CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: arrnita

ORKED HARLINA - [U]

[Copy link]
 Author| Post time 14-4-2012 07:09 PM | Show all posts
Post Last Edit by arrnita at 14-4-2012 19:11

Buat kali pertama Idlan menghantarnya ke kampus. Sudah hampir tiga minggu dia tidak jejakkan kakinya ke kampus. Sepatutnya sudah ada surat amaran dari pihak kolej kerana kegagalannya menghadirkan diri. Tapi tadi sebelum dia hendak ke kampus, ibu tirinya Maria datang dan berbisikkan sesuatu.
“Sebenarnya masa Orked di Bukit Tinggi, ayah Orked ada jumpa pihak dekan. Dia kata Orked tak berapa sihat di rumah jadi dia minta cuti panjang dari pihak universiti. Jadi Orked tak perlu risau apa-apa. Pihak universiti takkan ambil tindakan, jadi Orked boleh ke kelas macam biasa.” Ujar Maria.
Orked hanya mengangguk. Sudah pasti ayahnya tidak mahu pihak universiti tahu tentang dirinya yang dilokap serta ponteng kelas kerana mengikut Idlan ke Bukit Tinggi. Lelaki itu bukan melakukannya kerana ambil berat terhadap dirinya. Lelaki itu melakukannya hanya untuk menjaga airmukanya sendiri.
“Seronok pagi-pagi macam ni dapat hantar Orked ke kelas. Orked patut beruntung sebab ada abang yang akan jadi driver Orked sepanjang abang ada kat sini.” Idlan riang bercanda sambil sesekali menyanyi-nyanyi kecil dengan suara sumbang, sengaja mengikut lagu yang diputarkan di corong radio.
Orked mengerling. Lucu juga dia melihat lelaki itu begitu. Sejak sewal pagi lelaki itu sudah menghantar pesanan ringkas ke telefon bimbitnya, meminta dia segera bangun bersiap untuk ke kelas.  Mulanya dia mahu tidur lagi, tapi seminit kemudian dia sudah mendengar bunyi laungan Idlan meminta dia cepat-cepat bangun. Rimas dan bosan dikerah-kerah seperti anak kecil, maka dia bangun juga bersiap untuk ke kelas yang sudah lama ditinggalkannya. Sebetulnya dia ada hajat mahu ke kelas hari itu mengenangkan dia juga sudah berjanji dengan Arida mahu menyambung kuliahnya yang sudah banyak tertangguh. Tapi ketika dia mahu mencapai tuala untuk mandi, matanya tiba-tiba terpandang bulatan merah di dalam kalendarnya. Wajahnya segera berubah. Malah dia sempat beristighfar panjang.
“Orked balik pukul berapa hari ni?” Soal Idlan ketika mereka berhenti di trafik.
“Tak tentu lagi. Kenapa?” Soal Orked.
“Orked nak ikut abang jalan-jalan lepas kelas?” Pelawa Idlan seraya melirik gadis di sisinya.
“Ke mana?” Dahi Orked berkerut.
“Ke mana-mana sahaja, yang pasti bukan ke Bukit Tinggi dan bukan juga ke Zouk tempat kegemaran Orked tu.” Usik Idlan seraya ketawa kecil.
Orked menjeling panjang. Tanpa disedari tangannya sudah menampar lengan Idlan yang sedang memandu. Geram kerana Idlan sengaja mengusiknya dengan umpan Zouk, kelab malam yang selalu dilawatinya suatu ketika dahulu. Idlan terus-terusan ketawa melihat muncung Orked yang mula diangkat tinggi. Dia tahu Orked tidak suka dia menyebut nama kelab malam di mana dia pernah mengikut Orked masuk tempohari. Dia sendiri tidak sangka dia juga ikut nekad mengekori gadis itu tempohari.
Ketika kereta yang dipandunya sampai di hadapan lobi fakulti perniagaan, Orked segera turun. Dia sempat berpaling ke arah Idlan yang sedang memerhatikannya.
“Nanti habis kelas call abang ya.” Idlan memesan.
“Tengoklah nanti.” Jawab Orked selamba.
“Apa pulak main tengok-tengok ni. Nanti telefon, kalau tidak hari-hari abang tunggu Orked di sini sampai habis kelas. Mahu begitu?”
“Alah cakap aje begitu. Yalah tu.” Cebik Orked mengejek.
Idlan sudah ketawa besar.  Lucu melihat gadis itu mencebik ke arahnya. Matanya terpaku memerhatikan gelagat Orked yang terburu-buru mendaki anak tangga ke fakultinya sebelum menghilang. Untuk seketika dia termenung di situ. Memikirkan tentang dirinya, memikirkan tentang Orked. Malah dia memikirkan tentang apa yang berada di pelusuk hatinya saat ini. Entah kenapa dia jadi tenang setiap kali dia memerhatikan Orked. Jiwanya tenteram hanya mendengar suara gadis itu, meskipun Orked sering membalasnya dengan kata-kata kasar. Kenapa dengan diriku Ya Allah? Kenapa aku sering memikirkan yang bukan-bukan tentang Orked padahal ianya takkan mungkin. Aku takkan mungkin menyukai gadis itu lebih dari seorang adik! Bisik hati kecil Idlan sedikit rungsing.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 14-4-2012 08:20 PM | Show all posts
Best..
Sambung lagi
Reply

Use magic Report

Post time 15-4-2012 12:34 PM | Show all posts
Nak lagik tak puaslah baca heheheheh
Reply

Use magic Report

Post time 15-4-2012 03:04 PM | Show all posts
idlan dah ada konflik perasaan nampaknya....
nnt id dgn orked ke?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-4-2012 06:14 PM | Show all posts
Post Last Edit by arrnita at 19-4-2012 18:15

Melihat kereta Idlan sudah menghilang, Orked perlahan-lahan turun dari bangunan kampus lalu berjalan kaki ke arah kawasan hentian teksi. Di situ dia terpaksa bersaing dengan dua orang sebelum berjaya memperolehi teksi.
        “Ke mana cik?” Tanya pemandu teksi berumur sekitar 30an.
        “Taman Seri Gombak.” Jawab Orked.
        Si pemandu terus memandu keluar dari kawasan universiti itu. Kebetulan pada masa yang sama, Mira yang baru keluar dari kereta Arida di tepi jalan ternampak kelibat Orked di dalam teksi. Wajah Mira segera berkerut. Orked! Nak ke mana pulak tu? Mira berpaling memandang ke arah teksi yang membawa Orked pergi. Hendak dikejar teksi tersebut, dia sendiri tidak ada daya upaya. Sudahnya dia hanya mampu menarik nafas panjang.
        “Yang kau tercengang-cengang tu kenapa? Kata tadi nak ke library.” Tegur Arida dari dalam perut kereta. Mira tersentak. Baru menyedari Arida masih belum beredar selepas menghantarnya di hadapan bangunan perpustakaan.
        “Err..tak ada apa-apa.” Jawab Mira seraya menggelengkan kepala. Dia tidak mahu Arida naik angin lagi jika diberitahu tentang Orked yang sedang meninggalkan kawasan kampus dengan menaiki teksi. Jangan Orked ponteng kuliah lagi sudahlah! Keluh Mira, benar-benar buntu dengan temannnya itu.
        Melihat Mira terus terpisat-pisat di situ, Arida dilanda kehairanan. Dia nampak jelas Mira asyik memerhatikan ke suatu arah. Namun apabila dia berpaling ke arah yang sama, dia langsung tidak melihat apa-apa yang mencurigakan.
*  *  *  *
        Ketika teksi yang dinaikinya berhenti di sebuah rumah teres sederhana kecil di Taman Seri Gombak, Orked turun dari perut kereta. Matanya melurus ke arah rumah di hadapannya. Dia membuka pintu pagar lalu melangkah masuk. Rumah itu kelihatan usang menandakan ianya sudah lama tidak didiami.
        Orked meraba-raba sebuah pasu yang tumbuhannya hanya tinggal ranting dan kering kontang. Di dalamnya dia menemui sebatang anak kunci. Kunci itu diambil lalu dipulas pada daun pintu di hadapannya. Berjaya!
        Ketika dia menguak daun pintu, hidungnya terhidu bau habuk yang berterbangan. Dia mengibas-gibas habuk yang jatuh ke atas bajunya. Melihat suasana rumah itu, bibirnya mengukir senyuman. Rumah ini merupakan rumah lama arwah ibunya. Rumah pertama yang didiami ibunya bersama ayahnya pada awal-awal usia perkahwinan mereka. Ketika itu ayahnya Hamdan hanya seorang lelaki biasa yang bekerja di sebuah kilang bata sebelum menjadi ahli perniagaan berjaya pada hari ini. Lepas ayahnya berjaya mengambil alih kilang bata tempatnya bekerja dulu, syarikat ayahnya semakin berkembang. Dan ketika itulah mereka meninggalkan rumah lama pusaka arwah ibunya dan pindah ke sebuah rumah banglo besar. Tapi kelahirannya nyata tidak menggembirakan ayahnya. Lebih-lebih lagi kelahiran itu dianggap membawa sial.  Menurut arwah ibunya, ketika dia mula-mula lahir, syarikat ayahnya mengalami masalah. Mungkin kerana itu ayahnya tidak menyukainya. Itu kata ibunya dahulu.
        Hakikatnya Orked sendiri tidak tahu apa yang harus dikatakannya atau apa lagi yang harus difikirkannya. Dia sudah penat memikirkannya, malah dia juga  sudah tidak larat sekadar untuk mengingati kebencian ayahnya.
        Di dinding ruang tamu yang kecil, matanya melihat potret gambar perkahwinan antara ayah dan ibunya. Ibunya Anisah adalah wanita yang menawan dan lemah lembut. Ayahnya Hamdan pula kacak ketika usia mudanya. Kedua-duanya nampak sepadan digandingkan di dalam potret.
        Sebenarnya hari ini pada tarikh dan masa yang sama setiap tahun, dia akan kembali ke rumah ini. Dia akan menghabiskan sepanjang pagi dan petangnya di rumah ini. Mengunci semula imej-imej ibunya yang sudah tiada di dalam ingatan. Semua yang dilakukannya mengembalikan kerinduan yang berada di pelusuk hatinya. Sekeping gambar ibunya di dalam bingkai gambar yang terhias di atas kabinet almari diambil lalu ditatap.
        “Umi…Orked rindukan umi.” Bisiknya sambil memejamkan matanya. Cuba menahan kelopak mata yang terasa hangat. Sedang dia leka melayan perasaan, telinganya tiba-tiba menangkap suatu bunyi. Orked segera membuka mata lalu berlari ke arah tingkap. Langsir di tingkap itu diselak sedikit. Tapi sebaik dia melihat sebuah kereta berhenti di hadapan pagar rumah itu, wajahnya tiba-tiba berubah. Ayah! Apa lelaki itu buat di sini hari ini?
        Dengan terburu-buru dia segera meletakkan potret ibunya di tempat asal. Kelam kabut dia mencari-cari sudut di tempat itu untuk menyembunyikan diri. Mujurlah dia tidak meletakkan kasutnya di luar, jika tidak pasti ayahnya tahu dia berada di situ.
        Setelah bertemu port yang sesuai, Orked menahan nafas dan bersembunyi di sebuah bilik di antara ruang tamu dan dapur. Dia berharap moga-moga bilik itu tidak dimasuki ayahnya atau pasti pelempang lelaki itu singgah ke mukanya jika ayahnya tahu dia ponteng kuliah lagi.
        Beberapa saat menunggu dalam debaran, dia mendengar bunyi daun pintu dikuak lebar. Orked menahan nafas seraya memejamkan matanya. Hatinya risau jika kehadirannya disedari lelaki itu. Beberapa saat kemudian dia membuka matanya bila dia tidak lagi mendengar sebarang bunyi. Wajahnya berkerut. Betulkah ayah yang datang? Tapi kenapa ayah ke mari? Orked tertanya-tanya.
        Dia memberanikan diri menguak sedikit pintu bilik tempat persembunyiannya. Kepalanya menjengah keluar. Dia nampak kelibat ayahnya sedang berdiri menghadap ke arah potret ibunya dalam pakaian pengantin. Renungan lelaki itu tenggelam jauh ke arah gambar di hadapannya.  Orked sekadar memandang lelaki itu dari jauh. Pandangan matanya sayu menerkam ke arah kelibat lelaki itu. Lebih-lebih lagi dia melihat lelaki itu mengusap potret ibunya perlahan-lahan. Hati Orked pedih. Ayah! Kalau ayah benar-benar sayangkan umi, kenapa ayah tak boleh sayangkan Orked walaupun sedikit? Kenapa ayah?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-4-2012 06:15 PM | Show all posts
Ketika Hamdan memasuki pejabatnya, setiausahanya segera bangkit berdiri. Dia menoleh ke arah wanita berusia dalam lingkungan 30an itu dengan wajah mesra. Jauh berbeza sekali dia apabila berada di pejabat dan di rumah. Di pejabat dia adalah ketua yang mesra dan peramah dengan pekerja-pekerjanya. Tapi di rumah, sikapnya akan berubah terutama terhadap anak gadisnya sendiri.
        “Imah, anak lelaki saya dah datang?” Tanya Hamdan.
        “Sudah Encik Hamdan. Dah dekat setengah jam dia sampai. Ada di dalam.” Jawab Rahimah, wanita yang menjadi setiausaha di syarikatnya.
        Hamdan mengangguk dengan wajah ceria. Cepat-cepat dia meluru masuk ke biliknya lalu bersapa pandang dengan Idlan yang sedang membaca sebuah akhbar. Melihat kehadirannya, Idlan segera melipat kertas surat khabar tersebut lalu diletakkan di atas meja kopi.
        “Dah lama Id sampai? Maaf  ayah lambat.” Ujar Hamdan seraya mendapatkan anak muda itu. Idlan sekadar tersenyum.
        “Tak lama juga. Baru setengah jam. Lepas Id hantar Orked, Id pergi barang sekejap lepas tu singgah ke mari.” Ujar Idlan.
        Hamdan terdiam. Soal Orked tidak menarik minatnya. Saat ini dia hanya berminat dengan Idlan.
        “Id dah sedia? Kalau sudah, mari ikut ayah ronda-ronda sekitar pejabat ni. Biar ayah kenalkan Id dengan operasi di syarikat ini.” Pelawa Hamdan. Idlan hanya mengangguk seraya mengikuti lelaki itu.
        Hampir setengah jam lamanya Idlan dibawa melawat-lawat sekitar pejabat itu. Hamdan mengusahakan sebuah syarikat pembekal bahan-bahan binaan, antara syarikat anak bumiputera yang paling berjaya di ibukota. Harapan Hamdan besar untuk membawa masuk Idlan ke dalam syarikat, supaya syarikatnya suatu hari nanti akan diwarisi oleh Idlan. Begitulah yang dijelaskan Hamdan kepada Idlan. Dia benar-benar berharap Idlan setuju mengambilalih syarikatnya suatu hari nanti.
        Idlan diam sahaja bila mendengar harapan Hamdan. Dia ingin membantah namun tidak sampai hati pula. Lagi-lagi wajah teruja Hamdan membuatkan dia di dalam persimpangan. Ingin rasanya dia mempersoalkan hak Orked ke atas syarikat itu, namun mengingatkan pesanan ibunya dia hanya mampu berdiam diri.
        “Ayah tiri Id tu tak suka Id sebut nama Orked. Seboleh-bolehnya jangan cuba naikkan kemarahan dia.” Pesan ibunya.
        “Id tak faham kenapa dia benci sangat dengan anak gadisnya sendiri. Mama tentu tahu cerita sebenar bukan?” Dia memandang ibunya, memohon agar wanita itu sudi membuka cerita. Tapi ibunya hanya menggelengkan kepala.
        “Lebih baik kalau Id tak tahu apa-apa sayang. Tapi percayalah, ayah tiri Id tu bersikap macam tu pada Orked ada sebabnya. Mama harap Id tak simpan sebarang wasangka pada ayah tiri Id tu. Dia lelaki yang baik sebenarnya. Dia jadi macam tu kerana ada satu sebab. Tapi maafkan mama sebab bukan masanya lagi untuk Id tahu semua ini.” Ujar ibunya.
        Idlan menarik nafas panjang. Bingung dengan kata-kata ibunya ketika itu. Sehingga sekarang dia masih tertanya-tanya, kenapa lelaki seperti Hamdan menyimpan kebencian yang mendalam terhadap darah dagingnya sendiri? Apa rahsia yang tersembunyi antara mereka? Idlan benar-benar menyimpan hasrat ingin mengetahuinya.
        “Lepas ni kita lunch sama-sama ya?” Pinta Hamdan seraya menepuk bahu anak muda di sampingnya. Dia benar-benar melayan Idlan seperti anak kandungnya sendiri. Apatah lagi dia memang suka dengan anak-anak muda yang berpendidikan tinggi dan bijak seperti Idlan.
        Idlan terdiam. Dia teringat mahu mengambil Orked di kampus seperti yang dijanjikan. Serba-salah juga dia mahu memberitahu Hamdan.
        “Lain kali boleh tak ayah? Id ada hal lain, dah janji dengan kawan Id.” Ujar Idlan memberi alasan.
        Hamdan sekadar tersenyum. “Tak apalah kalau begitu. Lain kali saja.” Hamdan mengangguk. Belum sempat dia mahu terus berkata-kata, telefon bimbitnya berbunyi minta diangkat. Hamdan segera menjawab panggilan. Melihat lelaki itu sedang berbual-bual, Idlan  segera membuat isyarat mahu beredar dari situ. Hamdan menoleh lalu mengangguk, mengizinkan anak muda itu beredar.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 20-4-2012 09:11 AM | Show all posts
sian orked...
Reply

Use magic Report

Post time 20-4-2012 02:38 PM | Show all posts
besar sgt ke kesalahan orkid??? @ orkid disalahkah sebab kematian maknye... @ orkid sebenarnya bukan anak kandung dia... sebagai seorang islam takan tak percaya qada dan qadar sampaikan membenci darah daging sendiri... anak tiri dilebihkan plak.. singkat betul pemikiran..
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 21-4-2012 11:16 AM | Show all posts
sambung lagi pleeeese
tak sabar nak tau rahsia kenapa Orked di benci Hamdan
Reply

Use magic Report

Post time 5-5-2012 07:51 PM | Show all posts
senyap jer nie... please... sambung semula... tq
Reply

Use magic Report

Post time 9-5-2012 12:23 PM | Show all posts
Bila nak sambung lama sangat dah ni.............
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-5-2012 08:25 PM | Show all posts
Idlan memandang jam di pergelangan tangannya. Hampir satu jam menanti, tapi Orked tidak muncul-muncul. Di hadapan bangunan Fakulti Perniagaan itu dia melihat begitu ramai pelajar-pelajar yang berpusu-pusu keluar. Tapi di kalangan mereka, dia gagal menemukan wajah Orked. Dia tahu Orked hanya ada kelas sehingga tengahari.  
        Bosan menunggu di dalam kereta, Idlan keluar dari dalam perut kereta. Dengan berkemeja ringkas dan bercermin mata hitam, kehadiran Idlan mengundang lirikan mata beberapa anak gadis pelajar yang melintasinya. Ada yang tidak segan silu melambai-lambai ke arahnya dan ada pula yang bermurah hati menghadiahkan senyuman.
        Dia menyedari semua itu. Dia juga menyedari  akan perhatian yang diperolehinya di fakulti tersebut. Namun Idlan pura-pura tidak melihat. Matanya masih mengawasi kelibat pelajar yang keluar dari bangunan tersebut. Mana Orked ni? Hati kecilnya mulai resah.
        Sedang dia leka mengawasi kelibat-kelibat pelajar itu, tiba-tiba bahunya ditepuk seseorang. Idlan tersenyum, menyangka kalau Orked sedang berada di belakangnya. Pantas dia menoleh namun terpanar sebaik melihat bukan Orked yang berada di situ sebaliknya seorang gadis yang sedang tersenyum manis. Di belakang gadis itu, terdapat seorang gadis lain yang sedang menatapnya dengan wajah serius.
        “Abang Idlan bukan?” Tanya gadis yang tersenyum itu.
        Idlan tercengang. Siapa pulak ni?
        “Abang tak ingat saya lagi? Saya Mira, kawan Orked. Tempohari abang pernah tolong Mira waktu Mira kena kacau di KTV. Lepas tu abang dengan Orked hantar Mira balik ke rumah. Ingat lagi tak?”
        Idlan mengerutkan dahinya. Dia cuba mengingatkan wajah itu sekaligus cuba mengingati rangkaian plot pertemuan yang dibicarakan anak gadis itu. Sebaik dia mengingati peristiwa dia membelasah lelaki-lelaki di KTV Karaoke ketika dia mengekori Orked tersebut, barulah wajah Mira yang ketakutan ketika itu perlahan-lahan timbul.
        “Abang ingat lagi?” Mira teruja bertanya. Sama teruja sewaktu terpandang kelibat lelaki itu ketika dia beriringan keluar dari fakultinya bersama Arida. Serta-merta peristiwa Idlan menyelamatkannya segera muncul di kotak fikiran.
        Idlan mengangguk, tersenyum. Dia sudah mengecam gadis itu.
        Mira segera menoleh ke arah Arida yang tidak berganjak-ganjak sedari tadi.
        “Ari, inilah abang Idlan, abang Orked. Aku kan pernah cerita pada kau tempohari.” Ujar Mira memperkenalkan Idlan pada Arida. Idlan berpaling, seperti tadi tersenyum sedikit ke arah Arida. Gadis itu kelihatan seperti ralit menatapnya. Meski tanpa senyuman ramah, pandangan Arida tidak berganjak dari wajahnya.
        “Mira dah habis kelas?” Tanya Idlan.
        Mira pantas mengangguk.
        “Ada jumpa Orked tak? Abang dah dekat sejam tunggu di sini, tapi dia tak keluar-keluar dari tadi.” Ujar Idlan.
        Mira tersentap. Alamak! Pantas dia mengerling wajah Arida yang sudah mengerutkan dahinya. Sebentar tadi dia sengaja menipu Arida kononnya Orked masih bercuti sehari dua lagi sebelum meneruskan pengajiannya yang tertangguh. Semuanya dilakukan demi untuk tidak membuat Arida kacau memikirkan soal Orked. Malah dia juga menyembunyikan perihal dia melihat Orked menaiki teksi dan meninggalkan kawasan kampus mereka pagi tadi. Tapi kehadiran Idlan yang bertanyakan tentang Orked semakin mengusutkan keadaaan.
        “Mira ada nampak dia?” Soal Idlan lagi apabila dilihatnya gadis itu hanya diam membisu.
        Mira semakin serba salah. Aduh! Dia sekarang sedang menjadi perhatian dua pasang mata. Kerlingan Arida juga semakin tajam menjamah wajahnya. Dia menelan liur. Kalut mahu berterus-terang pada kedua-duanya.
        “Kau cakap dengan aku Orked tak datang hari ni.” Ujar Arida mencelah.
        “Err..sebenarnya..” Mira sudah tergagap-gagap.
        “Dia datang ke tidak sebenarnya ni?” Suara Arida mulai keras melengking.
        Idlan mengerling gadis itu. Menyedari bahawa Arida seorang yang serius dan kepala kumpulan gadis itu. Ini kerana sikap Arida lebih mendominasi berbanding Mira yang lebih resesif.
        “Sebenarnya abang Idlan, Mira ada nampak Orked pagi tadi. Dia naik teksi tinggalkan kawasan kampus.” Ujar Mira berterus-terang akhirnya.
        Arida terlongo mendengar penjelasan Mira. Idlan menarik nafas panjang. Terkejut sekaligus bingung memikirkan telatah Orked. Apakah Orked kembali kepada perangai lamanya?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-5-2012 08:26 PM | Show all posts
Dia sampai ke rumah ketika hari sudah jauh petang. Sebaik dia menguak daun pintu, matanya segera bersapa dengan kelibat ayahnya. Memandangnya dengan mata yang merah menyapa, serta wajah yang berang. Orked tergaman. Tidak mengerti dengan suasana yang menyelubungi rumah itu ketika ini. Dia mahu beredar, namun suara tengkingan lelaki itu menyuruh dia menunggu di situ, menerpa ke pelusuk gegendang telinga. Membuatkan dia terpanar.
        Orked tercegat seperti patung. Memerhatikan wajah ayahnya dengan perasaan tidak keruan. Ketika lelaki itu menghampirinya, nafasnya seperti hampir terhenti. Jantungnya seperti hendak meletup. Hanya ada satu sahaja alasan kenapa wajah ayahnya garang menatapnya. Pasti lelaki itu tahu tentang dirinya yang terpaksa ponteng kelas hari itu. Tapi dari mana ayahnya tahu? Dari Idlankah? Bukankah lelaki itu ada berjanji mahu menjemputnya pulang dari kampus. Pasti Idlan yang mengadu! Hati kecil Orked entah kenapa menuduh dengan mudah.
        “Kamu ke mana tadi? Sekarang baru balik.” Soal Hamdan seraya merenung wajah anak gadis di hadapannya yang sedang terkulat-kulat.
        “Orked dari kampus.” Jawab Orked, masih mahu menyembunyikan hakikat sebenar.
        “Oh dari kampus? Buat apa? Belajar menipu?” Herdik Hamdan separuh memerli. Maria di samping suaminya sudah menjeling-jeling kedua-dua anak beranak itu dengan wajah risau.
        Orked menarik nafas panjang. Herdikan ayahnya membuatkan dia terfikir tidak ada gunanya untuk dia membela diri. Dengan wajah bosan, dia melewati lelaki itu, mahu naik ke biliknya sendiri. Melihat gadis itu seakan tidak mempedulikannya, Hamdan tambah berang. Pantas dia menerpa ke arah gadis itu lalu mencekak lengan Orked. Orked mengaduh kesakitan, sekaligus terkejut diperlakukan agak kasar oleh ayahnya.
        “Abang..” Maria mulai campur tangan. Risau dan tidak senang duduk dia dibuatnya menghadapi kerenah Hamdan dan Orked.
        “Kamu ni reti bahasa ke tak? Berani ya kamu tipu aku, tipu makcik kamu. Apa kamu fikir aku ni bodoh ke sampai tak tahu apa yang kamu buat di belakang kami?” Marah Hamdan.
        “Ayah cakap apa ni? Boleh tak kalau ayah jangan campur urusan Orked. Orked tahu ayah tak suka Orked, so please leave me alone.” Balas Orked, meronta-ronta cuba melepaskan dirinya dari pegangan ayahnya.
        Pang! Tapak tangan Hamdan mendarat ke pipi licin Orked. Orked terpanar. Maria di belakang suaminya sempat beristighfar panjang. Ketika itu juga muncul Idlan di muka pintu, sekaligus turut kaku dengan insiden tiba-tiba itu.
        Orked mengangkat wajahnya dengan kelopak mata yang bergenang air jernih. Pipi yang perit ditampar diusap-usap dengan tangan. Dia tidak menyangka lelaki itu tetap suka menamparnya. Kalau dulu dia pernah ditampar kerana merokok, tapi dia tidak pernah ditampar lagi sejak ayahnya berkahwin dengan ibu tirinya. Tapi kini lelaki itu mengulang tabiat lama, di hadapan orang lain pula tu. Itu yang menyedihkan Orked. Hatinya terluka semakin dalam!
        Hamdan memandang wajah Orked dengan bengis. Dia langsung tidak menyesali apa yang dilakukannya. Baginya, hanya itu sahaja caranya untuk mengajar anak yang degil seperti Orked.
        “Abang, kenapa sampai naik tangan ni?” Maria mengeluh panjang. Kasihan dia melihat Orked kerap menjadi sasaran kemarahan suaminya. Meskipun sedikit sebanyak dia tahu apa sebabnya, namun hati kecilnya masih menyesali tindakan Hamdan.
        “Dia patut ditangan-tangankan, baru dia faham bahasa. Malu saya dengan dekan universiti dia. Awak bayangkan perasaan saya bila dia call beritahu saya Orked ponteng kelas lagi hari ini. Tempohari saya yang beria-ria selesaikan masalah yang dia buat. Saya ingatkan bila dia balik, dia akan berubah sikap tapi rupa-rupanya saya silap. Budak macam ni memang tak makan diajar. Memalukan saya saja.” Bentak Hamdan benar-benar berangin.
        Orked tunduk. Betul dugaaannya, isu dia ponteng kelas hari ini awal-awal sudah terbang sepoi-sepoi ke telinga ayahnya.
        Dari muka pintu, Idlan menarik nafas panjang. Wajah Orked yang tenang menjemput sepasang matanya. Dia kesal sekali. Kalaulah dia menanti sahaja di kawasan kampus, tidaklah gadis itu mencuri kesempatan untuk menghilangkan diri. Maka mungkin situasi seperti ini tidak akan berlaku. Tapi tengoklah sekarang apa yang dah berlaku? Merah pipi gadis itu bekas tangan ayahnya Hamdan membuatkan hati Idlan seperti disiat-siat.
        “Kamu ke mana sepanjang hari ini Orked? Kamu melepak di mana sehingga petang begini baru balik?” Sergah Hamdan ingin tahu.
        Orked mengangkat wajahnya, merenung ayahnya dengan pandangan sinis.
        “Kenapa ayah nak tahu? Ayah marah-marah macam ni semata-semata sebab dekan tu telefon ayah. Ayah cuma takut malu kalau dia tahu anak Tuan Hamdan yang tak guna ni ponteng kelas. Kalau dia tak telefon, ayah sikit pun takkan ambil peduli. Kan? Sekalipun Orked mati pun ayah takkan ambil tahu kan?” Sayu suara Orked membalas ayahnya.
        Hamdan menjegilkan biji matanya luas-luas. Berang mendengar kata-kata gadis itu.
        Idlan segera merapati anak gadis itu. Cuba menjadi benteng jikalau tindakan Hamdan lebih melampau. Wajah Orked ditatap simpati. Sepasang mata yang basah itu turut melata ke wajahnya.
        “Orked, kenapa Orked tak ke kelas hari ni?Abang pun terkejut bila nak jemput Orked tadi, kawan Orked kata Orked tak ada. Abang bimbang sangat.” Pujuk Idlan lembut.
        “Orked memang ponteng hari ni. Tapi Orked ada sebab..” Bisik Orked perlahan, namun sempat didengari 3 pasang telinga.
        “Apa sebabnya?” Soal Idlan ingin tahu. Hamdan turut menjeling anak gadis itu. Ingin mendengar punca gadis itu tidak hadir ke kelas hari ini.
        Orked terdiam. Tiba-tiba dia teringatkan peristiwa dia melihat ayahnya di rumah lama arwah ibunya. Kalau dia menyebutnya, entah apa reaksi ayahnya nanti. Pasti lelaki itu takkan menyangka yang dia juga berada di rumah itu hari ini, apatah lagi hari ini adalah hari ulangtahun kematian ibunya.
        “Hah yang kamu diam ni kenapa? Nak reka alasan lagi.”Sergah Hamdan sinis. Orked tergaman. Apa yang baru bermain di kepalanya mula luput dengan kata-kata sindiran ayahnya. Dia mahu berkata-kata, namun akal warasnya menghalang. Biarlah apa yang dilihatnya di rumah lama tempat tinggal mereka dahulu kekal menjadi rahsia. Dan biarlah ayahnya terus menganggap dia dengan segala andaian buruk, dia sudah tidak peduli. Walau apa sahaja yang dilakukannya, dia tetap hina di mata lelaki itu. So let it be! Begitulah rentak hati Orked ketika itu.
Reply

Use magic Report

Post time 12-5-2012 09:04 AM | Show all posts
kesian orked. tapi mmg dah adat, sekali kita buat jahat, seribu kebaikan kita buat orang tak percaya.
apalah rahsia yg terselindung dibalik layanan bapak orked ni ye..
Reply

Use magic Report

Post time 12-5-2012 10:24 AM | Show all posts
sian orked...
smpai ke besar nk kena dera lg ya...
Reply

Use magic Report

Post time 27-7-2012 08:20 AM | Show all posts
sambung please.....
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 30-7-2012 03:37 PM | Show all posts
x de sambungan ke..
Reply

Use magic Report

Post time 27-3-2014 04:52 PM | Show all posts
sedihnya...
Reply

Use magic Report

Post time 3-4-2014 10:39 AM | Show all posts
dh lama umah nie bersawang...
Reply

Use magic Report

Post time 5-4-2014 03:29 PM | Show all posts
akhirnya, versi cetak dah keluar
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-12-2024 03:16 AM GMT+8 , Processed in 0.047880 second(s), 27 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list