Pembedahan strok robotik pertama dunia
Edinburgh: Doktor dari Scotland dan Amerika Syarikat (AS) menyempurnakan prosedur strok pertama di dunia dengan menggunakan robot, lapor BBC. Seorang pakar, Prof Iris Grunwald dari Universiti Dundee di Scotland melakukan trombektomi jarak jauh pada mayat manusia yang didermakan untuk sains perubatan. Media melaporkan, profesor itu berada di Hospital Ninewells di Dundee, manakala mayat itu berada di fasiliti universiti. Beberapa jam kemudian, pakar neurosurgeri dari Florida, Ricardo Hanel, menjalankan pembedahan transatlantik pertama dari Jacksonville ke atas tubuh manusia di Dundee, lebih 6,400 km jauhnya. Pasukan itu menyifatkan prosedur ini sebagai potensi 'pengubah permainan', jika diluluskan untuk pesakit. Teknologi ini dijangka mengubah penjagaan strok kerana kelewatan rawatan pakar memberi kesan langsung kepada peluang pemulihan. Difahamkan, Universiti Dundee adalah pusat latihan global bagi World Federation for Interventional Stroke Treatment, dan satu-satunya tempat di United Kingdom (UK) di mana doktor boleh mayat dengan cecair bagi menyerupai darah manusia. Eksperimen itu juga menunjukkan robot boleh mengendalikan tiub perubatan dan wayar yang biasanya digunakan pakar, dengan doktor lain mengawalnya dari lokasi jauh secara masa nyata. Prosedur itu dijalankan menggunakan robotik dari syarikat Lithuania, Sentante dan ia adalah kali pertama dilakukan pada tubuh manusia sebenar. Dalam pada itu, Prof Grunwald berkata, rawatan trombektomi sangat sensitif masa, di mana setiap kelewatan enam minit mengurangkan satu peratus peluang hasil baik. Teknologi robotik ini membolehkan prosedur dijalankan tanpa bergantung pada lokasi pesakit, menyelamatkan masa berharga untuk otak yang sedang rosak. Sementara itu, Public Health Scotland melaporkan 9,625 strok iskemik tahun lepas, tetapi hanya 2.2 peratus pesakit menerima trombektomi. Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sentante, Edvardas Satkauskas berkata, kadang-kadang masa depan lebih dekat daripada yang difikirkan yang merujuk kepada kejayaan prosedur transatlantik ini.
Disiarkan pada: November 17, 2025
|