Berpantang maut sebelum ajal. Pasangan suami isteri panjang nyawa sempat keluar sebelum kereta terbakar selepas terbabas melanggar penghadang jalan di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Subang, semalam.
Difahamkan, mereka berjaya diselamatkan selepas orang awam bertindak pantas mengeluarkan kedua-duanya daripada terperangkap dalam kenderaan berkenaan.
Kereta mangsa yang terbabas melanggar penghadang jalan sebelum terbakar di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Subang
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 9.39 malam.
Katanya, beberapa anggota dan sebuah jentera keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP) Petaling Jaya digerakkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.
“Kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Outlander yang terbakar 90 peratus setelah hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan.
“Pemandu lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 50 dan 45 tahun tercedera dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihaknya pada pukul 9.55 malam.
“Kedua-dua mangsa dilaporkan hanya mengalami cedera ringan,” katanya.
Sumber: KOSMO! ONLINE |