|
|
Pekerja kilang selamatkan dua tangki bitumen daripada musnah terbakar
Januari 18, 2026, Ahad - 6:56pm
SIBU: Tindakan pantas pekerja sebuah kilang di Jalan Ulu Oya di sini berjaya menyelamatkan dua buah tangki bitumen (minyak tar) daripada musnah terbakar, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.02 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dengan bantuan BBP Sibu Jaya telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan dua buah tangki bitumen iaitu tangki pertama berkapasiti 44 tan dan tangki kedua berkapasiti 51 tan.
“Kebakaran pada tangki pertama dianggarkan sekitar 20 peratus manakala tangki kedua sekitar 30 peratus," ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, komander operasi mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) memakai pakaian operasi lengkap serta alat pernafasan sebelum membentang satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan satu nozel dari jentera bagi melakukan kerja-kerja penyejukan (cooling) ke atas tangki berkenaan.
“Tindakan itu diambil memandangkan api telah berjaya dipadamkan lebih awal oleh pekerja kilang sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Menurutnya, setelah memastikan tiada lagi punca api dan keadaan di lokasi berada dalam keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 12.04 tengah hari.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kelas Ngajat Siri ke-24 mula dianjurkan dengan penyertaan 15 peserta wanita
Januari 18, 2026, Ahad - 6:59pm

Peserta Kelas Ngajat Siri ke-24 anjuran PEMADAS di Kampung Bayur, Balai Ringin merakam gambar bersama.
BALAI RINGIN: Kelas Ngajat Siri ke-24 telah mula dianjurkan di Dewan Kampung Bayur di sini dengan penyertaan seramai 15 peserta wanita yang komited dalam mempelajari seni tarian tradisional ngajat.
Kelas ini akan diadakan pada setiap hari Ahad bermula minggu depan, dengan tempoh latihan selama dua jam bagi setiap sesi dan dijalankan secara berterusan selama dua bulan.
Program ini merupakan anjuran Kelab Main Asal Dayak Sarawak (PEMADAS) dan dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman, Korea Musit yang turut menekankan kepentingan pemeliharaan warisan budaya Dayak agar tidak ditelan arus pemodenan.
Menurut Korea, penganjuran kelas itu bukan sekadar memberi pendedahan kepada teknik dan gerak asas tarian ngajat, malah bertujuan menyemai rasa cinta, bangga dan tanggungjawab dalam kalangan generasi muda terhadap adat dan budaya warisan nenek moyang.
“Tarian ngajat bukan sekadar persembahan tetapi lambang jati diri, sejarah dan roh budaya masyarakat Dayak.
“Usaha seperti ini amat penting untuk memastikan martabat adat dan budaya kita terus dipelihara, dihormati serta diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut menggalakkan para peserta agar mengikuti latihan dengan penuh disiplin dan kesungguhan sebagai satu sumbangan bermakna dalam mengangkat serta memartabatkan seni tarian tradisional ngajat di peringkat komuniti dan negeri.
Penganjuran Kelas Ngajat Siri ke-24 ini diharap dapat menjadi platform berterusan dalam melahirkan penari ngajat yang berkemahiran, berpengetahuan serta mempunyai kefahaman mendalam terhadap nilai dan falsafah budaya Dayak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pembinaan pengkalan kapal persiaran buka peluang anjur sukan bertaraf antarabangsa
Januari 18, 2026, Ahad - 7:08pm

Dr Abdul Rahman bersama yang lain melakukan simbolik Pelancaran Kalendar Acara 2026 DBKU dan Program Kuching Car Free Morning di Padang Merdeka hari ini.
KUCHING: Projek pembinaan pengkalan kapal persiaran antarabangsa di kawasan Damai yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun bakal membuka peluang baharu bagi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, salah satu program yang bakal mendapat manfaat ialah Santubong International Trail Run.
Menurutnya, Dewan Bandar Kuching Utara (DBKU) bakal menyertai acara tersebut buat kali pertama tahun ini sekali gus menambah profil program dalam kalendar acara 2026.
"Projek pengkalan kapal persiaran oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) ini dijangka membawa masuk antara 2,000 hingga 3,000 pelancong bagi setiap ketibaan.
“Dengan ketibaan pelancong ini mereka boleh dijemput untuk menyertai Santubong International Trail Run.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan kita bekerjasama untuk membesarkan program ini kerana penyertaan antarabangsa dijangka meningkat pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pelancaran Kalendar Acara 2026 DBKU dan program Kuching Car Free Morning di Padang Merdeka di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman bersama yang lain merakam kenangan pada Majlis Pelancaran Kalendar Acara 2026 DBKU dan Program Kuching Car Free Morning di Padang Merdeka hari ini.
Dr Abdul Rahman berkata, penganjuran pertama kali acara berkenaan pada tahun ini adalah hasil kerjasama DBKU dan SFC untuk memantapkan lagi profil acara sukan bertaraf antarabangsa di Sarawak.
“Sejak tahun 2022, saya telah terlibat dengan Sarawak International Trail Run dan tahun ini merupakan tahun ketiga acara ini diadakan.
“Program ini disebut antarabangsa kerana melibatkan peserta dari negara jiran termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia, malah pada tahun ini ada juga penyertaan dari Filipina dan Afrika,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman berkata, penganjuran acara International Trail Run selari dengan pelancaran kalendar aktiviti DBKU 2026 termasuk program Car Free Morning yang kini memasuki tahun kelima pelaksanaannya.
Menurutnya, kajian telah dijalankan mengenai laluan Trail Run bagi memastikan keselamatan peserta terjamin.
“Kerjasama dengan SFC adalah penting kerana kawasan kaki Gunung Santubong berada di bawah bidang kuasa agensi tersebut.
“Sekiranya ada laluan baharu yang dicadangkan, kita akan teliti dan memastikan ia selamat. Jika tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini, laluan yang lebih mencabar akan diperkenalkan pada tahun-tahun akan datang,” jelasnya.
Hilmy menambah, DBKU dan SFC komited untuk menyediakan semua prasarana bertaraf antarabangsa bagi menjayakan projek dan acara yang dirancang sepanjang tahun 2026, seterusnya menarik lebih ramai pengunjung dan peserta ke Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Impian dapat elektrik 24 jam tercapai
Januari 18, 2026, Ahad - 7:26pm
Penduduk empat rumah panjang di kawasan Tanjung Upar di bawah DUN Mulu mula menikmati kemudahan elektrik

Gerawat (tiga kanan), Vincent ( dua kanan) bersama tetamu kehormat lain menunjukkan meter elektrik yang telah dipasang di Rumah Vincent.
MIRI: Penduduk di empat rumah panjang di kawasan Tanjung Upar di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu telah mula menikmati kemudahan elektrik selama 24 jam.
Rumah-rumah panjang tersebut ialah Rumah Vincent Tanjung Upar Marudi, Rumah Mugang, Rumah Philip Bayu Kampung Sri Upar Marudi dan Rumah Jipun Sungai Rumput Marudi.
"Penantian mereka untuk menikmati kemudahan ini telah tercapai," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Kemudahan Elektrik Baharu di Rumah Vincent, Tanjung Upar Marudi hari ini.
Gerawat yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) menyifatkan majlis hari itu sebagai satu detik bersejarah kepada penduduk.
Menurut beliau, ia dilaksanakan melalui Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) dengan kos keseluruhan berjumlah RM7.1 juta.
“Ini membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memajukan serta menyediakan kemudahan asas kepada penduduk di pedalaman walaupun kawasan ini jauh dari pusat bandar.
Ia selaras dengan niat kerajaan untuk memastikan rakyat di pedalaman turut menikmati kemudahan asas seperti elektrik, bekalan air bersih dan jalan perhubungan,” katanya.
Beliau turut memuji kepimpinan Tuai Rumah Vincent Kiu yang disifatkan sebagai berkesan, hasil kerjasama erat bersama penduduk.
Menyentuh isu banjir yang sering melanda kawasan tersebut, Gerawat berkata cadangan pemindahan penduduk ke kawasan lebih tinggi masih dalam peringkat usaha berikutan tapak cadangan sebelum ini bertindih dengan tanah persendirian.
Bagi isu bekalan air bersih pula, beliau memaklumkan perkara itu akan diserahkan kepada pihak Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) untuk dinilai dan diteliti bagi memastikan penduduk dapat menikmati kemudahan tersebut.
Tentang permohonan Vincent, sebanyak RM3,000 sepintu diperuntukkan bagi membantu lapan pintu bilik yang digunakan untuk menambah baik rumah mereka.
Selain itu, geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN N78 Mulu sebanyak RM5,000 turut diperuntukkan bagi pembinaan jalan simen ke sungai yang akan dilaksanakan secara gotong-royong oleh penduduk.
Sementara untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Vincent pula, peruntukan RM7,000 disalurkan untuk aktiviti tahunan.
Unit Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Rumah Vincent turut menerima RM4,000 bagi pembelian kipas siling untuk kegunaan di ruai rumah panjang.
Memandangkan rumah panjang dalam proses pembinaan, penduduk digalakkan untuk memohon pinjaman rumah panjang daripada pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
Terdahulu, Vincent dalam ucapannya berkata majlis tersebut amat bermakna dan bersejarah buat penduduk di kawasan Tanjung Upar kerana mereka kini dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam.
“Projek bekalan elektrik ini memberikan sinar baharu sempena tahun baharu 2026 dan amat dinantikan oleh penduduk di sini. Sebelum ini, kami hanya bergantung kepada bekalan solar,” katanya.
Beliau berterima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa memberi perhatian kepada penduduk di pedalaman dan penyambungan elektrik itu akan memberikan keselesaan dan kemudahan kepada penduduk.
Turut hadir Jurutera Kanan Pembekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak Energy Susana Jill Alfred Nihas, Pengarah Wilayah HDA Juan Ubit, Ketua Masyarakat Iban Daerah Marudi Pemanca Randie Bundan dan Pengerusi SIDS Cawangan Marudi Yanti Nyanggau.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
42 peserta berentap rebut gelaran johan pertandingan karaoke anjuran DEKOMS
Januari 18, 2026, Ahad - 8:52pm

Nurafidahtul (tengah) sambil diiringi ahli jawatankuasa penganjur melawat reruai kraf tangan yang terdapat di 7 on 7 Cafe, Matang Jaya pagi ini.
KUCHING: Seramai 42 peserta berentap merebut gelaran johan pada pertandingan karaoke anjuran Biro Wanita Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS) di 7 on 7 Cafe, Matang Jaya, di sini hari ini.
Setiausaha Agung DEKOMS Masmanis Yusof ketika ditemui Utusan Borneo berkata, acara hari ini adalah pembuka tirai program anjuran DEKOMS untuk 2026.
"Program hari ini turut mendapat kerjasama Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia, Cawangan Sarawak (PEBEKAM) menghimpunkan pelbagai acara termasuk Pertandingan Aneka Kerabu yang disertai 11 peserta, pertandingan menghias kek lapis, cabutan bertuah serta Jumble Sales Booth," kata Masmanis.
Katanya, program berlangsung mulai jam 9 pagi hingga malam, melihat sambutan luar jangka terutama dalam pertandingan karaoke bukan sahaja dari daerah Kuching malah dari Samarahan.
"Ini merupakan program pertama untuk tahun ini (2026) yang julung kali berkolaboratif bersama PEBEKAM," kata Masmanis sambil menambah, program sebelum ini lebih kepada seminar berteraskan ekonomi dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), AgroBank, BSN dan TEKUN di seluruh Sarawak.
Ujar beliau, setakat ini DEKOMS mempunyai lebih 3,000 ahli dengan 13 ahli jawatankuasa perhubungan seluruh Sarawak.
Dalam pada itu, pihak penganjur turut menyediakan enam reruai yang menawarkan jualan kraf tangan dan perhiasan wanita, pakaian, makanan dan minuman serta reruai buah-buahan tempatan.
"Untuk kali ini, sebuah syarikat aktif dalam pengurusan artis serta pelbagai program dan latihan dalam bidang seni dan persembahan iaitu Semaju Bina Productions Sdn Bhd tampil sebagai penaja utama selain PEBEKAM," kata Masmanis lagi.
Antara tetamu yang hadir pada majlis perasmian ialah Penasihat Biro Wanita DEKOMS Datin Nurafidahtul Akmar, pengerusi pengelola merangkap Pengerusi PEBEKAM Hider Nusi, Penaung Biro Wanita Saloma Amin, Presiden Bujang Boji Sitam dan Pengerusi Biro Wanita Dayang Noorsiah Awang Mashor.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wanita maut dalam kebakaran bilik sewa di Sarikei
Januari 19, 2026, Isnin - 9:46am
SARIKEI: Seorang wanita berusia 31 tahun ditemui meninggal dunia di dalam bilik air sebuah bilik sewa yang terbakar di Jalan Repok di sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Arrahman Chik berkata, mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kebakaran tersebut dikenali sebagai Priscilla Ida Francis.
"Pihak bomba telah menerima laporan berkaitan kebakaran tersebut pada jam 4.51 petang Ahad dan sejurus menerima panggilan kecemasan tersebut, sepasukan anggota bomba bersama dengan sebuah jentera pemadam dan kenderaan EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) telah dikerahkan ke lokasi kebakaran di sebuah bangunan di Jalan Repok, dekat sini, yang terletak dua kilometer dari balai.
"Ketika sampai di lokasi tersebut, anggota bomba mendapati kebakaran tersebut berlaku di tingkat empat bangunan berkenaan yang telah dijadikan rumah sewa," katanya kepada media pada Ahad.
Menurut Arrahman, berdasarkan situasi berkenaan, pihak bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan tiga pancutan daripada pam jentera serta sumber air daripada pili bomba berdekatan bagi mengawal dan memadam kebakaran.
Tambahnya, usaha memadam kebakaran tersebut telah berjaya dilakukan dalam tempoh tiga jam.
"Kebakaran yang berlaku tersebut adalah melibatkan sebuah bilik dan hasil pemantauan awal, bilik tersebut telah terbakar sekitar 60 peratus.
"Sementara itu, mangsa yang ditemui meninggal tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," kata Arrahman.
Tambahnya lagi, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jamawi rasmi Pertandingan Tarian Naga dan Singa Tenom
Januari 18, 2026, Ahad - 8:28am

KENANGAN: Jamawi (tengah) merakamkan gambar kenangan selepas merasmikan pertandingan itu.
TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi merasmikan Pertandingan Tarian Naga dan Singa anjuran Persatuan Yung Yee Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini pada Sabtu.
Jamawi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada persatuan berkenaan yang diketuai Pengerusinya, Tay Kok Kiong serta Pengerusi Penganjur, Chang Pei Pei atas jemputan merasmikan majlis tersebut.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seramai 140 peserta daripada 14 persatuan dari seluruh Sabah yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu.
Antara yang terlibat ialah Tenom, Keningau, Penampang, Kota Kinabalu, Sandakan, Beaufort, Membakut, Inanam dan Papar.
“Pertandingan ini merupakan kali kedua dianjurkan selepas lapan tahun lalu.
“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada masyarakat di Tenom untuk menyaksikan kehebatan pemain-pemain tarian singa dari seluruh pelusuk Sabah,” katanya.
Jamawi turut memaklumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan program selama tiga hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 13 sehingga 15 Februari ini di Maleh Square.
Katanya, pelbagai pengisian program telah dirancang termasuk gerai jualan, pertandingan mewarna dan melukis untuk kanak-kanak serta aktiviti lain.
“Saya menjemput semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada 13, 14 dan 15 Februari ini,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Hajiji dan isteri hadir Majlis Penghargaan dan Terima kasih
Januari 18, 2026, Ahad - 8:34am

MESRA: Hajiji bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada majlis itu.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag telah menghadiri Majlis Penghargaan dan Terima Kasih di Dewan Seri Sulaman, di sini pada Sabtu.
Majlis Penghargaan dan Terima Kasih Daripada Hajiji itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada rakyat, jentera parti serta jentera pentadbiran yang terus berdiri teguh menyokong kepimpinan beliau dan kerajaan negeri dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.
Ketibaan Hajiji bersama Juliah, disambut meriah dengan iringan persembahan kebudayaan, bacaan doa serta tayangan ucapan khas yang memaparkan mesej penghargaan dan komitmen berterusan Ketua Menteri kepada rakyat Sabah.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah, jentera parti, penjawat awam serta semua pihak yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha membangunkan Sabah secara terancang, inklusif dan mampan.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan politik dan pentadbiran negeri merupakan prasyarat penting bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat.
Hajiji turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh tadbir urus kerajaan negeri serta memastikan agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat dilaksanakan dengan lebih berfokus, menyeluruh dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan hiburan daripada barisan artis tempatan dan artis jemputan dari Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan program itu sebagai platform mendekatkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana santai namun penuh makna.
Antara artis yang membuat persembahan ialah Rozaimie, Marleynnie, Ray Kimara, MJ Abadey, Misha Omar dan Datuk Jamal Abdillah yang menghiburkan hadirin dengan pelbagai lagu popular sekali gus memeriahkan suasana majlis hingga ke penghujung acara.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek tanaman padi Kampung Inderasabah dinilai jabatan berkaitan - Nizam
Januari 18, 2026, Ahad - 1:26pm

ALBUM: Nizam (duduk tiga kiri) bergambar bersama jawatankuasa Persatuan Kebajikan Bangsa Tidong Kampung Inderasabah dan tetamu yang hadir.
TAWAU: Cadangan untuk membangunkan projek penanaman padi di Kampung Inderasabah kini masih berada pada peringkat penilaian oleh jabatan berkaitan sebelum sebarang keputusan muktamad dapat dibuat.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata projek itu berpotensi menjadi pemangkin kepada penjanaan ekonomi penduduk setempat, khususnya komuniti Bangsa Tidong.
Katanya, setakat ini seramai 44 penduduk dikenal pasti sebagai pewaris tanah dengan anggaran keluasan kira-kira 44 ekar, namun jumlah sebenar masih tertakluk kepada penilaian teknikal Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.
“Perkara ini telah dikemukakan di peringkat kepimpinan negeri dan mendapat sokongan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
“Pihak Jabatan Tanah akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Jabatan Pertanian bagi memastikan kawasan ini benar-benar sesuai untuk tanaman padi.
“Hasratnya ialah supaya pewaris tanah di kawasan ini dapat dibimbing menjadi pengusaha tanaman padi secara tersusun dan berdaya maju,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebajikan Bangsa Tidong Kampung Inderasabah, di sini, hari ini.

PENGHARGAAN: Nizam menerima cenderakenangan daripada pengerusi Persatuan Kebajikan Bangsa Tidong Kampung Inderasabah.
Nizam merakamkan tahniah dan syabas kepada persatuan berkenaan yang meskipun baru ditubuhkan pada akhir 2024, namun sudah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan serta program berorientasikan ekonomi untuk ahli-ahlinya.
Menurutnya, inisiatif mengenal pasti tapak penanaman padi membuktikan kesungguhan persatuan membantu meningkatkan pendapatan penduduk kampung, sekali gus memperkukuh kelangsungan ekonomi komuniti Bangsa Tidong yang sudah lama menetap di Kampung Inderasabah.
“Kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri menyokong usaha-usaha yang mampu memperkasa ekonomi rakyat di peringkat akar umbi, termasuk membimbing pewaris tanah agar mampu mengusahakan sektor pertanian secara produktif,” katanya.
Beliau turut menyeru persatuan itu agar terus bergerak aktif dan menjalin kerjasama erat dengan suku kaum lain di kampung berkenaan, demi memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat terus terpelihara.
Katanya, semangat muafakat pelbagai kaum di Kampung Inderasabah selama ini menjadi faktor penting kejayaan pelaksanaan agenda pembangunan kerajaan, termasuk pemilihan kampung berkenaan sebagai Kampung MADANI ESSCOM yang dilancarkan pada awal tahun lalu.
“Saya berharap persatuan ini menjadi wadah yang bukan sahaja memajukan Bangsa Tidong, tetapi turut menyumbang kepada kemajuan bersama seluruh komuniti di Kampung Inderasabah,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemilihan Ketua Kampung, JKKK menerusi proses undian
Januari 18, 2026, Ahad - 1:35pm

MEMILIH: Ishak memasukkan kertas undi semasa melaksanakan proses pemilihan jawatan Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bunsit.
KENINGAU: Penduduk Bingkor terus diberi ruang menentukan hala tuju kepimpinan kampung apabila pendekatan pemilihan kembali kepada rakyat dilaksanakan bagi jawatan Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bunsit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Mohd Ishak Ayub bersama isteri, Datin Tengku Aini Tengku Ibrahim hadir bagi menyertai proses pemilihan calon yang bertanding bagi jawatan berkenaan.
Pemilihan terbabit dilaksanakan menerusi sistem yang memberi kuasa sepenuhnya kepada penduduk kampung untuk memilih pemimpin setempat, sekali gus memperkukuh amalan demokrasi di peringkat akar umbi.
Menurut Ishak, pendekatan itu bertujuan memastikan kepimpinan kampung dipilih berdasarkan kepercayaan rakyat serta mampu berfungsi secara telus dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, penglibatan langsung komuniti dalam proses pemilihan juga dapat meningkatkan keberkesanan pentadbiran kampung dan mengukuhkan hubungan antara pemimpin serta rakyat.
Pendekatan berasaskan rakyat itu semakin mendapat sambutan di seluruh Sabah, dengan DUN Bingkor antara kawasan terawal melaksanakannya hasil cetusan idea Ishak, yang juga merupakan Pembantu Menteri Kewangan.
Pasangan suami isteri itu turut bermastautin di Kampung Bunsit dan merupakan pengundi berdaftar, sekali gus mencerminkan penyertaan sebagai rakyat setempat yang terlibat secara langsung dalam menentukan kepimpinan kampung.
Di Bingkor, kepimpinan digerakkan oleh denyut nadi rakyat — bermula di kampung, dipilih oleh komuniti, dan dipikul bersama tanggungjawab.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jalan protokol di kawasan Apas perlu diberi keutamaan - Nizam
Januari 18, 2026, Ahad - 2:14pm

NIZAM
TAWAU: Keperluan mewujudkan jaringan jalan raya yang lebih sistematik dan selamat di kawasan Apas perlu diberi perhatian, khususnya melibatkan jalan protokol di bawah kelolaan kerajaan Persekutuan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata ia susulan peningkatan jumlah kenderaan serta kesesakan yang semakin ketara.
Katanya, selaku wakil rakyat kawasan Apas sudah mengemukakan permohonan kepada pihak berkaitan agar isu jaringan jalan raya di kawasan itu diberi perhatian serius.
“Keadaan aliran trafik yang tidak seimbang di beberapa lokasi kritikal bukan sahaja menjejaskan kelancaran pergerakan harian penduduk, malah menyumbang kepada kemalangan jalan raya.
“Pertambahan jumlah pengguna jalan raya memerlukan perancangan yang lebih menyeluruh. Sebab itu saya memohon supaya kajian dilakukan bagi menilai keperluan penambahbaikan jaringan jalan raya, termasuk kemungkinan pembinaan flyover atau laluan alternatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebajikan Bangsa Tidong Kampung Inderasabah, di sini, hari ini.
Nizam berkata, walaupun pembinaan flyover memerlukan kos yang besar, langkah itu wajar dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang bagi mengurangkan kesesakan serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
“Kita faham implikasi kos, namun keselamatan dan keselesaan rakyat perlu menjadi keutamaan.
“Insya-Allah pada masa hadapan perkara ini boleh dipertimbangkan sebagai antara agenda penting pembangunan infrastruktur,” katanya.
Mengulas dakwaan segelintir pihak mengenai penyelenggaraan Jalan Apas, beliau menjelaskan laluan utama termasuk jalan protokol berada di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri.
“Sistem jalan raya kita terdiri daripada beberapa kategori termasuk jalan Persekutuan, jalan negeri, jalan PBT dan jalan kampung.
“Kebanyakan laluan utama yang sering mengalami kesesakan di kawasan Apas adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata permohonan sudah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan supaya jaringan jalan raya di kawasan Apas diberi keutamaan, selaras dengan keperluan semasa dan pertumbuhan trafik yang semakin meningkat.
“Saya berharap sistem jalan raya di kawasan Apas dapat dirancang dengan lebih teratur dan bersepadu supaya ia bukan sahaja melancarkan pergerakan, tetapi juga menjamin keselamatan semua pengguna,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jalan protokol di kawasan Apas perlu diberi keutamaan - Nizam
Januari 18, 2026, Ahad - 2:14pm

NIZAM
TAWAU: Keperluan mewujudkan jaringan jalan raya yang lebih sistematik dan selamat di kawasan Apas perlu diberi perhatian, khususnya melibatkan jalan protokol di bawah kelolaan kerajaan Persekutuan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata ia susulan peningkatan jumlah kenderaan serta kesesakan yang semakin ketara.
Katanya, selaku wakil rakyat kawasan Apas sudah mengemukakan permohonan kepada pihak berkaitan agar isu jaringan jalan raya di kawasan itu diberi perhatian serius.
“Keadaan aliran trafik yang tidak seimbang di beberapa lokasi kritikal bukan sahaja menjejaskan kelancaran pergerakan harian penduduk, malah menyumbang kepada kemalangan jalan raya.
“Pertambahan jumlah pengguna jalan raya memerlukan perancangan yang lebih menyeluruh. Sebab itu saya memohon supaya kajian dilakukan bagi menilai keperluan penambahbaikan jaringan jalan raya, termasuk kemungkinan pembinaan flyover atau laluan alternatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebajikan Bangsa Tidong Kampung Inderasabah, di sini, hari ini.
Nizam berkata, walaupun pembinaan flyover memerlukan kos yang besar, langkah itu wajar dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang bagi mengurangkan kesesakan serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
“Kita faham implikasi kos, namun keselamatan dan keselesaan rakyat perlu menjadi keutamaan.
“Insya-Allah pada masa hadapan perkara ini boleh dipertimbangkan sebagai antara agenda penting pembangunan infrastruktur,” katanya.
Mengulas dakwaan segelintir pihak mengenai penyelenggaraan Jalan Apas, beliau menjelaskan laluan utama termasuk jalan protokol berada di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri.
“Sistem jalan raya kita terdiri daripada beberapa kategori termasuk jalan Persekutuan, jalan negeri, jalan PBT dan jalan kampung.
“Kebanyakan laluan utama yang sering mengalami kesesakan di kawasan Apas adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata permohonan sudah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan supaya jaringan jalan raya di kawasan Apas diberi keutamaan, selaras dengan keperluan semasa dan pertumbuhan trafik yang semakin meningkat.
“Saya berharap sistem jalan raya di kawasan Apas dapat dirancang dengan lebih teratur dan bersepadu supaya ia bukan sahaja melancarkan pergerakan, tetapi juga menjamin keselamatan semua pengguna,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Taman Kinabalu kekal lestari hasil tadbir urus bersepadu - Jafry
Januari 18, 2026, Ahad - 2:52pm

HADIR: Jafry (tujuh kanan) ketika hadir merasmikan Sambutan Jubli Perak Taman Kinabalu.
KUNDASANG: Pengurusan bersepadu dan penguatkuasaan strategik menjadi tonggak utama dalam mengekalkan kelestarian Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO selama 25 tahun.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata kejayaan pemeliharaan taman ini bukan sahaja milik Sabah atau Malaysia, tetapi diiktiraf oleh komuniti antarabangsa.
Katanya, ia kerana ‘Outstanding Universal Value’ yang dikekalkan melalui tadbir urus holistik dan sistem penguatkuasaan berlapis.
“Keberhasilan ini dicapai hasil penglibatan pelbagai pemegang taruh strategik seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan, Pejabat Daerah serta agensi keselamatan lain.
“Mereka memastikan undang-undang, keselamatan awam, kesiapsiagaan bencana dan pentadbiran dijalankan secara konsisten dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Jubli Perak Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia ke-25 tahun di sini semalam.
Jafry turut menekankan penglibatan komuniti setempat sebagai rakan strategik utama dalam pemeliharaan taman.
Menurutnya, peranan Malim Gunung, Porter, Renjer Kehormat serta Majlis Pemegang Adat Istiadat Gunung Kinabalu memastikan pengurusan moden selaras dengan nilai tradisi, adat dan kesucian Gunung Kinabalu.
“Taman Kinabalu juga berjaya mengharmonikan dua status antarabangsa iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO dan UNESCO Global Geopark melalui Model Imbangan, di mana zon teras taman dipelihara secara ketat.
“Selain itu, pembangunan sosioekonomi komuniti dibolehkan di kawasan penampan Geopark secara mampan,” katanya.
Beliau berkata penggunaan sistem digital seperti EarthRanger dan penyelidikan bersama institusi antarabangsa membolehkan pemantauan biodiversiti dan keselamatan secara masa nyata, menjadikan penguatkuasaan lebih proaktif dan berasaskan data.
“Pelan Pengurusan Tapak Warisan Dunia baharu memberi fokus kepada empat tonggak utama iaitu adaptasi perubahan iklim, kawalan kapasiti pelawat, pengurusan risiko bencana dan kesejahteraan komuniti.
“Ia selaras dengan dasar negara dan negeri termasuk National Climate Change Policy, National Biodiversity Policy dan Sabah Sustainable Development Policy,” katanya.
Katanya, Sambutan Jubli Perak ini membuktikan bahawa kelestarian Tapak Warisan Dunia memerlukan kepimpinan dasar yang jelas, pelaksanaan berintegriti dan kerjasama berterusan semua pihak.
“Saya dengan penuh bangga dan syukur merasmikan sambutan ini serta pelancaran pelan pengurusan baharu Taman Kinabalu,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki maut tercampak keluar dari MPV dalam kemalangan di Tambunan
Januari 18, 2026, Ahad - 3:23pm
TAMBUNAN: Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan membabitkan sebuah lagi kereta di Jalan Dabata, di sini, pada Sabtu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.40 petang, dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas ditemukan di luar kenderaan, dipercayai terhumban akibat hentakan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.56 petang
Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira lima kilometer bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi pada jam 5.02 petang, pasukan mendapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan yang dipercayai telah bertembung.
“Pemandu MPV terbabit disahkan meninggal dunia, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, semalam
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Sementara itu, pasukan bomba menjalankan pemantauan keselamatan serta mengambil maklumat di lokasi kejadian bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.
“Operasi dikawal dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.40 petang selepas keadaan di lokasi kejadian disahkan selamat,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Suri rumah bersyukur terima Skim Insurans Rakyat Sabah
Januari 18, 2026, Ahad - 4:36pm

PRIHATIN: Nizam ketika mengunjungi Siti Aida di rumahnya selepas menerima bantuan skim berkenaan.
TAWAU: Seorang suri rumah, Siti Aida Sofyan, 32, melahirkan rasa syukur selepas menerima bantuan Skim Insurans Rakyat Sabah bernilai RM10,500, susulan kematian suaminya, Mohd Nasarudin, 30, akibat kemalangan jalan raya pada 30 Oktober tahun lalu.
Siti Aida yang kini mengandung anak keempatnya berkata, bantuan insurans itu sedikit sebanyak meringankan beban keluarga dan persediaannya untuk kelahiran yang dijangka pada 22 Februari ini.
“Syukur Alhamdulillah, walaupun saya tidak pernah membeli insurans atau membayar premium, saya telah menerima insurans sebanyak RM10,500.
“Bantuan ini sedikit sebanyak membantu keperluan keluarga dan persediaan saya sebelum bersalin,” katanya ketika ditemui hari ini.
Siti Aida yang mempunyai tiga anak berusia tiga, lima dan lapan tahun berkata, kehilangan suami memberi impak besar kepada kehidupan keluarga.
Namun, katanya bantuan kerajaan negeri di bawah Skim Insurans Rakyat Sabah memberi harapan dan meringankan beban kewangan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan kerana memaklumkan bahawa saya layak menerima bantuan ini,” katanya.
Sementara itu, Nizam berkata, skim insurans itu merupakan salah satu inisiatif Kerajaan GRS untuk melindungi rakyat Sabah daripada kesan kemalangan, termasuk mereka yang tidak pernah membeli insurans atau membayar premium.
“Skim Insurans Rakyat Sabah memberi perlindungan sehingga RM10,000 untuk kemalangan dan RM500 khairat kematian.
“Program ini membuktikan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap kebajikan rakyat, terutamanya golongan B40 dan mereka yang ditimpa musibah,” katanya.
Menurutnya, skim ini diperkenalkan pada 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028 dan memberi manfaat kepada seluruh penduduk Sabah berumur 1 bulan hingga 80 tahun.
“Bantuan insurans ini akan mempermudahkan urusan Puan Siti Aida menghadapi kelahiran anaknya yang keempat.
“Ini menjadi bukti bahawa pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Usahawan wanita perlu eratkan kerjasama
Januari 19, 2026, Isnin - 9:54am

KENANGAN: Tetamu kehormat yang hadir merakamkan gambar kenangan pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Usahawan wanita perlu mengeratkan kerjasama dan bina ikatan kepercayaan diantara satu sama lain.
Pengerusi Jawatankuasa Usahawan Wanita (WEC) Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah, Yong Hui Sun berkata, setiap usahawan wanita membawa kisah, cabaran dan kekuatan tersendiri.
"Apabila mereka berkumpul...yang terhasil bukan sahaja perkembangan perniagaan, tetapi juga sokongan bersama dan kemajuan kolektif," katanya.
Baru-baru ini WEC MCCC Sabah telah menganjurkan Afternoon Mingle. Acara itu berjaya menghimpunkan usahawan wanita serta tetamu kehormat bagi memupuk jaringan, kerjasama dan hubungan bermakna.
Yong berkata, dalam perniagaan atau kerjasama, kejayaan berasaskan kepercayaan, pemahaman dan hubungan yang ikhlas adalah penting.
Beliau berkata, kehadiran ramai ahli dan tetamu merupakan sumber dorongan serta pengiktirafan besar bagi WEC.
Yong menegaskan misi WEC adalah jelas dan teguh untuk menghubungkan wanita, memupuk kepimpinan serta mewujudkan peluang kerjasama rentas sektor dan wilayah.
Beliau berharap melalui platform seumpamanya, ahli dapat berkongsi idea, memupuk perkongsian serta membina persahabatan yang tulen dan berkekalan dalam suasana santai tetapi bermakna.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
MCCC Sabah komited bina platform terbaik kepada ahli
Januari 19, 2026, Isnin - 9:56am

AMANAT: Dexter semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah komited membina platform badan berasaskan integriti, berkeupayaan serta tadbir urus yang baik.
Presidennya, Datuk Dexter Lau berkata, MCCC Sabah dan Jawatankuasa Usahawan Wanita (WEC) bukan sekadar badan sokongan, tetapi telah diintegrasikan sepenuhnya ke dalam struktur majlis Dewan.
"WEC mempunyai wakil rasmi serta hak mengundi dalam mesyuarat majlis, memastikan suara wanita diberi pengiktirafan dan dihormati dalam proses membuat keputusan," katanya.
Beliau berkata, Dewan induk juga telah mewujudkan mekanisme menyeluruh bagi memastikan ahli WEC diwakili dan terlibat dalam semua inisiatif, aktiviti, program latihan, platform publisiti, peluang serta pelantikan, sekali gus memajukan pertumbuhan mampan usahawan wanita melalui pendekatan berinstitusi.
Sehubungan itu katanya, MCCC Sabah sentiasa berusaha memupuk penglibatan lebih rapat dan berterusan dengan semua ahli majlis WEC serta ahli secara keseluruhan.
Beliau mahu ahli majlis WEC memikul tanggungjawab lebih jelas serta tahap penyertaan lebih tinggi dalam urusan dan aktiviti Dewan, bagi memastikan kemajuan berterusan serta penunaian komitmen.
Berucap pada majlis WEC Afternoon Mingle baru-baru ini, Dexter menekankan MCCC Sabah memberi keutamaan kepada kesinambungan dan pembinaan kapasiti secara sistematik.
"Selain menyokong ahli WEC yang aktif ketika ini, Dewan akan terus membantu mereka meningkatkan kemahiran dan pengalaman, mempersiapkan mereka untuk memikul peranan kepimpinan lebih signifikan pada masa hadapan," katanya.
Beliau menegaskan pemilihan kepimpinan tidak seharusnya terbatas kepada ahli yang kerap hadir dalam aktiviti, tetapi juga harus merangkumi ahli cemerlang yang mungkin menumpukan kepada pembangunan perniagaan masing-masing namun memiliki potensi dan keupayaan yang tinggi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program budaya tinggi sokong kestabilan negara
Januari 19, 2026, Isnin - 10:26am

PENGHARGAAN: Dr. Mohamad (tiga kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Ahmad Nazib.
KOTA KINABALU: Kestabilan sesebuah negara bukan hanya dibina oleh warga politik, ekonomi dan teknokrat, sebaliknya turut diperkukuh melalui penganjuran program budaya tinggi yang menyuburkan nilai rohani serta peradaban bangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata kehalusan seni sastera dan nilai murni yang dibawa menerusi kegiatan budaya mampu memacu peradaban negara ke tahap lebih terkehadapan.
Katanya, kesungguhan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menganjurkan Program Malam Baca Puisi PENA (MBPP) secara konsisten wajar dihargai kerana memberi sumbangan signifikan kepada pembinaan negara dan kemajuan bangsa, selari dengan nilai Kerajaan MADANI.
“Usaha bersepadu seperti ini sangat bermakna dan perlu disokong semua pihak.
“Sebagai orang politik yang memikirkan tadbir urus negara, kami mengharapkan kerjasama serta sumbangan penggiat budaya untuk berganding bahu ke arah kemajuan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program MBPP sempena Israk Mikraj dan Tahun Baharu 2026, di Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Ahmad Nazib Johari.
Turut hadir, wakil Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Ruziah Yunus; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar; Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Mohd Khair Ngadiron; Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad serta Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan.
Mengulas lanjut, Mustapha menegaskan kemajuan negara tidak boleh diukur menerusi pembangunan material semata-mata seperti bangunan pencakar langit atau projek mega.
“Antara kayu ukur kemajuan ialah keseimbangan pembangunan fizikal dan rohani. Negara akan lebih makmur apabila keperluan rohani warganya dipenuhi.
“Saya yakin negara terhutang budi kepada pembangun budaya dan kesenian yang bekerja tanpa agenda peribadi. Tekad budaya seperti ini wajar diperluaskan kepada generasi baharu agar dapat diteruskan,” katanya.
Acara itu turut menampilkan persembahan baca puisi dan lagu puisi oleh penyair Lin Haslinaz, Harlem Yeo, Aloy Jokina, Maslinah Yusof, Aqmir Alhamdi, Abid Ariff dan Dr. Sifu Art.
Selain itu, persembahan Zamratur Rahman Yusri, Najmi Adli Mustaffa dan Rasmin Sagal Abdul Rahman dari Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia.
Turut memeriahkan program ialah persembahan Muhammad Nasri Masri dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ilmu Khas; Adyana Nafiesha Ady Rizalman, Dhiya Raidah Alisha Ruzaimi, Nayli Edora Fairysha Nasyari dan Adam Daniel Wong Muhammad Hafiz Wong dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, serta Chinta Sofea Mahafiz, Juara Deklamasi Puisi Pengakap Malaysia 2025.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ewon sedia pertahan Presiden dalam pemilihan UPKO 2026
Januari 19, 2026, Isnin - 11:42am

ALBUM: Ewon bersama para kepimpinan UPKO merakamkan gambar kenangan pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mengumumkan kesediaannya menawarkan kepimpinan semula bagi mempertahankan jawatan Presiden parti itu untuk penggal seterusnya dalam pemilihan UPKO 2026.
Beliau berkata, tahun ini merupakan pemilihan parti di semua peringkat dan UPKO akan mengadakan Kongres pada 8 dan 9 Ogos depan melibatkan pemilihan selaras dengan perlembagaan Parti.
“Ahli-ahli mempunyai kebebasan penuh untuk memastikan proses demokrasi dilaksanakan secara telus dan cekap di semua peringkat.
“Saya berharap pemilihan ini terus menyatukan kita, bukan sebaliknya. Kita mesti memilih barisan pemimpin berasaskan merit dan potensi serta mampu menawarkan kepimpinan yang boleh diterima oleh rakyat, yang mahu bekerja untuk rakyat dan memimpin rakyat,” katanya ketika berucap menyempurnakan pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di sini, kelmarin.
Ewon mengakui UPKO di bawah kepimpinannya tidak sempurna dan masih mempunyai kelemahan, namun menegaskan komitmennya untuk memastikan parti itu terus diperbaiki dari semasa ke semasa.
“PRU Sabah menyerlahkan keperluan parti kita untuk memperkemas jentera di semua peringkat, terutamanya di setiap kawasan Dewan Undangan. Kita tidak mungkin memenangani pilihanraya dengan keinginan semata-mata, melainkan pemantapan jentera di akar umbi.
“Justeru, semua Bahagian yang berhasrat untuk mengambil bahagian dalam PRU seterusnya harus menggunakan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO tahun ini untuk memperkemaskan cawangan-cawangan termasuk jawatankuasa pimpinan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jika ada keperluan meminda perlembagaan Parti untuk memperkukuh institusi pimpinan DUN, maka sebaiknya itu harus mendapat sokongan semua Bahagian,” katanya.
Ewon berkata, UPKO juga akan memperkukuh institusi Wakil-Wakil Rakyat
UPKO supaya berada dalam pembuatan keputusan dasar-dasar parti, termasuk peranan lebih berkesan kepada Majlis Penasihat dan Pengarah Pilihanraya Parti.
“Wakil-wakil Rakyat UPKO merupakan wajah utama parti yang harus berada di barisan hadapan perjuangan kepimpinan dan perkhidmatan pelayanan, menjadi duta dan refleksi parti. Wakil-wakil Rakyat UPKO dan semua barisan pimpinan harus bebas kontroversi,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon mengulangi keperluan mempelbagaikan kekuatan jentera parti menerusi pelaksanaan inisiatif 'Satu Bahagian, Satu Persatuan, Satu Koperasi, Satu Success Story', di samping menganjurkan lebih banyak pemukiman, forum dan konvensyen berkaitan agenda serta wawasan Sabah First.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan ahli baharu, namun menegaskan penubuhan cawangan dan bahagian baharu perlu melalui proses penjiwaan dan penghayatan perjuangan parti dalam tempoh dua tahun sebelum diperakukan oleh Majlis Tertinggi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Agenda reform nasional mesti cakupi kepentingan Sabah
Januari 19, 2026, Isnin - 11:43am

JELASKAN: Ewon semasa ditemui media pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Agenda reform nasional mesti mencakupi kepentingan Sabah, termasuk pelaksanaan penuh hak-hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, UPKO akan terus memperjuangkan representasi Sabah di Dewan Rakyat sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen, selain penyelesaian menyeluruh terhadap hak 40 peratus Sabah.
“Ini termasuk penyelesaian kepada pelaksanaan hak 40 peratus Sabah. Jika perundingan ke atas 'lost years' itu mengambil tempoh, saya percaya pelaksanaan untuk tahun-tahun yang akan datang sepatutnya dapat dimuktamadkan.
“Ini merupakan agenda reform utama yang akan menjadi pembolehubah kepada banyak keperluan pembangunan di Sabah,” katanya ketika berucap menyempurnakan pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di SICC, di sini, kelmarin.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, agenda reform nasional juga mesti mencakupi penyelesaian lebih berkesan bagi menangani isu pendatang asing dan pelaksanaan jaminan perlembagaan kepada masyarakat Orang Asal Malaysia, iaitu Momogun dan Orang Asli.
Beliau berkata, apa jua reform nasional mesti berteraskan MA63 dengan penjiwaan terhadap semangat dan syarat asal Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Persekutuan, sambil menghormati sistem perundangan dan eksekutif kedua-dua negeri.
Dalam konteks penyertaan UPKO dalam agenda reform, beliau menyatakan sokongan terhadap pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh penggal maksimum Perdana Menteri dan Ketua Menteri, penyasaran semula subsidi kerajaan, penggubalan undang-undang pendanaan parti politik, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, semakan perundangan lapuk serta pendigitalan jentera penyampaian kerajaan.
Mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan Sabah, Ewon berkata UPKO berpegang kepada prinsip menyokong parti yang mempunyai kerusi terbanyak apabila tiada pihak memperoleh majoriti mudah, iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kita di UPKO mahu melihat penyatuan besar parti-parti lokal Sabah, kita mendengar ssendiri kenyataan parti-parti lokal yang tidak mahu bersetuju dengan hasrat ini, tetapi penyokong-penyokong parti inilah pula yang akan terus ‘membubut’ UPKO dengan pelbagai naratif.
“Kerajaan sudahpun ditubuhkan dan sedang bekerja. Pada 30 Januari ini, Ketua Menteri akan meluncurkan Halatuju Sabah Maju jaya 2.0 yang sudah semestinya mencakupi agenda-agenda Sabah First,” katanya.
Ewon turut merakamkan penghargaan atas pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET).
Di MINDET, beliau memperkenalkan Dasar Sabah First berteraskan pembangunan lebih ramai rakyat Sabah berpendapatan sama ada sebagai pemilik perniagaan atau pekerja kepada perniagaan tempatan.
Bagi merealisasikan wawasan itu, tiga fokus digariskan iaitu membangunkan ekosistem pelaburan, perindustrian dan keusahawanan yang lebih baik; meningkatkan kualiti serta standard produk dan perkhidmatan usahawan tempatan; serta memperkukuh kecekapan tadbir urus jentera penyampaian kementerian.
Beliau menegaskan isu Pelabuhan Sepanggar sebagai keutamaan utama MINDET dengan penyelesaian interim dijangka diperkenalkan dalam masa terdekat, sementara penyelesaian jangka panjang melalui peluasan pelabuhan memerlukan tempoh lebih lama.
“Kita berada dalam kerajaan untuk bekerja kepada rakyat. Selepas penggal berakhir, kita kembali kepada rakyat untuk menilai sama ada kita telah menunaikan amanah dengan adil,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|