
Mohamad Abu Bakar berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di Kuching malam kelmarin. - Gambar UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Malaysia dalam aspek perkhidmatan awam, selaras dengan semangat dan aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 mencerminkan komitmen dan dedikasi tinggi kedua-dua pihak.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) beliau berkata, mesyuarat berkenaan signifikan dalam memastikan perkara berkaitan struktur perkhidmatan, perjawatan, pembangunan modal insan serta kebajikan penjawat awam dapat diteliti secara adil dan inklusif.
“Kerajaan Sarawak amat menghargai usaha berterusan kerajaan persekutuan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam dalam menyelaras hal ehwal perkhidmatan awam di Sarawak dan Sabah.
“Kerajaan negeri sentiasa komited memberikan kerjasama penuh bagi memastikan setiap keputusan yang dicapai memberi manfaat jangka panjang, bukan sahaja kepada perkhidmatan awam malah kepada rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah MTPMA63 di sini semalam.
Mohamad Abu Bakar turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta delegasi dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Negeri Sabah yang hadir.
Tambah beliau, jamuan makan malam berkenaan menjadi platform memperkukuh silaturahim dan jaringan kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sarawak.
Beliau yakin mesyuarat berkenaan mampu mencapai keputusan menyeluruh, inklusif serta memberi impak berpanjangan dalam usaha memperkasa tadbir urus dan mewujudkan sistem perkhidmatan awam yang mampan di Sabah dan Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Datuk Dr Mohd Bakri Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Aidah Awang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Datuk Amar Jaul Samion serta tetamu kehormat yang lain.
Sumber : Utusan Borneo
|