|
Oleh : Dean BZ
Sumber foto : annyss.blogspot.com
Bahasa Melayu ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia, Indonesia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei.
Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata.
Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.
Sumber : ms.wikipedia.org
Bahasa jiwa bangsa, begitulah bunyi peribahasa yang lazim kita dengar namun sejak akhir-akhir ini, gejala perosak bahasa dapat dilihat sangat ketara di alam maya. Tanpa kita sedari, mungkin sesuatu yang dianggap trend ini telah merosakkan bahasa ibunda kita yang telah sekian lama terpelihara.
Jom kita lihat contoh sesetengah masyarakat kita yang mula belajar bertutur bahasa Melayu+bahasa makhluk asing, agak sukar juga untuk memahaminya :
Sumber foto : johanharith.blogspot.com
Mungkin gejala menulis dalam "bahasa alien" ini dilihat tidak mendatangkan kesan yang terlalu serius kepada masyarakat, bagaimanapun ia memberi impak yang sangat besar terutamanya pada anak-anak kita dan generasi akan datang. Jika sudah terbiasa menggunakan "bahasa alien" sebagai bahasa penulisan harian, contohnya ketika chat bersama rakan di Whatsapp dan Facebook, tidak mustahil bahasa ini akan terbawa-bawa dalam peperiksaan sekolah.
Sumber foto : mayandhanis.blogspot.com
Menulislah dalam bahasa Melayu yang betul dan pupuklah rasa bangga dengan bahasa sendiri. Sayangi Bahasa Melayu moga tidak luput dek zaman. Perlu diingati, musnah bahasa punahlah bangsa! - CARI Infonet.
|
|