MH370: Spekulasi pesawat dirampas teori sensasi media Barat
UALA LUMPUR: Komplot rampasan MH370 yang didakwa didalangi Russia dan disembunyikan di Kazakhstan adalah teori sensasi media barat menjelang ulang tahun kehilangan pesawat itu, 7 Mac ini, kata pakar penerbangan tempatan. Bekas Ketua Juruterbang Serantau Penerbangan Malaysia (MAS), Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, berkata tidak dinafikan pesawat MH370 boleh sampai ke Kazakhstan menggunakan muatan minyak sedia ada. Bagaimanapun, bagi menjayakan konspirasi itu katanya, beberapa negara seperti India, Pakistan, Thailand dan China perlu sama berkomplot dengan Russia untuk menafikan radar mereka mengesan MH370 pada 8 Mac tahun lalu. "Pengesanan pesawat komersial tidak memerlukan radar berteknologi tinggi atau yang digunakan tentera, meskipun transponder (sistem isyarat pengenalan) kapal terbang dimatikan. "Muatan minyak kira-kira lapan jam sememangnya mencukupi untuk MH370 sampai di Kazakhstan, tetapi persoalan di sini, adakah negara-negara lain yang berada di sepanjang laluan pesawat itu akan berkomplot sama dengan Russia," katanya ketika dihubungi BH. Beliau antara pakar penerbangan tempatan yang menyangkal dakwaan dakwaan penulis sains rakyat AS, Jeff Wise, dan diterbitkan portal berita Daily Mail, kononnya Presiden Russia, Vladimir Putin bertanggungjawab mengarahkan plot rampasan MH370 untuk dibawa ke Baikonur Cosmodrome, kira-kira 200 kilometer di timur Laut Aral, Kazakhstan. Nik Huzlan berkata, Baikonur Cosmodrome yang juga pusat pelancaran roket terbesar di dunia itu dilengkapi sistem keselamatan tinggi, selain tiada pesawat dibenarkan melintasi ruang udara berkenaan sewenang-wenangnya. Katanya, Kazakhstan tidak mungkin bersekongkol dengan Russia dan menyembunyikan MH370 walaupun negara yang terkenal dengan kekayaan hasil bumi itu adalah pecahan daripada Kesatuan Soviet, sebelum mereka berpecah pada 1991. "Semua orang seolah-oleh cepat percaya setiap kali spekulasi liar seperti ini dimainkan media Barat, cuba artikel sama dimuat naik oleh media tempatan. "Sudah tentu masyarakat dunia akan berterusan mencemuh dan menggunakannya sebagai pengukur kualiti laporan atau analisis pakar tempatan," katanya. Sehubungan itu, Nik Huzlan yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai juruterbang syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menyarankan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan teori sensasi. Malah, beliau tidak menolak kemungkinan dalam tempoh 14 hari menjelang ulang tahun kehilangan MH370 pada 7 Mac ini, pelbagai spekulasi dan teori sensasi akan terus diputarkan 'penganalisis penerbangan segera'.
|