CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: bianglala

•• Floria •• V7

 Close [Copy link]
 Author| Post time 21-11-2014 12:43 AM | Show all posts
Kawan, pulanglah ke rumah, dan renunglah tepat-tepat ke dalam mata ibu kamu. Apabila dia sudah seperti pokok tua, berapa ramai daripada kita yang sanggup mengendong dan memapahnya ke bilik air untuk mengambil wuduk? Apabila dia sudah terlalu uzur dan renta, berapa ramai daripada kita yang sanggup membilas membasuh berak kencingnya? Apabila dia sudah terlalu nyanyuk, berapa ramai juga daripada kita yang sanggup membawanya tinggal bersama-sama dan merelakan saja dia menghancingkan sofa mahal kita tanpa perlu merungut-rungut dan merengus-rengus marah? Apakah kita semua sudah cukup bersedia mengambil-alih tanggungjawabnya terhadap kita seperti 30 tahun yang lalu?


Selama sembilan bulan 10 hari kita bersarang di rahimnya dengan nyaman. Selama sembilan bulan 10 hari kita diqasidahkan dengan bahasa Al-Furqan yang indah dan mententeramkan. Selama sembilan bulan 10 hari kita menjadi darah dan dagingnya, dan apabila sudah sampai masanya kita disyahadatkan sebagai zuriat, ibu menerankan kita dari rahimnya yang dialiri darah, dengan kesakitan, dan derita yang tiada tandingan. Namun kerana itu fitrah dan nurani ibu, bisa sengsara, menjadi serumah bahagia.


Janganlah sekali-kali kita mengingkari kata ibu, dan jangan sekali-kali juga kita menyanggah dan berkata "Ah!" kepada ibu. Tidak sekadar melahirkan, dia juga menyusukan, menjaga muntah, kerana ya, bayi tidak tahu bagaimana caranya bersendawa, malah dia juga menidurkan, memandikan, menyuapkan makan, menyikatkan rambut, mengetipkan kuku, memakaikan bedak wangi, mencebok berak kencing, malah dia juga tempat mengadu apabila tibanya hari akil baligh dan kita semua menghadapi peristiwa datang bulan yang pertama, juga sehingga hari pernikahan kita, dia juga tempatnya kita mengadu sebelum kita diserahkan menjadi tanggungjawab rusuk seorang suami.


Namun kerana di dalam keranjang hatinya adalah jiwa seorang ibu, dia, ibu kita, seperti yang saya katakan tadi, tidak mungkin penat menjahit pakaian doa untuk kita. Kamu tahu mengapa? Kerana dia masih gusar dan gelisah memikirkan, apakah zuriatnya sudah cukup kuat untuk dilepaskan ke tengah laut yang luas terbuka, menerjang taufan dan gelombang yang gulung-gemulung. Kita tidak seharusnya saling menyakitkan hati, kerana kita dan ibu saling melengkapi. Kita bersebati dengannya seperti tanah, air dan langit.


"Kamu semua tidak tahu bagaimana rasanya tidak mempunyai emak," suara si dia masih terngiang-ngiang di telinga. Dan setiap kali dia berkata begitu, saya rasa sedih, rindu, terharu, dan bersyukur.


Mak, saya mahu terbang memacu langit, tetapi saya tidak mahu meninggalkan sarang tempat jiwa berkembang. Selamat Hari Ibu, mak. Selamat Hari Ibu kepada ibu anda, dan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu di dunia. Semoga daripada setiap tangan wanita, juga anda semua yang bakal bernama ibu, akan digoncangkan buaian zuriat yang dirahmati, agar dunia kita tidak dipenuhi manusia yang hanya mementingkan diri sendiri.


Mengenangkan ibu
Adalah mengenangkan buah-buahan
Istri adalah makanan utama
Pacar adalah lauk-pauk
Dan ibu
Adalah pelengkap sempurna
Kenduri besar kehidupan


Mengingat ibu
Aku melihat janji baik kehidupan
Mendengar suara ibu
Aku percaya akan kebaikan hati manusia
Melihat foto ibu
Aku mewarisi naluri kejadian alam semesta**

** Dipetik daripada puisi Sajak Ibunda. (W.S Rendra)
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-11-2014 12:44 AM | Show all posts
anniez08 posted on 21-11-2014 12:39 AM
n beli kat tesco pagi td...
masa lalu kat dpn sekali tu nmpak bunga2..
tgk ada lake jual benih.. ...

lagi ada jual benih apa, N? sayur-sayuran mesti banyak kan?

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 12:45 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 12:47 AM | Show all posts
Biar Cinta Mencari Langitnya Sendiri
(Rosie Haslinda Nasir.)



Sewaktu dua belas tahun, dia baru kenal apa itu makna cinta. Ia datang berkilat-kilat setiap kali terpandangkan seorang budak perempuan melalui koridor kantin sekolah dengan rambutnya yang panjang hitam diikat ekor kuda, di situ disematkan riben biru, berkaca mata, berbaju kemeja putih dengan skirt labuh potongan A warna biru nila. Setahun dia menyukai dalam diam, tetapi kerana kedua-duanya masih terlalu hijau, maka keseronokan cinta hanya berputar sekitar koridor, bertukar pandang, berkirim-kirim salam, dan terkemudiannya bertukar-tukar gambar , dan bertukar-tukar autograf. Alangkah bodohnya waktu itu jika difikir-fikirkan kembali. Tetapi dia sungguh baik, dan sungguh pendiam.


Namun saya percaya, jika cinta, pada waktu-waktu tertentunya, jika di simpan, ia lebih meluka dan memilukan, maka kerana itu kita perlu melepaskannya pergi begitu saja.


Baru-baru ini, saya terlihatkan namanya mengerdip di skrin computer. Sepucuk e-mel daripadanya, setelah hampir setahun perkahwinannya berlalu. Melihatkan namanya tersangkut di peti e-mel membuat hati saya berdebar dan teringatkan kisah lalu.


Kami bertemu pada malam sebelum pernikahannya. Cuma di gerai makan tengah malam di jantung bandar kecil, dia membawa teman, juga kenalan daripada kelas yang sama, dan saya juga serupa. Dia mahu mengutuskan kad undangannya ke tangan saya daripada tangannya sendiri. Seperti dulu juga. Jujur, baik dan naïf.


Seingat-ingat saya selama sembilan tahun hadiah-hadiahnya tidak pernah lupa menjenguk setiap kali datangnya hari jadi. Sneakers mahal, cincin emas, jam tangan, aksesori kristal, juga timbunan surat-surat yang kunjung datang sewaktu di asrama - Membuat hati sebak, gembira dan terharu. Jam tangan pemberiannya sewaktu tingkatan dua pun entah tercampak di mana sekarang, mungkin adik pun sudah membuangnya sewaktu berkemas membersihkan rumah untuk menyediakan persiapan kahwin. ”Kalau tak suka lebih baik pulangkan,” Pesan Zaki dan Wee beberapa kali. "Kalau tak suka jangan buat orang terharap-harap.”


Dan kerana berpegang kepada kata-kata itulah maka saya tidak memberikan jawapan apa-apa - Semenjak peristiwa dia melihat saya di kantin koridor sekolahnya, 15 tahun yang lalu - Maka saya belajar untuk tidak berkata apa-apa, sehinggalah di kampus. Mungkin inilah yang dirasai oleh seorang kenalan saya sekarang ini, yang masih berhubungan dengan budak lelaki yang tergila-gilakannya sewaktu di kampus dahulu.


Si lelaki ini masih di Amerika, melanjutkan pengajian (tetapi dengar khabarnya sudah habis belajar dan sedang sibuk bekerja mengumpul duit, dan mungkin akan pulang tidak lama lagi), masih tidak putus asa menghubungi teman saya ini. Tetapi barangkali kerana hati telah terkatup dan nurani masih tertutup, maka perhubungan berlalu begitu saja. Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi, maka si lelaki perlahan-lahan mengambil sikap mendiamkan diri dan tidak menghubunginya lagi.


Banyak daripada kita, wanita, mempunyai tingkat ego kita sendiri, namun kita selalu menuduh ego lelaki lebih sukar dilenturkan. Seperti yang pernah berlaku semenjak 15 tahun yang dahulu, juga seperti yang berlaku kepada teman saya ini – Tiada kata pemutus yang diberikan, namun segalanya pemberian-pemberiannya tidak juga ditolak, dan kita wanita selalu menyimpannya dengan segala rasa senang hati.


Ada dua perkara yang saya pelajari daripada tamsil kejadian ini. Jika bukan jodoh, maka 1000 tahun berkawan juga maka tidak mungkin kita akan bersamanya. Dan seperti dia juga di pihaknya, saya percaya dia juga mempelajari sesuatu – Cinta, jika ia benar dan jujur, maka cinta itu ada waktunya harus kita lepaskan daripada pegangan dan biarkan ia terbang mencari langitnya sendiri.


Dan emak, yang baru-baru ini terkedang sekali lagi di hospital, kali ini lebih menyayat – Mulut dan pipinya jatuh sebelah, begitu juga dengan tangan dan kaki kanannya yang separa lumpuh, selepas serangan angin ahmar membuat dia jatuh terselepuk dan mulut berbuih – Menjadikan kami seperti hilang punca. Tetapi di dalam pada itu saya lekas mengingatkan diri sendiri, takdir, ketentuan Tuhan dan masa depan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 12:47 AM | Show all posts
Jika ia tidak berlaku hari ini, mungkin esok. Jika ia tidak berlaku esok, mungkin sebulan dari sekarang, dan begitulah andaian-andaian yang selalu mebuat saya siap siaga dan memaksa diri bersedia untuk sebarang kemungkinan. Bukan kerana semangat yang kuat. Tetapi barangkali kerana jiwa yang lemah dan rapuh maka saya perlu berlakon semuanya baik-baik sahaja.


“Life is so short,” Pujuk beberapa teman yang bukan seagama. Namun saya fikir soalnya sekarang bukanlah kepanjangan yang menjadi ukuran, tetapi bagaimana kita semua mengisinya. Seperti emak, pada usia 61, dia sudah kelihatan terlalu uzur kerana penyakit yang bermacam-macam, keluar masuk hospital, ubat darah tingginya sekotak besar, susu Anlenenya silih habis dan berganti, makanan yang dipilih sehari-hari pun cuma nasi dengan kuih tawar, ikan dan sayur campur. Daging, jauh sekali. Dan yang terakhir, sebelum saya berangkat pulang ke Kuala Lumpur , pagi itu, doktor muda yang mengendalikan kesnya datang menemui saya :  “Kami memerlukan keizinan untuk satu lagi prosedur memeriksa bendalir di dalam badan emak kamu.” Katanya, “Dari lehernya perlu dimasukkan satu lagi tiub, terus kepada pembuluh darah utamanya.”


Tapak kaki saya sungguh ngilu, dan sekilat itu saya terpandangkan emak yang terperosok di katil, sungguh tidak berdaya. Lalu apa yang harus saya katakan? Sudah tentu saya tidak mahu lagi menyeksa emak dengan jarum-jarum doktor yang ditusuk sana sini, dan di dalam masa serupa saya sendiri tertanya-tanya kemana perginya 120ml air yang sudah pun dimasukkan ke dalam tubuh emak, kerana yang keluar sebagai urin hanyalah 56ml sahaja? Jadi bagaimana?


Cinta, jika kita menyayanginya, maka benar, kita perlu melepaskan ia pergi begitu saja.


Seperti emak juga,barangkali sudah sampai masanya kami membiarkan dia dibiarkan aman menghadapi hari-hari tuanya tanpa campur tangan suntikan dan eksperimen doktor. Tetapi adik nampaknya belum boleh menerima hakikat ini. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan adik apabila emak tiada lagi. Adiklah yang selama ini menemani emak di rumah, adik yang mengurut kaki emak dengan minyak urut bila kekejangan, adik yang menolong memakai dan membetulkan tudung emak yang selalu senget dan herot berot, kerana seperti kata emak,  “Aku ini dah pun tua, tak ada siapa yang hendak menengok,” Adik yang kadang-kadang bertengkar mulut dengan emak kerana mereka berdua sahaja yang tinggal di rumah itu bila ayah keluar bekerja, adik yang tolong menyikatkan rambut emak yang sudah jarang-jarang dan putih semuanya, adik, dia melakukan kesemuanya.


Saya sudahpun melihat tamsil kejadian terdahulu. Cinta, jika kita sungguh mengasihinya, maka kita perlu redha melepaskannya, dengan baik, tanpa dendam atau sakit hati. Seperti dia, yang pernah membazirkan sekian banyak duit simpanan dan duit saku kerja sampingannya di 7 Eleven kerana mahu memandikan saya dengan hadiah-hadiah, maka, setelah segalanya berakhir dan dia memilih untuk berkahwin dengan wanita yang pernah menjadi tukang sampai kartunya kepada saya di kampus dulu – Maka jelas, saya percaya, dia juga sudah mempelajari sesuatu. Sometimes ‘love’ means to let go.


Saya sudah pun belajar untuk melepaskan beberapa perkara yang amat saya sayangi dalam hidup saya, kerana saya percaya, mungkin itu yang lebih baik.

Namun saya tidak tahu apakah saya sudah benar-benar sedia untuk menerima hakikat yang satu ini.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 12:49 AM | Show all posts
Selepas Dia Bebas Dari Sangkar.
(Rosie Haslinda Nasir)


Awan bersisir-sisir sewaktu saya membelok ke selekoh terakhir - Di kiri dan kanan bunga-bunga kenanga kembang berpangsa-pangsa, daun-daun kering berwarna kuning dan coklat berselerakan, dan angin, seperti menyanyi-nyanyi sewaktu saya berdiri di situ - Di hadapan pusaranya.


Dia sudah pergi, 12 Rejab tahun lalu. Saya membaca namanya yang terukir pada nisan. Masih putih kelabu, sejuk, seperti baru semalam ditegakkan di situ. Dia sudah bebas dari dunia ini. Maafkan saya, bisik hati saya, maafkan saya, kerana baru sekali ini, setelah saya mendengar cerita tentang pemergiannya, baru hari ini saya dapat melihatnya semula, selepas tiga setengah jam perjalanan memandu, saya akhirnya tiba di sini - Di tempat dia bersemadi.


Segalanya bermula 21 tahun yang lalu, sewaktu kami berusia enam tahun. Saya, Rizal dan Maisarah - Tiga sekawan yang dewasa bersama-sama. Kami belajar di dalam kelas yang sama, malah tinggal di kawasan perumahan serupa.


Sebelum saya terlupa, saya ingin memberitahu kamu semua, romantic connections, selalu tercetus secara tidak sengaja - Chemical attractions yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, that draws two people together like magnets, itulah yang membuat orang sedang bercinta berbeza dengan orang yang tidak bercinta - Dan itulah kisah kami yang mahu saya ceritakan kepada kamu semua. Seperti saya juga, saya harap kamu dapat belajar sesuatu daripadanya - Betapa romantic connections, tidak boleh dipaksa-paksa, betapa romantic connections juga, tidak mungkin boleh dirangka-rangka.


Untuk kali pertamanya, selepas tahun demi tahun saya tidak pernah ambil pusing mendengar rungutan emak dan kawan-kawan tentang kedegilan dan keengganan saya bergincu, atau sekurang-kurangnya berbedak talkum, hatta muka pucat macam mayat, bibir kering menggelupas dan kulit berkilat - Ahh, tak mengapa, semua itu tak pernah menjadi masalah. Tetapi kerana majlis besar hujung tahun itu akan dihadiri oleh Rizal, maka semuanya - serba tidak kena - dan serba bermasalah.


Saya menyarungkan baju hitam cashmere yang sudah tiga tahun tersimpan bergelap di dalam almari. Kerana tebuk lehernya agak luas, maka saya fikir seutas rantai dengan kalung hitam berkilau dapat mengisi dada yang kosong. Kemudian saya memadannya dengan sehelai celana shantung berembroideri ditabur jemeki. Dan di kaki, kasut warna fuschia yang amat mengasyikkan sekali, yang sudah lama tersimpan rapi di bawah almari, di dalam kotak, disalut dengan kertas putih garing, buatannya separuh kulit anak lembu. Saya menyarungnya berhati-hati.


Untuk kali pertama dalam seumur hidup, saya bersolek rapi - kening dilarik dengan celak hitam kecoklat-coklatan, disikat rapi-rapi dengan berus kecil, Crystal Cloud dioles di atas bibir, basah berkilau-kilauan. Pembayang mata Silver Moon dipupuk pada lengkungan mata cermat-cermat, dibalas tona biru lembayung yang ditaburi serbuk-serbuk kristal. Maskara Long Desire dialit ke bulu mata, menjadikannya terpisah helai demi helai dan melengkung seperti tadahan bulan. Dan pada pipi, Sweet Jasmine dilayang seadanya, manis sekali.


Jika ada orang bertanyakan, mengapa saya berhias dan merapi sebegini sekali, jawapannya adalah Rizal. Kerana Rizal maka saya berbuat begini. Kerana Rizal maka saya perlu berdandan hebat begini. Tetapi kerana malu lebih tepu, maka saya menyimpannya ketat-ketat di dalam hati.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 21-11-2014 12:50 AM | Show all posts
Saya lihat Rizal juga berpakaian serba hitam malam itu - Kemeja kasymir yang lembut jatuh dari bahunya yang lebar bidang, sepadan dengan seluarnya yang berjalur-jalur halus kelabu. Rizal sedang bercakap-cakap dengan Maisarah sewaktu saya menghampiri mereka. Dia terjerit lantas ketawa tidak percaya melihat saya - Tidak lagi dengan rambut ekor kuda yang memang terpaksa diikat terik-terik kerana selalu kusut masai, tidak dengan muka berkilat kerana tidak pernah berbedak, tidak dengan bibir pucat kering kerana tidak bergincu atau sekurang-kurangnya disapu krim Vaseline. Rizal sungguh terkejut, malah terpesona.


Saya berjaya menarik perhatian Rizal daripada Maisarah malam itu. Sebelum majlis perpisahan selesai kami berangin-angin di tepi kereta buruk Rizal. Sejuknya malam sungguh menusuk. Angin bertiup bertebar-tebaran mengusik baju cashmere, saya tidak lepas memandang wajah Rizal yang bersih di bawah cahaya bulan. Saya menyukai kamu. Saya amat menyukai kamu, Rizal, kata saya, di dalam hati.


Itu adalah malam terakhir kami berjumpa sebelum Rizal dan famili berpindah ke Singapura. Mereka berangkat tergesa-gesa, kerana khabarnya, bapa Rizal mendapat tawaran untuk mengendalikan sebuah syarikat perkapalan Malaysia yang berpusat di sana, maka mereka tiada banyak pilihan -- berpindah seberapa segera. Saya cuma melihat lambaian terakhir Rizal sewaktu kereta familinya sudah terlalu jauh untuk dikejar.

Rizal meninggalkan sepucuk surat untuk saya, anekdot sekali isinya, "Panjang umur kita berjumpa lagi".

Saya, Maisarah dan Rizal masih saling berutusan menerusi e-mel. Kartu elektronik Rizal tidak pernah lupa mengunjungi dua kali dalam seminggu sekurang-kurangnya, sehinggalah akhirnya suatu hari, saya terlihat sehelai sampul surat putih diletak kemas di meja kerja, "Seseorang menghantarnya ke sini, tetapi kamu tiada," teman sepejabat memberitahu. Membuka dan membacanya buat saya terkejut, sedih, gembira, hiba, sebak, rasa sia-sia dan kecewa bukan kepalang. Rizal akan berkahwin, dengan perawan pilihan hatinya, dan gadis yang bakal bersanding dengannya nanti adalah kawan baik saya sendiri -- Maisarah.

Fikiran saya berputar-putar. Secepat kilat saya mengimbas semula imej-imejan Rizal bercakap-cakap dengan Maisarah, Rizal bergelak ketawa dengan Maisarah, Rizal membawa makanan bungkus ke asrama Maisarah, Rizal menghantarnya pulang selepas usai kuliah, Rizal berdiri di sampingnya pada malam perpisahan kolej, dan hati saya sungguh kecewa dan tidak berdaya -- Mengapalah saya tidak melihatnya sebelum ini?


Malam itu saya memejamkan mata dengan hati penuh geruh dan hancur luluh. Perasaan yang tersimpan kemas untuk Rizal selama ini perlu dibebaskan. Pada malam ini saya bertekad, saya perlu membebaskan naluri yang sudah terlalu jinak itu, selama-lamanya. Saya rasa dikhianati dan amat sedih. Tetapi saya berdoa semoga suatu hari nanti, Tuhan berasa belas kepada saya, dan memisahkan mereka berdua.


Dua bulan sebelum tarikh persandingan Rizal dan Maisarah, sewaktu saya sedang menghidupkan enjin kereta untuk pulang dari pejabat, seseorang menerpa ke cermin kereta. Tapak tangannya memukul cermin dengan kuat, dan suaranya yang separuh berteriak menerpa ke dalam antara dengar dan tidak. Saya baru bercadang mahu membuka mulut memarahi lelaki itu apabila tiba-tiba saya lihat matanya yang digenangi air mata, dan hati saya bergemuruh tidak percaya. Rizal?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 12:50 AM | Show all posts
Tidak ada siapa yang suka dibawakan berita geruh lagi duka, tetapi itulah yang terjadi sewaktu Rizal berdiri di hadapan saya, dengan mata merah dan wajah tidak bermaya. Maisarah sudah tiada, katanya teresak, Maisarah sudah tiada. Dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya tengah hari tadi, beberapa jam selepas dia membeli kelengkapan perkahwinan. Dua batang tulang rusuknya patah dan menusuk paru-paru. Maisarah sudah tidak bernafas lagi apabila pasukan paramedik sampai di tempat kejadian. Bunga-bunga paharnya tercampak di kawasan kemalangan, dan alangkah sedih, kerana ada orang yang masih tergamak memungutnya dengan gembira.


Saya terpaku di situ, berasa amat berdosa kerana doa yang lalu. Saya rasa amat hina, amat kotor, dan amat keji, kerana apa yang saya minta sebelum ini, akhirnya terjadi -- Wajarkah saya gembira di atas kesedihan orang lain dan kesedihan saya sendiri? Saya tersepuk di kerusi kereta. Saya rasa amat kotor. Saya rasa amat kotor.


Selasa, langit September menetaskan hujan. Di hadapan Rizal, di dalam kereta, di atas kusyen, saya menangis semahu-mahunya. Maafkan saya Rizal. Maafkan saya Maisarah. Rizal tidak tahu berapa banyak air mata saya berjujuran, kerana hujan September sudahpun melarutkannya dari pipi.


Awan masih berkepul bersisir-sisir sewaktu saya menutup surah Yasin - Di keliling, bunga-bunga kenanga kembang berpangsa-pangsa, baunya seperti bersebati dengan kesedihan, baunya seperti sudah larut dengan tanah kuburan, dan angin masih menyanyi-nyanyi, seperti menyuruh saya pulang dan meminta saya agar jangan menangis.


Semenjak dia pergi, 12 Rejab tahun lalu, saya tidak lagi menemui Rizal. Dia khabarnya melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di Tanah Ratu, dan tidak mungkin akan kembali lagi kerana khabarnya juga, sudah mendapat lamaran kerja daripada sahabat baik bapanya yang mempunyai firma di situ. Semenjak peristiwa 12 Rejab yang lalu, saya tahu, hati Rizal sungguh luka dan mungkin tidak dapat diubati lagi. Rizal terpaksa saya lepaskan untuk kali yang kedua.


Saya percaya jika saya terus menyayanginya, maka saya harus melepaskannya, kerana itu yang akan membuat dia bahagia. Saya percaya, saya harus membebaskan teguh cinta untuk Rizal, kerana itu yang akan membuat saya lupa erti kecewa dan sengsara. Lalu kerana itu juga saya percaya, jika Rizal menyayangi Maisarah, maka dia harus membebaskan imejan-imejan Maisarah yang silih berganti datang dan pergi dalam firasat mimpinya setiap malam.


Semenjak dia pergi 12 Rejab tahun lalu, kami bebas dari sangkar cinta bersegi. Rizal memilih untuk tidak kembali kepada saya, saya akur itu, dan saya pun tidak mencarinya lagi.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 21-11-2014 12:54 AM | Show all posts
bianglala posted on 21-11-2014 12:50 AM
Tidak ada siapa yang suka dibawakan berita geruh lagi duka, tetapi itulah yang terjadi sewaktu Rizal ...

geram wa tgk 20mm tu tadi
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 12:54 AM | Show all posts
Cinta Pertama Yang Mengesankan
(Rosie Haslinda Nasir)


Saya masih ingat waktu itu, tahun 1988, waktu saya baru mula kenal apa itu tuala wanita, saya juga sama mengenal apa itu cinta. Yang saya ingat sehingga kini, waktu itu, saya suka sangat berdiri di luar bilik darjah, di tepi koridor (Cikgu Bahasa Malaysia saya waktu itu kata kalau suka duduk melengu di tepi tembok koridor, itu ‘menebeng’ namanya, hodohlah bunyinya cikgu). Dan di depan mata saya – Padang bola yang sungguh luas, hijaunya sungguh mententeramkan perasaan, menyejukkan pemandangan. Dan yang paling saya syok – Dia ada di situ. Wah wah wah.



Dia setahun muda daripada saya. Rosman namanya. Orangnya putih melepak, tinggi sedap-sedap, badannya pun sedap-sedap, (tapi apalah sangat yang sedapnya badan budak lelaki yang baru darjah lima , bodoh betul saya masa itu). Rambutnya tebal, berkilat, gembur, selalu disisirnya kemas-kemas ke sebelah kanan. Dia anak buah saya. Berbanding pengawas-pengawas ‘gonjeng’ lain yang kebanyakannya comot-comot di sekolah kami, oh, saya rasa dialah yang paling handsome, dan paling comel, jadi saya perlu buat-buat sibuk yang jadual bertugasnya mesti diperiksa selalu.


Sungguh bodoh rasanya, bila mengenangkan itu semua. Barangkali itu kenangan cinta pertama. Tetapi apabila difikir-fikir kembali, barangkali komen seorang kawan yang mendengar cerita ini, ada benarnya: “Itu bukannya first love” katanya, “Kamu berdua tidak pun bercinta, cuma kamu sahaja yang suka dan kemaruk mahu melihat wajah dia. Itu first crush namanya”. Anekdot.


Barangkali dia betul. Barangkali juga dia salah. Kerana Rosman juga tahu saya amat-amat-amat menyukainya, dan semenjak diberitahu oleh seseorang yang gerak-gerinya sentiasa diperhati, dia menjadi lebih rapi, lebih menjaga penampilan, dia menjadi budak lelaki yang lebih berhati-hati, lebih menjaga cara dia berjalan misalannya, supaya nampak lebih macho, dan selalunya kalau kami terserempak di tengah-tengah jalan, saya buat tidak tahu saja tetapi hairannya dia pula yang tersipu-sipu malu macamlah dia anak dara sunti.


Penghujung semester, apabila sekolah hampir tamat, 'budak posmen' Rosman datang kepada saya, memberitahu yang dia inginkan sekeping foto saya. Sudah tentu saya memberinya dengan senang hati, dan saya menerima fotonya juga, tetapi sumpah, tidak sampai setahun selepas itu, foto itu hilang dan saya pun tidak tahu di mana saya sudah sorokkannya. Tetapi saya masih menyimpan foto Rosman yang lain, gambar curi, yang di ambil dari tembok tempat saya 'menebeng' sewaktu dia entah kenapalah agaknya tiba-tiba saja suka sangat mundar-mandir kelintar kelintir di tengah-tengah padang bola

.
Ya,apabila melihat semula foto lama yang sudah kepam dan kuning di dalam album kecil, membuat saya senyum sendiri, ah, ada apa dengan cinta ya?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 12:54 AM | Show all posts
ip_lepat posted on 21-11-2014 12:54 AM
geram wa tgk 20mm tu tadi

baru ke secondhand?

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 12:55 AM | Show all posts
Can friends really become lovers? Apa pendapat anda? Saya fikir ya, kerana friendship is the best basis for love. Walau bagaimanapun, ada risikonya apabila kita cuba mengubah status diri kita, atau seseorang itu, daripada 'kawan', kepada 'kekasih'. Tetapi apabila bercakap tentang 'daripada kawan-menjadi-kekasih' dan kisah cinta pertama, membuat fikiran saya terkilat kepada seorang kenalan. "Dia adalah cinta pertama," suaranya berdesir-desir di telinga, setahun yang lalu. "Dia cinta pertama dan tidak mungkin akan ada yang serupa."


Beberapa belas tahun dulu, Shida, teman saya ini, berkawan baik dengan seorang budak lelaki, Adri. Kerana mereka belajar di dalam kelas yang sama, aktif dalam persatuan yang serupa, mereka berkawan baik - Betul-betul baik, mengalahkan persahabatan antara seorang gadis dan gadis yang lain, kecualilah apabila tiba cerita-cerita datang bulan atau mimpi basah - Itu sahaja yang saling tidak diceritakan dan tertutup menjadi rahsia.


Daripada berkawan-kawan, lama-lama menjadi cinta-cinta. Platonik mereka membenihkan cinta. Layanan Adri kepada Shida juga tidak sekadar layanan daripada seorang kawan baik kepada kawan baiknya. Semuanya, lebih daripada itu. Dan Shida, yang selama ini tidak pernah terpaut hatinya dengan mana-mana lelaki, walaupun beberapa lelaki di IPT cuba merapati, akhirnya mengakui, semenjak akil baligh sehinggalah umur belasannya mahu diakhiri, dia baru merasai erti cinta.



Dan yang terindah, itu cintanya yang pertama.


I think I'm falling in love with him, ujarnya selalu, saya tahu saya tahu, jawab saya sebelum rasa jemu. Bila dia rindu dan teringat-ingatkan Adri yang waktu itu belajar di UK , dia akan membaca kartu Adri selalu. Saya tidak ingat berapa lama Shida dan Adri bersabar dengan long distance relationship mereka itu, tetapi kerana itulah penangan cinta pertama, maka kerinduan, menjadi kobaran api yang lebih hebat daripada ladang yang terbakar pada musim panas.



Kerana penangan cinta pertama, walau si lelaki jauh di Tanah Ratu, di dalam mimpi, saya fikir, di situlah jiwa mereka bertemu. Kerana penangan cinta pertama juga, kenangan, menjadi harta yang paling berharga dan disimpan cermat-cermat di dalam kotak cantik, tidak dibiar langsung dibintiki habuk, malah saban hari dibaca dan dibelek-belek. Kerana dia adalah cinta pertama, mereka saling belajar tentang segalanya, yang condong ditegakkan, yang berlubang ditampalkan, yang cacat disempurna dan dicukup sifatkan.



Tidak berapa lama selepas itu, Adri pun langsai dengan pengajian perakaunannya, dan pulangnya dia ke Malaysia memang perkara yang paling ditunggu-tunggu. Dan tidak berapa selepas itu juga, Shida, memberitahu, mereka mahu bertunang. "Aku dah nak jadi tunang orang!" jeritnya di telefon, girang menggelinjang, dan yang boleh saya buat, cuma mendoakan mereka bahagia hendaknya, terus panjang jodoh hingga ke anak cucu.


Selepas itu Shida tidak lagi menghubungi saya, saya pun tidak kisah, kerana kerja yang amat banyak, menemui kawan-kawan yang berselerak di KL ini pun kadangkala belum tentu, dan lagi pula bukannya saya seorang kawan baik Shida, ada beberapa lagi. Tidak mengapa. Tidak ada apa-apa yang perlu diributkan. Kalau sudah terlalu bahagia, begitulah ceritanya. Tetapi dalam jeda masa tidak berapa lama itulah, seorang lagi kawan baik Shida, kala saya terserempak dengannya, memberitahu, yang Adri baru meninggal dunia, kerana kanser paru-paru.


Saya rasa sungguh sedih, kerana mereka hanya sempat bertunang, tidak sempat diijabkabulkan. Daripada satu segi, barangkali juga itu yang lebih baik, kerana jika mereka berkahwin, Shida akan terus hidup dengan status balu, tetapi ah, kalau itu yang Tuhan sudah maktubkan di Loh Mahfudz, apakah bisa kita menolaknya?

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 12:56 AM | Show all posts
Alangkah menakutkan jika kita yang terpaksa duduk di kerusi Shida, menghadapi semua kesedihan, menempuhi dunia perkabungan kelabu, melihat kartu-kartu cinta Adri yang lama, merenung foto-foto bersama, melihat juga cincin di jari tanda diri sudah berpunya. Saya rasa sungguh sedih, kerana cinta pertama mereka, begitu cepat di bawa ke liang lahad.Saya rasa sungguh sedih, kerana cinta pertama mereka, menjadi sia-sia.


"Dia adalah cinta pertama," suara Shida berdesir-desir di telinga, sewaktu saya bersandar mengingatinya. Saya tidak tahu apa kesudahannya selepas itu - Apakah Shida bertemu cinta keduanya, apakah Shida menjadi manusia yang lebih kuat selepas peristiwa perpisahan itu, atau apakah Shida menjadi wanita yang lebih lemah, dan lebih banyak berserah.


"Dia cinta pertama, dan tidak mungkin akan ada yang serupa." Sungguh hiba mendengarnya. Tetapi saya harap Shida dapat melupakannya, sedikit demi sedikit, kerana tangisan tidak dapat menghidupkan, cinta pertama seharusnya dikenang dengan senyuman, dalam khayalan yang manis, dan tidak seharusnya menyesatkan perasaan.


Oh Adik Rosman, bebal sungguh waktu itu saya rasa-rasanya, tetapi dalam hati tertanya-tanya juga: Di manakah dia sekarang agaknya? Meskipun kami tidaklah bercinta-cinta hingga terjatuh dari tangga, namun sekurang-kurangnya, pertembungan dengannya, membuka pintu 'rasa suka' seorang budak yang baru hendak kenal dunia remaja, dan kerana ia pengalaman berharga, sudah tentu saya akan terus menyematnya di kepala. Ah,my first love made my heart beat faster.Tetapi cinta yang sekarang ini pun tidak kurang juga.


Do you remember your first love?
Reply

Use magic Report

Post time 21-11-2014 12:56 AM | Show all posts
bianglala posted on 21-11-2014 12:54 AM
baru ke secondhand?

2nd.. 1450
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 12:57 AM | Show all posts
ip_lepat posted on 21-11-2014 12:56 AM
2nd.. 1450

boleh tahan mahal jugak... sebab wide yang paling wide kot kan.

yang 24mm hari tu hang kata RM1400.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 12:58 AM | Show all posts
Lelaki Bawa Cinta Bawa Sengsara
(Rosie Haslinda Nasir)



Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya?

Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala. Ya, apa perlu seorang wanita yang independent mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki? Bukankah lebih hebat jalan iseng-isengan hujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan pada pria kacak yang saling tidak putus berpapasan dan tidak lokek senyum tanda menghantar perkenalan?Apa hebatnya hujung minggu jika waktu senggang untuk bangun lambat sehingga jam 12 tengahari, kali ini terpaksa dipotong-potong kerana sudah ada teman lelaki yang bakal datang menjemput untuk bersarapan pagi, lantas gadis perlu segera sahaja ke kamar mandi, mengering rambut, berbaju rapi, bernedak wangi, bergincu seadanya, dan keluar menemui si dia di pintu kereta dengan ucap Selamat Pagi?


Kemanisan merdeka bagi seorang gadis solo memang sangat bererti. Tetapi selagi dia tidak menempuhi alam keghairahan cinta, selagi itu dia tidak akan percaya betapa hidup berdua sebenarnya lebih bermakna, dan perasaan, sebenarnya muat untuk dua jiwa.


Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia, sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo – Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya. Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki?


Kawan,saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi bulat, ia akan datang berbucu-bucu. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti kobaran api. Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit. Lelaki yang baik itu tidak datang dengan menjulang pedang seperti kesatria perang. Lelaki yang baik itu tidak datang di dalam limosin sambil memegang payung hitam. Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak. Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalami selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya – Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.


Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia, menyempurnakan kita. Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.


Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita. Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin. Menolong membayar belanja makan minum, itu barangkali perkara yang sangat kecil. Tetapi apabila sampai kepada soal duit  minyak kereta, tol sana-sini, ekspenses menonton wayang, membeli pakaian baru, menolong langsai bil telefon, atau hutang kereta, atau hutang piutang kad kredit yang merenek-renek, perempuan juga yang harus siap siaga membeli dapur memasak, sofa, tv, katil, almari, meja makan, mesin basuh, peti sejuk, hatta sampai perempuan juga yang kena beli rumah – Alahai encik, memanglah cinta tiada tandingan, dan hasrat menjadi suami isteri sedang diusahakan. Tetapi kalau wanita sahaja yang bekerja dan menyengkang segala, seperti kata kawan saya, bukankah lebih bahagia jika wanita mandiri selamanya?


Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia. Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Tetapi jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Namun itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada - Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua, segala yang cantik-cantik itu terencana juga di depan mata. Menabung itu perlu, dan perkongsian susah atau senang harus sebati selalu. Hanya apabila anda  dan si dia dapat bertoleransi, kata orang, duit seringgit cukup untuk makan berdua (tetapi ini cakap benar saja saya sendiri tak berapa pasti sama ada saya boleh melakukannya). Pondok kecil rahmahnya seperti istana kencana, kerana bahagia, kita mahu sentiasa bersama-samanya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-11-2014 12:58 AM | Show all posts
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan famili dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja. Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa. Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.


Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai. Semoga mereka tak tersalah pilih. Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.


Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia. Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa. Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.

Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit darpada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati – Untuk dimulia, disayangi dan dicintai.


Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya. Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata. Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati. Tetapi kita bahagia dalam dakapannya.

Semoga kita semua diketemukan dengan lelaki idaman jiwa.
Reply

Use magic Report

Post time 21-11-2014 12:59 AM | Show all posts
bianglala posted on 21-11-2014 12:57 AM
boleh tahan mahal jugak... sebab wide yang paling wide kot kan.

yang 24mm hari tu hang kata RM1 ...

ni yg lain.. 20mm bkn 24mm
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 12:59 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2014 01:00 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Gambar & Video


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-12-2024 07:06 PM GMT+8 , Processed in 0.407768 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list