Kuala Kedah: Cubaan menyeludup benih kerang secara haram ke negara jiran berjaya digagalkan, apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Thailand, Jumaat lalu.
Pengarah Zon APMM Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya berjaya menahan sebuah bot kayu dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kedah.
Menurutnya, bot itu dikesan pada kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika barat Kuala Tunjang pada 1.40 tengah hari Jumaat lalu.
"Bot terbabit dikesan dalam perjalanan menuju ke daratan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.
"Bot Perkasa 1226 berjaya memintas bot kayu itu dan pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Thailand tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ada dalam bot berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azreyanti berkata, bot berkenaan turut disyaki membawa benih kerang dalam kuantiti besar secara haram dan tanpa kebenaran bertulis atau permit sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Menurutnya, dalam operasi yang sama, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan di jeti Kuala Kerpan bersama dua buah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan untuk mengangkut benih kerang berkenaan.
"Bot serta benih kerang dan kenderaan yang ditahan itu dianggarkan bernilai RM132,000 dan dibawa ke jeti Zon APMM Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana membawa benih kerang tanpa kebenaran bertulis serta kegagalan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, " katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut, diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di 04-731 0579 untuk tindakan segera.