Reply dari anak Saleem
ANAK kepada penyanyi Saleem Iklim, Syafiq Farhain menafikan pernah menuduh bapanya dengan perkara tidak baik dan tidak mengaku Saleem sebagai bapanya. Syafiq, 23, ketika dihubungi berkata, dia seorang yang merendah diri dan tidak mahu orang memandang tinggi apabila mengetahui dia anak kepada penyanyi terkenal.
“Saya tidak pernah malu mengaku Saleem adalah bapa kandung, cuma saya tidak selesa apabila ada orang memandang tinggi disebabkan bapa saya. "Dakwaan mengatakan saya menuduh bapa dengan perkara tidak baik adalah tidak benar sekali," katanya.
Menurut Shafiq, dia enggan mengambil pusing selagi bapanya belum mengeluarkan sebarang kenyataan."Hubungan saya dengan bapa masih baik. Saya kenal bapa saya dan menghormatinya selama ini. Saya tidak mahu percaya apa yang orang cakap selagi tidak mendengar daripada mulutnya mengenai diri saya."Saya sangat sayangkannya. Saya tidak tergamak untuk memburuk-burukannya malah menyanjunginya sebagai seorang bapa," katanya.
Terdahulu, isteri kepada Saleem iaitu Julia Bachok mendedahkan Syafiq pernah menuduh bapanya dengan perkara-perkara yang tidak baik dan dia sendiri malu mahu mengaku Saleem sebagai bapanya. Ketika diminta mengulas mengenai tindakan Saleem tidak membenarkan Syafiq menggunakan namanya, Syafiq berkata, dia tidak boleh mengelak dengan pertanyaan orang sekeliling. Bagaimanapun, Syafiq memohon maaf apabila tindakannya bercerita dia adalah anak kepada Saleem membuatkan hati bapa dan ibu tirinya terluka.
"Saya tiada pilihan apabila orang tahu saya anak kepada Saleem. Saya harus menjawabnya kerana dia memang bapa saya. Nama saya berbinkannya. "Saya tidak mahu menjadi anak derhaka. Diharapkan isu yang dibangkitkan ini memudahkan proses saya selepas ini. Bukan saya tidak mahu cerita tetapi saya buat kerana sayangkan bapa saya," katanya. Syafiq yang juga anggota bomba sebelum ini popular apabila video nyanyiannya di aplikasi Smule tular di laman sosial apabila suaranya dikatakan mirip Saleem. Syafiq kini turut bergelar penyanyi dengan single yang semakin dikenali berjudul Sayang Maafkan Aku.
sumber : harian metro
|