
SIBU: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah (gambar), meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung insiden lemas di Sibu Jaya yang mengorbankan tiga kanak-kanak, pada Rabu.
Menurut beliau, kes berkenaan kini berada di bawah siasatan pihak polis dan semua pihak diminta menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan serta menjaga sensitiviti dan privasi keluarga mangsa.
“Sebarang kenyataan, tuduhan atau andaian yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan orang ramai, malah berpotensi menjejaskan siasatan rasmi yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menegaskan bahawa siasatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan berlandaskan undang-undang tanpa sebarang campur tangan atau tekanan daripada pihak luar.
Pada masa sama Fatimah berkata, kejadian tersebut wajar dijadikan peringatan kepada semua pihak mengenai kepentingan aspek keselamatan khususnya di kawasan yang berisiko dan boleh diakses oleh kanak-kanak.
“Kita semua mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan persekitaran yang selamat terutama melibatkan kawasan awam dan lokasi berpotensi bahaya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.
Insiden berkenaan melibatkan tiga kanak-kanak yang ditemui lemas di sebuah kolam kumbahan kira-kira 100 meter dari Flat Sibu Jaya meskipun kawasan tersebut dilaporkan telah dipagar dan diklasifikasikan sebagai kawasan larangan.
Sumber : Utusan Borneo
|