|
|
Pemandu maut lori 10 tan terbabas
Januari 21, 2026, Rabu - 9:28am
TENOM: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri di tepi Jalan Tenom–Keningau berhampiran Kampung Pamilan, Batu 15.5, petang Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom Mudi Pengiran berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.42 petang itu, lori 10 tan yang membawa muatan bibit sawit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.42 petang sebelum sepasukan anggota dari BBP Tenom digerakkan ke lokasi dan tiba di tempat kejadian pada jam 3.06 petang selepas menempuh jarak kira-kira 26 kilometer.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian belakang kanan tayar lori.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai cuba terjun dari lori sebelum kenderaan itu terbabas, namun mangsa tersepit di bahagian belakang lori.
“Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan bantuan sebuah jentera berat jenis excavator.
“Mangsa berusia 38 tahun kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, operasi dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 4.24 petang selepas pasukan penyelamat memastikan keadaan selamat dan tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Matbali kecewa projek Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Sabah masih ‘tidak berpenghujung’
Januari 21, 2026, Rabu - 11:24am

BAHAS: Matbali ketika berucap membahas Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah menyuarakan kekecewan terhadap prestasi projek Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Sabah yang menurutnya seolah-olah “tidak berpenghujung”.
Sambil mengumpamakan kelewatan pelaksanaan projek itu sebagai satu kisah penantian, beliau berkata lebuh raya itu sepatutnya menjadi nadi kemajuan untuk negeri Sabah.
“Namun hari ini ia menjadi kisah penantian; tidak siap-siap, tersangkut-sangkut, lencong sana-sini, lubang-lubang ditampal-tampal, seperti luka lama yang hanya disapukan bedak, bukan dirawat hingga sembuh.
“Ada pakej yang telah dianugerahkan tetapi belum bergerak, ada yang telah bermula tetapi belum berakhir, dan lebih menyedihkan, ada pula pakej yang belum beraward, seolah-olah masa di Sabah berjalan lebih perlahan daripada pusingan jarum jam di tempat lain,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
Sebagai perbandingan, Matbali berkata projek lebuh raya Pan Borneo jajaran Sarawak yang dimulakan pada tahun yang sama kini sudah siap, sekali gus menjadi kebanggaan rakyat negeri jiran itu.
“Oleh itu, sebagai Ahli Parlimen Sipitang, saya ingin mendapatkan penjelasan khusus mengenai status terkini di kawasan saya, iaitu jajaran Sipitang–Beaufort, melibatkan WP01 Sindumin–Melalia dan WP02 Melalia–Beaufort, yang menjadi urat nadi kehidupan harian rakyat yang saya wakili,” katanya.
Beliau juga meminta penjelasan mengenai status projek Jalan Mentulud sepanjang 2.5 kilometer yang telah diluluskan, namun masih belum bermula pelaksanaannya.
Selain itu, beliau mengulangi rayuan agar jalan sepanjang 140 kilometer menghubungkan Sipitang ke Long Pasia segera dinaik taraf, termasuk laluan sungai di Meligan yang menjadi nadi penting ke kawasan pedalaman.
Katanya, laluan melintasi Sungai Meligan itu sangat kritikal dan perlu segera diberi keutamaan oleh kerajaan.
Ia menjadi satu satunya jalan buat penduduk Kampung Long Pasia, Kampung Long Mio dan Kampung Iburu.
"Saya merayu kepadaKementeri an Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Kerja Raya, serta agensi-agensi pelaksana yang berkaitan, agar dapat kiranya menoleh sejenak ke pedalaman Sipitang ini," katanya.
Selain itu, Matbali turut membangkitkan isu banjir yang sering berlaku, khususnya di daerah Beaufort.
Beliau berkata sepanjang tahun lalu sahaja, enam kejadian besar direkodkan, melibatkan ribuan penduduk yang terpaksa dipindahkan.
“Justeru itu, pengurusan bencana banjir perlu diberi keutamaan, bermula dengan penambahbaikan capaian internet di Pusat Pemindahan Kekal dan Sementara, serta akses jalan keluar masuk orang kampung ke pusat berkenaan.
“Masalah kekurangan kenderaan untuk pendaftaran mangsa di luar PPS serta kekurangan sukarelawan turut membebankan pengurusan bencana, dan perkara ini wajar diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa,” katanya.
Matbali juga berharap kemudahan WiFi dengan kelajuan stabil dapat disediakan melalui penaiktarafan menara telekomunikasi agar komunikasi tidak turut terputus ketika bencana melanda.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki disyaki pembuat air ketum dicekup di Kampung Bukit Berangan, Samarahan
Januari 21, 2026, Rabu - 10:54am
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki dipercayai pembuat air ketum berusia 52 tahun ditahan polis di Kampung Bukit Berangan, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Samarahan kira-kira jam 7.55 malam.
“Suspek dipercayai terlibat secara aktif dalam aktiviti pemprosesan dan penjualan air ketum sejak hujung tahun 2023,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil serbuan membawa kepada rampasan 38 botol berisi air ketum, dedaun kering disyaki daun ketum seberat kira-kira 5.42 kilogram serta sebuah tong oren berkapasiti 200 liter.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,126.80,” katanya.
Damataries berkata, saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati keputusan negatif dan suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Suspek mengaku air ketum yang dirampas adalah miliknya dan penjualan dibuat kepada kenalan sekitar kawasan Kampung Bukit Berangan,” jelasnya.
Tambahnya, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan dan permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dikemukakan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Hubungan Sabah-Pusat penting untuk kemajuan rakyat dan negeri: Matbali
Januari 21, 2026, Rabu - 11:29am

SEMANGAT: Matbali ketika berucap membahas Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
KOTA KINABALU: Hubungan erat antara kerajaan negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan penting bagi membawa kemajuan kepada rakyat dan negeri, kata Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.
Beliau berkata kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, menghargai usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membantu pembangunan Sabah.
"Kerjasama erat ini penting agar agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan secara seimbang dan inklusif.
"Walaupun dipisahkan oleh Laut China Selatan, Sabah tetap sebahagian daripada Malaysia dan wajar menerima perhatian pembangunan yang setara," katanya.
Berucap membahas titah Diraja di Dewan Rakyat semalam, Matbali yang menjadi pembahas mewakili ketua parti berkata bahawa jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung masih jelas dirasai walaupun negara telah lama merdeka.
Katanya, kekurangan dalam kemudahan asas dan infrastruktur terus memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
"Justeru, iltizam politik yang kukuh amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat Sabah dapat dipertingkatkan secara berterusan," katanya.
Menurutnya, rakyat Sabah hanya menginginkan kehidupan yang selesa, bermaruah dan terjamin.
Oleh itu, katanya, apabila hak Sabah dibincangkan dalam kerangka Kerajaan MADANI, ia bukan soal meminta keistimewaan, tetapi menuntut keadilan berdasarkan persetujuan yang telah dimeterai sejak penubuhan Persekutuan Malaysia.
"Rakyat Sabah tidak menuntut perkara berlebihan, sebaliknya berharap agar hak asas yang telah dijanjikan dapat dilaksanakan dengan konsisten dan berkesan," katanya.
Dalam pada itu, Matbali berkata isu hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diberi perhatian.
Menurutnya, komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan sebahagian besar tuntutan MA63 wajar dihargai, dan diharapkan baki tuntutan dapat disempurnakan demi memastikan keadilan kepada rakyat Sabah.
Selain itu, katanya, pertambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak juga perlu dipertimbangkan secara serius.
"Keluasan kawasan dan cabaran geografi Sabah memerlukan perwakilan yang lebih berkesan agar suara rakyat dapat disampaikan dengan lebih menyeluruh di peringkat nasional," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Matbali menarik perhatian di Parlimen, selitkan pantun Kedayan, guna bahasa Brunei dan nyanyi lagu ketika bahas Titah Diraja
Januari 21, 2026, Rabu - 11:34am

SEGAK: Matbali ketika hari perasmian persidangan pada Isnin.
KOTA KINABALU: Ucapan perbahasan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah ke atas Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa, sekali lagi menarik perhatian dan mendapat tepukan bergemuruh.
Beliau memulakan perbahasannya dengan berpantun bahasa Kedayan, iaitu salah satu etnik yang terdapat di daerah Sipitang.
"Tiap haie memakan nasi, lauk udang becampu lukan; Datuk Yang Dipertua, taima kasi, Sipitang badiie membahie ucapan," katanya, disambut tepukan rakan-rakan Ahli Parlimen di dalam dewan.
Di pertengahan perbahasan, beliau menggunakan bahasa Brunai, ketika membangkitkan isu berkaitan pembinaan jalan raya, khususnya projek Pan Borneo.
"Isu ini telah saya bangkitkan saban tahun di Dewan Yang Mulia ini. Orang kampung saya bilang, `sudah berbuih-buih kitani bekurapak sampaikan belagu di Parlimen, tapi macam inda jua kedengaran'," katanya.
Di penghujung ucapannya, beliau turut merujuk pantun dan lagu dari negara jiran bagi menyampaikan mesej berkaitan isu yang membelenggu negeri Sabah.
"Sipitang berharap sungguh agar segala apa yang disuarakan ini, mendapat pertimbangan yang sewajarnya. Seperti pantun popular di tanah seberang, `obor-obor ikan lele', kita pun sudah `tegur menegur berkali-kali'.
"Janganlah juga, seperti lagu mereka, “tabola-bale”, semua ini ditolak balik-balik ke sana sini, hanya semata mata untuk mengelak daripada kebertanggungjawaban," katanya.
Matbali berkata semua Ahli Parlimen, sebagai penyambung lidah rakyat, harus merakyat dan sanggup berkorban, biarpun terpaksa membakar diri seperti lilin.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyanyikan rangkap pertama lagu `Biarku Menjadi Lilin' oleh Kumpulan Pelangi, diikuti tepukan Ahli Parlimen yang lain.
Seni kata itu berbunyi "Biarku menjadi lilin, memberikan cahaya, terangi sekeliling, dengan diri terbakar, tak siapa yang sedar, di saat kegelapan, rela aku berkorban, demi satu harapan.'
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Masiung tekad laksana reformasi signifikan untuk tingkat prestasi
Januari 21, 2026, Rabu - 12:00pm

AMANAT: Masiung sedang berkata sesuatu semasa Majlis Amanat Pengerusi dan Pengurus Besar Kumpulan Sedco, dekat sini.
KOTA KINABALU: Operasi anak syarikat di bawah Kumpulan Sedco yang gagal mencapai keuntungan dalam tempoh setahun akan melalui proses 'management byout' atau ditutup, menurut pengerusinya, Datuk Masiung Banah.
"Jika kita pertahankan syarikat yang rugi dan membebankan agensi induk, umpama kita bermain bola 'gol sendiri.'
"Kita mahu lihat prestasi mereka, sama ada sasaran tercapai atau tidak. Jika tidak tercapai kenapa? .... Jika tercapai kita perlu pertingkatkan, " tegasnya ditemui media selepas majlis Amanat Pengerusi dan Pengurus Besar Kumpulan Sedco di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu bertegas untuk melaksanakan reformasi signifikan terhadap urus tadbir anak syarikat yang kurang berdaya saing dalam industri yang diceburi.
Masiung berkata, syarikat yang gagal mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) perlu mengemukakan pelan tindakan bagi memperbaiki prestasi dan kedudukan kewangan semasa.
Mengulas lanjut, beliau bersama pengurusan tertinggi Sedco kini sedang dalam proses menilai Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat korporat di bawah Kumpulan Sedco mengenai keberkesanan gerak kerja mereka.
"Walaupun setakat ini belum ada laporan serius tentang salah laku korporat dalam struktur melibatkan anak-anak syarikat, namun operasi mereka harus dipantau setiap tiga bulan.
"Saya bukan sahaja memberi arahan, tetapi saya akan turun ke lapangan dari masa ke semasa bagi memantau operasi anak-anak syarikat ini, " tambahnya.
Menurut Masiung, terdapat kira-kira 23 anak syarikat yang beroperasi dengan pelbagai industri bernaung di bawah Kumpulan Sedco.
Menurut beliau, tiga syarikat akan menjadi tumpuan utama tahun ini bagi menjana rantaian ekonomi negeri iaitu Sedco Mining Sdn Bhd, projek Kudat Blue Economy Park dan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd.
Timbalan Pengurus Besar Kumpulan Sedco, Haji Azrul Haji Ahmad turut hadir dalam majlis amanat 2026 itu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Viviantie dinobat Anugerah Public Social Innovator 2026
Januari 21, 2026, Rabu - 12:54pm

TAHNIAH: Viviantie ketika menerima Anugerah Public Social Innovator 2026.
KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), Viviantie Sarjuni, melakar sejarah apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Public Social Innovator Tahun 2026 bagi Keusahawanan Sosial oleh Schwab Foundation dengan kerjasama World Economic Forum (WEF).
Anugerah berprestij itu disampaikan bersempena Mesyuarat Tahunan WEF yang berlangsung di Davos, Switzerland, sekali gus menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama menerima pengiktirafan berkenaan.
Pengiktirafan itu diberikan kepada pemimpin sektor awam yang berjaya menghasilkan perubahan signifikan melalui pendekatan inovasi sosial, termasuk penggubal undang-undang, pembuat dasar, ketua agensi kerajaan serta pemimpin organisasi antarabangsa.
Viviantie dipilih atas kepimpinan berwawasan beliau dalam memperkasa keusahawanan, perusahaan sosial dan pembangunan ekonomi mampan di Malaysia.
Sebelum menerajui INSKEN, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem teknologi, inovasi serta ekonomi kreatif di Sabah, dengan fokus mengurangkan jurang pembangunan wilayah.
Menurut Viviantie, pengiktirafan itu merupakan satu penghormatan besar bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada usaha berterusan Institut Keusahawanan Negara Berhad dalam menyokong perusahaan mikro, luar bandar dan sosial di negara ini.
“Sebagai peneraju agensi kerajaan, saya melihat anugerah ini sebagai satu tanggungjawab untuk bertindak sebagai penghubung dalam menyatukan komuniti, sektor swasta, akademia dan kerajaan bagi mewujudkan impak yang lebih bermakna dan inklusif,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pengiktirafan itu turut membuka akses kepada rangkaian global serta perkongsian pandangan antarabangsa yang boleh dimanfaatkan di peringkat tempatan bagi memperkukuh inovasi sosial, pembentukan dasar serta membantu usahawan Malaysia berkembang secara mampan.

ANUGERAH: Viviantie bersama penerima Anugerah Public Social Innovator 2026 dari negara lain dalam majlis berkenaan.
Viviantie turut dijemput menghadiri Mesyuarat Tahunan WEF di Davos dari 16 hingga 25 Januari ini, termasuk menyertai sesi dialog, bengkel dan penglibatan pelbagai hala bersama pemimpin global dalam bidang keusahawanan sosial serta pembangunan ekonomi mampan.
Sebagai penerima anugerah, beliau akan menyertai komuniti global Schwab Foundation bagi tempoh tiga tahun, yang memberi peluang kepada ahli untuk terlibat secara aktif dalam inisiatif WEF serta pertukaran sejawat bersama pemimpin perubahan sosial dan alam sekitar di peringkat antarabangsa.
Peluang itu dijangka membolehkan INSKEN membawa pulang pandangan antarabangsa dan amalan terbaik ke Malaysia, sekali gus memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, luar bandar dan sosial, di samping memupuk kerjasama rentas sempadan antara sektor awam, swasta dan akademik.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sail Malaysia Rally 2026 tonjol pelancongan komuniti Sabah
Januari 21, 2026, Rabu - 2:56pm

TAKLIMAT: Joniston (kanan) semasa sesi taklimat bersama Sazli.
KOTA KINABALU: Pelancongan berasaskan komuniti (Community-Based Tourism - CoBT) di Sabah bakal menjadi tarikan utama Sail Malaysia Passage to the East Yacht Rally 2026.
Ia sekali gus mencerminkan minat semakin meningkat pelayar antarabangsa terhadap pengalaman pelancongan autentik.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Urusan Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha, ketika sesi taklimat kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, pada Selasa.
Sazli berkata, tumpuan kepada CoBT dibuat susulan maklum balas positif peserta terdahulu yang kini lebih gemar pengalaman mendalam serta interaksi rapat dengan komuniti setempat.
“Sabah terus menjadi pilihan pelayar antarabangsa kerana kepelbagaian budaya, landskap luar bandar dan peluang interaksi komuniti,” katanya.
Rali yang dijadualkan singgah di Sabah pada Julai ini disertai pelayar dari pelbagai negara.
Setakat 20 Januari, katanya, seramai 15 peserta sudah mendaftar berbanding kira-kira 10 orang pada tempoh sama tahun lalu, sekali gus menunjukkan potensi peningkatan penyertaan.
Dalam perkembangan sama, Sazli memaklumkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang dipertimbangkan sebagai lokasi baharu pelabuhan singgah, selain cadangan mewujudkan agenda ‘safe harbours’ bagi meningkatkan akses dan kemudahan kapal layar.
Mengulas perkara itu, Joniston menyambut baik fokus terhadap CoBT yang selari dengan usaha kerajaan negeri memperkasa pelancongan luar bandar serta memastikan manfaat ekonomi dinikmati komuniti setempat.
Beliau berkata, pendekatan itu turut melengkapkan promosi Explore Sabah bersempena kempen Visit Malaysia 2026.
Joniston turut menggalakkan Sail Malaysia bekerjasama rapat dengan Lembaga Pelancongan Sabah bagi mengenal pasti lokasi CoBT sesuai, selain menyokong usaha memperkenalkan pelabuhan singgah baharu dan mengenal pasti pelabuhan selamat untuk pertimbangan pihak berkuasa.
Dalam pertemuan itu, Sazli yang juga Ketua Pegawai Operasi Pameran Bot Antarabangsa Malaysia turut menjemput Sabah menyertai edisi pameran berkenaan pada 2026
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penduduk Kampung Sungai Lokan harap PRK selesaikan masalah air, jalan
Januari 21, 2026, Rabu - 3:15pm

INFRASTRUKTUR: Keadaan jalan masuk ke Kampung Sungai Lokan yang masih belum berturap.
KINABATANGAN: Isu bekalan air bersih dan jalan tidak berturap yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Lokan sejak sekian lama perlu diberi perhatian serius oleh wakil rakyat baharu yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Kampung yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Pekan Bukit Garam itu masih bergantung kepada tadahan air hujan untuk kegunaan memasak, manakala air kolam takungan digunakan untuk mandi dan mencuci pakaian. Keadaan ini membebankan penduduk terutamanya ketika musim kemarau.
Seorang penduduk, Kasmi Ali Ahmad, 48, berkata mereka terpaksa berjimat cermat menggunakan air hujan dan membeli air mineral pada musim kering.
“Biasanya kalau musim kemarau, orang kampung yang mampu akan membeli air mineral untuk kegunaan memasak, tapi kos sewa kenderaan ke pekan lebih mahal berbanding kos pembelian air mineral,” katanya.
Kasmi yang juga peniaga kedai runcit berkata penduduk yang tidak mempunyai kenderaan sendiri terpaksa menumpang kenderaan orang lain dengan bayaran tambang RM100 setiap kali ke pekan untuk membeli barang keperluan, termasuk air mineral.
Sehubungan itu, beliau meletakkan harapan tinggi agar wakil rakyat terpilih dapat menyelesaikan masalah bekalan air dan infrastruktur di kampung berkenaan.

YASNI, KASMI
Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Lokan, Yasni Yakub, 48, berkata kampung itu memerlukan pembinaan telaga tiub bagi membolehkan penduduk memperoleh bekalan air bersih terutamanya ketika musim kemarau.
“Air kolam takungan sedia ada hanya sesuai untuk mandi dan mencuci pakaian dan tidak selamat untuk diminum.
“Itu sebabnya kami terpaksa menggunakan tadahan air hujan untuk memasak dan minum. Selain itu, penduduk di sini terpaksa bergantung kepada air mineral, tapi tambang ke pekan sudah mencecah RM100,” katanya.
Yasni turut memaklumkan sebahagian penduduk masih mencuci pakaian di sungai, walaupun diketahui terdapat buaya, kerana mereka sudah terbiasa dengan keadaan itu.
Beliau berkata, jalan raya di kampung itu juga perlu dinaik taraf kepada jalan berturap, namun perbincangan bersama pengusaha ladang swasta sepanjang laluan ke kampung perlu dilakukan bagi memastikan projek itu berjalan lancar.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JPJ Sabah cadang bina stesen penguatkuasa di Sapulut - Kalabakan
Januari 21, 2026, Rabu - 4:00pm

PERIKSA: Mohd Harris turut menjalankan pemeriksaan dalam operasi berkenaan.
TAWAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah merancang menubuhkan stesen penguatkuasa berhampiran kawasan Sapulut - Kalabakan bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang jalan raya, khususnya terhadap kenderaan berat yang melebihi had muatan.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata cadangan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terpelihara, selain mengekang pelanggaran undang-undang oleh warga tempatan dan warga asing.
“Pada masa ini, kami sedang menilai beberapa lokasi dan berbincang dengan pihak pejabat daerah supaya pemeriksaan dapat dilaksanakan secara optimum.
“Selain Sapulut - Kalabakan, kami juga menilai keperluan membina stesen penguatkuasa di Kota Belud,” katanya.
Menurutnya, pembinaan stesen penguatkuasa yang dirancang akan membantu memastikan pemeriksaan kenderaan, terutamanya kenderaan berat, dijalankan dengan lebih berkesan dan selamat, sejajar dengan objektif Rancangan Malaysia ke-13 dalam meningkatkan keselamatan jalan raya di Sabah.
Beliau berkata demikian selepas Operasi Bersepadu Bersama Agensi dan Pengarah JPJ Sabah malam tadi yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Katanya, operasi berkenaan telah memeriksa sebanyak 271 kenderaan dan mengeluarkan 22 notis saman iaitu tujuh oleh JPJ, 10 oleh PDRM dan empat oleh JIM. Tiada kenderaan disita sepanjang operasi itu.
“Kesalahan yang paling kerap dikesan ialah tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh, serta cukai jalan yang sudah luput.
“JPJ menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memastikan lesen dan cukai jalan sentiasa sah dan kenderaan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan,” katanya.
Mohd Harris berkata, tindakan terhadap kenderaan berat melebihi had muatan akan dipergiatkan selepas rekod tahun 2025 menunjukkan sebanyak 3,350 saman telah dikeluarkan, meningkat 283 peratus berbanding 2024.
Beliau berkata, langkah itu adalah bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh pengusaha kenderaan berat, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Katanya, statistik penguatkuasaan JPJ Sabah sepanjang 2025, di mana sebanyak 576,000 kenderaan diperiksa, meningkat 43 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala 112,000 saman dikeluarkan, naik 14 peratus daripada 2024.
“Angka ini menunjukkan masih banyak lagi tindakan perlu diambil, bukan sahaja dari segi penguatkuasaan tetapi juga untuk membina kesedaran pengguna jalan raya.
“Kami mahu semua pihak memahami bahawa mematuhi undang-undang jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Mohd Harris berkata, JPJ Sabah komited untuk terus melaksanakan operasi bersasar secara berterusan, termasuk meningkatkan kerjasama dengan PDRM, JIM dan agensi penguatkuasa lain bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya di seluruh negeri sentiasa berada pada tahap tinggi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jawatankuasa baharu menilai projek kerjasama awam-swasta, konsesi negeri
Januari 21, 2026, Rabu - 7:31pm

MESYUARAT: Hajiji mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri.
KOTA KINABALU: Kabinet Negeri meluluskan penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Awam-Swasta dan Pengurusan Projek Konsesi Negeri bagi memperkukuh mekanisme penilaian serta tadbir urus projek melibatkan Kerajaan Negeri dan sektor swasta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata jawatankuasa baharu itu menggantikan Jawatankuasa Penswastaan Negeri yang diwujudkan pada 1991.
Menurutnya, pendekatan baharu membolehkan penilaian dibuat merangkumi tiga kategori projek berbanding sebelum ini yang hanya tertumpu kepada aspek penswastaan.
“Jawatankuasa ini memberi ruang penilaian lebih menyeluruh terhadap projek kerjasama awam-swasta, termasuk projek konsesi dan pembangunan strategik negeri,” katanya.
Beliau berkata, semua cadangan projek kerjasama awam-swasta kini bermula di peringkat kementerian berkaitan sebelum dirujuk kepada jawatankuasa teknikal di bawah jawatankuasa baharu itu yang dipengerusikan Unit Perancang Ekonomi Negeri.
Katanya, hanya projek yang didapati berdaya maju akan dibawa ke Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan Setiausaha Negeri untuk penelitian lanjut.
“Selepas itu, projek berkenaan akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri bagi pertimbangan dan kelulusan muktamad,” katanya.
Hajiji berkata, proses berperingkat itu bertujuan memastikan ketepatan skop projek, khususnya yang melibatkan kepentingan Kerajaan Negeri dan sektor swasta seperti konsesi air, pembinaan jalan raya serta pembangunan perumahan.
Beliau menegaskan semua usaha sama melibatkan Kerajaan Negeri perlu melalui proses penilaian jawatankuasa berkenaan bagi menjamin ketelusan dan pulangan optimum kepada rakyat.
Ketua Menteri berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet pertama Jabatan Ketua Menteri selepas pembentukan kerajaan baharu di Menara Kinabalu, hari ini.
Dalam mesyuarat sama, Hajiji berkata Kabinet Negeri turut meluluskan kriteria tambahan serta penambahbaikan terhadap inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi tahun ini.
Beliau berkata, kos pembinaan bagi satu unit Rumah SMJ bertiang dinaikkan kepada RM95,000, manakala Rumah SMJ tidak bertiang berjumlah RM85,000 seunit.
Katanya, pelarasan kos itu dibuat bagi menampung peningkatan perbelanjaan termasuk pengangkutan bahan binaan, kerja penambakan tanah di tapak rumah serta pemasangan tiang elektrik dan paip air.
Dalam perkembangan lain, Hajiji memaklumkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 akan dilancarkan pada 30 Januari ini.
Pelancaran itu diadakan bersempena Majlis Amanat Ketua Menteri kepada penjawat awam negeri, warga syarikat berkaitan kerajaan serta badan berkanun.
Lebih 7,000 penjawat awam negeri dijangka menghadiri majlis berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kemasukan sekolah rendah usia enam tahun beri lebih masa rancang masa depan: Queenie
Januari 22, 2026, Khamis - 10:23am

QUEENIE
KOTA KINABALU: Cadangan membenarkan kanak-kanak memasuki sekolah rendah pada usia enam tahun dilihat mampu memberi kelebihan jangka panjang apabila mereka dapat menamatkan pendidikan rendah dan menengah lebih awal sekali gus membuka ruang perancangan masa depan yang lebih luas.
Ahli Majlis Jawatankuasa Usahawan Wanita (WEC) Dewan Perdagangan Malaysia–China Sabah, Queenie Chang, berkata dasar berkenaan memberi peluang kepada generasi muda untuk membuat pilihan pendidikan dan kerjaya dengan lebih fleksibel selari keperluan semasa.
Menurutnya, dalam kepimpinan Presidennya, Datuk Dexter Lau, Dewan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu kerana pendekatan berkenaan seiring pembangunan bakat jangka panjang serta peningkatan daya saing negara.
“Kemasukan awal ke sekolah rendah membolehkan pelajar menamatkan pengajian lebih cepat dan memasuki alam pekerjaan lebih awal bagi memperoleh pengalaman, di samping memberi lebih masa kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah.
“Pendekatan ini membantu meningkatkan kualiti modal insan negara dan memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Queenie turut menjelaskan bahawa kemasukan pada usia enam tahun secara langsung memendekkan tempoh keseluruhan pendidikan formal, sekali gus membantu meringankan beban kewangan jangka panjang yang ditanggung keluarga.
“Kemasukan awal ke sekolah memberi ruang kepada keluarga merancang perbelanjaan pendidikan dengan lebih teratur, termasuk yuran, pengangkutan dan kelas tambahan, sekali gus memberi kesan positif kepada perancangan kewangan isi rumah dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang perubahan dalam sistem pendidikan perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan serta kepentingan semua pihak berkepentingan.
“Pengurangan usia kemasukan sekolah akan memendekkan fasa pendidikan prasekolah, sekali gus memberi kesan kepada model operasi pusat jagaan kanak-kanak dan tadika.
“Kerajaan perlu melaksanakan perancangan dasar yang menyeluruh dan terkoordinasi bagi membantu pusat jagaan serta tadika menyesuaikan diri dengan perubahan ini, termasuk penstrukturan semula kurikulum, pembahagian kumpulan umur dan penyediaan panduan transformasi yang sesuai,” katanya.
Queenie turut menekankan peranan penting pendidikan prasekolah dalam perkembangan awal kanak-kanak, sambil menegaskan bahawa aspek paling utama bukan tempoh persekolahan, sebaliknya kualiti pendidikan serta kesinambungan antara setiap peringkat pembelajaran.
Beliau berkata, hanya melalui perancangan rapi dan kesinambungan berkesan antara pendidikan prasekolah dan sekolah rendah, matlamat reformasi pendidikan berteraskan kepentingan kanak-kanak dapat direalisasikan.
Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa supaya melihat dasar baharu ini secara terbuka dan rasional, di samping berkomunikasi aktif dengan pihak sekolah bagi memahami keupayaan pembelajaran serta tahap adaptasi anak-anak masing-masing.
“Kerjasama erat antara rumah dan sekolah penting bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang sihat dan positif,” katanya.
Queenie turut menyentuh perubahan landskap pendidikan dalam era digitalisasi, apabila kanak-kanak kini terdedah kepada pelbagai sumber maklumat dan pembelajaran sejak usia muda melalui platform dalam talian dan teknologi digital.
Menurutnya, kanak-kanak masa kini memiliki keupayaan kognitif lebih tinggi, saluran pembelajaran lebih luas serta rangsangan minda yang lebih besar berbanding generasi terdahulu.
“Dengan bimbingan sesuai serta sistem sokongan kukuh, kemasukan awal ke sekolah rendah mampu memudahkan pembelajaran berstruktur dan pembangunan potensi menyeluruh kanak-kanak,” katanya.
Beliau merumuskan bahawa Jawatankuasa Usahawan Wanita terus memberi penekanan serius terhadap pendidikan dan pembangunan bakat, dengan keyakinan reformasi pendidikan menjadi asas penting ke arah pembangunan negara berkualiti tinggi.
Menurutnya, perancangan yang baik serta pelaksanaan berkesan akan membantu melahirkan generasi baharu yang berpandangan global, berdaya inovasi dan bersemangat untuk pembelajaran sepanjang hayat, sekali gus meletakkan asas kukuh kepada pembangunan mampan negara dan masyarakat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sabah meterai MoU dengan Darul Ifta Mesir
Januari 22, 2026, Khamis - 12:06pm

METERAI: Arifin menandatangani dokumen perjanjian persefahaman dalam hal ehwal kefatwaan dan pembangunan ilmu bersama Prof Dr Nazir di Pejabat Darul Ifta di Kaherah.
KAHERAH: Kerajaan Sabah melakar sejarah apabila memeterai perjanjian persefahaman (MoU), berhubung hal ehwal kefatwaan dan pembangunan ilmu dengan Darul Ifta Mesir, iaitu jabatan kefatwaan berwibawa yang terkenal dan menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.
Perjanjian melibatkan kerjasama kepakaran dan latihan kefatwaan serta keilmuan itu ditandatangani Exco Agama Negeri Sabah Datuk Dr Hj Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan bersama Mufti Kerajaan Republik Arab Mesir Prof Dr Nazir Mohamad Ayyad di Pejabat Darul Ifta di Kaherah.
Arifin ketika ditemui merakamkan ucapan terima kasih kepada Darul Ifta khasnya kepada Mufti Mesir kerana telah merealisasikan visi dan misi perancangan pembangunan syiar ilmu dan kepakaran Islam berlandaskan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang telah dirancang sejak beberapa tahun yang lalu.

ALBUM: Arifin ditemani rombongan menyampaikan cenderakenangan kepada Prof Dr Nazir sejurus selesai acara menandatangani perjanjian persefahaman yang diadakan di Pejabat Darul Ifta di Kaherah.
"Sebelum ini saya telah berkunjung dan memohon kepada Mufti Mesir dan alhamdulillah pelbagai usaha terus dilaksanakan melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Pejabat Mufti Sabah, Pejabat Peguam Besar Sabah, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah serta pegawai Yayasan Sabah di Kaherah.
"Akhirnya usaha itu menampakkan kejayaan dengan termeterainya MoU pada petang ini," kata Arifin.
Dalam perkembangan sama, Mufti Mesir berharap kerjasama itu dapat menjadi wadah menjalin mahabbah dan ukhuwah Islamiah sekaligus memperkasa bidang syariah, dakwah, penyelidikan dan keilmuan Islam melalui perkongsian perkongsian kepakaran yang dimiliki para tokoh ilmuan Islam dari Darul Ifta Mesir.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Hj Aliasnih; Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Hanafiah Kassim, Timbalan Duta Besar Malaysia di Kaherah dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Japar.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|