Ibrahim (kanan) akan bertanding dikerusi Parlimen Bagan Datuk manakala Leman (kiri) akan bertanding di DUN Pangkor. FOTO L Manimaran
“INI bukan gimik untuk kami bertanding di kerusi yang disandang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir,” kata Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM), Ibrahim Mat Zin, 68, atau popular dengan gelaran sebagai ‘Raja Bomoh Malaysia’.
Beliau hari ini mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk sebagai calon Bebas.
Selain beliau, 26 lagi ahli PSSGGM akan bertanding sebagai calon Bebas di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menurut Ibrahim, di Perak dua calon akan bertanding membabitkan dirinya dan timbalannya, Leman Kanaullah, 55, yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor.
“Buat masa ini tiada niat untuk menarik diri apabila menjelang hari penamaan calon nanti dan kami tidak gentar untuk bertanding serta kemungkinan hilang wang pertaruhan,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di Ipoh hari ini.
Leman yang juga dikenali sebagai ‘Badang Malaysia’ turut hadir dalam sidang media berkenaan.
Ibrahim berkata, kesediaannya bertanding dalam PRU-14 bukan atas paksaan sesiapa sebaliknya dari nalurinya sendiri yang ingin menabur bakti kepada rakyat terutama di Bagan Datuk iaitu tempat kelahirannya.
“Antara janji saya adalah ingin melaburkan wang sendiri sebanyak RM500 juta untuk kepentingan dan pembangunan rakyat Bagan Datuk.
“Saya juga akan memberi kesemua wang gaji setiap bulan sebagai Ahli Parlimen sepanjang lima tahun berkhidmat jika menang,” katanya yang mengatakan mempunyai saudara, kenalan dan anak murid seramai kira-kira 25,000 orang di Bagan Datuk.
Katanya, bagi calon Bebas lain membabitkan ahli PSSGGM pula kesemuanya terdiri daripada ahli perniagaan dan korporat yang mempunyai dana untuk menyertai pilihan raya.
“Setakat ini seramai 27 keseluruhannya termasuk saya yang menyatakan hasrat untuk bertanding dan kami percaya dengan sokongan lebih lima juta ahli PSSGGM kami akan beroleh kemenangan.
“Kawasan yang akan ditandingi adalah membabitkan kerusi panas terutama penyandangnya adalah menteri-menteri besar dan menteri Kabinet termasuk kemungkinan di Parlimen Pekan kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Sementara itu, Leman yang berasal dari Damar Laut, Lumut berkata, tujuannya bertanding adalah demi membela nasib rakyat dan tidak gentar berdepan dengan penyandangnya.
“Saya yakin ada sokongan kira-kira 50,000 penyokong saya di DUN Pangkor,” katanya.
ratu cantik bertanding kat sabah..check
bomoh bertanding kat perak...check
bekas datuk bandar bertanding kat melaka...check
bekas hakim mahkamah tinggi bertanding kat melaka...check?
ada anak raja/sultan yg bakal bertanding tak?
nenek wok kat terengganu jadi bertanding tak?
aku tunggu zeti akhtar bertanding juga