|
Dari utusan online hari ni
Taman Tasik Chatin jadi lokasi sukan jet ski
Pemandangan Taman Tasik Chatin yang sesuai untuk aktiviti sukan air.
TEMERLOH 9 Feb. - Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) merancang untuk menaik taraf kawasan rekreasi Taman Rimba Tasik Chatin, Mentakab dekat sini sebagai lokasi sukan jet ski tidak lama lagi.
Yang Dipertua MPT, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, ia bertujuan mempopularkan kawasan itu kepada penduduk tempatan dan pelancong.
Dengan kepelbagaian aktiviti sukan di tasik itu, katanya, ia mampu menarik orang ramai mengunjungi kawasan tersebut.
"Sebelum ini, MPT menerima permohonan daripada ahli kelab jet ski yang ingin menjalankan aktiviti mereka di Taman Esplanade di sini tetapi MPT mencadangkan sukan berkenaan diadakan di Taman Rimba Tasik Chatin.
''Ia memandangkan taman itu lebih sesuai sebagai lokasi sukan jet ski kerana kedudukannya yang lebih strategik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat taman tersebut bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong dekat sini baru-baru ini.
Menurut Zulkifli, MPT membelanjakan RM65,000 untuk membaiki jeti utama di taman tasik berkeluasan lebih 10 hektar itu.
Beliau memberi jaminan pembangunan yang bakal dilaksanakan itu tidak akan merosakkan alam sekitar sebaliknya ia terus dipelihara bagi mengekalkan kehijauannya.
Menurutnya, hutan semula jadi di sekitar tasik berkenaan perlu dipelihara.
''Taman Rimba Tasik Chatin amat sesuai dijadikan kawasan rehat seisi keluarga selain menjadi tumpuan orang ramai terutama pada sebelah petang dan hujung minggu.
''Antara kemudahan yang disediakan di taman itu termasuk taman permainan kanak-kanak, tandas awam, kemudahan senaman dan riadah.
''Persekitaran taman tasik yang tenang itu juga dapat mengurangkan tekanan selepas waktu kerja," ujarnya.
Selain Taman Rimba Tasik Chatin, kata beliau, MPT turut mengawal selia Taman Awam Kubang Gajah, Taman Tasik Bandar dan beberapa kawasan rekreasi lain di situ.
''Kita sering mengadakan program di taman-taman berkenaan supaya ia dimanfaatkan sebagai pusat hiburan keluarga," tambahnya.
apasal koi tak penah tau, tak penah perasan ada tasik kat chatin ni |
|