Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 2:53 PM
IZRA ABDUL RAHMAN Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN [email protected]
Anggota polis menghalang penyokong-penyokong Anwar yang cuba merempuh pagar penghalang.
PUTRAJAYA: Berlaku kekecohan di luar Istana Kehakiman, di sini, apabila sekumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba merempuh besi penghadang yang dipasang pihak berkuasa.
Kekecohan berlaku kira-kira 10 minit sebelum prosiding hari kedua yang berhenti rehat disambung semula pada pukul 2.30 petang Selasa.
Ia bermula apabila kumpulan terbabit memukul poster Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan kasut beramai-ramai sebagai tanda protes.
Tidak lama kemudian beberapa lelaki daripada kumpulan terbabit meluru ke arah penghadang besi yang dikawal pasukan keselamatan dari bahagian dalam dan cuba merempuhnya.
Salah seorang daripada mereka mendakwa terdapat anggota polis yang bertindak menendang salah seorang ahli daripada kumpulan penyokong itu dan menuntut supaya anggota polis memohon maaf.
Sedang anggota keselamatan mengawal rempuhan, salah seorang anggota polis terkena telur yang dibaling dari arah belakang.
Kekecohan tersebut akhirnya dileraikan oleh anggota parti yang lain.
Tidak cukup dengan itu, kumpulan terbabit juga bertindak membakar poster Mohd Saiful.
PUTRAJAYA: Profil DNA 'Lelaki Y' yang dijumpai dalam rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan bukan milik pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.
Sangeet Kaur Deo, dalam hujahnya di hadapan lima panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, berkata tiada bukti sama sekali untuk mengaitkan "Lelaki Y" dengan Anwar.
Beliau menjelaskan tiada seorang pegawai polis yang bertugas di lokap melihat Anwar menggunakan tiga barangan - berus gigi, tuala Good Morning dan botol air mineral - yang telah diberikan kepadanya oleh pihak polis ketika beliau ditahan semalaman dari 16 Julai 2008 hingga 17 Julai 2008.
Sangeet berkata, seorang pegawai polis memberitahu mahkamah bahawa dia hanya mendengar bunyi seolah-olah Anwar memberus giginya.
"Dia melihat Anwar menggunakan tandas sel tetapi dia tidak melihat perayu (Anwar) memberus gigi," katanya.
Oleh itu, beliau berkata, adalah tidak mungkin untuk menghubungkan profil DNA 'Lelaki Y' untuk Anwar kerana ia boleh menjadi sesiapa sahaja.
Ketika ditanya Hakim Arifin sama ada terdapat orang lain dalam sel itu, Sangeet berkata Anwar adalah penghuni tunggal.
Beliau berhujah bahawa pihak pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan bahawa Anwar telah menggunakan barangan itu, bagaimanapun, pegawai polis tidak pernah melihat Anwar menggunakannya.
"Keterangan mengikut keadaan biasanya bergantung kepada bila tidak ada keterangan langsung. Tetapi dalam kes ini, kita mempunyai saksi yang melihat perayu tidak menggunakan barang-barang itu," katanya.
Namun, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, menjelaskan bahawa dalam undang-undang, keterangan mengikut keadaan boleh digunakan, tidak semestinya hanya mengarahkan keterangan, ia boleh menjadi kedua-duanya.
Kes Liwat II: Penyokong Saiful Bukhari Naik Mendadak, Nafi 'Dibayar'
Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 11:54 AM
IZRA ABDUL RAHMAN Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN [email protected]
PUTRAJAYA: Penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan di Istana Kehakiman pada hari kedua prosiding kes liwat Datuk Anwar Ibrahim yang meningkat mendadak hadir dengan perancangan lebih teratur.
Berbanding hari pertama, kehadiran penyokong Saiful dengan poster dan sepanduk menuntut keadilan dilihat bertambah kira-kira pukul 11 pagi, Rabu.
Sambil itu, mereka turut melaungkan slogan 'Tangkap Anwar', 'Dia Mangsa Kezaliman' dan sebagainya.
Namun, rata-rata mereka menafikan dibayar oleh pihak tertentu untuk datang memberikan sokongan terhadap Saiful.
Seorang surirumah, Rogayah,68, berkata, dia hadir di bangunan Mahkamah Persekutuan pada Rabu kerana mahukan keadilan ditegakkan.
Dia yang datang menaiki bas dari Ampang bersama penyokong lain bertolak pada pukul 8 pagi untuk ke Putrajaya.
"Saya tidak sokong siapa-siapa tetapi hanya menuntut keadilan, tetapi dalam kes ini saya yakin Saiful tidak bersalah dan perlu mendapat keadilan.
"Kami datang dengan kerelaan hati, tidak dibayar oleh sesiapa," katanya.
Seorang lagi penyokong Saiful, Abd Rahman, 59, menyatakan harapannya agar Anwar dihukum penjara, bagaimanapun sebaliknya yang berlaku, dia tetap menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
Dia yang menaiki motosikal dari Sepang turut menafikan dibayar oleh pihak tertentu untuk menyokong Saiful.
"Saya datang secara sukarela, tak ada arahan mana-mana pihak atau mendapat bayaran," katanya.
Ramlah, 69, yang datang menaiki bas dari Pandan berkata, dia adalah seorang yang menyokong keamanan dan keadilan.
"Sebab itulah saya berada di sini dan menyokong Saiful.
"Kedatangan saya tak ada kaitan dengan mana-mana pihak kerana saya datang secara sukarela" katanya.
Kes Liwat II: Pembelaan Anwar Dakwa Konspirasi Dan Kekhilafan Dalam Analisis Data
Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014
12:42 PM
PUTRAJAYA: Perbicaraan rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim disambung pada Rabu dengan peguam-peguam pembelaan terus mengemukakan penghujahan mengapa Mahkamah Persekutuan harus membatalkan sabitan dan hukuman lima tahun penjara terhadap Penasihat PKR itu.
Selepas penghujahan panjang lebar oleh peguam utama Datuk Seri Gopal Sri Ram pada Selasa, tiga peguam lain pembelaan menyatakan mereka memerlukan sepanjang hari ini untuk membuat penghujahan mereka.
Peguam N.Surendran meneruskan penghujahannya di hadapan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Ia diikuti peguam Sangeet Kaur Deo yang akan berhujah mengenai sampel yang diambil daripada sel di mana Anwar ditahan semalaman di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur susulan laporan polis oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan mengenai dakwaan kejadian itu.
Sementara itu, peguam Ram karpal Singh mungkin berhujah dengan terperinci mengenai analisis DNA di mana beliau akan mempertikaikan integriti sampel yang diambil daripada Mohd Saiful.
Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan pula dijangka membuat penghujahannya pada Khamis, dan prosiding rayuan kes liwat Anwar mungkin berlanjutan sehingga Jumaat.
Mahkamah Apex (mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia) dijadual menetapkan tarikh lain untuk menyampaikan keputusannya kerana pihak pendakwaan dan pembelaan membuat penhujahan secara menyeluruh mengenai kes itu selain membawa isu-isu baharu untuk dipertimbangkan mahkamah.
Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Anwar atas kesalahan meliwat Mohd Saiful atas alasan mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti mengenai integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful.
Mahkamah telah memutuskan bahawa sampel itu boleh terjejas sebelum ia tibadi Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Pada 7 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan membatalkan penghakiman MahkamahTinggi dan mendapati Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful.
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim perbicaraan itu terkhilaf apabila meragui integriti sampel berdasarkan keterangan dua pakar saksi yang dipanggil oleh pihak pembelaan.
Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan itu yang didakwa dilakukan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.40 petang pada 26 Jun 2008.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ini kes liwat kedua terhadap Anwar. Dalam kes pertama, Anwar didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.
Anwar menjalani hukuman itu selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah setelah disabitkan terhadap empat tuduhan rasuah pada 4 April 1999.
Anwar dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad meminda sabitan kesalahan itu dan mengetepikan hukuman penjara terhadap dakwaan meliwat Azizan, dalam keputusan majoriti 2-1.
Anwar dibebaskan apabila Abdul Hamid dan dua lagi hakim Datin Paduka Rahmah Hussain dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud bercanggah dari segi tarikh sebenar kejadian liwat, walaupun pada umumnya, ketiga-tiga hakim itu bersetuju bahawa berlakunya aktiviti liwat antara Anwar, Azizan dan adik angkat Anwar,Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.
Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 10:54 AM
bernama byline Oleh: BERNAMA
Antara sepanduk yang dibawa orang ramai yang menunggu prosiding pendengaran rayuan terakhir kes liwat kedua Anwar di Istana Kehakiman.
PUTRAJAYA: Prosiding pendengaran rayuan pada hari kedua menyaksikan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan hujah mengenai isu rancangan 'yang telah diatur' atas tuduhan liwat.
N Surendran mengemukakan hujah itu di hadapan barisan Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Empat lagi hakim yang diberi mandat untuk mendengar rayuan kes ini adalah Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.
Surendran juga mengemukakan hujah bahawa Mahkamah Rayuan dalam menyabitkan Anwar, telah gagal mengambil kira kenyataan Anwar dari kandang tertuduh.
Peguam bela ketua pembangkang itu juga menegaskan mahkamah juga tidak mempertimbangkan bukti lain yang dikemukakan.
Pasukan pendakwaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, manakala Anwar diwakili bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang akan bertindak sebagai ketua pasukan pembelaan melibatkan 14 peguam.
Pendengaran rayuan terakhir Anwar di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu kerana didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan.
Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sekiranya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu gagal dalam rayuan ini, kelayakannya sebagai anggota parlimen boleh dilucutkan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kelayakan seseorang anggota parlimen boleh dibatalkan sekiranya beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.
Ini kes liwat kedua terhadap Anwar. Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000.
Kes Liwat II: Anwar 'Lebih Berani', Muncul Di Luar Kompleks Mahkamah
Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 9:57 AM
IZRA ABDUL RAHMAN Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN [email protected]
Anwar (kemeja putih) bersama Dr Wan Azizah dan anak perempuan mereka, Nurul Hana (tudung pink) dan Nurul Iman (tudung biru) di pekarangan Istana Kehakiman, Rabu.
PUTRAJAYA: Hari kedua prosiding rayuan terakhir kes liwat keduanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat 'lebih berani' apabila bertemu penyokongnya di bahagian luar kompleks mahkamah.
Beliau yang hadir ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya tiba di Istana Kehakiman di sini kira-kira pukul 8.50 pagi.
Pada hari pertama pendengaran rayuan terakhirnya dalam kes liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, Anwar hanya melambai dari jauh kepada penyokongnya dari bahagian dalam kompleks mahkamah yang dipisahkan dengan penghadang besi.
Jarak bangunan mahkamah dengan penghadang besi yang dipasang adalah kira-kira 200 meter.
Ini berbeza pada hari kedua apabila beliau dan ahli keluarga memilih untuk muncul di bahagian luar kompleks Mahkamah Persekutuan yang sesak dengan penyokong.
Dalam keadaan sesak dan berasak-asak beliau mengambil masa kira-kira 15 minit untuk bertemu dan bersalaman dengan para penyokongnya yang berarak dari Masjid Tuanku Mizan, ke kompleks mahkamah, di sini dari pukul 7 pagi.
Bagaimanapun, umumnya keadaan terkawal walaupun terdapat penyokong yang terjatuh ketika berasak-asak dalam kesesakan itu.
Sementara itu, seorang anggota keselamatan memberitahu, kawalan keselamatan pada Rabu diperketatkan berbanding hari sebelumnya.
Selain menambah keanggotaan, penghadang besi yang memisahkan kompleks mahkamah dengan penyokong juga dipasang pada jarak lebih jauh berbanding Selasa.
Dalam pendengaran rayuan terakhir Anwar ini, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan mengetuai barisan lima panel hakim.
Pasukan pendakwaan diketuai peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala pasukan pembelaan Anwar diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram bersama 13 peguam lain.
Walaupun pada asalnya prosiding ditetapkan berakhir pada Rabu, namun difahamkan ia mungkin akan dilanjutkan sehingga Khamis atau Jumaat.
Cubaan merempuh pintu pagar sekatan yang dilakukan oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Putrajaya,Putrajaya - Foto Sinar Harian AFIQ RAZALI Cubaan merempuh pintu pagar sekatan yang dilakukan oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Putrajaya,Putrajaya - Foto Sinar Harian AFIQ RAZALI
PUTRAJAYA - Keadaan tenang di pekarangan Mahkamah Persekutuan, di sini tiba-tiba bertukar kecoh apabila beberapa orang penyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan provokasi cuba merempuh masuk ke kawasan sekatan.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.40 petang itu dipercayai bermula apabila sekumpulan penyokong Anwar bertindak membakar poster bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Kemudian, kumpulan tersebut yang terdiri daripada lima belas orang penyokong cuba merempuh sekatan sebelum di halang pihak polis.
Adegan tolak menolak pagar sekatan tersebut berlaku beberapa minit antara penyokong dan anggota polis.
Penyokong tersebut juga turut bertindak membaling telur kepada pasukan polis yang bertindak mengawal pagar sekatan tersebut.
Telur tersebut juga turut mengenai salah seorang petugas media yang sedang bertugas.
Kelihatan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) juga turut bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Kekecohan tersebut dapat ditenteramkan beberapa minit kemudian oleh pihak berkuasa.
Difahamkan, kekecohan tersebut berpunca daripada penyokong Anwar yang berang apabila permintaan mereka untuk berteduh di bawah khemah akibat hujan berhampiran perkarangan Mahkamah Persekutuan dihalang oleh pihak berkuasa.
Hasil perbincangan antara Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan pihak berkuasa berberapa minit kemudian berjaya membolehkan penyokong untuk masuk ke khemah.
Kepada yang bagi alasan tak logik si A yang tua liwat si B yang lebih muda, alasan macam tu tak cukup kuat.
Benda luar tabi'i juga pernah berlaku di sekolah berasrama atau madrasah, dilakukan oleh orang yang ada ilmu, tapi tewas oleh nafsu songsang.... bukan nak memburukkan sekolah atau madrasah, sekadar nak bagitau pernah berlaku..... dan kebiasaannya pelajar yang jadi mangsa tak melawan serta-merta, tak report serta-merta....
tiada bukti DSAI berada di kondo masa liwat terjadi
yg ada cuma photo DSAI naik lif sorang2... turun lif 9 orang lain bersama beliau
kalau ikut law, DSAI dan 9 orang tu boleh dituduh bersubahat merogol bergilir2 ... betul ?
putr@polo posted on 29-10-2014 05:07 PM
Kes Liwat II: Pembelaan Anwar Dakwa Konspirasi Dan Kekhilafan Dalam Analisis Data
Diterbitkan: Ra ...
Anwar dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad meminda sabitan kesalahan itu dan mengetepikan hukuman penjara terhadap dakwaan meliwat Azizan, dalam keputusan majoriti 2-1.
Anwar dibebaskan apabila Abdul Hamid dan dua lagi hakim Datin Paduka Rahmah Hussain dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud bercanggah dari segi tarikh sebenar kejadian liwat, walaupun pada umumnya, ketiga-tiga hakim itu bersetuju bahawa berlakunya aktiviti liwat antara Anwar, Azizan dan adik angkat Anwar,Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.
so kes liwat 1 dulu mmg betul la ada adegan liwat meliwat.....? dibebaskan sebab hakim bercanggah tarikh sebenar jer....... pppppffffttthhh