|
Tajuk: KUDAKAP ERAT CINTAMU
Penulis: HIDAYAH OTHMAN
ISBN: 978-967-365-145-0
Harga : RM 20.00sm / : RM 23.00ss
Terbitan: Fajar pakeer
Sinopsis:
Natasha Camelia seorang gadis yang ceria dan hidupnya penuh dengan kasih sayang keluarga. Hari pertama di kolej dia bertembung dengan dua lelaki yang membuatkan dirinya berada dalam dilema. Fariss Haikal membuatkan dirinya bagaikan di awangan, seperti jatuh cinta pandang pertama. Manakala Adam Haziq membuatkan hidupnya haru-biru dan selalu saja bertikam lidah apabila bertembung.
“Awak ni boleh duduk diam-diam tak? Dahlah berat macam gajah.”
“Hei, aku tak suruh kau angkat aku pun! Dah tahu aku ni berat, janganlah gatal sangat tangan tu nak angkat aku!” “Saya nak tolong dia. Biar saya tolong angkat pula.”
Natasha Camelia memilih Fariss Haikal berbanding Adam Haziq. Adam bertindak menjauhkan diri setelah tahu Natasha Camelia dan Fariss Haikal bercinta. Namun, saat Natasha Camelia berada dalam kesedihan, kesakitan atau kesusahan, Adam Haziq akan menjadi orang pertama yang akan muncul menyelamatkan keadaan.
Langit tak selalunya cerah. Perhubungan Natasha Camelia dan Fariss Haikal dilanda badai. Saat hati Natasha Camelia dilanda rawan, timbul pula isu anak angkat dan dirinya dihalau keluar dari rumah. Di sini, Adam Haziq bertindak sebagai pelindung.
Saat hati Natasha Camelia terpaut dengan kebaikan yang ditunjukkan Adam Haziq, saat hati sudah mula rasa sayang, saat cinta antara mereka sudah mula bertaut, muncul kekasih lama Adam Haziq menagih kasih. Fariss Haikal juga muncul kembali, menagih kasih yang terputus di tengah jalan.
Apakah cinta yang baru wujud dalam diri Natasha Camelia dan Adam Haziq akan terpaut? Atau Natasha Camelia akan mengalah dan kembali membiarkan cinta Fariss Haikal kembali kepadanya? Atau akan ada permata lain yang akan menyinari hidupnya? Mampukah Natasha Camelia mendakap cinta yang sempurna untuknya? Last edited by chit_ana on 4-12-2012 09:42 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Tajuk: CINTA SEMANIS GULA
Penuis: HANNY ESANDRA
ISBN: 978-967-365-144-3
Harga: RM 20.00sm / : RM 23.00ss
Terbitan: Fajar Pakeer
Sinopsis:
“Tea lady for me.”
Affirina rasakan ungkapan itu satu penghinaan ke atas dirinya yang memiliki ijazah dalam Hiasan Rekaan Dalaman. Lalu, dia yang kecundang dalam satu sesi temu duga melancarkan perang dingin ke atas lelaki bernama Mohd. Edikasyah, si penemu duga.
Edikasyah pula sengaja mencari peluang untuk mengenakan Affirina bilamana dia sengaja membiarkan Affirina terus salah faham mengenai hubungannya dengan gadis bernama Nabila sewaktu kunjungan mereka ke butik pengantin tempat Affirina bekerja.
Daripada perang dingin, akhirnya mereka menjadi sahabat. Sahabat yang membawa erti dalam hidup Affirina dan juga Edikasyah sehinggakan Affirina sering keliru dengan layanan ‘sahabat’ yang selalu dia terima daripada Edikasyah.
Sedang Affirina baru mahu meniti kebahagiaan, muncul pula lelaki yang pernah merobek maruahnya suatu ketika dulu. Dia jadi buntu. Buntu dalam menilai keikhlasan Agus Rahfiz yang datang kepadanya dengan keinsafan. Salam maaf Agus Rahfiz disambut dan persahabatan kembali terjalin. Tetapi hari tidak selalunya panas, hubungan mereka disalahtafsirkan oleh Edikasyah. Kekacauan mula berlaku dan peperangan jiwa mula meletus dalam hati mereka.
Mampukah hubungan yang baru bercambah terus subur? Mampukah Affirina mempertahankan hubungan yang terjalin bersama Edikasyah? Atas sebab apa Agus Rahfiz kembali dalam hidup Affirina? Antara Edikasyah dan Agus Rahfiz, siapakah lelaki pilihan Affirina? Apakah perhubungan yang terjalin, akan terus ada kemanisannya? |
|
|
|
|
|
|
|
Tajuk: KATA TAK SUKA
Penulis: QASEH QAISARA
ISBN: 978-967-365-143-6
Harga: RM 20.00sm / : RM 23.00ss
Terbitan: fajar pakeer
Sinopsis:
Kononnya ala-ala paksa. Mak-mak yang kenenkan. Sudah berpakat masing-masing kata tak suka. Banyak buruk dan kurangnya pada pandangan mata, tapi tak sampai mana, tiba-tiba saja jatuh berkenan pula.
Megat Zafril biasa-biasa saja buat Nea Alisha. Tidaklah kacak sangat, tapi kenapa sangat menyenangkan? Rasa sangat selamat ketika berada di sampingnya. Bagi Megat Zafril pula Nea Alisha sangat pandai mengambil hati dan langsung tidak angkuh walau gadis secantik Nea berhak memiliki perangai begitu. Ah! Kenapa awal-awal lagi mulut ni gatal benar kata tak suka? Kan padan muka masing-masing.
Namun kaum emak tidaklah berputus asa. Pelbagai rancangan diaturkan sehinggalah Megat Zafril dan Nea Alisha kononnya setujukan saja, sedang dalam hati, Tuhan saja yang tahu.
“Kita dah tak boleh lari. Aci lawan apa pun, mereka memang akan kenenkan kita.” Megat Zafril mula rasa gementar. Inikah masanya?
“Abang rasa macam mana?”
“Kita ikutkan ajelah cakap mereka. Abang dah bosan nak mengelak. Makin abang elak, makin benda ni menjadi-jadi. Pening kepala abang.” Megat Zafril mula buka jalan. Mana tahu laluan kali ini mudah.
“Nea fikir pun macam tu. Nea pun dah tak larat nak layan kerenah mereka ni.”
Dengan alasan itulah sebuah mahligai terbina. Namun ketika bahagia berbunnga-bunga, datang pula si Luqman, bekas buah hati Nea. Mahu menagih semula kasih lama. Akan tergugatkah kasih Nea dengan kehadiran Luqman? Mahligai yang mereka bina bakal hancurkah gara-gara orang ketiga? |
|
|
|
|
|
|
|
Tajuk: Bila Blogger Jadi Maid.
Penulis: Zati Mohd
Harga: RM 20.00sm / RM 23.00ss
Terbitan: Fajar Pakeer
Sinopsis:
Boleh ke si blogger jadi maid? Bagi Risya, sikit pun tak menjadi masalah buatnya. Asalkan dia tidak goyang kaki di rumah itu, sudah cukup baik. Rutin hariannya sebagai maid, tak adalah sesusah mana. Tapi yang buat susahnya, bila dia jumpa mamat poyo, Ash.
Ash yang sering mengusik, membuatkan hubungannya dan Risya rapat. Bergurau dan bergelak ketawa sudah menjadi rencah dalam hidup mereka berdua. Tanpa diduga, Ash mahu Risya menjadi suri di hatinya saat Aimie, kekasih hatinya tidak hadir semasa majlis pernikahan mereka.
“Jadi, nak saya buat apa?”
“Awak kahwinlah dengan saya.”
Jodoh sudah tertulis buat mereka. Dalam keadaan terpaksa, mereka disatukan. Mulalah episod baru dalam hidup Risya. Memandangkan tiada rasa cinta dalam diri Risya, Risya dan Ash telah membuat satu perjanjian bodoh. Perjanjian yang menentukan sama ada status suami isteri itu masih kekal ataupun tidak.
Dalam Risya mengharap perjanjian yang dicipta menjadi nyata, ada satu rasa hadir dalam dirinya buat Ash. Saat bahagia mula menyulam rasa, hadir Wafiy yang mencintai Risya dan muncul Aimie, kembali menagih cinta Ash.
Akan bahagiakah hubungan yang Risya dan Ash jalinkan?
Perjanjian apa yang dimeterai Risya dan Ash?
Berjayakah Wafiy dan Aimie menarik perhatian insan yang disukai?
Mampukah Risya dan Ash mempertahankan rasa sayang yang mula berkembang dalam hati?
Atau, antara mereka akan ada yang berpaling tadah?
Bila blogger mampu jadi maid, adakah maid mampu menjadi seorang isteri?
|
|
|
|
|
|
|
|
Tajuk: Kekasih Halal
Penulis: Orkid Edyliyne
Harga: RM 24.00sm / : RM 27.00ss
Terbitan: Fajar Pakeer
Sinopsis:
Lutfa Shirin Mawar. Seorang gadis yang gemar mencari konklusi untuk permasalahannya dengan berfikir dan terus berfikir. Dia tahu dia perlu membuang rasa cintanya buat lelaki yang pernah dia tunggu satu masa dulu. Dan, dalam sanggup ataupun tidak, kakinya sudah terikat dengan sebuah pernikahan walaupun baginya terlampau awal untuk dia bergelar seorang isteri.
“Mama awak kata, kalau awak nak keluar dengan saya, maknanya awak setuju nak tunang dengan saya. Cuti semester nanti, kita kahwin.”
Lutfa memanglah tak nak Feroz. Tapi, seperti apa yang orang kata... tak kenal maka tak cinta, tak mengerti maknanya sebuah cinta, maka tak adalah pula rasa sayang. Membina rumah tangga atas dasar tuntutan keluarga membuatkan Lutfa jatuh cinta kepada suami sendiri. Cuma Lutfa tidak membuka mulut memberitahu dia sudah berkahwin. Orang bertanya pun, dia senyum. Kan dah letak status Married kat Facebook tu!
Jadi bila orang lain nampak Lutfa bersama Feroz (suami Lutfalah tu!), tanggapan mereka adalah Lutfa bercinta sahaja dengan Feroz. Kadang ada ke sana ke sini bersama. Bila ada nampak Lutfa tidur rumah Feroz, mulalah kata Lutfa perempuan begitu, perempuan begini. Lutfa pula bukan jenisnya buka mulut bercerita. Sebab kawan baik Lutfa dah jadi tukang cerita. Lutfa dan Feroz kekasih halal! Suami isteri!
Tapi, kalau orang dah tak percaya... Sungguh! Lutfa begitu mencintai suami yang begitu penyayang, yang menepati semua ciri-ciri lelaki yang dia pernah idam-idamkan. Namun, ada satu perkara yang dia tidak tahu.
Kecurangan si suami dalam dia tidak sedar!
Juga ada lelaki lain yang menyimpan rasa hati untuknya. Siapa Johan dalam hatinya?
|
|
|
|
|
|
|
|
Tajuk: Kerana Dia Suamiku
Penulis: Cahaya Ainn
Harga: RM 20.00sm / : RM 23.00ss
Terbitan: Fajar Pakeer
Sinopsis:
Alia, seorang pensyarah Matematik yang bertugas di salah sebuah kolej di ibu negara, terpaksa menghadapi takdir hidup apabila ibu dan ayahnya ingin mengahwinkannya dengan anak kenalan mereka. Disebabkan Alia tidak berani untuk mengatakan tidak, dia mengambil keputusan untuk meminta bantuan daripada bakal suaminya, Syah.
“Memanglah rancangan saya… Tapi, awak dah setuju nak tolong saya. Awak cakap yang awak akan pastikan mak dan ayah awak batalkan rancangan ni…”
“Saya dah buat apa yang termampu…”
Syah yang kononnya bersetuju untuk membantu, membuat agenda tersendiri. Berpura-pura seperti dirinya tidak mampu untuk membatalkan rancangan kedua-dua keluarga itu. Hakikatnya, hati Syah sudah terikat saat melihat Alia sebelum ini.
Rela dalam terpaksa, Alia terpaksa terima kenyataan yang takdirnya sudah tertulis begitu. Mereka sah bergelar suami isteri. Namun, hubungan suami isteri itu hanya pada nama. Alia yang mempunyai kisah silam, tidak mampu untuk menerima Syah. Namun, Syah berusaha sedaya mungkin untuk memiliki hati Alia sepenuhnya. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, hubungan Alia dan Syah semakin baik. Timbul rasa sayang di hati Alia. Ada rasa rindu yang dirasa Alia buat Syah. Namun, kebahagiaan yang baru mahu berputik tercalar saat Kerol, kawan sepermainan Alia, muncul dalam hidup mereka.
Mampukah Alia dan Syah mempertahankan rumah tangga mereka? Kisah silam apa yang disimpan Alia? Apakah agenda Kerol yang sebenarnya? Mampukah Syah mengekalkan statusnya sebagai suami?
— |
|
|
|
|
|
|
|
chit_ana posted on 27-12-2012 12:58 PM
Tajuk: Kerana Dia Suamiku
Penulis: Cahaya Ainn
Harga: RM 20.00sm / : RM 23.00ss
really.. bosan sgt dah citer camni... sorry to say...
|
|
|
|
|
|
|
|
omo letih betul baca sinopsis kesemua novel.
sepesen jer.huhu |
|
|
|
|
|
|
|
banyak novel baru
Pesta Buku Malaysia tak lama lagi
boleh beli masa itu...
boleh juga dapat tt penulis (jika mereka ada) |
|
|
|
|
|
|
|
ISBN: 978-967-365-153-5
Sem. Malaysia: RM24
Sabah / Sarawak: RM 27
Caption: Hanya dia yang tahu mendakap hatiku...
Blurb:
Kegagalan tidak bermakna hidupnya berakhir.
Perkahwinan yang berlandaskan janji itu tidak dapat dipertahankan meskipun hati Reza dan Amylia mula berputik kasih. Mereka terpaksa akur dengan janji yang telah dipersetujui. Amylia tidak mahu dicop sebagai perampas biarpun perkara itulah yang ingin dia lakukan. Dia cuba membina kehidupan barunya di sebuah daerah asing untuk memadam segala rasa yang telah melukai hatinya. Cuba dipahat bahawa Allah sentiasa ada bersamanya. Tidak mahu terlalu obses dengan cinta yang sia-sia. Biarlah jodoh datang sendiri dan bukan dia yang mencari. Dan benarkah jodoh itu berada di hadapan matanya...?
Mazeed, seorang lelaki yang dikagumi. Seorang ketua yang amat disenangi. Namun tiada rasa untuk lelaki yang akhirnya rapat dengannya.
“Ibu saya ada telefon awak?”
“Ya. Pagi tadi. Dia ajak saya bermalam di rumah encik sebab encik dan ayah encik nak ke Bota.”
“Ya. Boleh ke?”
“Encik Mazeed benarkan ke?”
Amylia pula tidak menyangka, kebaikan Puan Khalida, ibu Mazeed, ada maknanya. Keikhlasan wanita itu membuat dia kerap rindu akan ibunya yang tidak dapat bertemu muka setelah berpisah dengan ayahnya bertahun-tahun lamanya. Tidak disangka yang wanita itu punya misinya sendiri. Berjayakah misi Puan Khalida untuk menyatukan Mazeed dan Amylia? Duda sama janda, apa salah jatuh cinta? Sedetik asmara... sehingga ke syurgakah? |
|
|
|
|
|
|
|
ISBN: 978-967-365-147-4
Sem. Malaysia: RM 22
Sabah Sarawak: RM 25
CAPTION
Aku tahu kau takkan tinggalkanku
Kau selalu bersama-samaku
BLURB
Lyra Soraya dan Johan Fareez menjalin hubungan setelah Lyra Soraya patah hati dengan cinta palsu yang diberikah Syafizal. Dalam Lyra Soraya mahu melupakan Syafizal, Johan Fareezlah yang sentiasa ada untuk memberi semangat kepadanya. Daripada kawan biasa, hubungan mereka berdua naik satu anak tangga lagi.
“Saya rela asalkan awak tidak jadi mangsa dia. Saya tak sanggup melihat awak bersama dia. Saya sayangkan awak.”
Saat bahagia menyulam kasih, hubungan mereka diuji. Norhana tidak sedikit pun putus asa untuk terus memikat hati Johan Fareez. Dan muncul pula Atieyah yang mahu merebut kembali kasih Johan Fareez.
Dalam diam, Azhan Andrew, teman sepermainan Lyra Soraya menaruh hati terhadap Lyra Soraya. Dan dalam diam juga Lyra Soraya menyimpan rindu buat Azhan Andrew. Bagi Azhan Andrew, kasih sayangnya buat Lyra Soraya tidak pernah berubah. Walau apa pun yang berlaku, kasihnya sudah termaktub buat Lyra Soraya. Itu dia pasti!
Mampukah Lyra Soraya dan Johan Fareez terus memepertahankan hubungan cinta mereka? Atau, badai yang menyapa, benar-benar meranapkan angan-angan yang mereka angankan. Mampukah Azhan Andrew terus memendam perasaan? Apakah perasaan Azhan Andrew akan dibalas Lyra Soraya? Mampukah mereka mengecapi cinta terindah yang mereka angankan? Dan cinta terindah itu, berpihak pada siapa? Last edited by chit_ana on 6-2-2013 04:57 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
ISBN: 978-967-365-152-8
Sem. Malaysia: RM 26
Sabah / Sarawak: RM 29
Caption: Biar pahit rasa hempedu akan kuhirup andai itu mengembalikan warna pelangi hidupmu
Blurb:
“Apa yang berlaku 27 tahun dulu I tak boleh cerita pada you. Kerana daddy dengan abah yang berhak untuk membuka cerita tu kalau mereka mahu macam tu.”
Cerita lama? Ya! Cerita lama itu yang menemukan mereka sampai ke alam perkahwinan yang tidak seindah perkahwinan yang lain. Cerita lama itu masih tergantung sehinggalah mereka diketemukan dan dikahwinkan oleh orang tua mereka. Semuanya kerana cerita lama itu.
Bagi Nur Azlyn Isabel, dia reda menerima aturan ibu dan ayahnya kerana menyedari kuasa di tangannya amat terhad. Dengan budi yang tidak mampu dibalas, sudah tentulah dia tidak mampu untuk berkata tidak. Namun, hidup tidak semudah yang dibayang. Kebencian suami dan tohmahan lelaki itu kepadanya benar-benar menguji diri. Puas dia bersabar, namun kesabarannya tiada harga.
Ahmad Rafael Johan, tegar sekali membaja ego di hati. Apa yang dia tahu dia takkan berhenti selagi dia tidak puas menyakitkan hati wanita itu. Baginya wanita bermata duitan seperti itu terlalu hina di matanya. Namun Johan terlupa. What goes around, comes around!
Lalu satu saat hatinya mula disapa rindu. Berubah sama sekali putaran hidupnya. Tidak diduga dalam pada dia mengharapkan cintanya berbalas, Johan berhadapan pula dengan rancangan Lyn yang mahu membalas semula segala kesakitan yang diterimanya. Dendam dalam cinta ini mula memusnahkan ikatan suci mereka. Kedegilan Lyn memahat tembok dendam membuatkan Johan tercari-cari jawapan yang dicarinya.
Tegakah dia dibenci oleh isterinya itu? Sepertimana dia pernah membenci wanita itu? Apakah penghabisan kisah mereka? Apa pula cerita lama itu?
Last edited by chit_ana on 6-2-2013 04:58 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
asyriqa posted on 6-2-2013 05:44 PM
walaweh!!! Sedetik Cinta - Sarnia Yahya... sudah lama daku menunggu novel mu iteww ...
tajuk yg betul Sedetik asmara
|
|
|
|
|
|
|
|
eheheee... mcm ne pulop boleh tak pasan nih asmara jadi cinta... tersalah taip tak pe jangan pulop nanti tersalah beli... hat tu baru naya... |
|
|
|
|
|
|
|
Tajuk: PENGAWAL CINTA PERIBADI
Penulis: Maya Bahrun
HARGA: RM22.00 / RM25.00
Terbitan: Fajar Pakeer
ODER: [email protected]
*****
PROLOG
Saat terdampar ke lembah paling hitam dan kabur, siapa yang perlu dipersalah? Meski zahir tertutup mati hendak kembali, tetapi hati menggelodak tinggalkan semuanya. Wahai Pemilik Dunia yang Maha Perkasa, berapakah harga sebenar untuk setiap penghapus dosa?
Bisakah ia memutihkan memori hitam yang takkan pernah tanggal daripada jiwa? Berkesempatankah dia mencari sesuatu yang pernah hilang dan adakah jalan keluar daripada kehidupan ini kiranya rahsia kekal sebagai sebuah rahsia? DIA terus mengheret kakinya ke laluan utama. Hari ini, satu lagi misi akan diselesaikan. Perlu pantas dan cekap. Dia tidak mahu berlama-lama di negara asing ini dan sangat tidak menyukai tempat itu. Kalau bukan kerana mahu membantu dan menunaikan permintaan seorang kawan yang berpengaruh serta mendapat arahan daripada Tuan Kerch, agar dia melakukan perkara itu, tidak mungkin dia mahu melakukannnya.
Maksim masuk ke dalam bangunan paling mewah di tengah kota. Dia yakin maklumat yang diterimanya sangat tepat dan tahu sasarannya begitu hampir. Jaket labuh hitam yang dipakai, dengan air muka yang serius, cukup untuk membuatkan tiga orang pekerja hotel di situ tertunduk-tunduk seperti takut hendak melihatnya. Hotel mewah itu senyap sepanjang dia berada di tingkat lima, di mana dia sedang membaca peta yang merujuk kawasan sasaran. Begitu tepat maklumat yang diberikan kepadanya. Di tingkat itu terdapat tempat makan yang dikhaskan untuk para pelanggan yang menginginkan perjumpaan penuh rahsia.
Dia terus berjalan dari satu pintu ke satu pintu dan mengawasi sebarang petanda. Berjalan dengan mata yang penuh waspada. Apa sahaja pergerakan, di depan atau belakang, kiri dan kanan, semuanya perlu disedari tanpa sebarang kealpaan. Kecuaian kecil mungkin akan membuatkannya terlepas sasaran atau terbunuh di tangan musuh. Ketika tiba di satu simpang antara kiri dan kanan, dia pantas bergerak ke tepi dinding. Kepalanya dijengulkan sedikit untuk memastikan tempat itu tidak terancam. Dan tidak jauh dari situ, di sebelah kirinya, dia berjaya menemui lokasi sasaran. Seorang lelaki sedang berdiri di depan pintu. Matanya mengekor ke segenap arah.
Maksim tersenyum sinis lalu mengatur langkah, menuju ke misi selanjutnya. Tetapi, pengawal yang berjaga di bilik itu tiba-tiba menyedari kehadirannya lantas mencurigai Maksim yang berada di situ. Mata coklat Maksim tajam melihat tangan lelaki itu bergerak perlahan ke dalam kemejanya sebelum mengeluarkan sesuatu. Bagaimanapun, tidak pantas bertindak!
Maksim terlebih dulu menghalakan muncung silencer glock 19 dan melepaskan peluru senyap, tepat menusuk jantung pengawal tersebut, yang rebah serta-merta di depan pintu. Dia melangkahi mayat pemuda Cina itu, berniat menguruskannya kemudian. Tangannya yang bersarung hitam memasukkan kunci kad yang telah pun dibuat pendua. Pintu ditolak. Lantas kepalanya menggeleng kesal. Sungguh mengecewakan.
Tiga orang lelaki di dalamnya sedang seronok berketawa dan langsung tidak cuba melihat siapa yang berdiri di muka pintu itu sekarang. Kebodohan yang tidak disangka-sangka pada perkiraan Maksim.
“Hello. Good night, sir…” ucap Maksim getir apabila mereka masih tidak perasan akan kedatangannya.
Tiga orang lelaki tadi, yang duduk bersila di depan meja rendah gaya Jepun, berpaling ke arah pintu. Masing-masing dengan riak terkejut.
Maksim mengangkat senjata pencabut nyawanya dan melepaskan peluru ke arah setiap mereka yang gagal bertindak pantas. Sama seperti pengawal mereka di luar tadi. Dia membunuh kesemuanya tanpa meninggalkan kesan dan mengesahkan dua daripadanya adalah Norbert dan William, pengasas kumpulan pengedar senjata dan pemerdagangan manusia yang terkenal dengan jolokan ketua Geng Kai di China.
Sejurus memastikan yang dia telah melakukan kerjanya dengan sempurna dan terancang, dia lantas keluar dari pintu yang menyembunyikan mayat empat lelaki, tanpa disedari oleh sesiapa pun. Kot labuhnya berkibaran sepanjang lorong menuju ke lif. Mukanya cukup bersahaja. Malah, tanpa rasa bersalah. Kerana meyakini yang misinya tamat sejurus membunuh dua kepala utama kumpulan yang sedang diburu Interpol sejak bertahun-tahun lalu.
Maksim terus mendapatkan lif dan turun ke bawah dengan selamat. Dia akan mendapat bayarannya apabila berita melaporkan kejadian tersebut pada lewat malam nanti. Buat masa ini, dia cuma perlu meninggalkan Shanghai secepat |
|
|
|
|
|
|
|
Tajuk: SUPERBIKE ITU CINTA
Penulis: Nia Qurratunaini
HARGA: RM21.00 / RM24.00
Terbitan: Fajar Pakeer
ODER: [email protected]
*****
BAB 1
JAM di tangan dilihat berulang kali. Bayang-bayang orang dinanti masih belum menjelma. Wafi resah, namun hatinya berbunga. Sekian lamanya dia tidak berjumpa dengan gadis itu. Rindu menggunung tersimpan dalam jiwanya.
Petang itu, dia nekad untuk tidak hadir ke kuliah. Hanya ini sahaja masa yang ada untuk dia meluangkan masa bersama dengan insan teristimewa. Sesekali dia memerhati dirinya di hadapan kaca butik pakaian tempat dia berdiri. Helaian halus rambut Wafi sedikit kusut kerana ditiup angin. Dia merasa tidak selesa dengan keadaan rambutnya yang begitu memandangkan cuaca petang itu agak terik. Rambutnya yang panjang paras bahu, sedikit beralun di bahagian hujung diikat kemas dengan getah rambut. Parut yang berada di kening kirinya itu terlihat melalui pantulan imej kaca tersebut.
Kejadian pada malam itu muncul semula. Bunyi hiruk-pikuk bandar langsung lenyap. Bunyi dentuman di mindanya lebih jelas kedengaran. Kerana peristiwa itu jugalah kesan parut jahitan di keningnya wujud. Bagi Wafi, parut itu bukan hanya sekadar tanda yang kekal pada wajahnya tetapi ia mengajar dirinya untuk terus tabah.
“Hi, dear,” ucap suara itu dari belakang.
Wafi segera menoleh. Dia kenal benar dengan pemilik suara itu. Wafi mengukir senyuman setelah menatap wajah manis di hadapannya. Kenangan itu lantas lenyap. Nurul Nadhirah, nama yang sering menjadi sebutan dalam kalangan pelajar universiti suatu ketika dahulu. Kini, sudah genap lima bulan Dhira melangkah ke alam pekerjaan.
“Kenapa tengok Dhira macam tu?”
“Tak ada apa-apa. Sejak dah bekerjaya ni… kedekut ya?” Nada suara Wafi menduga.
“Kedekut? Kenapa pula?”
“Yalah, nak tengok muka orang yang Wafi sayang pun tak boleh ke?”
Dhira tersenyum mengerti. Penampilannya mampu menarik perhatian mana-mana lelaki. Petang itu Dhira mengenakan kemeja berwarna merah hati lalu dikenakan dengan seluar slek putih. Rambutnya disimpul moden. Menambahkan lagi keanggunannya sebagai seorang pegawai pemasaran.
“Okeylah, lain kali Dhira tak akan tanya lagi kalau Wafi tengok muka Dhira.”
“Betul ni? Tak kedekut?”
Dhira menggeleng manja. “Dah lama tunggu Dhira? Sorry, Wafi. Tadi ada kemalangan masa Dhira nak ke sini.”
“Perasaan orang yang menunggu ni lebih perit daripada orang yang ditunggu sebab orang yang menunggu ni tertunggu-tunggu. Tak tahu ke yang orang menunggu ni rindu kat orang tu?” luah Wafi. Dia pura-pura merajuk.
“Wafi, Dhira bukan sengaja. Betul, tadi ada kemalangan kat depan tu. Ingat orang yang menunggu aje rindu? Orang yang terkejar-kejar nak jumpa orang yang menunggu ni tak rindu?” Kali ini giliran Dhira pula yang merajuk.
Wafi tersenyum. Sememangnya begitu perangai Dhira. Pasti akhirnya dia yang memujuk buah hatinya itu meskipun pada mulanya Wafi yang merajuk. Namun, Wafi tidak kisah dengan kerenah Dhira kerana Dhira ialah gadis idamannya. Dhira memenuhi ciri-ciri yang dia mahukan untuk suri dalam hidupnya. Dhira juga menjadi rebutan semasa zaman pengajiannya.
“Sayang,” panggil Wafi dengan penuh lembut.
Dhira masih lagi tidak mahu mengalah. Mukanya sengaja mencuka.
“Sayang Wafi ni, kalau merajuk tak cantik. Kita jarang jumpa, kan? Takkan nak isi masa yang ada ni dengan merajuk? Cuba senyum sikit.”
Dhira menjeling manja. Dia tahu, Wafi pasti akan memujuknya. Wafi Azrel Shah adalah lelaki yang berjaya menawan hatinya. Hanya lelaki itu yang mampu memahami kehendaknya. Setiap kali dia merajuk, Wafi akan memanggilnya dengan panggilan sayang. Sedikit demi sedikit dia mengukir senyuman apabila Wafi merenung ke arahnya. Dia rindu dengan pandangan itu.
“Ha, kan dah cantik tu. Tak mahulah masam-masam.”
“Nasib baik tahu macam mana nak pujuk Dhira.”
“Dhira ni manja tau. Sebab Dhira orang yang Wafi sayang, mestilah Wafi pujuk.”
“Okey, kalau betul Wafi sayang Dhira, Wafi sanggup buat apa sahaja untuk Dhira?”
“Nurul Nadhirah… Wafi Azrel Shah sanggup buat apa sahaja untuk kamu.”
Dhira tersenyum gembira. “Kalau macam tu, kita pergi makan dulu. Dhira lapar.”
“Tapi Wafi bawa satu helmet aje.”
“Hari ni naik kereta Dhira.”
“Kereta Dhira?”
“Yalah. Dhira baru beli kereta tu. Dhira nak buat kejutan kat Wafi. Jom, Dhira letak kereta kat sana,” ucap Dhira sambil tangannya sudah menarik lengan Wafi.
PINTU kedai serbaneka 24 jam itu ditolak sambil matanya melihat jam yang terletak di tangan kanannya. Tepat menunjukkan pukul 5.35 petang. Inilah saat yang dinantikan oleh AD. Waktu kerjanya sudah tamat. Belum sempat lagi dia mengenakan topi keledar muka penuh Corsair V itu ke kepala, kedengaran suatu suara memanggilnya. AD segera menoleh.
“AD, esok jangan datang lambat lagi. Ingat tu,” pesan Encik Razak, penyelia kedai tersebut.
“Okey, bos. Saya cuba datang awal sikit daripada biasa esok,” ucap AD sambil menunjukkan tabik hormat.
“Engkau tu hari-hari cakap macam tu. Entah apa agaknya kau buat tiap-tiap malam sampai pergi kerja pun lambat,” rungut Encik Razak sambil melangkah masuk ke dalam.
AD hanya mampu tersengih.
Sudah berbuih mulutnya menasihati AD untuk datang tepat pada waktunya, tetapi AD tetap begitu. Mujur mutu dan kesungguhan AD yang baik semasa bekerja mampu membuatkan Encik Razak tidak berkira dengan AD. AD pasti akan menggantikan masa lambatnya dengan pulang lewat daripada waktu yang sepatutnya.
AD segera memakai topi keledar lalu menuju ke motosikalnya yang terletak berhampiran kedai. Dia tercari-cari gugusan kunci di dalam beg sandangnya. AD tergesa-gesa kerana malam ini ada kerja separuh masa lagi yang dia mahu lakukan iaitu kerja mencuci pinggan untuk majlis-majlis tertentu. Bukan setiap hari dia dapat mencari wang lebih. Pasti peluang itu tidak mahu dilepaskan.
AD segera menghidupkan enjin sebaik sahaja kunci ditemui. AD mengambil jaket hitam di dalam begnya lalu disarung kemas ke tubuh. Kakinya segera mengangkat stand motosikal lalu cuba mengundur kebelakang. Tanpa dia sedari, ada sepasang kekasih yang sedang leka berbual sambil berjalan, semakin menghampiri kedudukannya. AD terus mengundur sambil menoleh ke kanan, tanpa menghirau kirinya. Dan, tanpa dia sedari juga belakang motosikalnya bertembung dengan tubuh gadis itu.
“Aduh!” Dhira terjatuh.
Wafi terkejut. AD juga kaget lalu segera turun dari motosikalnya. Wafi segera mendapatkan Dhira yang sedang menahan kesakitan. Mujur hanya luka kecil di tapak tangan. Perasan terkejut Wafi bertukar marah apabila menoleh ke arah pemilik motosikal itu.
“Apa ni, bro? Nak undur pun tengok-tengoklah.” Wafi cuba membela nasib Dhira.
AD mengangkat visor topi keledarnya lalu memerhati keadaan Dhira yang sedang terduduk itu.
“Kalau nak mengundur pun, tengok kiri kanan. Takkanlah baru pertama kali bawa motor? Motor besar, tapi takkan tak pandai bawa?” Bertubi-tubi Wafi melemparkan kemarahannya apabila melihat AD seperti tidak mempedulikannya.
“Alah, sikit aje tu. Luka kat tangan aje,” ucap AD sambil matanya merenung tepat ke mata Wafi. Suara AD seperti antara jelas dan tidak kerana topi keledar yang dipakainya.
“Memanglah sikit aje, bro, tapi dah kes menganiaya ni. Kalau nak mengundur, hati-hatilah. Mata kena jaga-jaga. Jangan harap pakai motor besar aje, tapi tak tahu jaga keselamatan.” Wafi segera membantu Dhira berdiri. Perasaan tidak puas hati Wafi sudah berada di tahap maksima. Ada perhitungan yang perlu diselesaikan.
AD pada mulanya mahu membiarkan sahaja, tetapi apabila sudah dikata sebegitu oleh Wafi, dia sudah mula hilang sabar lalu dia menanggalkan topi keledarnya.
“Mulut tu jaga-jagalah sikit. Tak payahlah nak cari pasal dengan aku. Eh, minah… boyfriend kau ni lebih-lebihlah.”
Alangkah terkejutnya Wafi dan Dhira apabila melihat wajah di sebalik topi keledar itu. Apa yang disangkakan oleh mereka sama sekali meleset. Pemilik motosikal itu ternyata adalah perempuan. Ya, perempuan yang berimej seperti lelaki. Rambutnya hampir menyerupai lelaki. Pendek dan sedikit terpacak. Penampilannya jauh sekali menggambarkan dirinya seorang gadis. Berjaket serta berseluar jean lusuh. Akan tetapi masih lagi tidak mampu untuk menyembunyikan kurniaan Allah. Wajah mulus seorang perempuan.
“La... minah tomboi rupanya. Patutlah tak tahu bawa motor.”
“Mulut kau cakap baik sikit, eh. Suka hati kau aje nak panggil aku tomboi. Kang ada juga yang kena sebiji dengan helmet aku ni.”
“Dah memang jelas kau yang salah kat sini. Ada hati nak cari pasal dengan aku.”
AD ketawa menyindir apabila mendengar kenyataan Wafi.
“Apasal kau ketawa? Aku nak kau bertanggungjawab dan minta maaf dengan girlfriend aku ni.”
“Kau ni, memang sengallah. Kasihanlah kat kau, minah. Harap muka aje lawa, tapi malang dapat balak macam dia ni. Aku memang selalu dengar yang cinta tu buta. Tapi aku tak pernah sangka pula yang bercinta ni bukan sahaja boleh buat orang jadi buta, tapi jadi pekak nak mampus.”
Wafi menghampiri AD. Mereka berpandangan antara satu sama lain.
“Oh… sekarang kau nak cakap aku ni buta dengan pekaklah?”
“Memang… Bukan setakat buta, pekak, tapi sengal. Dah terang-terang aku hidupkan enjin motor ni. Kau tak dengar ke? Tadi kau juga cakap dengan aku jangan harap pakai motor besar aje, tapi tak tahu jaga keselamatan. Dah terang-teranglah, bro, motor aku ni besar. Kau nak motor aku ni besar macam lori balak ke baru kau nak nampak? Kau nak motor aku ni bunyi macam hon kapal Titanic ke baru kau nak dengar?”
“Eh, mulut kau memang kurang ajar, kan? Perempuan apa macam ni? Budi bahasa dah campak ke laut. Lepas tu tak nak terima aku cakap kau tomboi.”
“Sekurang-kurangnya aku tak buta macam awek kau ni, yang boleh pula terima kau jadi boyfriend dia. Kemaruk sangat bercinta sampai tak nampak motor aku ni nak keluar.”
Dhira mula tidak senang dengan apa yang berlaku. “Wafi, dahlah. Jangan layan budak ni. Dhira tak ada apa-apa.”
“Ha, kau dengar tu. Nasib baik awek kau ni pandai. Nak cakap aku tomboi konon. Yang kau tu rambut berikat bagai tu, kenapa? Simpan rambut panjang macam perempuan.”
Wafi sudah hilang sabar. Tangannya sudah menolak tubuh AD. “Kenapa kau nak cari pasal dengan aku?”
AD juga tidak mahu mengalah. Topi keledar di tangannya akan dijadikan senjata jika berlaku kecemasan.
“Apasal pula nak tolak-tolak aku ni? Kau yang mulakan dulu. Kau jangan ingat aku tak berani nak kasi kau makan helmet aku ni.” Kali ini giliran AD pula menolak tubuh Wafi.
“Wafi, sudah. Jangan layan dia ni. Jom, kita pergi,” pinta Dhira.
“Hei, tomboi, perempuan macam kau ni aku tak akan pandanglah. Mulut dahlah kurang ajar. Memang aku butalah kalau aku boleh suka kat perempuan macam kau ni, apa lagi nak buat bini. Kau ingat, eh, minah tomboi. Kau dah cari pasal dengan aku. Kalau aku nampak muka kau sekali lagi, nahas kau. Jangan ingat aku nak layan kau macam perempuan.”
“Tak boleh nak cakap elok-elok ke? Kau yang cari pasal dulu. Siapa aje entah nak jadi bini kau? Awek kau ni aje yang sudi. Nak tunjuk berani sangatlah depan perempuan.”
“Wafi, jomlah. Jangan pedulikan dia.” Dhira segera menarik lengan Wafi lalu beredar.
Wafi hanya menuruti. Barannya masih tidak hilang. Ikutkan hati, mahu sahaja dia mengajar perempuan itu.
“Lain kali bercinta, guna kepala otak, bukan guna kepala lutut,” ucap AD hampir separuh menjerit.
Wafi segera menoleh, mahu menghampiri AD. Namun Dhira segera menahannya. |
|
|
|
|
|
|
|
Tajuk: DIA PENGANTINKU
Penulis: Nurfaza Alisya
HARGA: RM25.00 / RM28.00
Terbitan: Fajar Pakeer
ODER: [email protected]
******
BAB 1
TERGESA-GESA Aimi Najwa memasuki Karnival Pengantin di PWTC. Setengah jam lagi dia perlu berada di atas pentas untuk majlis pembukaan yang akan dirasmikan oleh Datuk Bandar. Dia dapat merasakan kemarahan kakaknya, Juhana, sudah meledak. Aimi Najwa mengutuk diriya sendiri yang terlewat bangun daripada tidur. Usai solat subuh tadi dia tertidur semula kerana badannya terasa amat letih. Ini semua gara-gara dia shopping sakan dengan Haliza semalam.
Sepatutnya hari minggu begini dia sendiri maklum bahawa bandar raya Kuala Lumpur terlalu sibuk dengan pelbagai ragam manusia. Apatah lagi dia terpaksa bersesak di dalam perut LRT untuk datang ke sini memandangkan dia masih belum mempunyai kereta. Perjalanan dari Cheras hingga ke PWTC cukup memenatkanya kerana dia terpaksa berdiri sepanjang perjalanannya itu.
Melilau mata Aimi Najwa mencari booth Gold Wedding milik Juhana. Dia membolosi orang ramai yang berada di situ. Pening juga kepalanya mencari booth Gold Wedding. Maklum sajalah, banyak butik pengantin yang memasuki pertandingan karnival pengantin musim ini. Masing-masing mahu menunjukkan busana pengantin dan pelamin yang anggun. Gold Wedding pula memasuki karnival pengantin tahun ini untuk kali kedua.
Aimi Najwa mula mengeluh apabila kelibat Juhana dan abang iparnya, Nazri, tidak dapat dicari. Dia sepatutnya datang ke sini semalam, membantu Juhana dan Nazri menyiapkan booth mereka. Ini tidak, dia begitu sibuk untuk keluar beli-belah dengan Haliza. Kalau tidak, tidak perlulah dia bersusah payah begini.
Dia tersentak apabila terasa tangannya ditarik oleh seseorang. Aimi Najwa berpaling. Terkejut bukan kepalang dia apabila mendapati orang itu adalah kakaknya. Perlahan-lahan senyuman dihadiahkan untuk Juhana bagi meredakan kemarahan kakaknya itu.
“Kenapa lambat? Aimi dah janji dengan akak nak datang awal, kan? Aimi orang yang paling penting di atas pentas tu tau! Aimi dengan Rizal terpilih untuk duduk di kerusi pengantin dan Datuk Bandar akan menepung tawar kamu berdua. Jangan malukan kakak pula.” Panjang lebar Juhana mengomel.
“Sorrylah, Kak Ju. Aimi mintak maaf banyak-banyak. Aimi tertidur.” Aimi Najwa mengakui kesilapannya. Mujurlah ketukan bertalu-talu daripada uminya di luar pintu bilik telah berjaya mengejutkannya. Dan apabila terjaga, dia begitu terkejut melihat missed call yang bertalu-talu daripada Juhana.
Tanpa membuang masa, mereka berdua melangkah ke booth Gold Wedding. Aimi Najwa menoleh ke arah sepupunya, Rizal, yang sudah bersiap dengan busana pengantin. Agak kacak sepupunya itu! Aimi Najwa tersenyum.
Sebentar lagi dia dan Rizal akan bergandingan di atas pentas untuk majlis pembukaan karnival pengantin. Rizal mengangkat kening ke arahnya. Aimi Najwa faham akan maksud sepupunya itu. Pasti sebelum dia tiba di sini, orang lain sudah merungut menanti dia yang tidak muncul-muncul. Sebuah senyuman yang manis dilemparkan untuk sepupunya itu.
“Rohani, cepat siapkan Aimi. Kita dah tak ada masa ni,” laung Juhana kepada pembantu mekapnya.
“Baik!” sahut Rohani.
Tanpa membuang masa dia menyuruh Aimi Najwa mengenakan gaun pengantin sebelum wajah Aimi Najwa dicalit dengan mekap. Aimi Najwa hanya menurut tanpa membantah. Cepat-cepat Aimi Najwa menuju ke bilik persalinan. Dia tahu yang dia sudah kesuntukan masa. Dia mengutuk dirinya sendiri yang sudah lewat tiba dan telah menyusahkan semua orang. Walaupun dia menerima tawaran untuk menjadi model pengantin secara paksa daripada Juhana, perasaan bersalah tetap wujud dalam dirinya. Dia harus membalas jasa Juhana kerana kakaknya itu telah menyelamatkan prestasi kerjanya.
Sebaik mengenakan gaun pengantin tergesa-gesa, Aimi Najwa menuju ke arah Rohani. Terus dia duduk di hadapan Rohani, sebelum sempat gadis yang muda setahun daripadanya itu bersuara, meminta dia duduk di situ. Rohani hanya tersenyum.
“Rambut Aimi nanti biar akak yang dandankan. Dah siap mekap nanti panggil akak tahu. Mekap simple saja. Kita dah kesuntukan masa ni,” pesan Juhana.
Dengan tangkas tangan Rohani membedakkan wajah gebu Aimi Najwa. Masa yang semakin suntuk ini harus diguna dengan baik. Sekali-sekala hatinya memuji kecantikan wajah adik majikannya. Sedikit pun tiada cacat celanya. Hidung mancung kecil Aimi Najwa menampakkan dia seorang yang cukup sempurna.
Sekali-sekala Juhana datang menjengah mereka. Bimbang dengan kesuntukan masa yang ada. Orang ramai semakin memenuhi ruang legar di dewan PWTC ini. Apatah lagi apabila suara pengacara majlis menyebut nama Datuk Bandar yang akan tiba tidak lama lagi. Juhana semakin bimbang.
“Ani, macam mana ni?”
“Sikit lagi, Kak Ju,” ucap Rohani dengan cemas tetapi masih berhati-hati mengenakan mekap untuk Aimilia.
“Cepat sikit, Ani. Akak bimbang nanti kita tak sempat.” Kali ini Juhana semakin menggelabah. Sekali-sekala kepalanya dipanjangkan ke arah pentas hadapan. Timbul rasa bersalah di hati Aimi Najwa.
“Dah siap, akak!”
“Hah, dah?” Tanpa membuang masa terus Juhana mendandan rambut Aimi Najwa yang keperang-perangan semula jadi itu. Sambil itu dia mengomel kepada adiknya yang datang lambat ke majlis perasmian pada hari ini.
Aimi Najwa hanya diam tanpa sepatah kata. Dia faham kakaknya tidak suka membuat kerja dalam keadaan terdesak begini.
“Okey, siap. Macam mana, Ani?” tanya Juhana sebaik sahaja selesai mendandan rambut Aimi Najwa. Itu pun dandanan yang amat ringkas. Bimbang jika adiknya tidak sempat naik ke pentas nanti. Sekali-sekala matanya memandang jauh ke arah pentas dengan perasaan bimbang.
“Cantik, kak,” beritahu Rohani sambil mengangkat ibu jari.
Aimi Najwa hanya tersenyum mendengar jawapan Rohani. Terasa amat lucu dengan gelagat gadis manis itu.
Suara pengacara yang bergema memeranjatkan Juhana sekali lagi. Datuk Bandar sudah pun tiba untuk merasmikan majlis karnival pengantin sebentar lagi. Juhana semkain gelisah.
“Mana Rizal?!” pekik Juhana. Kegusaran jelas terbayang pada raut wajahnya apabila melihat Rizal tiba-tiba tiada di situ.
“Rizal dah berada di belakang pentas, kak,” beritahu Rohani sambil melirik ke arah Aimi Najwa. Walaupun dandanan rambut Aimi Najwa amat ringkas tapi adik majikannya itu tetap nampak jelita.
“Okey, Aimi, kamu ingat kan rehearsal yang Kak Ju ajarkan kamu minggu lepas. Lepas semua model pengantin lain naik, baru kamu dengan Rizal naik bergandingan, posing ke depan lepas tu baru duduk atas pelamin tau!” Tegas Juhana, sekali mengingatkan adiknya.
Cepat-cepat Aimi Najwa mengangguk. Tanpa membuang masa terus dia bangun, menuju ke belakang pentas. Kemudian dituruti oleh Juhana dan Rohani, ke depan pentas untuk menyaksikan acara pembukaan karnival pengantin yang akan dirasmikan oleh Datuk Bandar sebentar lagi.
Juhana dan Rohani mengambil tempat duduk di barisan kedua dari hadapan. Juhana berharap pengunjung ke karnival pengantin tahun ini kagum dengan pakaian pengantin dari butiknya walaupun ini bukanlah satu pertandingan. Pertandingan model pengantin yang sebenar akan diadakan pada malam ini, tetapi sayang, Butik Gold Wedding tidak mengambil bahagian dalam acara tersebut disebabkan Aimi Najwa tidak mahu menonjolkan dirinya di atas pentas. Malah, Juhana sendiri tidak sempat mencari model yang lain. Mahu disuruh Rohani, Rohani juga sama seperti adiknya. Pemalu!
Apabila teringatkan adiknya yang terpaksa menerima ajakannya, Juhana tersenyum sendirian. Pembukaan perasmian karnival pengantin ini pun diterima oleh Aimi Najwa disebabkan didesak oleh Juhana. Itu pun apabila dia meminta pertolongan Juhana untuk menghantar fail dokumen kerjanya yang tertinggal di rumah tempoh hari.
Pada ketika itu, Aimi Najwa amat memerlukan pertolongan Juhana kerana maklumat dokumen itu akan dibentangkan dalam minit menyuarat Lembaga Pengarah. Sebagai setiausaha Datuk Syed Alwi, dia seharusnya lebih peka dan bersiap lebih awal sebelum sesuatu mesyuarat dimulakan. Mujurlah sewaktu dia menelefon Juhana, kakaknya itu baru sahaja mahu ke Butik Gold Wedding dan kebetulan pula laluan ke Gold Wedding memang melalui jalan ke tempat kerja Aimi Najwa.
Sepuluh minit mesyuarat hendak dimulakan, barulah Juhana tiba dengan fail dokumen penting itu. Kalau Aimi Najwa sendiri pulang mengambilnya, alamatnya pasti dia terlewat berada dalam mesyuarat dan pasti akan dimarahi Datuk Syed Alwi. Disebabkan itulah Aimi Najwa terpaka menerima lamaran Juhana untuk menjadi model pembukaan Karnival Pengantin ini bagi membalas jasa kakaknya itu.
Juhana tersentak apabila bahunya dicuit kasar oleh seseorang. Segera dia berpaling. Terkejut dia apabila suaminya, Nazri, duduk tercanggung di antara dia dan Rohani supaya tidak menghalang orang lain yang berada di belakangnya menonton pertunjukan yang sedang berlangsung.
“Abang! Majlis dah bermula ni, pergilah cari tempat duduk di belakang sana. Malulah orang tengok abang macam ni,” beritahu Juhana separuh berbisik.
“Kasut!”
Terbeliak mata Juhana dan Rohani apabila melihat kasut kaca putih pengantin perempuan di tangan Nazri.
“Aimi Najwa!” Juhana menjerit kecil.
DI atas pentas Aimi Najwa mula bergaya dalam gelabah. Dia terpaksa menahan malu apabila terpaksa berkaki ayam. Mujurlah sewaktu dia mahu naik ke pentas, Rizal sempat menegur sandal yang dipakainya. Terkejut bukan kepalang. Dalam keadaan panik, cepat-cepat sandalnya ditinggalkan di anak tangga belakang pentas. Mahu ke tempat kakaknya, sudah terlambat kerana gilirannya bersama Rizal sudah tiba. Mahu tidak mahu dia terpaksa berkaki ayam. Masakan dia mahu memakai sandal untuk bergaya di atas pentas. Tentulah penonton akan ketawa.
Wajahnya terus merona kemerahan sebaik sahaja matanya memandang ke arah penonton yang menyaksikan dia di atas pentas. Hatinya berdoa agar tiada sesiapa yang memandang ke kakinya yang tanpa kasut pengantin. Tetapi itu adalah sesuatu yang amat mustahil! Dan dari atas pentas dia dapat melihat Juhana, Nazri dan Rohani yang melopong ke arahnya. Hati Aimi Najwa mula berbaur geram! |
|
|
|
|
|
|
|
dapatkanlah novel cinta yang terindah di pasaran tq |
|
|
|
|
|
|
|
AKAN DATANG APRIL!
Tajuk: MR. SIRAP BANDUNG
Penulis: Nadra Yasmina
Harga: RM24.00/RM27.00
Dua insan yang sangat berbeza latar belakang dan personaliti ditemukan di bawah satu bumbung. Teja atau TJ, kerani stor yang comel, ceria serta gila-gila perwatakannya. Manakala Thaqif Jazman atau Qif, si tampan berlesung pipit sepasang yang cukup cool. Pewaris tunggal Kiara Arena Holdings yang jauh membawa diri dan hati ke bumi Kanada. Namun takdir-Nya yang manis dan penuh payungan hikmah menemukan kedua-duanya.
“Kalau awak suka seseorang... dan hari-hari awak jumpa dia, awak akan rasa jemu tak?”
Thaqif, anak muda yang kembali ke tanah air demi tanggungjawab kepada keluarga tanpa sengaja bertemu dengan TJ pada hari pertama dia melapor diri di pejabat. Pertemuan singkat di dalamlif tidak tamat di situ. Persahabatan dua darjat terjalin, mesra dan penuh warna-warni kehidupan. TJ banyak membuka mata Thaqif tentang kehidupan dan tentang tanggungjawab sebagai hamba-Nya. TJ bagaikan lampu picit yang menyuluh jiwa Thaqif yang kelam dan gelap selama ini.
“Teja tu macam tepung pelita. Misteri macam tepung pelita. Lemak di atas, tapi rasa manisnya di dasar. Kalau tak kenal, takkan tau betapa istimewanya dia…”
Makin mengenali sisi seorang TJ, makin Thaqif yakin dia sudah temui apa yang dia cari selama ini. Namun bagaimana harus dia bongkarkan identiti diri yang sebenar? Akan mahukah TJ lagi kepadanya? Bersediakah TJ?
“TJ... please.”
Please konon. Please taik kucing!
“Awak... awak tolonglah dengar penjelasan saya dulu.”
Boleh jalanlah! Despatch konon. Huh, penipu! Benci! Benci! Teja terus melangkah. Dia buat-buat pekak.
TJ yang polos dan lurus tidak menyedari Man despatch yang menjadi teman barunya itu rupa-rupanya CEO baru Kiara Arena Holdings. Tatkala segalanya terbongkar, haru-biru jadinya. Berjayakah Qif yang digelarkan oleh TJ sebagai Man Sirap Bandung aka si biskut lemak rangup berkrim meyakinkan si gila-gila TJ yang cukup comel, misteri dan istimewa itu akan niat murni di hati, sebalik penipuan sunat yang dilakukannya? Last edited by chit_ana on 28-3-2013 06:24 PM
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|