
TANGKAP: Suspek ditahan dan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
TAWAU: Seorang mekanik cedera parah selepas kaki kirinya dilastik menggunakan besi halus sehingga menembusi anggota badan itu dalam kejadian di Kampung Kongsi 8, di sini, pada 3 Februari lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.24 malam, mangsa dikatakan enggan membaiki motosikal milik seorang lelaki selepas suspek gagal membuat bayaran upah terlebih dahulu.
Difahamkan, mangsa dihubungi suspek untuk datang ke rumahnya bagi melakukan kerja pembaikan motosikal.
Namun, sebaik tiba di lokasi, suspek meminta mangsa meneruskan kerja tanpa sebarang bayaran pendahuluan.
Penolakan mangsa mencetuskan pertengkaran sebelum suspek bertindak agresif dengan melastik kaki kiri mangsa menggunakan besi halus, menyebabkan kecederaan serius.
Mangsa yang menahan kesakitan kemudiannya dibawa ke hospital oleh suspek dan terpaksa menjalani pembedahan akibat kecederaan dialami.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian mendatangkan cedera menggunakan senjata serta ugutan jenayah.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di kawasan sama kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah dan pernah ditahan serta dijatuhi hukuman sebelum ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera menggunakan senjata dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|