Memansuhkan GST mungkin mengambil masa lebih lama daripada 100 hari yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan, kata bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz.
Walau bagaimanapun, beliau berkata Majlis Penasihat akan mendedahkan langkah dan tindakan yang diambil ke arah merealisasikan janji itu.
Langkah dan tindakan berkenaan, katanya, akan didedahkan dalam jangka masa 100 hari.
Menegaskan bahawa pemansuhan GST adalah muktamad dan keputusan itu tidak akan dikaji semula, Zeti berkata, isu sekarang adalah bagaimana ini akan dilakukan, termasuk menjadikan kadar GST sifar.
"Kami akan membuat pengumuman dalam masa 100 hari...orang ramai akan mengetahui apa yang akan dilakukan dan kaedah yang akan digunakan.
"Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berulang kali berkata kita perlu mengikut undang-undang sedia ada, kita tidak akan menyimpang daripada mana-mana peraturan ini dan proses yang perlu dilalui untuk perubahan seumpama ini, katanya ketika ditemui pemberita di Bank Negara Malaysia, hari ini.
Beliau sebelum ini bertemu dengan 180 pengurus dana di Bank Negara.
Menurutnya, majlis penasihat pada masa ini sedang mengkaji kaedah menyeluruh untuk menambah kuasa beli rakyat berbanding pendekatan sedikit demi sedikit.
Zeti adalah antara lima anggota Majlis Penasihat yang dilantik oleh Dr Mahathir.
|