WUHAN: China hari ini mengesahkan angka kematian akibat jangkitan koronavirus di negara itu meningkat kepada 80 orang, dengan 24 kematian baru di pusat wabak di wilayah Hubei, sementara kes jangkitan di seluruh negara melonjak kepada 2,744 orang.
Walaupun tiada kematian baru disahkan di luar wilayah Hubei, angka jangkitan di seluruh negara itu bertambah 769 kes, dengan separuh daripadanya di Hubei, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.
Ia berkata, 461 daripada mereka yang dijangkiti berada dalam keadaan serius.
China menutup Hubei di tengah negara itu, dalam satu operasi luar jangkaan membabitkan puluhan juta penduduk dalam usahanya memperlahankan jangkitan virus pernafasan tersebut.
Jangkitan yang tidak diketahui sebelum ini mencetuskan kebimbangan dunia kerana persamaannya dengan patogen Sindrom Pernafasan Akut dan Teruk (SARS) yang mengorbankan ratusan nyawa di China dan Hong Kong pada 2002-2003.
Sekatan perjalanan yang drastik dilaksanakan di luar pusat wabak, Hubei, dengan wilayah Shandong dan 4 bandar raya, iaitu Beijing, Shanghai, Xi’an dan Tianjin, mengharamkan keluar masuk bas perjalanan jarak jauh.
Langkah itu memberi kesan ke atas berjuta-juta orang yang berjalan sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina.
Pihak berkuasa berkata, sekatan itu mungkin dilanjutkan dalam usaha kerajaan mengawal virus tersebut.
Wilayah ramai penduduk, Guangdong, Jianxi di tengah China dan 3 bandar raya lain mewajibkan penduduk memakai topeng muka di tempat awam.
Bermula di ibu negeri Hubei, Wuhan, virus berkenaan menular ke seluruh China dan ke beberapa negara lain, dengan kes jangkitan disahkan di lebih 10 negara, termasuk Amerika Syarikat dan Peranchis.