CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 16270|Reply: 0

[Sarawak] Tiada MA63, tiada Malaysia

[Copy link]
Post time 9-2-2026 08:07 AM | Show all posts |Read mode


PETER MINOS

KUCHING: Penganalisis politik,  Dato Peter Minos menegaskan bahawa kewujudan Malaysia hari ini tidak dapat dipisahkan daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut beliau, kesedaran tentang MA63 sepatutnya menjadi pengetahuan asas semua rakyat Malaysia, namun hakikatnya masih ramai di Semenanjung yang tidak mengetahui atau seolah-olah sengaja melupakan kewujudan perjanjian tersebut.

“Malah anak perempuan saya yang bongsu berusia 12 tahun pun boleh berkata, ‘Tiada MA63, tiada Malaysia’. Ini satu kebenaran yang sangat jelas,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengimbas kembali tahun 1963, Minos berkata beliau sudah memahami isi dan semangat MA63 ketika masih di Tingkatan Tiga, termasuk janji bahawa Malaya akan membantu Sarawak mengejar pembangunan ekonomi serta menghormati hak negeri itu untuk mengawal imigresen dan sumber asli seperti tanah, hutan, mineral serta minyak dan gas.

“Janji dan ikrar itu masih segar dalam ingatan saya. Itulah sebabnya kami sebagai kanak-kanak ketika itu gembira menyambut pembentukan Malaysia. Kami diberitahu bahawa Sarawak akan selamat, dibantu oleh Malaya yang lebih maju, dan kestabilan negeri ini terjamin,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau meluahkan kekecewaan apabila realiti hari ini dilihat jauh menyimpang daripada janji asal tersebut, khususnya dalam isu minyak dan gas.

“Petronas di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74) telah menguasai minyak dan gas Sarawak, namun negeri ini hanya menerima lima peratus. Di manakah janji MA63?” soalnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa hak Sarawak terhadap tanah, hutan dan sumber mineral lain boleh terancam sekiranya undang-undang Persekutuan dipinda memandangkan Parlimen dikuasai kerajaan pusat.

Dalam pada itu, Minos menegaskan jurang pembangunan antara Sarawak dan Semenanjung masih ketara, dan berpendapat tanpa kepimpinan kerajaan negeri sekarang, Sarawak mungkin tidak akan mampu mengejar kemajuan Malaya.

“Sebab itulah ada pihak di Malaya mahu melupakan MA63. Mereka tidak mahu diingatkan tentang janji dan tanggungjawab terhadap Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat dan pemimpin di Semenanjung agar berfikir semula dan menghormati semangat serta kandungan MA63 demi keharmonian negara.

“Jika Sarawak terus berasa diabaikan, dipinggirkan malah dibuli, ini tidak baik untuk Malaysia. Tiada MA63, maka tiadalah Malaysia,” tegasnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-2-2026 04:45 PM GMT+8 , Processed in 1.182935 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list