
Dr Asri, Lau, Tuai Rumah Dawi dan Sempurai ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Program Kebun Komuniti ‘Interheart’ di Rumah Dawi, Sungai Pasai di Sibu, semalam.
SIBU: Kemudahan mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) jantung terbaharu di Hospital Sibu dijangka menjadi pemangkin kepada penubuhan pusat jantung satelit di bandar ini, sekali gus memperluas akses rawatan kardiologi kepada penduduk di kawasan tengah Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Bahagian Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Kevin Lau berkata, mesin MRI jantung berteknologi tinggi yang bernilai antara RM8 juta hingga RM9 juta itu berjaya diperoleh dengan kos sekitar hanya RM2.6 juta sahaja melalui perjanjian pertukaran awal dengan pihak pembekal.
"Dengan adanya mesin MRI ini yang telah siap dipasang di Hospital Sibu, menjadikan hospital berkenaan yang kedua di Sarawak memiliki kemudahan tersebut.
"Pada minggu lepas saya bertuah kerana mempunyai peluang untuk bersama dengan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mengadakan lawatan ke Hospital Sibu dan dapat meninjau mesin MRI jantung ini.
"Ini satu berita yang amat baik untuk warga Sibu dan wilayah tengah kerana kemudahan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan diagnosis penyakit jantung, malah membuka laluan kepada perancangan menjadikan Hospital Sibu sebagai pusat jantung satelit,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Program Kebun Komuniti ‘Interheart’ di Rumah Dawi Ringgil, Sungai Pasai di sini, semalam.
Menurutnya lagi, Yayasan Jantung Sarawak turut memainkan peranan penting apabila menyumbang sebanyak RM2.5 juta bagi meningkatkan teknologi mesin berkenaan, sekali gus memperkukuh perkhidmatan kardiologi di hospital itu.
Untuk itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada Datuk Amar Jamilah Anu dan semua ahli Lembaga Amanah Yayasan Jantung Sarawak yang memberi komitmen untuk usaha tersebut.
Lau (duduk tengah) serta tetamu lain bersama para peserta Program Kebun Komuniti ‘Interheart’ di Rumah Dawi, Sungai Pasai, Sibu semalam.
Lau berkata, penubuhan pusat jantung satelit di Sibu kelak diharapkan dapat mengurangkan kesesakan di pusat jantung utama di Kuching serta memudahkan pesakit di kawasan tengah mendapatkan rawatan tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.
Dalam pada itu, beliau difahamkan bahawa pengumuman rasmi berkaitan perancangan tersebut dijangka dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai Program Kebun Komuniti ‘Interheart’, Kevin menegaskan program seumpama itu penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan jantung serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti kebun komuniti.
Program berkenaan anjuran bersama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan MDLBS dengan kerjasama Urbanice Malaysia, Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu, Jabatan Pertanian Bahagian Sibu serta Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah.
Lau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Dawi, agensi kerajaan, pihak perubatan serta penduduk setempat atas kerjasama menjayakan program tersebut, sambil menekankan kepentingan menjaga kesihatan diri dan alam sekitar secara bersepadu demi kesejahteraan komuniti.
"Selalu kita diingatkan bahawa adalah begitu penting bukan sahaja menjaga kesihatan diri sendiri tetapi juga alam sekitar kita dan saya juga berharap kebun komuniti ini dapat dilaksanakan yang boleh memberi manfaat kepada penduduk di sini," tambahnya.
Turut hadir ialah Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS Dr Asri Said dan Tuai Rumah Dawi.
Sumber : Utusan Borneo
|