LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, beliau tidak mempunyai jawapan apabila ditanya mengapa Abu Dhabi United Group sanggup mengambil alih kelab bola sepak Liga Perdana England , Manchester City dengan perjanjian berjuta-juta pound.
Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan secara rasminya menjadi pemilik baru kelab itu, semalam.
Ketibaan bilionair Asia Barat itu menjadikan City kelab terkaya dalam liga - mengambil teraju yang dipegang oleh Chelsea selama lima tahun lalu sekali gus tampak seperti mengubah imbangan kuasa berbelanja dalam Liga Perdana.
Wenger beranggapan ia seperti satu misteri apabila jutawan itu membeli kelab yang tidak pernah memenangi satu gelaran besar sejak menjulang Piala Liga pada 1976.
Kali terakhir mereka muncul juara England ialah 40 tahun lalu.
Dalam satu temu bual dalam majalah rasmi Arsenal, Wenger berkata: "Saya tidak tahu mengapa orang ini (Abu Dhabi) berada di sini.
"Saya tidak nampak mereka berada di sana (City) untuk membuat duit. Jadi jika mereka tidak berada di sana untuk membuat duit daripadanya, untuk tujuan apa membelinya.
"Apa pun, saya tidak pasti adakah orang ini penyokong Manchester City sejak muda lagi.
"Jadi timbul soalan lain. Mengapa mereka melakukannya? Mengapa mereka membeli kelab ini? Saya memang tidak mampu mendapat satu jawapan yang munasabah.
"Jika ia hanya satu barang mainan bagi mereka, ia akan lebih berbahaya.
"Anda boleh memiliki 20 bilionair dalam Liga Perdana tetapi hanya seorang yang mampu memenanginya dan satu akan tiba terakhir.
"Masalahnya ialah apabila orang ini sudah jemu, akhirnya apa yang akan mereka tinggalkan? Inilah persoalannya.
"Pelaburan mereka benar-benar strategik, berdasarkan pada minat pasaran, kemudian mereka dengan mudah memutuskan satu hari bahawa ia tidak strategik untuk berada dalam pasaran itu lagi, ketika itu mereka akan pergi," ujarnya.
Manchester City melakukan satu permulaan yang menyuntik harapan musim baru apabila membelasah Portsmouth 6-0, Ahad lalu untuk menduduki tempat kelima liga.
"Memang bagus mempunyai wang dalam bola sepak tetapi bagaimana anda menggunakannya. Pada asasnya, anda masih perlu menghormati peraturan ini.
"Anda tidak boleh mempunyai satu situasi di mana orang hanya masuk dan berkata, mereka mahu membeli Cristiano Ronaldo atau mereka mahu membeli Fernando Torres. Ini biadap. Pemain ini terikat dengan kontrak," katanya.
City mengambil penyerang Brazil, Robinho dengan yuran kira-kira 32.5 juta pound (RM205 juta) pada awal September sejurus selepas syarikat pelaburan Abu Dhabi itu menandatangani satu memorandum perjanjian berhubung pengambilalihan kelab tersebut.