PROLOG
Sesusuk tubuh yang sedang teresak-esak menangis didekati. Salbiah menyentuh bahu empunya tubuh itu. Sedikit tersentak empunya tubuh itu lalu dengan pantas berpaling memandangnya.Kelihatan sembab kedua mata gadis itu. Salbiah melabuhkan duduk di birai katil.Tangan kanannya mengusap lembut rambut gadis itu yang panjang mengurai. Seharian gadis itu begitu hingga tidak tahu bagaimana mahu memujuknya.
“Safa, jangan macam ni. Sabarlah.”
Semakin kuat Safa Hawani menangis. Air matanya seolah-olah tidak mahu kering. Hatinya sangat sedih, diruntun pilu yang semakin menjerut tangkai hati. Menangis, hanya itu yang mampu dia lakukan saat ini.
“Akak, sebab sabarlah Safa masih bertahan. Kalau iman kat dada ni dah makin menipis, dah lama Safa hilang punca kak. Silap-silap, Safa dah gantung diri Safa ni kat kipas...”
“Astaghfirullah... apa Safa cakap ni?” Salbiah mengurut dada.
“Safa minta maaf kak.”
Safa Hawani pantas memeluk tubuh yang duduk di sebelahnya itu. Dia menangis lagi. Juraian air mata seakan-akan enggan mahu berhenti mengalir. Tangki kolam air mata sentiasa sahaja dipenuhi oleh air yang suam suhunya.
“Safa... walau apa pun jangan ambil tindakan yang tak waras. Ingat Allah sayang. Akak akan selalu ada kat sisi Safa.”
Salbiah berusaha memujuk gadis muda itu. Dia juga tidak tahu jika dia mengalami dugaan yang sama seperti gadis itu. Mampukah dia bertahan? Dia akui, Safa Hawani adalah gadis tabah yang pernah dia jumpa selama 30 tahun hidup di muka bumi ini. Walaupun baru berusia 27 tahun, Safa Hawani begitu cekal, tabah dalam mengharungi ujian yang selalu sahaja datang menjengah.
“Akak, Safa rindu suami Safa kak. Walaupun kami dipisahkan oleh alam yang berlainan, sayang Safa tak pernah surut. Walaupun Safa tak pernah menyintai dia dulu, Safa tetap sayangkan dia sebagai teman yang paling akrab dengan Safa. Tak sangka, secepat ni dia tinggalkan Safa kak.”
Safa Hawani kembali teresak-esak. Kesedihan dengan melampau sedang melandanya. Pemergian suami tersayang begitu memberi kesan terhadapnya. Dulu, dia tidak pernah mencintai lelaki itu namun tatkala rasa cinta mahu hadir di dalam hatinya, saat itulah satu ujian besar melanda. Ujian yang sangat hebat perlu ditanggungnya dalam usia yang begitu muda. Bergelar seorang janda dalam usia ini, banyak memberi cabaran padanya.
“Safa, apa kata kalau Safa kerja balik kat tempat lama? Pergilah jumpa bekas majikan Safa tu. Manalah tahu dia nak terima Safa semula.”
Salbiah menelan air liur saat Safa Hawani memalingkan wajah ke arahnya. Gerun pula melihat mata gadis itu yang semakin membulat. Air muka Safa Hawani jelas kelihatan berubah. Tak dapat nak digambarkan bagaimana?
“Akak, jangan bagi cadangan macam ni lagi. Safa tak suka.”
Salbiah terkebil-kebil matanya saat melihat Safa Hawani terus sahaja bangun. Langkah kaki gadis itu diatur menuju ke luar bilik.
“Kenapa Kak Sal ungkit pasal ni?” Dia merungut. Bukanlah niatnya mahu bertindak begitu. Nantilah, dia akan minta maaf dari Kak Salbiah di atas tindakan yang agak biadap itu. Bukan apa, cadangan kakak sepupunya itu... bagai meragut seketika degupan jantung.
“Nak jumpa semula boss lama aku... tak payahlah. Nak ke boss aku tu tengok muka aku lepas apa yang dah berlaku dulu?”
Safa Hawani membebel seorang diri di dapur. Air teh ‘o’ yang dibancuh sudah setengah cawan yang tinggal. Dia menyilangkan tangan memeluk tubuh sambil menyandarkan badan ke kerusi. Terasa pantas masa yang berlalu hingga dia tidak menyedari sudah hampir tiga bulan suaminya meninggal dunia. Selama itu, dia tidak pernah hirau apa yang terjadi di sekeliling. Hanya duduk terperuk di rumah sewaan kakak sepupunya.
Sudah sampai masa, dia perlu keluar dari kepungan kesunyian. Kalau nak diikutkan wang peninggalan suaminya cukup untuk perbelanjaannya namun kesunyian yang semakin kuat mencengkam diri perlu diatasi. Tiga tahun dia mendirikan rumahtangga namun tidak dikuniakan zuriat. Dia dan arwah suami tidak pernah mengeluh apatah lagi mempersoalkan takdir mereka. Bagi Safa Hawani dan suami, belum rezeki mereka lagi dan aturan Allah SWT itu sangatlah betul. Hikmah selalu terselit saja di sebalik semua musibah.
Telinganya hampir tebal kerana sering disindir oleh keluarga mertua mengatakan dia mandul. Namun, tidak pernah dia ambil pusing akan semua itu. Bagi Safa Hawani cukuplah jika suaminya memahami keadaan mereka. Safa Hawani memejamkan mata, hidungnya yang kempis kelihatan mengembang, menghembus nafas yang dalam. Sedikit kacau perasaannya sehari dua ini. Gangguan dari keluarga mertuanya beberapa hari lepas kembali menerjah ke kotak ingatannya. Gugur lagi air mata. Terasa begitu murah harga air matanya beberapa minggu ini.
Perlukah mereka datang menyerang hanya kerana mahukan wang peninggalan arwah suaminya? Perlukah mereka menuntut harta peninggalan suaminya sedangkan mereka tahu dia tidak berkerja? Safa Hawani begitu kecewa dengan sikap keluarga mertuanya.
“Safa, akak minta maaf kalau kata-kata akak tadi buat Safa marah. Akak...”
“Kak, Safa yang patut minta maaf pada akak.”
Salbiah merenung wajah mulus itu. Dia tidak sengaja mengutarakan cadangan itu. Ringan benar mulutnya tadi. Mahu saja dia menampar mulut kerana bercakap tanpa mahu memikirkan akibatnya. Langsung tidak menjaga hati adik sepupunya yang masih dirundung pilu.
“Kak, jangalah risau. Safa akan cari kerja nanti.”
Mereka saling berpandangan. Senyuman, tersimpul di bibir masing-masing. Salbiah tahu Safa Hawani seorang yang cekal. Doanya semoga sinaran kebahagiaan akan kembali bergermelapan di dalam hidup gadis itu.
Last edited by wipers81 on 11-10-2014 09:47 PM
|