|
|
BN Sabah pimpin penyelarasan Kerajaan Perpaduan negeri
Januari 20, 2026, Selasa - 9:19am

KENANGAN: Para pemimpin yang hadir merakamkan gambar bersama.
KOTA KINABALU: Mesyuarat Penyelarasan Kerajaan Perpaduan Sabah kelmarin telah dipengerusikan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin bagi memastikan gerak kerja jentera lebih tersusun dan strategi kempen diperkukuh untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh wakil-wakil kepimpinan daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), sekali gus mencerminkan kesepaduan serta komitmen bersama untuk memastikan kemenangan calon-calon BN, iaitu Mohd Kurniawan Naim (Parlimen Kinabatangan) dan Mohd Ismail Ayob (DUN Lamag).
Jafry menekankan kepentingan mengukuhkan perpaduan kerajaan negeri melalui parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, sambil menyampaikan penghargaan khusus kepada Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor atas sokongan padu beliau terhadap penyelarasan itu.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan politik dan keberkesanan pentadbiran negeri sangat bergantung kepada kesepakatan parti-parti komponen dalam membina dasar yang konsisten, menyeluruh, dan berpandangan jauh demi kepentingan rakyat.
“PRK ini bukan sekadar pertandingan politik, tetapi soal mandat rakyat dan kestabilan masa depan kawasan.
"Kita bergerak sebagai satu pasukan, satu suara dan satu matlamat untuk menang,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Peranan pembangkang tetap penting untuk Lamag: WARISAN
Januari 20, 2026, Selasa - 9:31am

MAZLIWATI
KINABATANGAN: Calon Parti Warisan (WARISAN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Mazliwati Abdul Malek Chua, membidas kenyataan calon lawan, Miha, yang mendakwa bahawa jika WARISAN menang di Lamag, kawasan itu akan kekal sebagai pembangkang dan kononnya tidak mampu berbuat apa-apa untuk rakyat.
Menurut Mazliwati, dakwaan itu tidak berasas dan mengelirukan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa peranan wakil rakyat pembangkang tetap signifikan walaupun tidak berada dalam kerajaan.
“Pembangkang yang berfungsi dengan baik mampu menjadi suara yang kuat untuk rakyat.
"Suara inilah yang akan menekan dan menggerakkan agensi-agensi kerajaan, terutamanya dalam isu infrastruktur tempatan yang telah lama membelenggu masyarakat Lamag,” katanya.
Mazliwati berkata, terdapat terlalu banyak isu infrastruktur di Lamag yang perlu diketengahkan, yang menurutnya mungkin terlepas pandang atau gagal diselesaikan oleh pemimpin terdahulu.
Sekiranya diberi mandat katanya, langkah pertama yang akan diambil ialah mengadakan pertemuan dengan semua ketua jabatan agensi kerajaan di peringkat daerah, termasuk Pegawai Daerah, bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan projek dilakukan secara berkesan dan pantas.
“Rakyat Lamag berhak menikmati kemudahan infrastruktur yang sempurna dan selamat. Ini bukan soal politik, tetapi soal tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.
Mengulas isu bantuan kerajaan, Mazliwati turut menegur kenyataan Miha yang mendakwa rakyat akan kehilangan bantuan sekiranya memilih wakil rakyat pembangkang.
Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai cubaan mencetuskan kekeliruan dan ketakutan dalam kalangan rakyat.
“Bantuan kerajaan tidak akan terhenti. Ia adalah tanggungjawab kerajaan semasa kepada rakyat, tanpa mengira siapa wakil rakyat kawasan tersebut,” katanya.
Mazliwati juga menekankan bahawa sebagai wakil rakyat yang dipilih, beliau akan mengangkat sumpah di hadapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri, sebagai ikrar komitmen untuk berkhidmat sepenuhnya kepada kawasan Lamag.
“Kami mempunyai kawalan dan tanggungjawab untuk memastikan urusan di kawasan ini berjalan dengan betul demi kepentingan rakyat,” katanya.
Menyentuh mengenai Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mazliwati menjelaskan bahawa sebagai wakil rakyat pembangkang, beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat pelantikan baharu.
Namun, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengekalkan status quo dan bersedia bekerjasama rapat dengan mereka demi kesejahteraan komuniti setempat.
Dalam pada itu, Mazliwati menegaskan tekadnya untuk membawa perubahan di Kinabatangan, khususnya di Lamag, selepas kawasan itu sekian lama diperintah oleh parti berasaskan Semenanjung namun masih dibelenggu pelbagai aduan rakyat.
“Sudah tiba masanya untuk perubahan ke arah yang lebih baik,” katanya.
Menjelang minggu terakhir kempen sebelum hari pengundian pada 24 Januari ini, Mazliwati kini giat mendekati seramai mungkin pengundi dan masyarakat setempat, sambil menggesa semua pengundi agar keluar menunaikan tanggungjawab mereka demi masa depan Lamag.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Masidi terima kunjungan hormat dari Conoco Phillips
Januari 20, 2026, Selasa - 9:55am

ALBUM: Masidi (tiga kiri) merakamkan gambar bersama semasa kunjungan itu.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, menerima kunjungan hormat daripada delegasi syarikat tenaga multinasional dari Amerika Syarikat (AS), Conoco Phillips, di pejabatnya, kelmarin.
Kunjungan hormat yang diketuai oleh Presiden Conoco Phillips Malaysia, Connor Dunn adalah bagi bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta membincangkan perkembangan semasa dan potensi kerjasama strategik dalam sektor minyak dan gas, khususnya melibatkan operasi serta pelaburan Conoco Phillips di Sabah.
Dalam pertemuan berkenaan, Masidi telah diberi taklimat mengenai hala tuju dan perancangan syarikat, termasuk aspek keselamatan operasi, pematuhan peraturan, kelestarian alam sekitar serta komitmen Conoco Phillips terhadap pembangunan industri tenaga yang mampan.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan pemain industri tenaga bagi memastikan sektor ini terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta memberi manfaat berterusan kepada rakyat Sabah.
Kunjungan hormat ini mencerminkan hubungan baik yang terjalin antara kerajaan negeri dan Conoco Phillips serta komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik demi pembangunan sektor tenaga yang berdaya saing dan mampan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jambatan Kampung Quop siap dibina semula, mudahkan pergerakan penduduk
Januari 19, 2026, Isnin - 4:12pm

Hamzah melihat sendiri dengan lebih dekat keadaan Jambatan Quop yag telah siap dibina dan selamat digunakan oleh penduduk dari kawasan sekitar.
KUCHING: Keprihatinan terhadap keselamatan dan kebajikan penduduk luar bandar terus menjadi keutamaan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim mengadakan lawatan ke Jambatan Kampung Quop yang sebelum ini runtuh pada September 2023.
Jambatan tersebut runtuh akibat beban berlebihan sebuah lori sarat muatan menjejaskan laluan utama penduduk kampung berkenaan.
Namun hasil kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat, jambatan berkenaan kini telah siap dibina semula dan kembali digunakan oleh penduduk sejak awal Januari tahun ini.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), lawatan berkenaan adalah bertujuan meninjau keadaan semasa jambatan yang merupakan nadi perhubungan utama penduduk itu.
“Pembinaan semula berjaya disiapkan melalui penglibatan pelbagai pihak termasuk sumbangan sektor swasta serta semangat gotong-royong komuniti setempat,” tambahnya.
Menurut Hamzah, kejadian runtuhan jambatan sebelum ini telah memberi kesan besar terhadap pergerakan harian penduduk, terutama melibatkan urusan persekolahan, kegiatan ekonomi dan situasi kecemasan, sekali gus menuntut tindakan segera demi keselamatan rakyat.
“Usaha membaik pulih dan membina semula jambatan tersebut dapat direalisasikan menerusi sumbangan sebanyak RM50,000 daripada sebuah syarikat swasta, selain penglibatan aktif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Quop Dayak yang berganding bahu melaksanakan kerja-kerja gotong-royong.
“Ini membuktikan bahawa apabila kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat bekerjasama, sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.
“Jambatan ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi merupakan talian hayat penduduk kampung,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya penduduk Kampung Quop Dayak yang sanggup menyumbang tenaga dan masa bagi memastikan kemudahan asas itu dapat digunakan semula oleh orang ramai.
Lawatan itu turut disertai Setiausaha Politik Premier Sarawak Afiq Fikri Brahim serta Ketua Kampung Quop Bonita Andrew, yang bersama-sama menyatakan komitmen berterusan untuk memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar terus diberi keutamaan.
Hamzah pada masa yang sama, menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus memantau keperluan infrastruktur di kawasan Stakan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk, selaras dengan agenda pembangunan seimbang yang menitikberatkan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi.
Siapnya pembinaan semula Jambatan Kampung Quop menjadi bukti kejayaan pendekatan kerjasama strategik antara pemimpin, komuniti dan sektor swasta dalam merealisasikan pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Chieng berdialog dengan barisan kepimpinan JCI Sarawak
Januari 19, 2026, Isnin - 4:14pm

Chieng (duduk tiga kiri) bersama ahli JCI semalam.
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng semalam mengadakan sesi dialog bersama barisan kepimpinan Junior Chamber International Malaysia (JCI) Kawasan Sarawak yang terdiri daripada sekumpulan belia yang penuh semangat dan idealisme.
Pada pertemuan itu, Chieng turut mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalaman serta pembelajarannya sepanjang terlibat dalam JCI.
“JCI adalah sebuah pertubuhan pembangunan kepimpinan belia bukan berasaskan keuntungan di peringkat global untuk golongan berusia 18 hingga 40 tahun.
“Pertubuhan ini memberi fokus kepada projek dalam bidang perniagaan, komuniti, kerjasama antarabangsa dan pembangunan peribadi,” katanya.
Menurutnya, JCI merupakan sebuah platform yang turut berperanan memupuk masyarakat aktif di lebih 100 negara.
Beliau berharap golongan belia dapat terus meneroka potensi diri melalui penglibatan dalam JCI.
“Dalam pertemuan tersebut, Pengerusi JCI Sarawak telah berkongsi pelan tindakan tahun ini serta perancangan beberapa aktiviti utama yang bakal dilaksanakan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiang ikrar realisasikan pusat konvensyen antarabangsa lebih berprestij di Sibu
Januari 19, 2026, Isnin - 4:53pm

Tiang (sembilan kanan) diapit Lau (di sebelah kirinya) dan Leng bersama barisan ahli lembaga pengarah yang baharu dilantik pada majlis tersebut semalam.
SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berikrar untuk terus memperjuangkan pembinaan pusat konvensyen antarabangsa yang lebih berprestij untuk Sibu.
Menyifatkan perkara itu sebagai salah satu visinya, Tiang berkata kemudahan yang dicadangkan itu sebaiknya dibina dengan pemandangan menghadap Batang Rajang yang megah.
Beliau menambah, kemudahan sedemikian akan melengkapkan lokasi sedia ada serta memperkukuh keupayaan Sibu dalam menganjurkan konvensyen peringkat kebangsaan dan antarabangsa di bawah satu bumbung.
“Sebagai timbalan menteri dari Sibu, saya akan terus berjuang untuk sebuah pusat konvensyen antarabangsa yang lebih berprestij dan bertaraf tinggi di tepi sungai menghadap Batang Rajang seperti Hotel Kingwood.
“Itu adalah salah satu visi saya dan saya percaya kita mampu merealisasikannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemasangan dan Jamuan Anugerah Ke-69 Junior Chamber International (JCI) Sibu di sini, semalam.
“Saya telah melihat beberapa cadangan reka bentuk seni bina yang dikemukakan.
"Kesemuanya sangat mengagumkan,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa JCI Sibu supaya bersiap sedia untuk menganjurkan acara yang lebih besar pada masa akan datang.
Menyentuh tema acara 'Memperkasa', Tiang menekankan usaha Sarawak dalam memperkasakan golongan belia, dengan merujuk inisiatif pendidikan tinggi percuma untuk rakyat Sarawak yang melanjutkan pelajaran di universiti milik kerajaan negeri sebagai satu langkah bersejarah di rantau ini.
“Setiap rakyat Sarawak adalah sama dan Sarawak bersedia memberi peluang pendidikan tinggi kepada setiap rakyatnya,” katanya.
Dalam aspek pemerkasaan juga, beliau berkongsi pengalamannya dalam perkhidmatan awam bersama ahli JCI Sibu sambil mengakui bahawa projek pembangunan sering menerima kritikan semasa pelaksanaannya, namun menegaskan kepentingan untuk kekal fokus terhadap manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Beliau menyebut projek seperti menaik taraf jalan, membina jalan baharu dan melebarkan jalan sebagai antara usaha yang menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya.
“Percaya atau tidak, hampir setiap hari saya melihat orang memarahi saya, komen negatif di media sosial.
“Orang bertanya, mengapa tidak buat lebih awal? Mengapa tidak buat lebih cepat? Mengapa tidak buat pada hari cerah? Mengapa pada hari hujan? Perkara-perkara seperti ini.
“Tetapi saya selalu memberitahu pasukan saya bahawa jika kita percaya apa yang kita lakukan adalah betul untuk rakyat, matlamat akhirnya akan memberi manfaat kepada semua.
"Untuk fasa baharu ini, jangan risau tentang prosesnya,” katanya.
Antara perkara lain, Tiang menyatakan bahawa kekuatan sebenar JCI Sibu bukan terletak pada jumlah acara yang dianjurkan, tetapi pada barisan pemimpin yang telah dilahirkan sepanjang tahun-tahun lalu, ramai antara mereka kini menjadi tokoh yang dihormati dalam masyarakat.
Terdahulu Tiang turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Pakatan Persahabatan antara JCI Sibu dan JCI Malacca City Entrepreneur, selain kerjasama antara JCI Malaysia dan Hotel Kingwood sebagai venue rasmi Konvensyen Kebangsaan 2026 serta JCI Malaysia dan JCI Sibu sebagai organisasi tuan rumah tempatan bagi konvensyen tersebut.
Sementara itu, Presiden Kebangsaan JCI Senator Vincent Leng berkata, JCI Malaysia pada tahun 2026 dengan tema 'Kuasa Satu' akan berusaha menyatukan ahli di seluruh negara dengan memperkukuh penglibatan, pembangunan dan pengambilan ahli.
Presiden Tempatan JCI Sibu ke-69 Elden Lau pula menyatakan, sepanjang 69 tahun yang lalu JCI Sibu telah menjadi simbol kepimpinan, khidmat masyarakat dan perubahan positif dalam komuniti.
“Dari generasi ke generasi, cawangan kami telah melahirkan pemimpin muda, memperkasakan individu dan menginspirasikan pelbagai usaha khidmat masyarakat,” katanya.
Pengerusi penganjur acara Bryan Ling turut hadir pada majlis tersebut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Rumah pekerja tapak pelupusan sampah musnah terbakar
Januari 19, 2026, Isnin - 5:45pm
SIBU: Tujuh pintu rumah pekerja musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Kemuyang di sini, hari ini.
Kebakaran melibatkan rumah pekerja jenis struktur tidak kekal itu berlaku sekitar jam 12.29 tengah hari sebelum pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Andy Alie berkata, jentera pertama digerakkan seminit selepas panggilan diterima dan tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 12.56 tengah hari selepas menempuh jarak sejauh 26 kilometer.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati tujuh pintu rumah pekerja berkeluasan keseluruhan kira-kira 10 meter x 30 meter sedang marak terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Andy berkata, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, operasi pemadaman dimulakan pada jam 12.58 tengah hari dengan menggunakan kaedah pemadaman secara defensif dari kedua-dua sisi kawasan kebakaran.
“Pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan dua muncung dari jentera FRT di sebelah kanan serta satu aliran 100 kaki dengan satu muncung dari jentera CFRT di sebelah kiri,” jelasnya.
Katanya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.06 petang sebelum kerja-kerja penilaian dan pemantauan keselamatan dijalankan.
Anggota bomba menjalankan operasi pemadaman secara defensif dalam keadaan berasap tebal, berdepan kekangan sumber air dan liputan komunikasi di lokasi kejadian.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 2.28 petang dan pasukan bomba beredar dari lokasi dua minit kemudian selepas memasang sawar-sawar keselamatan serta melekatkan borang ambil milik premis.
Beberapa anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan dengan sokongan jentera FRT, CFRT serta sebuah kenderaan EMRS.
Andy berkata, operasi turut berdepan beberapa kekangan termasuk ketiadaan liputan GIRN dan NG999 selain masalah sumber air apabila pasukan terpaksa mengisi air dari pili sejauh kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan anggaran kerugian keseluruhan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Cek pampasan lebih RM4 juta bagi Projek Peninggian Jalan Musi–Buso telah diagih
Januari 19, 2026, Isnin - 6:22pm

Henry (depan, enam kanan) bergambar bersama para pemilik tanah selepas penyerahan cek pampasan.
BAU: Cek pampasan berjumlah lebih RM4 juta bagi fasa pertama Projek Peninggian Jalan Musi–Buso telah diagihkan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu berkata, jumlah keseluruhan pampasan bagi projek tersebut melebihi RM11 juta dan beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) atas pengeluaran cek pampasan berkenaan.
“Baki kira-kira RM7 juta lagi akan diserahkan kepada pemilik tanah yang terlibat dan dijangka dapat diagihkan sebelum Tahun Baharu Cina.
“Saya juga yakin JTS dapat menyiapkan pengeluaran cek tersebut selewat-lewatnya pada 17 Februari,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para pemilik tanah atas sokongan padu yang diberikan, sambil menyatakan bahawa walaupun pampasan belum dibayar pada peringkat awal, mereka tidak teragak-agak untuk memberi kerjasama sehingga membolehkan projek dimulakan lebih awal.
“Penduduk mahukan pembangunan dan sanggup menyerahkan tanah mereka terlebih dahulu. Ini merupakan satu situasi yang sangat positif, khususnya untuk pembangunan kawasan luar bandar,” katanya.
Henry turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan memberi jaminan bahawa semua bayaran pampasan akan disalurkan sepenuhnya.
“Projek ini akan dilaksanakan dengan teliti serta dipantau rapi bagi memastikan ia siap dalam tempoh yang ditetapkan.
“Projek ini melibatkan pembinaan jalan dua lorong satu hala, yang bermula pada Disember tahun lalu dan dijangka mengambil masa dua tahun atau lebih untuk disiapkan,” katanya.
Pada majlis penyerahan cek pampasan di Balai Raya Musi di sini hari ini, Henry turut berkata lebih 150 lot tanah terlibat dalam projek berkenaan.
Bagi fasa pertama, seramai 78 pemilik tanah terlibat dengan sebanyak 88 cek pampasan telah dikeluarkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan Bau kini mengalami kesesakan lalu lintas, menyebabkan pengguna jalan raya perlu melalui kawasan Central Rise untuk ke Batu Kawa dan Kuching.
“Apabila jalan ini siap kelak, produktiviti dan tahap perhubungan akan bertambah baik dengan ketara. Pembangunan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan akhirnya akan berlaku, sama ada untuk tujuan perumahan, komersial atau perindustrian,” katanya.
Mengulas mengenai situasi banjir baru-baru ini, beliau berkata banjir pada tahun ini tidak seteruk tahun-tahun sebelumnya, sambil menambah bahawa pelbagai pihak terlibat secara langsung di lapangan semasa kejadian banjir yang melanda kawasan Bau.
Antara yang hadir semasa pengagihan cek pampasan ialah Penguasa Bahagian Kuching JTS Awang Nazri Awang Saperi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Percepat projek mitigasi banjir Zon B, Sungai Lutong
Januari 19, 2026, Isnin - 6:25pm
Ia bagi tamatkan banjir berulang yang terus himpit penduduk kawasan rendah sekitar Lutong

Ting (empat kiri) menerima nota taklimat berhubung mitigasi banjir bagi beberapa kawasan di Miri daripada Henry semalam sambil disaksikan pegawainya yang lain.
MIRI: Projek mitigasi banjir Zon B, Sungai Lutong perlu dipercepatkan bagi menamatkan masalah banjir berulang yang terus menghimpit penduduk di kawasan rendah sekitar Lutong dan beberapa lokaliti berhampiran.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting berkata, isu berkenaan akan dibawa ke peringkat Kabinet Sarawak bagi mendapatkan kelulusan peruntukan serta memastikan penyaluran dana dapat dibuat lebih awal supaya pelaksanaan projek tidak terus tertangguh.
Menurut Ting, kejadian banjir yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini telah menyebabkan kerugian harta benda dan menjejaskan kehidupan harian penduduk, sekali gus menuntut tindakan penyelesaian yang menyeluruh dan segera.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Jurutera Bahagian baharu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Miri Henry Tuah, bersama para pegawai jabatan itu di pejabatnya di sini, hari ini bagi membincangkan insiden banjir terkini serta meneliti status beberapa projek mitigasi banjir yang sedang dirancang.
Mengulas lanjut Ting berkata, projek mitigasi banjir Zon B Sungai Lutong melibatkan pembinaan kolam takungan serta kerja penaiktarafan sistem perparitan dalam kawasan tadahan Sungai Lutong B.
Kawasan terlibat merangkumi beberapa sub tadahan utama termasuk SK Lutong, Kampung Sealine, Kampung Senadin Jaya, Terminal Minyak Mentah Miri (MCOT) dan Desa Senadin.
JPS katanya, memaklumkan bahawa projek berkenaan dijangka dibuka untuk tender dalam tahun ini dengan tempoh pelaksanaan dianggarkan selama 60 bulan.
Ting turut menegaskan, kesan perubahan iklim yang menyebabkan hujan lebat melampau dan banjir kilat semakin kerap tidak boleh lagi dipandang ringan, terutama apabila beberapa kawasan rendah di Piasau berulang kali dilanda banjir dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
“Masalah banjir ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Projek ini perlu dilaksanakan dengan segera sebaik sahaja semua kelulusan diperoleh,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Ting turut dimaklumkan mengenai beberapa inisiatif perlindungan pantai di Miri di bawah peruntukan persekutuan, melibatkan lima projek dengan jumlah kos anggaran RM50 juta.
Antaranya ialah projek perlindungan Pantai Lutong yang merangkumi kerja penambakan pantai sepanjang 1.45 kilometer serta pembinaan benteng tanah sepanjang dua kilometer.
Turut dicadangkan ialah projek revetmen batu di Pantai Kampung Bungai, Pantai Peliau Bungai dan Kampung Kuala Sibuti, masing-masing sepanjang satu kilometer, selain fasa kedua projek Pantai Bakam meliputi jarak 0.40 kilometer.
JPS turut memaklumkan bahawa iklan prakelayakan bagi projek-projek tersebut telah ditutup pada 8 Januari lalu dan beberapa daripadanya kini berada pada pelbagai peringkat penilaian.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ling puji keprihatinan Chiew atas saranan pendekatan mesra penjaja
Januari 19, 2026, Isnin - 6:30pm

MIRI: Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak Alan Ling (gambar) memuji keprihatinan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man yang tampil membantu penjaja buah-buahan bermusim di bandar raya ini susulan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan.
Ling berkata, tindakan Chiew yang mendengar keluhan penjaja kecil membuktikan pendekatan berhemah dan berperikemanusiaan lebih wajar diambil, khususnya terhadap peniaga yang bergantung kepada jualan buah-buahan bermusim seperti durian bagi menyara keluarga.
Menurut beliau, Chiew telah menyumbangkan sebulan gajinya bagi menyediakan 20 lot khas kepada penjaja durian tempatan di kawasan Emart Tudan sehingga hujung Januari ini sebagai langkah meringankan beban mereka.
“Ini satu contoh kepimpinan yang prihatin.
"Penjaja hanya mahu mencari rezeki secara jujur, justeru pendekatan membantu adalah lebih sesuai berbanding penguatkuasaan semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Ling menyeru penjaja kecil yang terjejas agar hadir ke Pejabat Parlimen Miri berhampiran GK Supermarket Pujut bagi mendaftar untuk mendapatkan lot jualan yang disediakan.
Dalam pada itu, beliau membandingkan pendekatan tersebut dengan tindakan Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang disifatkan kurang proaktif, sedangkan pihak berkuasa tempatan mempunyai sumber, kemudahan serta tapak awam di bawah seliaan mereka yang boleh dimanfaatkan sebagai tapak jualan sementara sempena musim buah-buahan.
“Pihak majlis seharusnya tampil dengan inisiatif sendiri bagi menyediakan penyelesaian yang menang-menang, bukan sekadar melaksanakan sitaan,” ujarnya.
Ling turut memaklumkan beliau menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan berhubung buah-buahan disita yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah begitu sahaja dan menyifatkannya sebagai satu pembaziran.
“Kita sering menggalakkan industri pertanian tempatan, namun rampasan dan sitaan tidak menyelesaikan masalah.
"Jika benar-benar prihatin, pihak berkuasa tempatan sepatutnya mempromosikan buah-buahan tempatan kepada orang ramai dan pelancong, bukan melupuskannya,” ujar beliau.
Ling juga menyatakan simpati terhadap emosi dan kekecewaan penjaja yang diluahkan menerusi media sosial, sambil memberi jaminan akan bekerjasama rapat dengan Pejabat Parlimen Miri bagi membantu mereka.
“Saya akan mencadangkan kepada Chiew agar inisiatif pembukaan lot jualan ini diteruskan pada setiap musim buah-buahan pada tahun-tahun akan datang, selagi pihak majlis belum mempunyai pelan penyelesaian yang menyeluruh,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bantuan banjir disalurkan kepada 626 mangsa banjir di Tatau
Januari 19, 2026, Isnin - 7:09pm

Pegawai JKM bersama-sama agensi berkaitan menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk di kawasan terjejas banjir di daerah Tatau semalam.
BINTULU: Seramai 626 mangsa terjejas banjir di daerah Tatau khususnya yang terputus hubungan di kawasan Kelebu, Kakus dan Penyarai menerima bantuan makanan semalam.
Operasi yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu melibatkan penghantaran bantuan ke rumah panjang serta kemudahan awam yang terjejas akibat keadaan laluan darat yang tidak dapat dilalui.
Bagi kawasan Kelebu/Kakus, bantuan disalurkan kepada 209 penduduk dari lapan rumah panjang manakala di kawasan Penyarai, seramai 417 penduduk menerima bantuan meliputi penduduk lapan rumah panjang, warga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Penyarai serta petugas di Klinik Kesihatan Kakus.
Penghantaran bantuan dilaksanakan dengan menggunakan empat buah bot melalui laluan sungai yang masing-masing dikendalikan Pejabat Pendidikan Tatau Sebauh (PPDTS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Bagi melancarkan lagi operasi, 25 petugas daripada pelbagai jabatan agensi berkaitan turut membantu.
Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Tatau Raden Azamry Raden Perhan selaku penyelaras penghantaran bantuan merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada semua agensi terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan, sekali gus memastikan bantuan makanan dapat disampaikan dengan selamat dan lancar kepada 626 penduduk yang terjejas.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Hari Keluarga JTS Bintulu berlangsung meriah
Januari 19, 2026, Isnin - 7:11pm

Iskandar sejurus melakukan simbolik perasmian Hari Keluarga JTS Bintulu pada Sabtu lepas.
BINTULU: Hari Keluarga Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dilihat sebagai platform terbaik bagi merapatkan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga warga kerjanya, kata Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jepak Iskandar Turkee.
Menurutnya, program sebegini bukan sahaja membolehkan setiap ahli keluarga melakukan aktiviti bersama-sama, namun apa yang penting sekali ialah warga JTS saling mengenali dan berinteraksi sesama sendiri sebagai sebuah keluarga yang besar.
"Maksudnya di sini ialah jalinan serta perkaitan erat antara sesama kakitangan dan ahli keluarga masing-masing dan seluruh warga JTS secara keseluruhannya akan memastikan institusi kekeluargaan akan terus utuh seimbang dengan kerja," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Hari Keluarga JTS Bintulu pada Sabtu lalu.
Iskandar menyifatkan hari keluarga dianjurkan dengan jaya dan meriah kerana semua warga kerja dan keluarga mereka saling bekerjasama bagi menjayakan setiap aktiviti atau pengisian program yang dirancang.
"Suasana sebeginilah yang kita semua mahu lihat yang mana ia berlangsung dengan meriah serta gelak tawa, jelas terasa semangat kekeluargaan yang cukup indah," jelasnya.
Program sedemikian katanya, sangat bermakna kerana bukan sahaja menghimpunkan warga jabatan bersama keluarga, malah mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kerjasama serta mengimbangi tuntutan kerja dengan kehidupan berkeluarga.
Beliau dalam ucapannya turut menzahirkan rasa penghargaan serta tahniah kepada pihak penganjur atas usaha serta komitmen yang ditunjukkan bagi menjayakan program tersebut.
Jelas terpancar kesungguhan demi kebajikan dan kesejahteraan semua warga JTS yang mana program sebegini harus diteruskan lagi pada masa akan datang serta menjadi kenangan manis buat seluruh ahli keluarga yang hadir.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Legasi Lau Hui Kang terus jadi panduan KTS Group selepas dua dekad
Januari 19, 2026, Isnin - 8:45pm

Henry ketika berucap sempena Majlis Memperingati 20 Tahun Pemergian Dato Sri Dr Lau Hui Kang di KTS Garden, hari ini. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Legasi prinsip, integriti dan sumbangan sosial mendiang Dato Sri Dr Lau Hui Kang masih terus menjadi panduan kukuh kepada hala tuju KTS Group, kata Pengarah Urusannya Dato Henry Lau Lee Kong.
"Pemergian mendiang Dato Sri Dr Lau Hui Kang pada tahun 2006 di Singapura akibat penyakit limfoma merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada dunia korporat dan masyarakat umum," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Memperingati 20 Tahun Pemergian Dato Sri Dr Lau Hui Kang di KTS Garden, hari ini.
Menurut beliau, walaupun mendiang berdepan penyakit serius sejak 1997, Lau Hui Kang kekal komited menjalankan tanggungjawabnya, hadir ke pejabat setiap hari serta aktif menguruskan hal ehwal syarikat dan kerja-kerja kebajikan sehingga ke akhir hayat.
“Beliau bukan sahaja seorang bapa kepada saya tetapi juga mentor, ketua dan guru sejak saya menyertai syarikat pada tahun 1981.
"Kehilangannya amat dirasai oleh seluruh keluarga besar KTS,” tambahnya.
Henry malah menambah, sepanjang 38 tahun menerajui KTS Group, mendiang memainkan peranan penting membentuk asas kukuh pertumbuhan syarikat melalui pembinaan pasukan pengurusan yang setia, lembaga pengarah yang bersepadu serta budaya kerja berteraskan kejujuran dan amanah.
Katanya, prinsip mendiang yang menekankan kejujuran mutlak, integriti, dedikasi dan keadilan telah membolehkan KTS berkembang dengan stabil melalui pelbagai cabaran dan perubahan zaman.
“Prinsip inilah yang terus kami pegang sehingga hari ini. KTS kini menghampiri ulang tahun ke-65 penubuhannya dan masih mengekalkan hubungan perniagaan jangka panjang yang berasaskan kepercayaan bersama,” ujarnya.
Beliau menambah, hubungan strategik KTS dengan rakan niaga seperti industri STIHL, Suzuki, sektor elektrik dan Shell yang menjangkau antara 40 hingga hampir 60 tahun membuktikan keberkesanan prinsip perniagaan yang diwariskan oleh mendiang.

Pengarah BLD Group Wan Abdullah Wan Hamid (lima kanan) menyampaikan replika cek kepada Richard (empat kiri) sambil disaksikan Henry (tengah) dan yang lain. - Gambar Roystein Emmor
Pada masa sama, mendiang mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi dan sentiasa menekankan bahawa menjalankan perniagaan adalah selari dengan membentuk keperibadian berintegriti, tidak menindas dan tidak mengambil kesempatan demi keuntungan sendiri.
Beliau turut memetik peribahasa Cina yang sering dijadikan pegangan mendiang, yang membawa maksud bahawa perbuatan baik akan membawa kebaikan, manakala kejahatan akhirnya memakan diri sendiri.
Henry turut menegaskan sumbangan besar Lau Hui Kang dalam bidang pendidikan, khususnya terhadap sekolah-sekolah menengah persendirian Cina di Sarawak yang kini diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang sosial.
Katanya, sumbangan tersebut terus diperkukuhkan oleh barisan dermawan dan pemimpin masyarakat, termasuk Temenggung Dato Vincent Lau dan Dato Richard Wee, yang meneruskan usaha murni mendiang.
Justeru, KTS Group memberi sumbangan bernilai RM1 juta kepada Penyampaian Sumbangan RM1 juta kepada Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Cina Persendirian Bersatu Sarawak.
Sebagai sokongan terhadap pendidikan Cina dan sebagai penghargaan atas dedikasi para pendidik, KTS Group mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM2 juta untuk diagihkan sebagai bonus satu bulan kepada para guru Sekolah Menengah Persendirian Cina di seluruh Sarawak.
Menyentuh tentang kelangsungan perniagaan keluarga, beliau menekankan kepentingan nilai kepercayaan, kesetiaan dan dedikasi dalam memastikan sesebuah organisasi dapat terus bertahan merentas generasi, tanpa terperangkap dalam konflik kepentingan keluarga.
“Keutuhan sesebuah perniagaan bukan hanya diukur melalui keuntungan tetapi keupayaan mengekalkan legasi, nilai dan tanggungjawab sosial untuk generasi akan datang,” jelas beliau.
Penganjuran majlis memperingati ini bukan sahaja bertujuan mengenang jasa Lau Hui Kang, tetapi juga sebagai peringatan kepada generasi muda agar terus membawa obor legasi serta menggalakkan lebih banyak syarikat korporat berganding bahu dengan NGO dalam usaha pendidikan, kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi KTS Holdings Sdn Bhd Lau Ngi Chong Datin Sri Wong Suk Ting serta ahli keluarga dan sanak-saudara mendiang Lau Hui Kang, Dato Sri Wong Soon Koh, Datin Sri Leong Poh Ling dan Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penjual burger ditangkap selepas mengaku miliki dadah jenis ganja
Januari 19, 2026, Isnin - 8:49pm
KOTA SAMARAHAN: Seorang penjual burger ditangkap selepas mengaku memiliki dadah jenis ganja yang disimpan di ruang penyimpanan barang di gerainya yang terletak di Oxford Park Avenue di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintenden Damataries Lautin berkata, suspek ditahan di pekarangan gerai burgernya sekitar jam 7.20 malam Ahad.
Menurutnya, suspek merupakan seorang lelaki berusia 41 tahun dan beralamat di Kulaijaya Johor, ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan di hadapan sebuah gerai burger.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di lokasi, polis menemui satu bekas berwarna hijau/putih dan setelah diperiksa di dalamnya mengandungi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 5.20 gram dengan anggaran nilai RM156.
Suspek juga katanya terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak awal tahun 2023 hingga sekarang.
“Suspek mengaku dadah tersebut miliknya untuk menagih di gerai Zul Burger, Oxford Park Avenue, (Kota Samarahan), milik suspek sendiri.
“Hasil siasatan, suspek memberitahu dadah tersebut diperoleh daripada seorang lelaki dengan nama panggilan ‘Abang’ ketika memancing ikan di sekitar kawasan Kuching.
“Suspek tidak membeli dadah tersebut sebaliknya diberi percuma. Ujian saringan awal polis terhadap suspek, dia didapati positif dadah jenis THC,” katanya dalam satu kenyataan.
Damataries memaklumkan BSJN IPD Kota Samarahan kini giat mengesan penama (Abang) dan risikan masih diteruskan.
Kes itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pastikan projek naik taraf infrastruktur mengambil kira aspek keselamatan awam: Pang
Januari 20, 2026, Selasa - 9:20am

Pang (tengah) merakamkan gambar bersama-sama agensi berkaitan sejurus selesai sesi dialog.
BINTULU: Setiap projek pembinaan dan kerja menaik taraf kemudahan awam harus sentiasa mengambil kira aspek keselesaan serta keselamatan orang awam, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang.
Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf prasarana dan infrastruktur awam perlu dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesukaran kepada orang awam.
"Hari ini (Isnin), saya telah mengadakan dua sesi dialog bersama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang dihadiri agensi kerajaan, kontraktor serta penduduk setempat, dengan tumpuan kepada projek menaik taraf infrastruktur utama yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian masyarakat," katanya.
Menurut Pang, dua projek pembinaan yang dibincangkan ialah projek pembinaan pembetung di hadapan Taman Ing Liing di Jalan Sibiyu serta kerja-kerja menaikkan aras jalan termasuk menaik taraf sistem perparitan Jalan Kasturi di kawasan Kuarters Persekutuan di sini.
Jelasnya, sesi dialog berkenaan secara tidak langsung membolehkan semua pihak duduk berbincang secara terbuka bagi menangani cabaran yang timbul semasa pelaksanaan projek, termasuk isu teknikal dan penyelarasan antara agensi.
"Dalam masa sama, suara orang awam termasuk aduan yang diterima turut diberi perhatian kerana ia melibatkan keselamatan pengguna laluan berkenaan setiap hari," ujarnya.
Mengulas projek pembinaan parit pembetungan di Jalan Sibiyu, Pang berkata kerja-kerja pembinaan yang terjejas sebelum ini berpunca daripada isu melibatkan utiliti awam.
Menurutnya, sekiranya semuanya berjalan lancar, Jalan Sibiyu dijangka dapat dibuka semula sebelum Tahun Baharu Cina dengan sistem perparitan yang lebih baik bagi membantu mengurangkan risiko banjir kilat.
"Bagi kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di Jalan Kasturi pula , walaupun ia penting bagi menyelesaikan masalah banjir yang telah lama berlaku, proses pembinaan telah menyebabkan beberapa kesulitan buat penduduk," jelasnya.
Tambah beliau, infrastruktur awam bukan sekadar melibatkan aspek pembinaan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi tanggungjawab, komunikasi berkesan serta kerjasama semua pihak bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
"Justeru, sesi dialog yang diadakan ini juga bertujuan memastikan semua suara didengari dan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wang ihsan diagih kepada 219 pemilik rumah terjejas projek pembetungan di Petra Jaya mengikut data JKKK
Januari 20, 2026, Selasa - 9:50am

KUCHING: Pengagihan wang ihsan kepada 219 pemilik rumah yang terjejas akibat projek pembetungan di kawasan Petra Jaya adalah berdasarkan penama pemilik rumah ketika data dikumpul oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) setelah peruntukan diluluskan sekitar Oktober 2022.
Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Ir Irwan Zulkarnain Dato Muhammad Hasbie, menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, pemberian wang ihsan berkenaan dapat direalisasikan selepas Datuk Amar Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, bukan sahaja telah menyuarakan isu berkenaan kepada Kerajaan Pusat.
Malah katanya, Fadillah telah membawa Perdana Menteri ke-9 Datuk Seri Ismail Sabri untuk melawat sendiri kediaman mangsa-mangsa terlibat di Kampung Tunku pada Oktober 2021.
Susulan lawatan berkenaan, tambahnya Ismail telah meluluskan peruntukan wang ihsan pada tahun berikutnya.
"Dalam isu seorang pengadu (seperti dilaporkan akhbar The Borneo Post pada 17 Januari 2026 yang telah berjumpa dengan Pengerusi DAP Sarawak) yang mendakwa belum menerima wang ihsan, Pusat Khidmat P.194 Petra Jaya ingin menjelaskan mengenai perkara sebenar yang berlaku.
"JKKK Kampung Tunku merupakan badan yang telah dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan butiran pemilik.
"JKKK telah pergi ke setiap rumah terlibat bagi mendapatkan butiran nama dan akaun bank bagi pembayaran wang ihsan berkenaan sebagaimana diperlukan oleh pihak Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) Sarawak sebagai prosedur pembayaran," jelas Zulkarnain.
Untuk rekod juga, pemilik asal rumah yang terjejas di kawasan berkenaan telah membuat tuntutan bagi mendapatkan pampasan sejak 2018 lagi daripada pihak kontraktor, katanya.
Jelasnya lanjut dalam isu berkenaan, pengadu telah membeli rumah daripada pemilik asal dengan proses pendaftaran disempurnakan pada 14 Disember 2022.
Manakala peruntukan wang ihsan untuk pemilik rumah yang terjejas, telah diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan pada Oktober 2022 disusuli proses pengumpulan butiran pemilik pemilik rumah terjejas oleh pihak JKKK.
"Difahamkan pengadu telah membeli rumah berkenaan tanpa mengetahui mengenai wang ihsan berkenaan, dengan penyempurnaan pertukaran nama rumah berlaku pada 14 Disember 2022.
"Ketika itu semua data penerima wang ihsan telah dikemukakan kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) untuk tujuan pengeluaran cek dengan cek telah diagihkan pada Januari 2023," ujarnya.
Zulkarnain berkata Pegawai Pusat Khidmat P.194 Petra Jaya juga sudah berjumpa dengan pengadu beberapa kali sejak 2023 untuk menjelaskan keadaan sebenar.
Pengadu pada ketika itu juga mengakui dan faham akan situasi sebenar, tambahnya.
Beliau memberitahu: "Pusat Khidmat hanya pemudah cara yang menyelaras peruntukan daripada Kerajaan Pusat, dengan JKKK membantu menyediakan dokumen berkaitan untuk dikemuka kepada SDO untuk urusan pengeluaran cek.
"Mengenai laporan polis yang disebut dibuat oleh pengadu pada 2024, semua pihak berkenaan termasuk daripada Pusat Khidmat, SDO dan JKKK juga sudah diambil keterangan oleh pihak polis pada tahun lalu, namun didapati tiada kes untuk diteruskan."
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Legasi 20 tahun Dato Sri Dr Lau Hui Kang dalam pembalakan dan pembangunan sosial terus dihargai
Januari 20, 2026, Selasa - 10:13am
KUCHING: Mendiang Dato Sri Dr Lau Hui Kang memainkan peranan penting dalam memajukan industri pembalakan dengan menekankan kawalan kendiri, kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh berkata usaha mendiang memberi impak besar kepada sektor pembalakan, komuniti Cina, dan pembangunan ekonomi Sarawak.
"Beliau bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk membina hubungan erat antara kerajaan, pemain industri, dan masyarakat, membantu membina imej profesional sektor perkayuan di sini serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperingati 20 Tahun Pemergian Dato Sri Dr Lau Hui Kang di KTS Garden pada Isnin.
Mendiang Dato Sri Dr Lau merupakan Presiden Persatuan Kayu-Kayan Sarawak selama 16 tahun dan sumbangan dan legasinya tetap dihargai serta menjadi inspirasi kepada semua, tambah Wong.
Mendiang merupakan Presiden Persatuan Kayu-Kayan Sarawak selama 16 tahun dan sumbangan serta legasinya tetap dihargai dan menjadi inspirasi kepada semua, tambah Wong.
Ujarnya, mendiang turut dikenali sebagai usahawan berdikari dengan visi yang luar biasa.
"Kejayaan beliau bukan sekadar nasib, tetapi hasil daripada ketabahan, integriti dan komitmen jangka panjang.
"Beliau percaya bahawa kejayaan sebenar harus dibina atas kepercayaan, tanggungjawab, dan prinsip yang kukuh, bukan sekadar keuntungan jangka pendek.
"Selepas mencapai kejayaan dalam industri pembalakan, Dr Lau mendorong diversifikasi ekonomi melalui pembangunan ladang, pertanian, pembuatan makanan dan industri hiliran berasaskan kayu.
"Usaha beliau membolehkan Sarawak turut menikmati hasil pembangunan ekonomi secara progresif, sambil menekankan kepentingan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian alam sekitar," katanya lagi.
Mendiang juga amat terkenal kerana sifat dermawan yang diamalkan secara senyap.
Beliau membantu masyarakat tanpa mengharapkan pengiktirafan, menjadikan filantropi sebagai tanggungjawab sepanjang hayat.
Nilai moral, belas kasihan dan kepimpinan beliau terus memberi inspirasi kepada keluarga dan masyarakat, membentuk generasi yang mengutamakan etika dan tanggungjawab sosial.
Melalui sumbangannya dalam pembangunan ekonomi, kebajikan sosial, pendidikan, dan keharmonian etnik, mendiang meninggalkan kesan positif yang berpanjangan kepada Sarawak dan Malaysia.
Pada masa sama, beliau menjadi contoh pemimpin yang mengutamakan tindakan untuk masyarakat dan membina negara dengan visi jelas, seiring dengan prinsip pembangunan lestari.
Wong turut menyeru masyarakat agar mengekalkan semangat dan nilai yang ditinggalkan mendiang, menjadikan legasi beliau hidup dalam generasi kini dan akan datang.
Legasi mendiang bukan sahaja diukur melalui kejayaan material, tetapi juga melalui kesan berpanjangan terhadap industri pembalakan, pembangunan ekonomi Sarawak, dan kesejahteraan sosial yang berterusan.
Majlis tersebut turut dihadiri ahli keluarga mendiang, pemimpin masyarakat, dan tetamu kehormat, yang bersama-sama mengenang jasa tokoh ternama ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki selamat, kereta dipandu musnah terbakar
Januari 20, 2026, Selasa - 10:49am
BINTULU: Seorang lelaki sempat keluar menyelamatkan diri setelah kereta yang dipandunya terbakar dalam kejadian di Jalan Tanjung Kidurong pagi tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.03 pagi.
"Sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlaku kebakaran yang membabitkan sebuah kereta yang musnah sepenuhnya," ujarnya dalam satu kenyataan.
Pasukan bomba turut difahamkan bahawa seorang lelaki berusia 45 tahun berada dalam kereta berkenaan, namun berjaya keluar menyelamatkan diri.
Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang memandu dari arah Bandar Bintulu menuju ke Tanjung Kidurong.
Katanya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal kebakaran dan api berjaya dipadam sepenuhnya sekitar jam 7.41 pagi.
Punca berlakunya kebakaran bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program Sayangi Lanang: Jualan Kombo MADANI dapat sambutan menggalakkan
Januari 20, 2026, Selasa - 11:06am

Setiausaha sulit kepada Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Stanley Chiew (kanan, barisan belakang) bersama merakam kenangan bersama pada program itu.
SIBU: Program Sayangi Lanang: Jualan Kombo MADANI yang diadakan di Pasar Raya Jumbo Grocer, Sibu Jaya baru-baru ini menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Program anjuran Pusat Khidmat P211 Ahli Parlimen Lanang Alice Lau itu bertujuan menyediakan barangan keperluan harian pada harga mampu milik kepada masyarakat.
“Sebanyak 200 pakej makanan ditawarkan, yang pada asalnya berharga RM30 setiap satu.
“Melalui inisiatif ini, pusat khidmat telah menyediakan subsidi bagi membolehkan orang ramai membelinya pada harga RM20 sahaja, sekali gus menjimatkan sehingga 30 peratus,” menurut kenyataan pusat khidmat itu pada Isnin.
Tambah kenyataan itu, setiap pakej makanan mengandungi beras berbungkus 5 kilogram, gula putih berbungkus 1 kilogram, minyak masak, biskut serta satu dulang telur (10 biji).
Pusat khidmat berkenaan merancang untuk meneruskan penganjuran program itu di pelbagai pasar raya dalam kawasan Parlimen Lanang, dengan matlamat membantu meringankan beban kewangan rakyat.
“Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Lau untuk menyokong masyarakat, membolehkan penduduk Sibu membeli barangan keperluan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
“Ia telah menerima sambutan positif daripada komuniti dan dilihat sebagai satu langkah berharga dalam membantu isi rumah mengurus perbelanjaan harian,” menurut kenyataan itu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Padah miliki syabu, lelaki didenda RM2,900
Januari 19, 2026, Isnin - 5:35pm
MIRI: Padah memiliki dadah berbahaya jenis syabu, seorang lelaki didenda RM2,900 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Ashok Linggam setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah, rayuan, fakta kes, keseriusan kes serta mengambil kira kepentingan awam.
Tertuduh, Winston Tingang, 24, dari Long Teran Kiri, Tinjar, Baram, didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa di bawah ADB 1952, didapati memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine (syabu) seberat 0.08 gram.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 petang, 23 Mei 2025 di hadapan sebuah bilik tidak bernombor di Jalan Desa Pujut, Bandar Baru Permyjaya di sini.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan ini adalah kesalahan pertamanya.
Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|