KUALA LUMPUR, 1 November:
Sekeping gambar yang dimuat naik Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di laman Twitternya menjadi viral di media sosial.
Gambar yang memperlihatkan Khairy seolah-olah meniru aksi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, ketika perlawanan Johor Darul Takzim (JDT) menentang Felda United, pada aksi timbal balik suku akhir kedua di Stadium Larkin.
Khairy sertakan keterangan gambar: “Saya uji sendiri kekuatan tiang bendera, apabila diterajang.”
Gambar itu berjaya menarik perhatian pengguna Twitter, yang menyaksikan ia diulang siar sebanyak 3,500 kali dan mendapat hampir seribu favourite dalam masa sejam.
Gambar itu seterusnya dimuat naik akaun rasmi HarimauMalaya di Facebook dengan keterangan gambar: “Malam ini giliran KJ (Khairy Jamaluddin) sepak tiang bendera.”
Rata-rata pengguna laman sosial menganggap aksi Khairy itu sekadar gurauan, namun ada yang berang kerana beranggapan aksi itu seperti mengejek Tunku Ismail.
Gambar itu dipercayai dirakamkan pada tengah hari tadi, ketika Khairy memeriksa keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.
JDT akan bertemu Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 8.45 malam ini, setelah menundukkan Felda United dengan agregat 6-5.
Pahang pula menewaskan Kedah pada perlawanan suku akhir dengan agregat 6-3.