|
Cinta Itu Dari Rahim Ibu
(Rosie Haslinda Nasir)
"Kamu semua masih mempunyai emak," kata seorang kawan, masih terngiang-ngiang di telinga saya sehingga ke hari ini.
"Kamu semua tidak tahu bagaimana rasanya tidak mempunyai emak. Kamu tidak tahu bagaimana rasanya menempuhi Aidilfitri cuma dengan beberapa bungkus kuih bangkit dan kuih samperit yang dibeli di pasar Ramadhan, kerana apa? Kerana emak sudah tiada lagi untuk meniup bara api di dapur sambil riuh-rendah memasak ketupat dan rendang, nasi himpit dan kuah kacang. Jendela dapur sudah lama merapat ketat. Langsir buruk lasam dipakai juga berulang kali saban tahun, cukup mencucinya semula, habis kering di jemuran digantung semula, kerana apa? Kerana emak tiada lagi untuk membebel marah dan berleter-leter kerana semuanya masih belum siap menjelang malam raya. Kamu semua masih mempunyai emak," katanya hiba.
"Pulanglah ke kampung. Jengahlah emak, walaupun cuma sehari. Bila emak sudah tiada, kamu pun tidak akan melihat mukanya lagi, dan kamu pun tidak perlu merungut penat dan sakit badan memandu pulang ke kampung."
Saya terjeda, lekas menginsafi diri.
Ya, sewaktu kita semua masih diberikan sepicing kesenggangan masa untuk berdamping dengan ibu, maka marilah kita bersama-sama melakukannya. Lupakan seketika kerja-kerja pejabat yang memang tidak penat-penat beratur menunggu dilangsaikan di meja kerja kita. Lupakan date dengan si dia yang sudah pun kita temui saban hari saban malam dan berpanjang-panjangan pula pabila telefon sudah melekat di telinga. Lupakan kawan-kawan yang bisa saja kita ketemui bila-bila waktu di kedai kopi, di sinema, di tepi jalan, di tepi kereta. Lupakan keasyikan kota. Lupakanlah semuanya kerana kita semua harus ingat, setiap kali bulan mendap dan matahari mencerlang, hari demi hari berlalu, ada seorang perempuan tua renta duduk di muka pintu, menanti anaknya pulang meleraikan rindu dendam. Tetapi kita, selalu sangat terlupa.
Bercakap tentang kepulangan, barangkali harus saya catatkan sedikit di sini, kisah kepulangan adik, yang bertahun-tahun merantau mencari ilmu di Negara Sakura. Semenjak tingkatan satu, ke matrikulasi persediaan, sehinggalah akhirnya, dia memilih jalannya sendiri untuk belajar di negara rantau.
Emak, tidak pernah berpeluang melihat adik membesar di hadapan matanya. Daripada seorang budak lelaki kecil yang masih mahu bergaduh dengan saya kala baru disunatkan (dan ha ha ha dik, yang jahatnya tentulah aku, kerana mengejek-ejek kamu), berjalan terkangkang-kangkang di dalam kain pelikat jarang, dijaga makan minumnya oleh emak kerana bimbang luka di 'anu'nya bernanah dan lambat mengering -- Pada hari kepulangannya ke tanah air - Di hadapan pagar rumah, dengan jambang kemas kumis tipis, muka bersih bercahaya, dengan segala tuk nenek bagasi kerana dia melakukan semuanya sendiri, dari bandar Hachioji, ke Lapangan Terbang Narita, ke KLIA, ke Seremban, dan akhirnya ke Tengkera, di hadapan pagar rumah - Tidak ada yang lebih bahagia apabila melihat emak menangis gembira. Orang yang dirindu-rindu akhirnya sudah ada di hadapan mata.
Saya tahu emak sangat bahagia sekarang, kerana keempat-empat zuriatnya sudah kembali ke pangkuan, dan adik, kamu tentulah yang paling mengubat sunyi, kerana selepas 11 tahun kamu merantau dari satu tempat ke satu tempat, barulah hari ini emak dapat merenung wajah kamu sepuas-puasnya.
Jadi kawan, jika emak tidak pernah lelah dan mengalah menjahit pakaian doa untuk kita, walaupun kita tidak di hadapan matanya, apakah terlalu sukar untuk kita pulang dan mencium dahinya? |
|