Kami tidak akan berehat - Abbott
SYDNEY 30 Mac - ''Kami (Australia) tidak akan berehat dan akan melakukan segala usaha yang termampu untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu,'' kata Perdana Menteri, Tony Abbott hari ini. Menurut beliau, tidak ada had yang dikenakan ke atas operasi carian peringkat antarabangsa di Lautan Hindi yang buat masa ini diselaraskan di Perth. "Australia akan melakukan apa sahaja yang termampu untuk mencari jalan penyelesaian merungkai misteri kehilangan pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang termasuk anak kapal," katanya. Dalam pada itu, Abbott berkata, pihaknya telah melantik bekas ketua pasukan pertahanan negaranya, Ketua Marsyal Udara, Angus Houston menerajui Pusat Penyelarasan Kerjasama Agensi (JACC) dalam operasi carian yang pada masa ini tertumpu kira-kira 1,850 kilometer di barat benua itu. Menurut beliau, Malaysia akan terus memikul tanggungjawab utama dalam operasi pemulihan dan siasatan berhubung perubahan laluan penerbangan ke arah Lautan Hindi ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China. Sebanyak 10 pesawat dari Australia, Malaysia, Jepun, China, Korea Selatan, New Zealand dan Amerika Syarikat (AS) dan 10 lagi kapal yang terlibat dalam operasi carian itu. Sebuah kapal dilengkapi dengan peranti khas AS, yang boleh ditarik di belakang kapal berkenaan yang boleh mengesan isyarat data penerbangan pesawat dan perakam suara, milik tentera laut Australia, dijangka bertolak dari Perth pada Isnin depan. "Jika kapal itu dapat mengesan isyarat di bawah laut tanpa bantuan manusia, maka ia boleh diturunkan lagi untuk mencari pesawat MH370," katanya. - DPA
|