CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: mirza5

Berita di pahang hari ni..

[Copy link]
Post time 22-3-2008 07:26 AM | Show all posts
Felcra bakal majukan 5,000 hektar tanah baru

Oleh YUSRI SAHAT

KUANTAN 21 Mac - Felcra akan memajukan lebih 5,000 hektar tanah baru dengan tanaman kelapa sawit di enam daerah di negeri ini dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad, Md. Ghazali Abdul Karim berkata, enam daerah yang terlibat dalam projek tanaman kelapa sawit itu ialah Temerloh, Jerantut, Raub, Bentong, Maran dan Lipis.

Menurut beliau, pada tahun ini, seluas 2,000 hektar kawasan baru di Temerloh dan Raub akan dimajukan dengan tanaman tersebut.

''Seluas 3,000 hektar lagi akan dibangunkan secara berperingkat sehingga berakhirnya RMK-9," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli jawatankuasa kemajuan projek dan Lembaga Pengarah Koperasi Felcra Berhad di sini hari ini.

Md. Ghazali memberitahu, pihaknya juga mengenal pasti beberapa kawasan tanah terbiar untuk dimajukan dengan tanaman kelapa sawit.

''Kita bersedia untuk memajukan tanah terbiar kerana Felcra mempunyai kepakaran dalam sektor perladangan," jelasnya.

Selain itu, beliau meminta ahli-ahli Koperasi Felcra Berhad supaya terlibat dalam projek sampingan seperti ternakan lembu dan kambing di kawasan ladang mereka.

''Felcra mempunyai 46,000 hektar kawasan tanaman getah dan sawit yang juga boleh dijadikan kawasan ternakan lembu dan kambing," katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihati ahli-ahli koperasi supaya menternak lembu dan kambing di kawasan kelapa sawit yang berumur melebihi empat tahun bagi mengelakkan kemusnahan tanaman akibat diragut haiwan tersebut.

''Usaha-usaha ini dapat meningkatkan produktiviti petani sekali gus meningkatkan pendapatan koperasi yang boleh menyumbang kepada peningkatan dividen," katanya.

Beliau yakin dividen Koperasi Felcra Berhad dapat ditingkatkan berbanding tahun lalu berdasarkan prestasi harga sawit dan getah yang memberangsangkan di pasaran antarabangsa pada masa ini.

''Pada tahun lalu, Koperasi Felcra Berhad membayar sebanyak RM93 juta kepada 17,000 ahlinya dan kita berharap kadar itu dapat ditingkatkan lagi tahun ini," tambahnya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 22-3-2008 07:27 AM | Show all posts
Pahang lulus RM50 juta naik taraf jalan

Oleh ALI MAHMOOD

KUALA LIPIS 21 Mac - Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk menaik taraf jalan sepanjang 19 kilometer dari Kampung Bukit Kota Aur Gading ke Kampung Merapoh dekat sini yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamad berkata, apabila kerja-kerja menaik taraf jalan itu siap, ia akan memberikan kemudahan kepada 2,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, sebelum ini laluan tersebut yang merupakan jalan tanah merah sering menimbulkan masalah kepada penduduk kerana ia menjadi becak setiap kali musim hujan dan berdebu pada musim panas.

''Apabila siap, jalan tersebut akan dapat memendekkan perhubungan antara beberapa kampung sekitar Merapoh ke Kampung Bukit Kota dan Bandar Kuala Lipis yang hanya mengambil masa satu jam berbanding lebih dua jam pada masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Chegar Perah, Aur Gading dan Padang Tengku Lipis di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri sebelum ini membelanjakan sebanyak RM3.2 juta bagi menurap jalan itu dan tambahan peruntukan yang diluluskan awal bulan ini adalah untuk melebar, membina serta menaik taraf semula jalan tersebut untuk keselesaan penduduk.

Katanya, kerja-kerja menaik taraf jalan itu mengambil masa 18 bulan dan apabila siap, ia memberi kemudahan kepada penduduk kampung untuk berulang alik dan membawa keluar hasil ladang ke Merapoh dan Kuala Lipis.

''Sebelum adanya jalan ini penduduk terpaksa mengunakan kereta api dan laluan yang jauh untuk memasarkan hasil kampung ke bandar.

''Kira kira 90 peratus daripada 30 buah kampung di bawah 26 buah pentadbiran jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dalam Dewan Undangan Negeri Padang Tengku telah mempunyai pelbagai kemudahan asas termasuk bekalan air, elektrik, jalan, masjid, balai raya dan sekolah," katanya.

Tambah beliau, kerajaan membelanjakan RM7 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Kampung Chegar Perah membabitkan pembinaan klinik, sekolah, dewan, jalan ke perkampungan Orang Asli, bekalan air, elektrik dan dewan orang ramai.

Sehubungan itu, katanya, tuduhan pihak tertentu bahawa Kampung Chegar Perah tercicir daripada arus pembangunan tidak benar sama sekali.

Ini kerana, jelasnya, kerajaan merancang untuk melaksanakan beberapa pembangunan termasuk membina kilang simen, bijih besi dan kilang memproses pepejal kelapa sawit sebagai baja.
Reply

Use magic Report

Post time 23-3-2008 10:17 AM | Show all posts
RM48.7j bantu mangsa banjir di Pantai Timur

PEKAN 22 Mac - Kerajaan membelanjakan sebanyak RM48.7 juta untuk membantu mangsa bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur akhir tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar itu dijangka meningkat berikutan ramai lagi mangsa banjir belum menerima bantuan tersebut.

''Jumlah ini belum muktamad lagi sebab ada lagi bantuan yang kita sedang uruskan termasuk bantuan mangsa yang rumah mereka dinaiki air melebihi paras lima kaki," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada 480 peniaga daerah Pekan yang menjadi mangsa banjir di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Majlis itu merupakan program pertama yang dihadiri Najib selaku Ahli Parlimen Pekan selepas menewaskan pencabarnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dengan majoriti 26,464 undi pada pilihan raya umum lalu.

Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kerajaan tidak pernah memungkiri janjinya untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana alam.

''Kalau kita janji hendak bagi bantuan termasuk kepada pekedai-pekedai, kita tetap akan memberi bantuan," katanya.

Menurut beliau, penyaluran bantuan kepada mangsa banjir terhenti seketika berikutan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.

''Kita tidak dapat serahkan bantuan pada musim kempen kerana dituduh membeli undi. Jadi kita serahkan bantuan selepas pilihan raya," jelasnya.

Beliau berkata, sokongan yang diterima Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu membuktikan bahawa rakyat yakin kerajaan akan menunaikan janjinya.

''Penduduk Pekan yang paling teruk terjejas akibat banjir pada akhir tahun lalu menerima bantuan berjumlah lebih RM2.2 juta bagi meringankan beban," katanya.

Dalam pada itu, Najib mengucapkan terima kasih kepada pengundi Parlimen Pekan kerana memberikan sokongan kepadanya pada pilihan raya umum lalu.

''Saya berikrar akan menjalankan kerja sebagai wakil rakyat dengan sebaik-baiknya dan selepas diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai timbalannya, ini lebih memudahkan saya membela rakyat terutama masyarakat Pekan," katanya
Reply

Use magic Report

Post time 23-3-2008 10:18 AM | Show all posts
Gempa bumi kecil tidak jejaskan penduduk

KUANTAN 22 Mac - Jabatan Meteorologi memberi jaminan gempa bumi antara magnitud 2.0 hingga 3.2 skala Richter yang sering berlaku di Bukit Tinggi, Bentong tidak menjejaskan kehidupan dan harta benda penduduk di kawasan itu.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kuantan, Md. Kamsan Hamdan berkata, berdasarkan ukuran skala Richter, gegaran yang disebabkan pelepasan tenaga dari perut bumi itu hanya dikelaskan sebagai gempa bumi kecil.

''Ini termasuk tiga gempa bumi kecil antara 2.0 dan 3.2 pada skala Richter yang dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik pada 15 Mac lalu," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Siri gegaran di Bukit Tinggi dan Janda Baik di Bentong bermula sejak gempa bumi kecil pertama bermagnitud 3.5 pada skala Richter pada 30 November tahun lalu.

Sehingga kini, sebanyak 21 gegaran dikesan di sekitar kawasan itu, menyebabkan penduduk bimbang akan keselamatan mereka.

Md. Kamsan berkata, sejak gegaran direkod pada akhir tahun lalu, Jabatan Meteorologi membina stesen seismik bagi memantau keadaan sekiranya gempa bumi berlaku lagi di kawasan tersebut.

''Dengan kewujudan stesen ini, kita dapat lakukan pemantauan 24 jam, malah setiap kali ada gegaran, saya juga mendapat makluman menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Jelas beliau, penduduk juga tidak perlu bimbang kerana gegaran kecil yang kerap berlaku itu tidak akan mendatangkan gelonsoran tanah yang boleh menyebabkan tanah runtuh.

Ditanya sama ada gegaran itu membantutkan usaha pembangunan fizikal di Bukit Tinggi dan Janda Baik, beliau berkata, kebanyakan syarikat pemaju akan meminta khidmat nasihat daripada bahagian geofizik sekiranya ingin meneruskan pembinaan.

''Saya dimaklumkan, para pemaju juga telah diberi taklimat oleh pengarah seismologi berhubung perkara itu, pemaju perlu membina struktur bangunan yang lebih kukuh bagi mengurangkan risiko akibat gegaran," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya gegaran berlaku dengan lebih kerap dalam jangka masa panjang, ia mungkin memberikan kesan kepada orang ramai ekoran struktur tanah yang tidak stabil.

Jabatan Meteorologi juga, tambahnya, telah mengadakan sesi penerangan kepada penduduk berhubung situasi tersebut bagi membantu meningkatkan pengetahuan dan maklumat mereka.

''Rata-rata penduduk sudah diberi gambaran sebenar dan mereka kini boleh menjalani kehidupan mereka seperti biasa," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 23-3-2008 10:18 AM | Show all posts
Semangat patriotik kalangan belia perlu disuburkan

BERA 22 Mac
Reply

Use magic Report

Post time 23-3-2008 10:20 AM | Show all posts
Alam Flora diminta tukar kontraktor

Oleh: ALI MAHMOOD


SAIFUDDIN Abdullah (kiri), Mohd. Sharkar Shamsuddin, (dua dari kiri), Zulkifli Yaakob (tengah) dan Chuah Boon Seong melihat longgokan sampah yang tidak dipungut oleh kontraktor sejak beberapa hari lalu di Taman Rimba, Mentakab, kelmarin.

TEMERLOH 22 Mac
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 24-3-2008 07:38 AM | Show all posts
Ahli UMNO diingat jangan mengalah

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

BERA 23 Mac - Ahli UMNO diingatkan supaya tidak mudah mengalah sebaliknya menyusun semula strategi bagi mengatasi sebarang kelemahan yang wujud selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Ketua UMNO Bahagian Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap ahli parti itu harus bersatu menyusun langkah sambil mengekalkan semangat setia kawan yang dapat memberi kekuatan untuk memulihkan kepercayaan rakyat.

''Semangat setia kawan dalam menjayakan visi dan misi parti amat penting kerana melalui perpaduan, ia memudahkan usaha mencapai matlamat perjuangan.

''Jika semangat setia kawan longgar atau terlalu mudah dipengaruhi pihak lain, ia akan memberi kesan buruk terhadap survival bangsa dan negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan kesyukuran kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di Bangunan UMNO Bera di sini hari ini.

Ismail yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, setiap ahli UMNO harus menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu dengan rasional kerana ia adalah pilihan rakyat.

Bagaimanapun, jelasnya, setiap ahli perlu memastikan UMNO mendapat kepercayaan rakyat pada pilihan raya yang akan datang dalam tempoh empat atau lima tahun lagi.

''Sebagai parti bermaruah, kita tidak mahu UMNO senasib dengan parti ternama luar negara seperti Golkar di Indonesia dan Parti Kongres di India," tegasnya yang merupakan.

Sehubungan itu, jelasnya, setiap ahli perlu mendekati rakyat bagi mengembalikan semula keyakinan mereka kepada UMNO.

''Ahli UMNO di semua peringkat perlu memainkan peranan masing-masing mendekati masyarakat melalui pendekatan berhemah dan mesra supaya mereka kembali bersama kerajaan,'' katanya.

Ismail yakin UMNO masih relevan selepas membuktikan keupayaannya memerintah negara lebih 50 tahun.

''Jasa UMNO dan BN kepada rakyat khususnya Melayu amat besar yang tidak boleh dinafikan begitu sahaja setelah melihat kemajuan hidup mereka," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2008 07:39 AM | Show all posts
MBNP ikrar bantu Ismail Sabri

BANDAR JENGKA 23 Mac - Gabungan Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) berikrar memberi komitmen dan sokongan padu kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Presiden MBNP, Datuk Abdullah Abu Bakar menyifatkan pemilihan Ismail Sabri sebagai menteri dalam Kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menepati aspirasi generasi muda di negara ini.

Beliau berkata, Ismail Sabri yang banyak terbabit dalam aktiviti belia terutama mengetuai Biro Belia Pergerakan Pemuda UMNO, banyak memberi input kepada belia untuk mengangkat martabat golongan itu.

''Kami amat yakin dengan kewibawaan Ahli Parlimen Bera itu untuk membawa satu lonjakan kepada generasi muda agar lebih bersikap patriotik, berilmu dan bersyukur," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri mengumumkan barisan baru Kabinet dengan meletakkan beberapa muka baru termasuk Ismail Sabri sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Abdullah yang juga Timbalan Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) mengakui pelantikan Ismail Sabri sebagai menteri memberi inspirasi kepada persatuan belia negeri ini untuk bergerak lebih aktif.

Anggota Exco MBNP, Mahadi Daud, turut menyambut baik pelantikan Ismail Sabri dalam barisan Kabinet baru itu bagi mengepalai sebuah kementerian yang dianggap penting kepada negara.

Mahadi yang juga Setiausaha Majlis Belia Daerah Maran berpendapat, menteri baru itu berupaya memberi nafas baru terhadap usaha memperkasakan persatuan belia seperti mengimbangi pembangunan belia dan sukan.

Beliau berkata, pelantikan Ismail Sabri itu sangat menggembirakan kerana golongan belia diberi tempat dalam politik arus perdana.

Setiausaha MBFP, Suhaimi Tan, turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memilih ramai tokoh muda menjawat menteri dan timbalan menteri dalam barisan Kabinet.

Selain Ismail Sabri, katanya, wakil dari Pahang yang lain ialah Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Bentong, Datuk Liow Tiong Lai dan Ahli Parlimen Raub, Datuk Dr. Ng Yen Yen.

''Melalui gabungan barisan pemimpin veteran dan muda itu akan mendorong generasi muda akan lebih tertarik dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana ada suara yang mewakili mereka,'' katanya.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Bera, Mohd. Jidi Yaakob, amat berbangga kerana Ismail Sabri terpilih menerajui Menteri Belia dan Sukan kerana bersesuaian dengan sejarah kerjaya beliau dalam pertubuhan belia.

Katanya, Ismail mempunyai karisma yang hebat dan mempunyai visi dan misi untuk memartabatkan maruah generasi belia dan kecemerlangan sukan di negara ini sejajar dengan kemajuan sukan antarabangsa.

Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Jengka, Abdul Rahman Basri, turut mengakui amat teruja apabila mendapati ramai pemimpin muda diberi tempat untuk membuktikan kebolehan mereka di peringkat nasional.

Katanya, pemimpin yang dipilih adalah tepat kerana sebelum ini mereka turut terbabit secara langsung dalam menguruskan organisasi belia dan menganjurkan program golongan berkenaan.

Misalnya, beliau menambah, Saifuddin dikenali sebagai aktivis belia dan pernah menjawat Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) sebelum diambil alih oleh Datuk Seri Mohamad Khir Toyo.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-3-2008 07:39 AM | Show all posts
MPT digesa segerakan kajian tanah runtuh

Oleh Ali Mahmood

MENTAKAB 23 Mac - Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) digesa mempercepatkan hasil kajian tanah runtuh yang berlaku di Taman KSM di sini akhir tahun lalu bagi mengelakkan nyawa penduduk dan keselamatan rumah di kawasan itu terus terancam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Chuah Boon Seong berkata, MPT perlu menyiapkan segera laporan terperinci mengenai kesan tanah runtuh itu untuk dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mendapatkan sejumlah peruntukan bertujuan membina benteng penahan hakisan daripada terus berlaku.

Menerusi peruntukan itu, kata beliau, MPT dapat melakukan kerja-kerja membaik pulih bagi menahan tanah di kawasan itu daripada terus terhakis memandangkan musim hujan sejak akhir-akhir ini.

''Memandangkan sekarang musim hujan dan keadaan tanah runtuh semakin kritikal, kerja-kerja membaik pulih memerlukan peruntukan yang lebih besar agar hakisan tanah tidak berlaku lagi pada masa depan dan penduduk tidak hidup dalam kebimbangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke kawasan tanah runtuh di Taman KSM bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Temerloh selain ADUN Lanchang, Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Yang Dipertua MPT, Datuk Zulkifli Yaacob.

Menurut Boon Seong, sebelum ini, MPT memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja pembinaan teres namun jumlah itu tidak mencukupi memandangkan kesan runtuhan tanah yang sangat serius.

Katanya, MPT perlu mengkaji jumlah kos keseluruhan yang diperlukan untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih di kawasan tanah runtuh itu bagi mengatasi masalah tersebut secara menyeluruh.

Boon Seong turut meminta penduduk di taman perumahan itu bersabar sementara menunggu kerja-kerja membaik pulih dilakukan dan beliau akan sentiasa mengikuti perkembangan sekiranya berlaku pergerakan tanah yang boleh mendatangkan bahaya dan mengancam nyawa penduduk.

Beliau juga meminta MPT mengkaji terlebih dahulu keadaan tanah dan tapak perumahan yang ingin dibangunkan pemaju kerana tidak mahu rumah dibina di kawasan yang tidak selamat dan membahaya pembeli.

''Apabila berlaku keadaan seperti ini, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan terpaksa menanggung akibatnya kerana pembeli akan menuding jari kepada kita," kata beliau.
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2008 07:40 AM | Show all posts
Sediakan guru sukan mahir pemakanan, psikologi

TEMERLOH 23 Mac - Kerajaan digesa menyediakan guru sukan yang mahir dalam bidang pemakanan dan psikologi supaya mereka mampu melahirkan atlet berkualiti di kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifudin Abdullah berkata, usaha mencungkil bakat sukan di kalangan pelajar perlu dilakukan dengan cara yang sistematik.

Katanya, bakat semata-mata tidak memadai kerana mereka tidak akan pergi lebih jauh jika tidak mengambil makanan yang betul untuk membina stamina dan kekuatan psikologi.

''Zaman guru sukan dibuat secara tangkap muat tidak patut lagi berlaku jika kita benar-benar serius untuk melahirkan atlet sukan yang mampu mencapai taraf dunia.

''Bagi sampai ke tahap itu, sekolah bukan sahaja memerlukan guru sukan yang mahir dalam bidang latihan taktikal dan strategi tetapi turut merangkumi kemahiran dalam pemakanan dan psikologi," kata Saifudin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kem latihan skuad badminton sekolah-sekolah daerah Temerloh membuat latihan di dewan Sekolah Jenis Rendah Jenis Kebangsaan Cina Tung Hua 2, Mentakab dekat sini hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, salah satu punca utama kelemahan atlet negara yang bertanding di peringkat dunia kerana berhadapan dengan masalah psikologi dan kekurangan stamina.

Tambahnya, tanpa kekuatan psikologi, atlet negara mudah menyerah kalah kerana merasa rendah diri dan mudah digertak pihak lawan serta tidak mempunyai kekuatan stamina akibat tidak mengamalkan pemakanan yang betul.

Kata beliau, bidang sukan memerlukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan ini dibuktikan oleh negara-negara maju apabila mereka mampu melahirkan atlet bertaraf dunia.

''Di samping itu, atlet negara perlu berkorban dari segi masa dan berdisiplin sekiranya ingin berjaya. Jika kita tidak serius menjalani latihan dan ingin hidup seperti rakan-rakan lain yang tidak terlibat dengan sukan kita tidak akan ke mana-mana.

''Bagaimanapun kita boleh mencontohi kejayaan atlet skuasy negara, Nicol Ann David yang kini menjadi pemain profesional nombor satu dunia dan jaguh bina badan negara, Sazali Samad kerana mengamalkan budaya sukan yang betul dan patuh kepada disiplin," jelasnya.
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2008 07:40 AM | Show all posts
Orang ramai serbu Kaunter Pusat Khidmat Komuniti Kuantan

KUANTAN 23 Mac - Kaunter Pusat Khidmat Komuniti Ahli Parlimen Kuantan diserbu ratusan penduduk bagi mengemukakan pelbagai aduan dan masalah di Pasar Pagi Kampung Jawa di sini.

Kaunter bergerak yang dibuka kira-kira pukul 7.30 pagi itu tidak putus-putus dikunjungi orang ramai yang membuat aduan berkaitan dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, kebanyakan aduan diterima adalah berhubung masalah jalan rosak, lesen dan lokasi perniagaan serta isu kebersihan di kawasan perumahan yang gagal diatasi sejak sekian lama.

"Kami menerima kira-kira 200 aduan daripada orang ramai dan ia akan dikemukakan kepada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang bertanggungjawab menyelesaikannya," katanya ketika ditemui di Pasar Pagi itu hari ini.

Menurut Fuziah, semua aduan tersebut akan diteliti terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan melalui memorandum Ahli Parlimen Kuantan pada bulan depan.

Berdasarkan sambutan dan bilangan aduan yang diterima, jelasnya, pihaknya mendapati beberapa agensi kerajaan yang berkaitan gagal melaksanakan tugas dengan baik selama ini.

''Usaha kami ini bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak sebaliknya bertujuan membantu orang ramai menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka sejak sekian lama," katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya akan terus mengadakan kaunter bergerak seumpama itu di pelbagai lokasi sekitar bandar ini termasuk di Pasar Besar Kuantan pada setiap minggu.

Tinjauan Utusan Malaysia ke Pasar Pagi itu mendapati kaunter tersebut dilengkapi sebuah meja dan payung serta tiga orang petugas yang mencatatkan setiap aduan yang dikemukakan orang ramai.
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2008 07:40 AM | Show all posts
Pasangan maut jip terhumban cucu dikhuatiri mati lemas

Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI

PEKAN 23 Mac
Reply

Use magic Report

Post time 24-3-2008 07:42 AM | Show all posts
DAri Kosmo Online

Cucu hilang, datuk nenek lemas


KERETA pacuan empat roda yang terbabas dan terhumban ke dalam Sungai Pahang di Kampung Mambang, Pekan ditarik keluar semalam.

PEKAN - Seorang kanak-kanak hilang, manakala nenek dan datuknya mati lemas apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas lalu masuk ke dalam Sungai Pahang di Kampung Mambang, Paloh Hinai kira-kira 2.15 petang semalam.

Kanak-kanak terbabit, Nousarah Syamimi Mohd. Nazri, 4, hilang dipercayai tercampak keluar, sementara mayat datuknya, Omar Md. Amin, 71, dan isteri, Fatimah Midon, 68, dijumpai di dalam kenderaan yang terapung di dalam sungai tersebut.

Menurut bapa kanak-kanak itu, Mohd. Nazri Nordin, 30, beliau tidak sedar anak sulungnya mengikut kedua- dua mentuanya menaiki kereta jenis Suzuki Jimny.

"Mereka keluar selepas selesai kenduri cukur kepala anak bongsu saya untuk ambil air Yasin di rumah imam.

"Kemudian pada pukul 2.45 petang, saya diberitahu kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam Sungai Pahang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Kenderaan yang dipandu Omar dipercayai terbabas di jalan lurus yang tidak dipasang penghadang di tepi jalan.

Menurut seorang saksi, Mohd. Razawi Abd. Ghani, 59, beliau meluru ke tempat keja- dian di hadapan rumahnya untuk memberi bantuan sebaik sahaja melihat sebuah kereta terhumban ke dalam sungai.

"Saya lihat pintu belakang kereta terapung dan saya terus ambil tali dan tambat pada pokok pinang.

"Saya terjun ke dalam sungai dan mengikat tali tersebut pada pintu kereta itu supaya tidak tenggelam," katanya yang sempat menyela- matkan mayat Omar dan Fatimah daripada dihanyutkan arus sungai.

Namun katanya, beliau gagal menyelamatkan Nousarah Syamimi kerana mangsa tiada di dalam kereta.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak yang hilang itu masih diteruskan oleh pasukan polis, Bomba dan Penyelamat Pekan, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) serta penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Reply

Use magic Report

Post time 25-3-2008 07:48 AM | Show all posts
Pelihara kebersihan Lata Meraung

Oleh HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 24 Mac - Penduduk dan pengunjung di sini mahu tahap kebersihan dan kemudahan di Hutan Rekreasi Lata Meraung, Lembah Kiol dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan itu.

Menurut mereka, keadaan kemudahan dan kebersihan yang tidak terjaga menyebabkan bilangan pengunjung ke kawasan tersebut semakin berkurangan.

Antara kemudahan yang tidak disediakan di kawasan rekreasi itu, kata mereka, termasuk tempat letak kereta, jalan dan jambatan rosak yang boleh membahayakan pengunjung.

Seorang pengunjung, Kamarulazira Kamarulzaman, 26, berkata, air terjun Lata Meraung dan Pusat Pelancongan Lembah Kiol menjadi tarikan baru pengunjung yang ingin menikmati keindahan alam semulajadi.

Bagaimanapun, dia kesal kerana tahap kebersihan dan kemudahan kepada pengunjung kurang diberi perhatian.

''Tempat berteduh disediakan tetapi kita tidak selesa kerana banyak sampah-sarap yang dibuang oleh segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Sikap tidak menghargai kebersihan, katanya, memberi impak yang negatif terutama kepada pelancong luar yang singgah di situ sebelum ke Taman Negara.

Rakannya, Affandi Othman, 34, berkata, pihak berkuasa perlu kerap memantau kebersihan di situ dengan mengadakan kempen kesedaran serta gotong-royong.

''Kita perlu mengambil contoh pusat pelancongan di Barat yang mengutamakan kebersihan dan keselesaan untuk pengunjung beristirehat," katanya.

Affandi turut mencadangkan kawasan letak kereta yang khas disediakan di pintu masuk Lata Meraung untuk keselamatan pemilik kenderaan terutama pada hujung minggu.

Seorang pelawat dari Kuala Lumpur, Azhari Ahmad, 42, berkata, jalan masuk ke kawasan rekreasi itu sepatutnya berkeadaan baik untuk memudahkan orang ramai berkunjung ke situ.

''Ada beberapa jalan yang pecah dan berlopak termasuk di Jambatan Bailey yang agak uzur dan boleh membahayakan kenderaan," katanya.

Keindahan alam semulajadi, menurut beliau, belum memadai untuk menarik pengunjung jika jalan raya untuk ke kawasan itu rosak.

Seorang lagi pelawat, Mohd. Amirul Abdullah, 36, berkata, Lata Meraung dan Lembah Kiol berpotensi menarik ramai pelawat pada hujung minggu jika kemudahan sedia ada dipertingkatkan pengurusannya.

Penduduk di sini, katanya, akan memilih Lembah Kiol untuk berekreasi kerana lokasinya yang berdekatan dengan bandar Jerantut dan kosnya lebih menjimatkan berbanding Taman Negara Kuala Tahan.
Reply

Use magic Report

Post time 25-3-2008 07:49 AM | Show all posts
Terkilan tak dapat tidur bersama

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
[email protected]

Norliza sedih mengenangkan nasib anaknya, Nousarah Syamimi yang dikhuatiri mati lemas di Kampung Mambang,Pekan semalam.

KUANTAN - Norliza Omar, ibu kepada Nousarah Syamimi Mohd. Nazri, 4, (gambar kecil) terkilan kerana tidak dapat tidur bersama anak sulungnya itu pada malam terakhir sehari sebelum anaknya hilang dan dikhuatiri mati lemas di Sungai Pahang kelmarin.

"Nousarah hanya cakap dia nak tidur dengan ibu saudaranya. Biasanya saya yang menidurkan dia," kata ibu berusia 30 tahun itu sambil berlinang air mata mengenangkan anaknya yang belum ditemui dalam gerakan mencari dan menyelamat sejak petang semalam.

Menurut Norliza lagi, cakap-cakap orang kampung mengenai selipar milik anaknya yang ditemui di tepi sungai membuatkannya berasa lebih sedih.

Dalam kejadian pukul 2.15 petang kelmarin, Nousarah Syamimi hilang manakala datuk dan neneknya mati lemas apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas lalu masuk ke dalam Sungai Pahang di Kampung Mambang, Paloh Hinai di sini.

Mayat datuk serta nenek Nousarah Syamimi iaitu Omar Md. Amin, 71, dan Fatimah Midon, 68, ditemui tetapi kanak-kanak itu belum diketahui nasibnya.

Sementara itu, Ketua Polis Pekan, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, operasi mencari dimulakan pada pukul 5 petang kelmarin dan disambung semula seawal pukul 8 pagi semalam dengan jarak pencarian sejauh 15 kilometer dari kawasan kejadian.

Katanya, gerakan mencari dibahagikan kepada dua pasukan, satu dari arah jambatan Paloh Hinai menghala ke Mambang, sementara satu pasukan lagi dari arah yang bertentangan.

"Operasi hari ini (semalam) akan dijalankan sehingga pukul 7 petang dan ketika air sungai surut nanti, gerakan mencari dan menyelamat akan dipertingkatkan," katanya yang mengetuai operasi.

Jelas beliau lagi, kejadian tersebut merupakan yang pertama terjadi di kampung itu.
Reply

Use magic Report

Post time 25-3-2008 07:50 AM | Show all posts
Bayi mati didera ibu, kekasih

KUANTAN
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 25-3-2008 07:51 AM | Show all posts
Nota terakhir untuk suami tersayang

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
[email protected]


Maniraj menunjukkan nota yang dipercayai ditulis Anne yang ditemui mati tergantung di Jaya Gading, Kuantan semalam.

KUANTAN - 慖 love U darling.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 26-3-2008 07:20 AM | Show all posts
CCTV: Kuantan belanja RM3 juta

KUANTAN 25 Mac - Bandar Kuantan akan dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) selewat-lewatnya awal bulan depan, kata Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof.

Menurutnya, dalam fasa pertama, sebanyak lapan daripada 24 CCTV akan dipasang di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti di bandar ini terutama di kawasan yang tinggi dengan kadar jenayah.

Katanya, kesemua CCTV yang dianggarkan bernilai RM3 juta itu diperoleh menerusi peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Selepas fasa pertama, fasa kedua dengan baki 16 CCTV akan menyusul, tetapi pihak polis masih belum tentukan bila ia akan dipasang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Polis Ke-201, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai sembilan pengamal media yang bertugas di Kuantan, termasuk wartawan Utusan Malaysia, Shamsiah Zulkafli dan jurugambar Kosmo!, Rushdi Salleh menerima sijil penghargaan.

Turut menerima sijil penghargaan ialah Pengerusi-Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) seluruh Kuantan dan anggota polis yang berkhidmat di bandar ini.

Jasmani berkata, antara kawasan yang telah dikenal pasti bagi pemasangan CCTV itu ialah kompleks membeli-belah serta tempat yang menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong.

Jelas beliau, CCTV turut akan dipasang berhampiran lampu isyarat bagi tujuan pengawalan lalu lintas dan pencegahan jenayah.

"IPD Kuantan akan berperanan penuh sebagai pusat pengawalan CCTV dibantu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK)," ujarnya.

Beliau berkata, dengan adanya CCTV, orang ramai akan merasai kehadiran polis kerana setiap pergerakan mereka akan dipantau 24 jam sehari.

Jasmani dalam pada itu mencadangkan kepada MPK supaya mensyaratkan semua pusat membeli-belah di bandar ini memasang CCTV di premis masing-masing bagi mengurangkan kadar jenayah.

"Selain itu, kita juga berharap MPK dapat mewujudkan satu sistem pengawalan berpusat (CMS) CCTV antara kompleks membeli-belah dengan IPD supaya kita dapat memantau keadaan sekiranya terjadi sesuatu," katanya.

Pada sidang media sama, beliau turut mengumumkan pembukaan beberapa balai polis baru di sekitar bandar Kuantan bagi meningkatkan keberkesanan khidmat kepada orang awam.

"Di Air Putih, kita sewa satu premis kedai tiga tingkat untuk dijadikan balai polis, ia dijangka dirasmikan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Ayob Mohamed pada Sabtu ini," katanya.

Tambah beliau, dua lagi lokasi yang telah dikenal pasti bagi pembukaan balai polis baru ialah di Indera Mahkota dan Taman Tas.
Reply

Use magic Report

Post time 26-3-2008 07:21 AM | Show all posts
Peneroka ikrar sokong kerajaan

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

BANDAR JENGKA 25 Mac - Warga peneroka Felda Wilayah Jengka berikrar tetap bersama kerajaan walaupun ada kecenderungan pihak-pihak tertentu memilih pembangkang mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Menurut mereka, semangat bertaut kembali setelah masing-masing 'menegakkan fahaman politik' pada pilihan raya umum lepas adalah sikap yang perlu dipuji kerana ia dapat mengukuhkan aspirasi dalam melahirkan masyarakat penyayang.

Ketua Kampung Felda Kampung Awah, Asri Mohd. Dahan, 54, berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu perlu dijadikan landasan atau titik tolak untuk berusaha keras membina kehidupan yang lebih cemerlang.

Dalam hal ini, katanya, hakikat utama yang harus diakui ialah peranan kerajaan melalui Felda menjadi penyumbang terbesar terhadap kemajuan diri dan keluarga peneroka untuk setanding dengan golongan profesional.

"Kalau kita lihat, masyarakat peneroka sekarang ini mampu memiliki tanah dan rumah yang jauh lebih selesa berbanding semasa tinggal di kampung asal," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Ketua Kampung Felda Kemboja Jengka 4, Wan Mustaffa Roni Wan Hayat, 57, pula berharap masyarakat peneroka dapat menumpukan usaha memajukan ekonomi dan pendidikan keluarga berikutan kemudahan prasarana yang disediakan.

Beliau berkata, perbezaan fahaman politik yang disaksikan dalam pilihan raya umum lepas tidak harus dijadikan penyebab berlaku sebarang perselisihan dalam masyarakat Felda kerana masing-masing mencari rezeki di bumi bertuah ini.

"Kita perlu bersatu kembali di bawah satu bumbung dan hala tuju demi masa depan orang Melayu dalam menghadapi gelombang cabaran penuh getir untuk mempertahankan status quo dan kuasa politik bangsa Melayu," katanya.

Seorang peneroka Felda Terkis Jengka 21, Zul Budin, 50, berpendapat, masyarakat Felda perlu sedar tentang tanggungjawab mereka untuk membina sebuah masyarakat luar bandar yang bermaruah.

Katanya, adalah satu tindakan kurang bijak jika mereka turut terikut-ikut dengan rentak sumbang pihak luar yang cuba mengeruhkan keharmonian yang terjalin.

Seorang peneroka Felda Tonkin Jengka 23, Ali Yaakob,71, pula menyifatkan, Felda sebagai bapa yang bersifat penyayang dan sentiasa menjaga kebajikan anak-anak.

"Saya misalnya terhutang budi dengan Felda dan Pengerusinya Tan Sri Dr. Yusof Noor kerana mereka sanggup membayar kos rawatan sebanyak RM34,000 untuk saya menjalani pembedahan lutut di Hospital Tawakal katanya," katanya.

Ketua Kampung Felda Dahlia Jengka 3, Mohd Nayan Putih, 60, berpendapat, semua warga Felda patut mengakui perubahan drastik sosio ekonomi mereka sebagai hasil sumbangan kerajaan melalui agensi tersebut.

Malah kata beliau, mana-mana individu yang terpilih menjadi peneroka Felda amat bertuah memandangkan nasib mereka sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.

"Malah penyediaan prasarana dan kemudahan sosiol seperti sekolah, masjid dan lain-lain membolehkan generasi muda Felda dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik berbanding generasi pertama," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 26-3-2008 07:22 AM | Show all posts
Warga polis perlu hayati amanat KPN

TEMERLOH 25 Mac - Semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menghayati amanat Ketua Polis Negara (KPN) bagi memastikan hasrat untuk meningkatkan integriti pasukan itu dapat dicapai selaras dengan pengiktirafan Sijil MS ISO 9001: 2000 yang diterima baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, pengiktirafan yang diterima daripada DSM (Malaysia), UKAS (United Kingdom) dan COFRAC (Perancis) itu jelas membuktikan keupayaan pasukan polis di negara ini berupaya melaksanakan tugas dengan baik.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan anggota-anggota polis terutama di daerah ini supaya bersama-sama berusaha meletakkan PDRM sebagai sebuah pasukan yang mampu memberikan khidmat setaraf piawaian polis antarabangsa.

"Saya berharap lencana baru 'Integriti Amalan Kita' yang menggantikan lencana 'Saya Anti Rasuah' dapat meningkatkan moral pasukan dengan memberikan perkhidmatan yang lebih baik supaya kehadiran kita terus relevan dan dihormati oleh masyarakat," katanya kepada pemberita.

Ahmad Fadzillah mengulas saranan KPN menerusi amanat yang dibacakan pada upacara Perbarisan Hari Polis Ke-201 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di pekarangan Balai Polis Mentakab, dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Dewan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin, ADUN Mentakab, Chuah Boon Seong dan ADUN Kerdau, Zaharuddin Kasim.

Menurut beliau, saranan KPN agar anggota polis memerangi anasir negatif secara batiniah perlu dihayati kerana cara itu mungkin akan lebih berkesan selain kaedah fizikal yang diamalkan sebelum menerusi pemakaian lencana 'Saya Anti Rasuah'.

"Warga PDRM yang berintegriti akan lebih mengutamakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara berbanding kepentingan diri sendiri.

"Bagi kita, pemakaian pengiktirafan ISO dan pemakaian lencana baru itu akan mengukuh dan meningkatkan motivasi untuk terus berusaha memberikan prestasi serta sistem penyampaian yang boleh dibanggakan," kata Ahmad Fadzillah.

Tambah beliau, setiap warga PDRM perlu berpegang kepada tema baru sempena Hari Polis Ke-201 iaitu 'Tegas, Adil dan Berhemah' semasa menjalankan tugas agar lebih efisien dan dihormati.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 41 anggota polis pelbagai pangkat, kakitangan awam, ahli-ahli Persatuan Isteri dan Keluarga Polis (Perkep) dan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-2-2025 08:56 PM GMT+8 , Processed in 0.406504 second(s), 34 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list