crossfire posted on 14-2-2014 10:25 AM
sg timun, lubuk buaya.
Ada kira-kira 3,000 ekor buaya di Sungai Linggi yang terkenal dengan keindahan dan udang galahnya.
PENGALAMAN diusik dan diserang seekor 'buaya hijau' di Sungai Timun, Linggi, Negeri Sembilan, tidak dapat dilupakan Aziz Salim, 55. Aziz sudah mula menyusur sungai itu untuk menangkap ikan dan udang galah sejak usia belasan tahun tetapi hanya pada tahun lalu, ada buaya berani mengacahnya. Bukan sekali, tetapi dua kali beliau bertembung dengan reptilia ganas itu. Kali pertama, buaya itu tersangkut di jalanya ketika beliau sedang asyik menjala udang galah. Menyangkakan ia rentapan beberapa ekor ikan siakap, Aziz mula tersenyum lebar.
KAUM wanita juga tidak ketinggalan memancing udang dari tebing sungai.
"Bila saya tarik jala, buaya sudah berdiri hingga paras lutut saya. Mungkin disebabkan terlalu terkejut, saya tampar kepalanya dan melepaskan jala. "Tiga bulan kemudian, ketika turun menjala udang, perahu saya disondol buaya yang sama. Kali ini penangannya lebih dahsyat, agaknya 'dia' geram sebab kena tampar dulu," selorohnya. Melihat buaya itu semakin agresif, Aziz bertindak memukul haiwan itu hingga pendayung kayu yang digunakan patah dua.
NELAYAN di dua sungai ini tidak pernah pulang dengan tangan kosong.
"Mungkin marah dengan tindakan saya, buaya itu membuka mulut seluas-luasnya manakala ekornya yang panjang itu dilibaskan ke badan perahu. "Saya tujah kepalanya dengan hujung pendayung, dengan niat mahu menakutkannya namun ia bertindak lebih ganas. Perahu saya disondol kuat hingga saya terjatuh ke dalam sungai.
SELAIN udang, lokan juga mudah ditemui di kawasan paya bakau sepanjang sungai ini.
"Ketika berada di dalam air, posisi saya seperti sedang duduk di atas kerusi dengan kaki yang terbuka. Pelik dengan keadaan itu, saya pandang ke bawah.
KATA nelayan di Sungai Timun, jika ada banyak udang, mungkin ada buaya di dasar sungai.
"Rupa-rupanya saya duduk di atas tengkuk buaya yang menyerang tadi. Tanpa buang masa, saya tekapkan kepala buaya itu ke dasar sungai dan terus berenang naik ke permukaan. Ketika itu dapat rasa ada buaya sedang bergerak di sebelah saya. "Masa itu tiada perasaan takut. Perasaan marah diganggu lebih menguasai diri. Apabila sampai di tebing, baru terfikir, bagaimana kalau buaya tadi baham saya," ujarnya. Hanyut ke pantai Walaupun pernah berdepan dengan ancaman buaya di Sungai Timun, anak tempatan itu tidak pernah serik untuk turun ke sungai. "Pengalaman itu tidak mematahkan semangat saya untuk turun ke sungai. Buaya sudah sebati dengan sungai ini," ujar nelayan Sungai Timun yang terkenal sebagai lubuk udang galah ini.
Baru-baru ini, seorang posmen, Mohamad Helme Leman, 25, dari Kampung Air Limau, Masjid Tanah, Melaka terpaksa menerima 50 jahitan selepas mendakwa diserang hidupan laut dipercayai seekor buaya ketika mandi di pantai Port Dickson, 2 Januari lalu.Pensyarah Institut Oseanografi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Sulung Ibrahim berkata, kehadiran buaya tembaga di kawasan pantai boleh terjadi. "Walaupun buaya dari muara Sungai Linggi mungkin tidak dapat hanyut ke Port Dickson kerana kedudukannya yang jauh, tidak mustahil jika ia datang dari sungai-sungai kecil berhampiran," jelasnya. Buaya bukan khazanah baru di Sungai Timun dan Sungai Linggi. Menurut Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Ishak Muhamad, jumlah buaya di situ mencecah ribuan ekor. "Berdasarkan perkiraan, pemantauan dan beberapa langkah lain yang dijalankan, dianggarkan lebih kurang 3,000 ekor buaya mendiami dua batang sungai ini," ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini. Istimewanya buaya di sungai ini, ia tidak akan makan bangkai. Menurut Aziz Salim, buaya Sungai Timun dan Sungai Linggi hanya akan makan makanan yang dicarinya sendiri. "Bukan tak pernah ada bangkai ayam, lembu atau kambing yang hanyut ke sini bila banjir, tapi buaya tak akan usik," jelasnya. Menurut legenda yang menjadi buah mulut penduduk kampung di sepanjang sungai ini, kewujudan reptilia ini dikatakan berpunca daripada mitos kembar buaya yang terjadi di kawasan itu pada zaman dahulu. Kembar buaya "Seorang perempuan telah melahirkan anak kembar lelaki. Anak pertama yang dilahirkan adalah buaya dan adiknya manusia. Yang buaya telah dilepaskan ke sungai manakala pasangannya dipelihara seperti orang biasa.
| AZIZ dua kali diusik buaya yang sama tahun lalu.
|
"Pada hari-hari tertentu jika di ibu atau si adik ingin berjumpa dengan buaya tersebut, mereka akan pergi ke beting pasir sambil membaca ayat tertentu sebelum menyeru nama si abang. "Sejak itu, sungai ini mula dikunjungi kawanan buaya dan ia berkembang biak sehingga kini," cerita beliau.
Ada juga pendapat yang mengatakan buaya di sungai ini ada kaitan dengan jin. Namun, kesahihan mengenai kaitan haiwan ini dengan alam ghaib tidak dapat dipastikan. "Ada orang-orang lama yang mengatakan semua buaya ini mempunyai gembala dan ketua. "Malah ada beberapa penduduk pernah melihat buaya putih beberapa kali meranduk sungai ini. Ia turut dikatakan pendamping makam Tok Putih. "Sama ada buaya tersebut merupakan gembala buaya di sini atau tidak, itu saya kurang pasti," kata Ketua Kampung Sungai Timun, Yahaya Othman. Tegasnya lagi, terdapat beberapa pantang yang perlu dipatuhi khususnya orang luar yang datang untuk memancing udang galah. "Buaya di sini cukup pantang jika telur ayam rebus dibawa ke sungai, pasti akan ada yang tidak kena. Selain itu, untuk memastikan keharmonian sungai, jangan sekali-kali membasuh kelambu di sungai. "Jika mahu turun menjala udang, perlu diingat, jangan gunakan pancang umpan daripada pucuk nipah. "Periuk belanga dan pinggan mangkuk juga dilarang dicuci di dalam sungai manakala jika membasuh kain, jangan menghempas kain basuhan ke batu. Nanti buaya akan marah," jelas Yahaya lagi. Berjemur Walaupun tidak dapat diterangkan dengan jelas akibat melanggar pantang larang ini, Jurnal dimaklumkan ia akan membawa kepada perkara yang tidak baik, bukan sahaja kepada yang melanggar pantang bahkan semua nelayan. Bagaimanapun, buaya-buaya ini tidak akan mengganggu manusia sebaliknya ia akan segera beredar sekiranya mengetahui pergerakannya diperhatikan. Malah, buaya-buaya di Sungai Timun dan Sungai Linggi ini juga menjadi tarikan utama kepada pelancong. Jika bernasib baik, anda akan dapat melihat buaya berjemur di atas beting pasir terutama pada waktu petang dan melihat matanya yang merah bersinar di dalam air pada sebelah malam. "Buaya di sini memang ganas, tetapi belum ada yang menyerang pelancong. Ibarat jika kita tidak kacau dia, dia tidak akan kacau kita," itu jaminan yang diberikan nelayan yang juga pemandu perahu berpengalaman, Osman Ali, ketika membawa krew Jurnal menyusuri laluan air sepanjang 15 kilometer dari Pangkalan Nelayan Sungai Timun hingga muara Sungai Linggi. Selain beting pasir, perdu pohon nipah dan pepohon bakau di sepanjang laluan ini turut menjadi lokasi sang buaya berehat. Mula memasuki Sungai Linggi ketika air laut mulai pasang pada pukul 5.30 petang, ketenangan kawasan itu menjadi kelam-kabut secara tiba-tiba. Kawanan kera mula riuh menuju ke pucuk pokok, si memerang dan anjing segera melarikan diri dan bangau putih terbang menjauhi gigi air. Semuanya berlaku dalam tempoh tidak sampai 10 saat. Kawasan yang tadi menjadi tempat permainan beberapa jenis haiwan bertukar lengang. Tidak lama kemudian, muncul kelibat buaya tembaga berwarna hitam sepanjang hampir lima meter di permukaan air. Begitu hebat aura Raja Sungai ini sehingga tidak ada yang berani menceroboh wilayahnya. Menurut pelatih dan penjinak buaya di Taman Buaya Ayer Keroh, Melaka, Amran Ahmad, 40, buaya jantan sangat menjaga kawasannya bagi membuktikan kekuatannya. Malah ada yang sanggup menyerang buaya yang dianggap sebagai penceroboh.
|