Cikgu Shafi Gesa Peserta Berbakat Besar Datang Ujibakat AF 2014 KUALA LUMPUR, 5 JUN 2014: Guru Vokal Akademi Fantasia, Syafizawati Sharif atau lebih dikenali sebagai Cikgu Shafi mahu peserta yang benar-benar berbakat hadir untuk ujibakat AF 2014 yang akan bermula pada 13 Jun hingga 22 Jun ini di lokasi terpilih.
“Saya tidak rasa negara kita ketandusan bakat-bakat baru, cuma peserta yang berbakat ini lebih selesa menyanyi di majlis korporat mahupun di majlis-majlis perkahwinan,” katanya dalam sidang media Akademi Fantasia di Le Meridien Hotel.
Menurutnya, pada musim yang lalu ramai peserta yang datang boleh menyanyi tetapi tidak mencapai standard yang ditetapkan oleh produser.
“Saya mohon kepada peserta yang ingin sertai ujibakat, ukur baju di badan sendiri dan kalau anda kurang berbakat dinasihatkan fikir sebaik yang mungkin,” katanya.
Ketika ditanya adakah wajah yang cantik dan kacak main peranan penting dalam uji bakat kali ini?
Dia menjawab itulah adalah bonus, terlalu meluas untuk dibincangkan yang penting bakat-bakat baru dalam industri muzik ini mempunyai pelapis seperti Hafiz, Shahir, Stacy dan sebagainya.
Cikgu Shafi juga turut bersetuju dengan konsep lama diperkenalkan semula bagi mendisplinkan pelajar dan fokus kepada sesi latihan yang ditetapkan.
“Musim lalu, peserta terdedah dengan unsur luar terutama media sosial yang kadang kala mengganggu perhatian mereka dalam kelas vokal dan kelas-kelas yang lain.”
Jenama AF sudah menjadi dominan di hati penonton dan konsep lama yang diperkenalkan semula ini adalah kehendak mereka.