahad lepas, Chef Wan menerusi laman sosial Instagram miliknya telah memuat naik gambar Laksa Nyonya yang dipesannya di sebuah restoran hotel 5 bintang di Kuala Lumpur selepas merasa Laksa yang dimakannya itu tidak sedap serta cara penyediannya juga salah. Dalam perkembangan lain, Chef Wan bakal muncul dengan program masakannya iaitu "East Bites West with Chef Wan" yang telah pun disiarkan di saluran National Geographic serta turut disiarkan di 58 buah negara seluruh dunia.
cc: yahoo malaysia
|