|
Anak perempuan 12 tahun biasanya sudah mencapai umur baligh. Dalam Islam, anak berusia 7 tahun sudah perlu diajar solat, dan mengambil tindakan sewajarnya jika anak 10 tahun masih tidak menunaikan solat.
Tanggungjawab mengajar dan melatih anak solat adalah terletak di bahu ibubapa, jangan pula bila anak 10 tahun tidak solat dipukul sedangkan ibubapa tidak mengajar dan melatih anak-anak ini ketika usia mereka masih mentah.
![](http://img840.imageshack.us/img840/6730/solat1.jpg)
Ini antara tips yang ibu praktikkan dan semoga ianya memberi manfaat:
1. Solat Berjemaah
Solat berjemaah di rumah mempunyai impak yang besar kepada anak-anak, walaupun pada asalnya mereka hanya melihat ibu dan bapa solat bersama, lama-lama mereka akan turut serta. Bentangkan sejadah dan ajak anak-anak solat bersama. Sebaiknya solat jemaah di ruangan yang besar (bilik solat) atau ruang keluarga. Mulakan dengan solat Subuh, Maghrib dan Isya'.
Membaca bacaan solat dengan kuat supaya anak-anak dapat ikut sama. Pernah ibu berlakon solat semasa 'period' apabila abah tiada di rumah untuk mengimami kami. Indahnya perasaan ini bila anak-anak yang mengajak solat sebaik sahaja azan berkumandang. Jika sebelum ini ibu di depan, Hakim di belakang tapi sekarang Hakim pula yang di depan kerana dia lah imam ibu bila mana abah tiada di rumah. Mengalunkan azan dan iqamah dengan sebelah tangan menutup telinga, Ya Allah indahnya hidup bertuhan!
2. Solat di masjid
Pentingnya menanamkan sifat cinta masjid kepada anak-anak, bawa mereka ke masjid menyertai aktiviti masjid atau mendengar ceramah agama. Wahai kaum bapa, jangan pergi sendirian sahaja, ajaklah isteri dan anak-anak sekali, terutama anak lelaki. Biar mereka lekat dengan masjid, sayang dengan masjid dan cintakan masjid, biarlah anak-anak ini yang mengimarahkan masjid-Mu dan memasyarakatkan masjid untuk generasi akan datang.
3. Puji anak
Sukar sekali untuk anak 5-6 tahun solat sampai habis tanpa berlari ke dapur minum air sekejap, atau berpaling ke belakang, tegur adiknya yang mengganggu. Jadi apabila ibu tengok anak solat dengan baik, puji serta merta. Memuji anak ada caranya seperti puji cara Rasulullah. Ibu masih belajar pujian kaedah Nabi ini, biasanya ibu akan cakap begini 'Hakim, Hakim sangat bagus sebab solat dengan baik, ibu sayang Hakim, Ibu bangga dengan Hakim. Solat sempurna tanda orang beriman, malaikat di bahu kanan telah mencatit kebaikan Hakim hari ini. Ibu sayang Hakim' biasanya ibu bisikkan kata-kata ini di telinga kanan Hakim semasa Hakim memeluk ibu.
4. Berdoa
Bila ibu solat berjemaah dengan anak-anak, ibu memang tertunggu untuk berdoa supaya anak-anak mendengar luahan hati ibu, rintihan ibu. Ibu akan berdoa di dalam bahasa melayu biar anak-anak faham, biar anak mengerti apa yang ibu ini minta daripada Allah Yang Maha Esa. Tidak perlu ibu detailkan di sini doa ibu kerana masing-masing ada hajat sendiri, ada permintaan sendiri, minta biar khusus dan penuh penghayatan, biar basah pipi dengan linangan air mata. Bila selesai doa ibu boleh lihat bola mata Hakim berair, ini yang ibu mahukan. Bila bersalaman, Hakim terus memeluk ibu, dan ibu bisikkan pujian ke telinganya.
Setiap ibubapa pasti ada cara tersendiri untuk melatih anak solat, inilah cara ibu yang baru belajar melatih anak sulungnya berusia 7 tahun mencintai solat.
Sesekali periksa bacaan solat anak, ada juga kursus pemantapan solat untuk anak-anak yang boleh disertai, biasanya untuk anak 9 tahun dan ke atas. Ibubapa juga perlu tambah ilmu tentang solat sebab ibu percaya, bila kita hendak memahirkan diri dalam sesuatu bidang, ilmu dan latihan sangat penting. Belajar dan terus belajar, terdapat banyak buku bimbingan solat yang boleh dijadikan rujukan untuk solat sempurna seperti buku ini. Jangan jadi seperti ketam mengajar anak berjalan lurus ke depan.
Berapa usia anak anda yang sulung? Jika sudah 7 tahun seusia anak ibu, adakah telah solat? Bagaimana ibu-ibu melatih mereka solat? Jom kongsi. Semoga mendapat manfaat dan berjumpa lagi, InsyaAllah
kreadit to ..tinta wan anie |
|