
Mangsa diperiksa anggota penyelamat sebaik sahaja berjaya ditemui dengan selamat.- Gambar JBPM Sarawak
BAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Tembawang Sauh, di sini sejak Rabu lalu, ditemui selamat.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, mangsa berjaya ditemukan sekitar jam 2.30 petang.
Menurutnya, mangsa ditemui hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan dengan penglibatan pelbagai agensi serta penduduk kampung.
"Mangsa ditemui dalam keadaan selamat namun mengalami kecederaan ringan dan telah diberikan rawatan awal oleh Unit EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik itu sebelum ini dilaporkan hilang selepas disedari tiada di rumah sekitar jam 1.30 petang, Rabu.
"Usaha pencarian awal oleh keluarga dan penduduk kampung tidak membuahkan hasil sebelum laporan polis dibuat pada jam 6.30 petang hari yang sama," katanya.
Beliau berkata, operasi SAR telah dimulakan hari ini dengan pencarian dibahagikan kepada beberapa pasukan melibatkan kawasan sekitar kampung serta kawasan kaki gunung berhampiran lokasi kejadian.
Seramai 61 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta orang awam, termasuk bantuan Unit K9 terlibat dalam operasi tersebut.
Sumber : Utusan Borneo
|