Remaja ditahan selepas 2 kes tikaman di sekolah London Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian tikaman yang menyebabkan dua kanak-kanak lelaki berusia 12 dan 13 tahun dimasukkan ke hospital, di luar Sekolah Menengah Kingsbury di London, Britain. – Foto REUTERS
LONDON: Polis United Kingdom (UK) menahan seorang remaja yang disyaki menikam dua pelajar lelaki di sebuah sekolah di sini, manakala siasatan kini diambil alih oleh pegawai anti-keganasan.
Suspek yang dipercayai berusia 13 tahun itu ditahan beberapa jam selepas didakwa melarikan diri dari lokasi kejadian yang membabitkan mangsa berusia 12 dan 13 tahun.
Polis Metropolitan London turut memaklumkan senjata yang dipercayai digunakan dalam serangan itu sudah ditemui.
"Kami masih menunggu perkembangan mengenai keadaan mangsa, namun difahamkan mereka cedera parah," kata Ketua Superintendan Detektif Luke Williams kepada pemberita di Kingsbury High School di barat laut London.
Menurutnya, suspek ditahan kerana disyaki cuba membunuh dan kini berada dalam tahanan untuk disoal siasat. "Pada peringkat awal ini, kami masih menyiasat sebarang kemungkinan motif serangan.
"Bagaimanapun, berdasarkan keadaan sekeliling, siasatan kini diketuai pegawai anti-keganasan London yang bekerjasama rapat dengan pegawai tempatan," katanya.
Williams menegaskan kejadian itu belum diisytiharkan sebagai kes keganasan dan polis tidak menyasar untuk memburu mana-mana suspek lain. Dalam pada itu, Setiausaha Pendidikan, Bridget Phillipson, berkata beliau sangat sedih mendapat maklumat mengenai tragedi itu dan memaklumkan kementeriannya sedang berhubung dengan pihak sekolah serta majlis tempatan bagi menawarkan sokongan.
Media melaporkan pelajar masih ditemubual polis di salah satu dewan sekolah selama lebih tiga jam selepas waktu persekolahan berakhir.
Menurut Kesatuan Guru, UK, khususnya London, sekian lama berdepan isu keganasan remaja dan penggunaan pisau, manakala kes keganasan di sekolah dilaporkan semakin meningkat di seluruh negara.
Minggu lalu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun direman di Wales selepas didakwa cuba membunuh seorang guru wanita dengan menyerangnya menggunakan pisau dapur.
Dalam kejadian di London yang berlaku selepas tengah hari, kedua-dua mangsa dibawa ke hospital. "Kami merawat dua pesakit. Seorang dihantar ke hospital, manakala seorang lagi dibawa sebagai kes keutamaan ke pusat trauma utama," kata Perkhidmatan Ambulans London.
Dalam surat kepada ibu bapa, pengetua Kingsbury High School, Alex Thomas'menyifatkan kejadian itu sebagai 'peristiwa yang amat traumatik kepada seluruh komuniti sekolah'.
"Keadaan kini terkawal," katanya sambil memaklumkan beberapa bahagian sekolah yang menempatkan hampir 2,000 pelajar berusia 11 hingga 18 tahun akan ditutup hingga hari ini (Rabu). - AFP
|