CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 26-1-2026 11:23 AM | Show all posts
Sabah bakal dijadikan Pusat Darul Ifta serantau
Januari 23, 2026, Jumaat - 3:10pm



PERTEMUAN: Arifin bersama rombongan sedang mengadakan pertemuan bersama Prof Dr Nazir Mohamad Ayyad di Pejabat Darul Ifta Kaherah.

KAHERAH: Sebuah jawatankuasa hal ehwal kefatwaan dan pembangunan ilmu akan diwujudkan segera dalam usaha memperkasa kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Darul Ifta Mesir, hasil pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU), dekat sini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Hj Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Agama berkata, antara kerjasama strategik yang akan diberikan perhatian adalah program, kursus kefatwaan mahasiswa Sabah yang sedang mengikuti pengajian di Mesir.

"Kita akan mencari jalan bagaimana nanti pelajar Sabah yang sedang mengikuti pengajian di Universiti al-Azhar Kaherah akan tamat pengajian mereka dengan memperoleh dua sijil iaitu ijazah  bersama sijil diploma kefatwaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU dengan Mufti Kerajaan Republik Arab Mesir, Prof Dr Nazir Mohamad Ayyad di Pejabat Darul Ifta Kaherah.

Dalam perkembangan sama, Arifin yakin jawatankuasa bersama itu akan dapat merealisasikan Sabah sebagai pusat bagi Darul Ifta menjalankan program penyelidikan serta latihan kefatwaan dan rujukan keilmuan Islam serantau.

"Pemikiran dan aliran yang selama ini dilaksanakan di Darul Ifta Mesir sangat sesuai dengan suasana di peringkat serantau khasnya Malaysia kerana asas kukuh mereka adalah Ahlus Sunnah Waljamaah yang mengukuhkan nilai wasatiah, bertoleransi, memberikan perhatian terhadap karamah insaniah dan menolak unsur ekstrime.

"Bahkan para mufti dan pegawai-pegawai fatwa di negeri-negeri di Malaysia dan beberapa buah negara ASEAN kebanyakannya mendapat latihan kefatwaan beberapa bulan di Darul Ifta Mesir," katanya.

Sementara itu, beberapa orang pelajar Sabah di Kaherah menyambut baik MoU yang dilaksanakan, yang jelas dapat memperkasakan ilmu dan kemahiran serta memberi nilai tambah kepada mereka sebagai masyarakat kelak.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 26-1-2026 11:24 AM | Show all posts
36 pusat mengundi PRK Kinabatangan, Lamag dibuka 7.30 pagi ini
Januari 24, 2026, Sabtu - 8:47am



Pengundi pertama Norsina Jun, 76, memasukkan kertas undi ke dalam peti undi sewaktu mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam II hari ini.-Gambar BERNAMA

KINABATANGAN: Sebanyak 36 pusat pengundian dengan 117 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dibuka serentak pada 7.30 pagi ini.

Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka hingga 5.30 petang dan menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak dua pusat mengundi ditutup pada 12 tengah hari, manakala 34 pusat mengundi pula ditutup secara berperingkat mulai 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.

Menurut SPR, proses pengundian hari ini melibatkan 48,282 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Penjumlahan rasmi undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Sri Lamag dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 10 malam.

Proses pengundian dikendalikan 1,106 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain 926 pegawai dan anggota polis yang ditugaskan pada hari mengundi.

Pada Selasa lepas, SPR memaklumkan sebanyak 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi kedua-dua PRK berkenaan yang berlangsung di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Kesemua lima calon akan mengundi pada PRK berkenaan dengan Mohd Kurniawan Naim akan mengundi di SK Bilit, Saddi (SK Batu Puteh), Goldam (SK Pekan Tongod), Mohd Ismail (SK Bukit Garam II) dan Mazliwati di SK Buang Sayang.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas memperoleh majoriti 4,330 undi dengan menewaskan pencabarnya Mazliwati daripada Warisan.

Bung Moktar turut melakar kemenangan dalam saingan lima penjuru di DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 29 Nov lepas dengan memperoleh majoriti 153 undi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 11:25 AM | Show all posts
36 pusat mengundi PRK Kinabatangan, Lamag dibuka 7.30 pagi ini
Januari 24, 2026, Sabtu - 8:47am



Pengundi pertama Norsina Jun, 76, memasukkan kertas undi ke dalam peti undi sewaktu mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam II hari ini.-Gambar BERNAMA

KINABATANGAN: Sebanyak 36 pusat pengundian dengan 117 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dibuka serentak pada 7.30 pagi ini.

Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka hingga 5.30 petang dan menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak dua pusat mengundi ditutup pada 12 tengah hari, manakala 34 pusat mengundi pula ditutup secara berperingkat mulai 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.

Menurut SPR, proses pengundian hari ini melibatkan 48,282 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Penjumlahan rasmi undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Sri Lamag dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 10 malam.

Proses pengundian dikendalikan 1,106 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain 926 pegawai dan anggota polis yang ditugaskan pada hari mengundi.

Pada Selasa lepas, SPR memaklumkan sebanyak 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi kedua-dua PRK berkenaan yang berlangsung di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Kesemua lima calon akan mengundi pada PRK berkenaan dengan Mohd Kurniawan Naim akan mengundi di SK Bilit, Saddi (SK Batu Puteh), Goldam (SK Pekan Tongod), Mohd Ismail (SK Bukit Garam II) dan Mazliwati di SK Buang Sayang.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas memperoleh majoriti 4,330 undi dengan menewaskan pencabarnya Mazliwati daripada Warisan.

Bung Moktar turut melakar kemenangan dalam saingan lima penjuru di DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 29 Nov lepas dengan memperoleh majoriti 153 undi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 11:25 AM | Show all posts
Hajiji terima kunjungan perpisahan Duta Besar AS ke Malaysia
Januari 24, 2026, Sabtu - 9:12am



TERIMA KASIH: Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Edgard semasa kunjungan perpisahan itu.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D. Kagan di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Dalam pertemuan itu, Hajiji merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Edgard atas khidmat bakti beliau sepanjang tempoh bertugas di Malaysia, khususnya dalam memperkukuh hubungan dua hala serta membantu mempromosikan Sabah di peringkat antarabangsa.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada TYT Edgard atas sumbangan dan kerjasama yang terjalin sepanjang berkhidmat di Malaysia, termasuk sokongan dalam mempromosikan keunikan dan potensi Sabah kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Edgard turut merakamkan ucapan tahniah kepada Hajiji atas pelantikan semula sebagai Ketua Menteri, sambil menyifatkan kepimpinan beliau sebagai penting dalam meneruskan agenda pembangunan dan kestabilan negeri.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 11:26 AM | Show all posts
Musa terima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia
Januari 24, 2026, Sabtu - 9:17am



KENANGAN: Musa (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Vanu.

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, di Istana Seri Kinabalu, pada Jumaat.

Kunjungan Vanu itu adalah susulan keputusan kerajaan Malaysia pada November 2025 memberi kelulusan terhadap penubuhan konsulat Singapura di Sabah dan Sarawak.

Usaha tersebut diharap dapat meningkatkan kerjasama ekonomi, pelancongan dan perdagangan selain menarik lebih banyak pelaburan Singapura ke Sabah.

Hadir sama,Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Shivakumar Nair dan Setiausaha Politiknya, Nicole Neo.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 11:27 AM | Show all posts
Poland pantau kerjasama pendidikan tinggi universiti di Sabah
Januari 24, 2026, Sabtu - 9:21am



BINCANG: Krzysztof dan Musa berbincang semasa pertemuan itu.

KOTA KINABALU: Kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dikenal pasti antara pemacu penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Poland dan Sabah.

Duta Besar Poland ke Malaysia, Krzysztof Dariusz Dobrowski berkata, hubungan antara universiti berpotensi memberi manfaat akademik dan memperluas pertukaran sosial serta budaya antara kedua-dua negara.

“Kami melihat potensi besar untuk menjalin hubungan yang lebih erat antara universiti di Poland dan di Sabah.

"Melaluinya, pelajar dari kedua-dua buah negara dapat memahami budaya dan masyarakat dengan lebih mendalam.

"Apabila pelajar melawat negara lain, mereka mengenali budaya serta masyarakat negara tersebut dengan lebih baik. Ini adalah aspek yang sangat penting," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Jumaat.

Selain pendidikan, Krzysztof turut menyatakan potensi kerjasama sektor tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen di samping menjangkakan peningkatan kedatangan pelancong Poland ke Malaysia sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Di samping itu, Musa juga menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan, Syed Ahsan Raza Syah yang bertujuan memperkasa pembangunan ekonomi antaranya menjadikan Pakistan lokasi pasaran minyak sawit dari Sabah.  

Syed Ahsan turut menyatakan kepentingan Sabah dalam pembangunan Malaysia, selain mengiktiraf negara ini sebagai negara Islam membangun yang menjadi rujukan kepada Pakistan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 26-1-2026 11:28 AM | Show all posts
Kumpulan AFFIN tumpu tiga teras utama
Januari 24, 2026, Sabtu - 9:28am



KENANGAN: Musa (empat kanan) menerima skrol selepas persembahan tarian singa.

KOTA KINABALU: Kumpulan AFFIN (AFFIN) menumpukan tiga teras utama di bawah pelan strategik AXELERATE 2028 bagi menyokong pertumbuhan ekonomi di Sabah.

Pengerusi AFFIN Bank Berhad, Datuk Agil Natt berkata, sebagai langkah strategik AFFIN akan membuka Pejabat Wilayah yang dijangka mula beroperasi pada Mac 2026.

“Tiga teras utama pelan berkenaan merangkumi khidmat pelanggan yang tiada tandingan, kepimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab dengan impak.

“Di AFFIN, fokus kami adalah untuk berkhidmat kepada Sabah dengan lebih baik melalui hubungan yang lebih erat dan penyelesaian perbankan yang relevan bagi memenuhi keperluan tempatan.

“Teras ini memastikan kami kekal berdisiplin dalam cara kami melabur dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kami,” katanya pada majlis AFFIN Group Market Outlook & Chinese New Year Dinner 2026, pada Jumaat.

Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman yang turut menyempurnakan upacara menggaul yee sang bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Agil juga berkata, kejayaan AFFIN tidak hanya diukur berdasarkan jumlah transaksi, sebaliknya melalui nilai hubungan yang dibina bersama pelanggan merangkumi pemegang akaun kali pertama, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta rakan korporat.

"Perkembangan yang disasarkan bukan sekadar angka tetapi pertumbuhan yang menyumbang kepada masyarakat melalui keterangkuman, kemampanan, dan kesejahteraan komuniti.

"Kami komited menyokong perniagaan kecil, membantu keluarga membina daya tahan kewangan serta memastikan akses kepada perkhidmatan perbankan asas terus terpelihara," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 11:29 AM | Show all posts
Musa berlepas ke Mesir, santuni pelajar Sabah
Januari 24, 2026, Sabtu - 10:58am



DOA: Musa dan isteri ketika acara bacaan doa.

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin berangkat ke Mesir bagi menghadiri Majlis Mahabbah Bersama Pelajar Sabah di Mesir.

Majlis itu akan melibatkan 350 pelajar Sabah yang sedang melanjutkan pengajian di negara berkenaan.

Selain itu, Musa dijadual merasmikan Dewan Al-Imam Al-Tayeb di Akademi Antarabangsa Al-Azhar Al-Sharif, Mesir.

Pesawat khas yang membawa Musa dan isteri, Faridah berlepas melalui Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada jam 9.30 pagi.

Sebelum pelepasan, Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Pangiran Mohd Hanif Awang Omar memimpin acara bacaan doa.

Hadir mengiringi keberangkatan Musa dan rombongan ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dan pegawai-pegawai jabatan persekutuan serta negeri.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 26-1-2026 11:30 AM | Show all posts
RPTM 2026-2035 bantu tangani keciciran pelajar Sabah
Januari 24, 2026, Sabtu - 11:22am



DR KASIM

KOTA KINABALU: Rancangan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dilihat sebagai pelan strategik penting yang mampu menangani isu keciciran pelajar serta memperluas akses pendidikan tinggi di Sabah secara lebih inklusif dan berteraskan realiti setempat.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansor berkata, RPTM bukan sekadar dokumen dasar, sebaliknya sebuah living document yang menekankan pendekatan kolaboratif melibatkan pelbagai pihak, berteras kemanusiaan serta digerakkan oleh matlamat membina bangsa dan masa depan negara.

Katanya, pendekatan whole-of-nation yang menjadi teras RPTM membawa implikasi besar kepada Sabah yang berdepan cabaran unik seperti keluasan geografi, jurang akses pendidikan, kekangan logistik dan digital, kos sara hidup serta keperluan bekerja awal dalam kalangan pelajar.

“Faktor-faktor ini menyebabkan sebahagian anak Sabah tercicir atau tidak meneruskan pengajian walaupun telah menerima tawaran.

“Justeru, pendidikan tinggi di wilayah ini perlu dirangka sebagai sistem yang lebih anjal, inklusif dan selari dengan realiti setempat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penekanan RPTM terhadap kemenjadian siswa amat signifikan kerana kejayaan pendidikan tinggi tidak boleh diukur semata-mata melalui kadar kemasukan, tetapi juga keupayaan mengekalkan pelajar sehingga tamat pengajian serta melahirkan graduan yang berdaya saing.

“Bagi Sabah, ini menuntut sokongan menyeluruh merangkumi aspek akademik, kewangan, psikososial dan kebajikan bagi mengurangkan risiko keciciran, khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Dr Kasim turut menyifatkan pengenalan Academic Bank Credits (ABC) sebagai antara instrumen penting dalam menangani keciciran pelajar melalui fleksibiliti pembelajaran merentas institusi, mod dan tempoh pengajian.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pelajar menghentikan pengajian sementara tanpa kehilangan laluan akademik, sekali gus memberi ruang kepada pelajar Sabah menyeimbangkan tuntutan keluarga, pekerjaan dan pembelajaran.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pendidikan inklusif, termasuk pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pemberian pendidikan percuma kepada kira-kira 3,000 pelajar orang kelainan upaya (OKU) di IPTA, Politeknik dan Kolej Komuniti.

“Peningkatan kuota pendidikan percuma dan biasiswa PTPTN kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin tegar adalah langkah bersasar yang memastikan kekangan ekonomi tidak terus menjadi punca keciciran, khususnya di Sabah,” katanya.

Katanya, sinergi antara Politeknik, Kolej Komuniti (POLYCC) dan UMS juga penting dalam peluasan peluang pembelajaran melalui laluan pendidikan berperingkat, pemindahan kredit, program peralihan serta pelaksanaan ABC.

Beliau berkata, aspirasi UMS sebagai ‘The BRAIN of Borneo’ meletakkan universiti itu sebagai pemacu ilmu, inovasi dan kepimpinan wilayah melalui pembelajaran berasaskan kerja serta inisiatif reskilling dan upskilling yang selari dengan keperluan sektor utama di Sabah.

“UMS komited menjayakan aspirasi RPTM 2026–2035 dengan pendekatan berteras Sabah, agar tiada anak negeri ini, termasuk golongan OKU dan keluarga miskin tegar, tercicir daripada peluang untuk belajar, berkembang dan menyumbang kepada masa depan negeri dan negara,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 11:42 AM | Show all posts
Beri naratif tepat isu penyelesaian sempadan Malaysia-Indonesia
Januari 24, 2026, Sabtu - 12:05pm



AHMAD ZAINI

KUALA LUMPUR: Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) meminta media kedua-dua negara memberikan naratif yang tepat berkaitan isu penyelesaian sempadan darat bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA).

Presiden ISWAMI Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan Outstanding Boundary Problem (OBP) itu telah dilaksanakan secara harmoni dan tidak bersandarkan kepada prinsip timbal balik, pampasan atau untung rugi.

"ISWAMI berharap media massa memberikan laporan yang tepat, benar dan berpegang kepada prinsip dan etika kewartawanan dan tidak memberikan naratif yang boleh mengeruhkan hubungan baik kedua-dua negara," katanya.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan laporan media bertarikh 22 Januari 2026 yang menyatakan 'Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan, berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan' adalah tidak tepat.

Pemuktamadan pengukuran sempadan darat ini dibuat melalui pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara pada 18 Februari 2025 selepas melalui proses rundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.

Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-KALTARA telah dipersetujui semasa lawatan negara mantan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun 2023.

Proses rundingan turut melibatkan wakil kerajaan negeri Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia.

Ahmad Zaini berkata, ISWAMI yakin pimpinan kedua-dua negara telah mengambil pendekatan diplomasi berlandaskan semangat muhibah dan setiakawan.

Katanya, ISWAMI juga berharap kerajaan kedua-dua negara memberikan taklimat khas kepada media, bagi menjelaskan isu berkenaan supaya lebih jelas untuk dihebahkan kepada rakyat dan tidak menimbulkan pelbagai spekulasi negatif.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 11:43 AM | Show all posts
Tawau paling subur, berpotensi jadi hab pertanian Sabah
Januari 24, 2026, Sabtu - 1:19pm



RASMI: Jamawi menanam pokok Avacado Quoin Sabah simbolik perasmian majlis berkenaan.

TAWAU: Daerah Tawau berpotensi muncul sebagai hab pertanian utama Sabah berikutan kesuburan tanahnya yang diiktiraf antara terbaik di negeri ini, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, Tawau menduduki tempat pertama sebagai kawasan paling subur di Sabah, diikuti Tenom, sekali gus memberi kelebihan besar kepada pembangunan sektor pertanian berasaskan teknologi dan inovasi.

“Tanah paling subur di Sabah ialah Tawau, diikuti Tenom. Dengan penggunaan teknologi dan bahan tanaman baharu, kita yakin sektor pertanian di Tawau dan seluruh Sabah akan terus berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian dan Akuakultur Tawau 2026 (TAAE 2026) di Dewan Masyarakat Tawau, pada Jumaat.

Pameran yang berlangsung dari 23 hingga 25 Januari itu disertai 50 gerai yang mempamerkan teknologi terkini, inovasi serta produk baharu dalam sektor pertanian dan perikanan.

Jamawi berkata, pameran berkenaan turut menjadi platform kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk hasil bimbingan kementeriannya dan Kementerian Perindustrian dan Keusahawanan.

Dalam perkembangan sama, beliau menekankan potensi tanaman avokado varieti QAV1 yang kini dikenali sebagai Avocado Quoin Sabah, hasil penyelidikan Stesen Penyelidikan Pertanian Quoin Hill, Tawau.

Menurutnya, varieti itu mempunyai kualiti setanding, malah lebih baik berbanding avokado import, dengan rasa lemak, manis dan berkrim serta purata berat sekitar 500 gram sebiji, selain sesuai untuk pasaran eksport.

“Permintaan terhadap avokado dan nanas MD2 dari Sabah semakin meningkat, namun pengeluaran semasa masih belum mampu memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Pertanian menyediakan benih dan bahan tanaman serta menggalakkan orang ramai memulakan aktiviti pertanian secara kecil-kecilan menerusi Inisiatif Kebun Dapur yang akan dilancarkan pada 15 Februari ini.

Jamawi turut menggalakkan petani di Tawau menanam avokado QAV1 memandangkan kesesuaiannya dengan kawasan itu, sambil menyasarkan penanaman 50,000 pokok bagi memenuhi keperluan pasaran eksport.

Turut hadir Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy; Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Leonard Stephen Poyong serta beberapa pegawai kanan jabatan dan agensi berkaitan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 11:46 AM | Show all posts
Edited by Vellfire at 26-1-2026 11:47 AM

SPR terima lima laporan kesalahan sepanjang PRK Kinabatangan, Lamag
Januari 24, 2026, Sabtu - 1:39pm



KINABATANGAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima lima laporan kesalahan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada jumlah berkenaan, empat merupakan kesalahan bahan kempen dan satu melibatkan provokasi. "Laporan-laporan tersebut kini dalam tindakan pihak badan pemantau yang dilantik tanpa melibatkan sebarang laporan polis. "Setakat tinjauan ke beberapa pusat mengundi, keadaan didapat

KINABATANGAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima lima laporan kesalahan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada jumlah berkenaan, empat merupakan kesalahan bahan kempen dan satu melibatkan provokasi.

"Laporan-laporan tersebut kini dalam tindakan pihak badan pemantau yang dilantik tanpa melibatkan sebarang laporan polis.

"Setakat tinjauan ke beberapa pusat mengundi, keadaan didapati tenang dan teratur, semua pengundi keluar dengan tertib," katanya ketika ditemui media selepas meninjau pusat mengundi di SK Bukit Garam, pada Sabtu.

Menurut Ramlan, 36 pusat mengundi dibuka bermula jam 8 pagi melibatkan 117 saluran.

Beliau berharap agar semua pihak patuh kepada undang-undang dan peraturan sedia ada serta menerima keputusan yang diumumkan malam ini.

"SPR badan bebas akan menjalankan tugas dengan penuh berintegriti bagi memastikan proses pilihan raya ini berjalan dengan adil, telus dan tidak melakukan perkara yang boleh menimbulkan sebarangan ketidakpuasan hati dalam kalangan pengundi," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 11:48 AM | Show all posts
Wanita ditemukan rentung, tujuh rumah setinggan musnah terbakar
Januari 24, 2026, Sabtu - 1:52pm

OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi kejadian.

SEMPORNA: Seorang wanita maut dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan tujuh buah rumah setinggan di Kampung Perigi, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 58 tahun ditemukan rentung di lokasi kejadian selepas kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.57 pagi.  

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.12 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba mendapati kebakaran melibatkan tujuh rumah setinggan jenis tidak kekal dan keseluruhan kawasan terlibat musnah terbakar 100 peratus.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan air dari tangki jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, seorang wanita ditemukan rentung dalam kejadian berkenaan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.57 pagi dan kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan api padam sepenuhnya.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian yang dialami semua mangsa masih dalam siasatan pihak forensik bomba,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 11:57 AM | Show all posts
Dua lelaki ditahan bawa peralatan polis, dadah di Tawau
Januari 24, 2026, Sabtu - 2:36pm



TANGKAP: Kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut.

TAWAU: Cubaan dua lelaki menyembunyikan pergerakan mereka terbongkar selepas polis menemukan peralatan menyerupai milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dadah di kawasan Fajar, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia antara 32 dan 43 tahun itu ditahan sepasukan anggota daripada Balai Polis Tawau yang menjalankan rondaan di kawasan bandar.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah bank.

“Polis terus menahan kenderaan terbabit untuk menjalankan pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek dan barang yang dibawa.

“Pemeriksaan lanjut menemukan vest pantylilan bertulis ‘PDRM’, topi bercorak loreng serta satu paket dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.10 gram,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jasmin berkata, kedua-dua suspek beserta barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967.

Beliau berkata, polis akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba meniru pegawai polis atau terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 11:57 AM | Show all posts
Lelaki ditahan larikan kereta ketika dua kanak-kanak dalam kenderaan
Januari 24, 2026, Sabtu - 2:37pm



CCTV: Kegiatan suspek berjaya dirakam CCTV di lokasi kejadian.

SANDAKAN: Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes kecurian sebuah kenderaan jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dilaporkan hilang di kawasan Stesen Petronas Batu 32, di sini, pada Khamis.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari berlaku ketika kenderaan itu ditinggalkan seketika dalam keadaan enjin hidup oleh pemilik bagi urusan singkat di premis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata dua kanak-kanak berada di dalam kenderaan ketika insiden berkenaan, iaitu anak perempuan pengadu berusia sembilan tahun serta anak saudara lelaki berusia tujuh tahun.

Menurutnya, kedua-dua kanak-kanak itu berjaya keluar dengan selamat sebelum suspek memandu lari kereta terbabit.

“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan ketika melalui Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Jalan Sapi Nangoh, Beluran pada hari sama.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 52 tahun bersama kenderaan yang dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Beliau berkata, suspek dibawa ke balai polis bagi tindakan lanjut dan kini direman untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

“Hasil semakan awal turut mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sehubungan itu katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin hidup, khususnya apabila terdapat kanak-kanak di dalamnya.

Terdahulu, satu video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki berbaju jingga mengetuk sebuah kereta di stesen minyak sebelum memandu keluar kenderaan berkenaan, dipercayai berkait dengan kejadian sama.

Polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan serta memastikan kenderaan dikunci sepenuhnya bagi mengelakkan jenayah oportunis.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 11:58 AM | Show all posts
Suami isteri rentung dalam bilik tidur
Januari 24, 2026, Sabtu - 2:38pm

KUDAT: Sepasang suami isteri ditemukan rentung selepas rumah dua tingkat yang didiami musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Lausan Batu 4, di sini, malam Sabtu.

Mangsa lelaki berusia 74 tahun bersama isterinya berusia 73 tahun dijumpai di dalam bilik tidur kediaman berkenaan ketika operasi pemadaman dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang, berkata panggilan kecemasan diterima pada jam 11.58 malam sebelum 10 anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira enam kilometer.

Menurutnya, pasukan tiba pada jam 12.36 tengah malam dan mendapati rumah jenis tidak kekal dua tingkat terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman berdepan cabaran susulan laluan sempit, kewujudan jambatan kecil serta kedudukan wayar elektrik rendah yang menghalang pergerakan jentera bomba menghampiri lokasi.

“Operasi dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan air serta bekalan air dari tangki jentera.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, dua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di bahagian bilik tidur,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.30 pagi sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan secara berhati-hati.

“Mangsa pertama dibawa keluar kira-kira jam 2 pagi, manakala mangsa kedua dikeluarkan sekitar jam 3.50 pagi.

“Kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut serta proses siasatan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.47 pagi selepas pasukan memastikan keadaan selamat dan tiada lagi risiko bahaya di lokasi,” katanya.

Katanya, punca kebakaran bersama jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Operasi turut mendapat bantuan Pasukan Bomba Sukarela Kampung Ayer serta agensi lain termasuk PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 26-1-2026 11:59 AM | Show all posts
Dua premis pinjaman wang berlesen disimbah cat di Kota Kinabalu
Januari 24, 2026, Sabtu - 2:41pm



GAMBAR HIASAN

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan menerima dua laporan berasingan berkaitan perbuatan khianat simbah cat terhadap premis pinjaman wang berlesen di sekitar daerah ini.

Kejadian pertama melibatkan sebuah premis di Api-Api Centre, manakala kes kedua berlaku di Jalan Perpaduan, Kampung Air.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata kedua-dua insiden dipercayai berlaku pada waktu malam berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua kejadian berkenaan.

“Polis membuka kertas siasatan bagi kedua-dua kes dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan usaha mengesan suspek selain mengumpul bukti di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat.

“Kerjasama masyarakat penting bagi membantu polis mengenal pasti individu terlibat serta mempercepatkan proses siasatan.

“Polis Diraja Malaysia memberi jaminan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam melalui perbuatan jenayah seumpama itu,” katanya.


Sumber : Utusan BorneoUtusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 12:00 PM | Show all posts
Lapan lelaki ditahan miliki cecair vape dadah di Tawau
Januari 24, 2026, Sabtu - 3:07pm



PADAH: Semua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

TAWAU: Lapan lelaki termasuk tiga warga asing ditahan selepas didapati memiliki cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis Mushroom dan sebotol air ketum di Kampung Hidayat, Batu 4, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semua suspek ditahan menerusi Operasi Bersepadu Khas yang dijalankan di kampung berkenaan.

Katanya, operasi dijalankan oleh pasukan Task Force Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau serta Balai Polis Seri Indah kira-kira jam 8.30 malam.

“Semasa serbuan, polis mendapati sekumpulan lelaki berada di bahagian tepi kanan rumah dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan polis menemukan 13 botol cecair vape jenis Mushroom pelbagai perisa disyaki mengandungi dadah, sebotol air ketum di atas meja, serta sebuah kotak rokok berisi sembilan batang rokok mengandungi tumbuhan kering disyaki ganja.

“Suspek berusia antara 19 hingga 40 tahun, terdiri daripada warga tempatan manakala tiga lagi warga asing, dua daripadanya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kesemua lapan suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jasmin berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran atau pemilikan cecair vape mengandungi dadah Mushroom atau air ketum.

“Polis akan terus melaksanakan operasi bersepadu dan tindakan tegas termasuk mengesan keseluruhan rangkaian pembekal serta pengedar sehingga ke akar umbi.

“Kita mahu memastikan daerah Tawau bebas daripada ancaman dadah,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 12:01 PM | Show all posts
MINDET bantu usahawan Sabah kembangkan produk ke Singapura
Januari 25, 2026, Ahad - 8:42am



KENANGAN: Ewon (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar bersama semasa dalam lawatan itu.

SINGAPURA: Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan terus membantu syarikat serta usahawan Sabah mengembangkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran Singapura.

Menterinya merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, setakat Disember 2025, hanya 261 syarikat dari Sabah daripada 12,742 syarikat perusahaan Malaysia yang berdaftar dengan Malaysia External Traded Development Corporation (MATRADE) Singapura.

Beliau berkata, selaras dengan Wawasan Sabah First, penskalaan perusahaan merupakan antara fokus utama MINDET, bermula dengan meningkatkan keupayaan pengeluaran, kualiti serta pematuhan standard produk dan perkhidmatan usahawan Sabah.

“Saya mahu melihat lebih banyak syarikat Sabah, termasuk syarikat pemula (start-ups), dibangunkan supaya mampu menghasilkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi standard pasaran antarabangsa, termasuk di Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke MATRADE Singapura dan perbincangan dua hala bersama Pengarahnya, Siti Nordiana, pada hari kedua lawatan kerja di sini, kelmarin.

Ewon turut menyatakan rasa bangga apabila dimaklumkan beberapa produk keluaran usahawan Sabah yang sudah berada di pasaran Singapura menerima sambutan positif.

“MINDET melalui DIDR dan STTOS akan terus bekerjasama rapat dengan MATRADE bagi membangunkan serta mempromosikan produk-produk usahawan Sabah yang dikeluarkan di negeri Sabah untuk pasaran luar negara,” katanya.

Dalam lawatan yang sama, Ewon turut mengadakan kunjungan ke pejabat Malaysian Investment Development Authority (MIDA) Singapura dan perbincangan dengan Pengarahnya, Vinothan Tulisi.

Katanya, Singapura merupakan hab kepada ribuan syarikat multinasional dan beliau menghargai kerjasama MIDA Singapura bersama STTOS dalam mempromosikan serta memudah cara pelaburan ke Sabah.

“MINDET melalui STTOS akan menganjurkan Sabah Trade & Investment Forum pada bulan Ogos ini dan menjemput MIDA Singapura untuk turut terlibat dalam forum ini.

“MIDA Singapura juga telah mengenal pasti beberapa segmen perusahaan yang berpotensi serta syarikat yang merancang untuk meluaskan operasi mereka, termasuk ke Sabah,” katanya.

Katanya lagi, MINDET melalui STTOS akan terus memperhebat usaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan dan perusahaan, termasuk menganjurkan Sabah Business Trip dengan kerjasama Singapore Business Federation (SBF).

Ewon dan rombongan turut mengadakan kunjungan ke Singapore Cooperation Enterprise (SCE) dan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tay Lian Chew serta pengurusan tertinggi agensi berkenaan.

Katanya, SCE mempunyai kolaborasi strategik dengan Kerajaan Negeri Sabah dan akan menganjurkan Business Trip Program ke Sabah pada tahun ini, yang beliau cadangkan supaya turut merangkumi penyertaan dalam Sabah International Expo 2026.

Dalam kunjungan itu, Ewon turut diberi taklimat mengenai beberapa inisiatif utama yang dilaksanakan oleh SCE, termasuk pembangunan single interface platform bagi memudahkan permohonan lesen serta urusan berkaitan perniagaan dan keusahawanan di Singapura.

Menurutnya, inisiatif sedemikian wajar dijadikan rujukan dalam usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan dan meningkatkan kemudahan urus niaga perniagaan di Sabah, khususnya dalam menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-1-2026 12:02 PM | Show all posts
Majlis Pertabalan dan Anugerah JCI KK meriah
Januari 25, 2026, Ahad - 9:34am



SAKSI: Masidi (tengah) menyaksikan majlis pertabalan JCI KK pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Junior Chamber International Kota Kinabalu (JCI Kota Kinabalu) telah berjaya menganjurkan Majlis Pertabalan dan Anugerah pada Jumaat lepas dengan meriah.

Majlis berprestij itu menghimpunkan lebih daripada 300 tetamu, termasuk cawangan JCI tempatan dan antarabangsa, rakan persahabatan, rakan sokongan, penaja, serta ahli JCI.

Antara upacara pada malam berkenaan termasuklah majlis serah dan menerima jawatan Presiden, upacara angkat sumpah Lembaga Pengarah 2026, Majlis Penganugerahan Senator JCI, pertabalan ahli baharu, serta penyampaian anugerah yang mengiktiraf kecemerlangan sepanjang tahun 2025.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun sebagai Tetamu Kehormat.

Delegasi antarabangsa dari Filipina dan Singapura, bersama wakil-wakil JCI dari seluruh Malaysia turut hadir pada majlis itu bagi menunjukkan sokongan, mengukuhkan persahabatan, serta meneroka peluang kerjasama masa depan.

Pada majlis itu, Snowy Chang secara rasmi dilantik sebagai Presiden JCI Kota Kinabalu. Cawangan itu turut merakamkan penghargaan kepada Presiden JCI KK 2025, Ng Kang Jie, atas dedikasi, komitmen, dan kepimpinan teladan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Dalam ucapan perpisahannya, Ng berkata, pelbagai aktiviti berjaya dilaksanakan sekali gus memberikan impak besar kepada JCI Kota Kinabalu.

Katanya, lebih 45 projek dengan kerjasama ramai sukarelawan berjaya dilaksanakan.

Beliau melahirkan rasa bangga terhadap dedikasi ahli yang berkhidmat tanpa mengira kepentingan diri serta memberi penghargaan kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan pencapaian itu.

Sementara itu, Snowy berkata, dengan tema 'Grow As One' tahun ini, ia menekankan bahawa apabila ahli, pemimpin, dan rakan kongsi bergerak bersama, saling menyokong, berdiri teguh menghadapi cabaran, serta bekerjasama dalam inisiatif bermakna, impaknya akan lebih kuat, mampan, dan berkuasa berbanding usaha individu.

“Kepimpinan bukanlah tentang sejauh mana seseorang boleh pergi sendirian, tetapi sejauh mana kita boleh berkembang bersama.

"Itulah semangat JCI, dan begitulah cara kita Grow As One,” katanya .

Dalam pada itu, Masidi menjelaskan JCI adalah platform penting dalam melahirkan pemimpin muda.

Katanya, menerusi pembangunan kepimpinan, projek kominiti dan pendedahan antarabangsa, JCI berjaya melengkapkan golongan muda dengan nilai, kemahiran dan keyakinan sekali gus membentuk perubahan yang positif dalam masyarakat.

Beliau memuji usaha berterusan JCI KK dalam membangunkan pemimpin muda yang berkebolehan serta daya saing.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-2-2026 08:57 PM GMT+8 , Processed in 0.269502 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list