KUALA LUMPUR: Seramai 7,702 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) dijangkiti COVID-19 setakat tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bilangan itu meningkat mendadak daripada 284 kes pada minggu pertama kepada 3,343 kes pada minggu keenam.
Katanya, sehingga Selasa lalu, sejumlah 5,063 pekerja kesihatan tidak dapat hadir bekerja kerana positif COVID-19 iaitu bersamaan 1.96 peratus daripada jumlah tenaga kerja di KKM.
"Bagaimanapun, secara amnya, pada masa ini 93.3 peratus daripada keseluruhan pesakit COVID-19 menjalani kuarantin di rumah berikutan pemantauan dijalankan secara digital.
"Justeru, bagi mengelakkan berlaku kekangan kepada tugasan di lapangan, KKM mengambil langkah untuk memastikan gangguan yang minimum terhadap perkhidmatan dan menjaga pesakit COVID-19 ini dan juga pesakit bukan COVID-19," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan, berikutan itu langkah-langkah yang perlu dan dasar penyesuaian diperkenalkan berdasarkan data dan amalan semasa yang tersedia di negara lain.
"KKM juga bekerjasama dengan fasiliti penjagaan kesihatan swasta untuk membantu dalam pengurusan pesakit COVID-19," katanya.