Kredit foto:
Dukacita dimaklumkan Mama saya telah meninggal dunia pada 1.45pagi sebentar tadi.
Demikian kapsyen Faizul Hafiz Hashim, anak kepada pelakon Noryati Taib, 63, di akaun sosial Facebooknya memaklumkan pemergian ibu tercinta.
Noryati Taib yang juga terkenal dengan gelaran Makcik Petir dikhabarkan meninggal dunia jam 1.45 pagi tadi. Berita sedih ini turut dikongsi anak saudaranya yang juga pengarah drama terkenal, Shahrulezad Mohameddin.
Pada 3 Februari lalu, BH Online melaporkan Allahyarham disahkan positif COVID-19. Bagaimanapun, selepas hampir dua minggu dirawat, Allahyarham disahkan pulih daripada jangkitan wabak berkenaan.
Sebagai info pada 2017, arwah dilaporkan pernah dimasukkan ke hospital kerana mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru. Dalam pada itu, sebelah kakinya terpaksa dipotong kerana menghidap penyakit kencing manis.
Allahyarham terkenal dengan gelaran Makcik Petir, Makcik Isabella dan Makcik Mary dalam drama seperti Sindarela, SyurgaMu Ramadan, Dotty dan Tari Tirana.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin. - CARI |