Butterworth: Pakar patologi forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor, mengesahkan terdapat kesan luka kelar pada leher seorang wanita ditemukan maut selepas di rumahnya di
Flat Sri Murni, Sungai Dua, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat satu kesan kelar pada leher mangsa yang dipercayai disebabkan oleh senjata tajam.
"Tiada kesan pergelutan ditemui, menunjukkan mangsa kemungkinan diserang oleh seseorang yang dikenalinya.
"Kami juga percaya mangsa diserang dari arah belakang.
"Namun, proses bedah siasat akan dijalankan malam ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang wanita ditemukan meninggal dunia, dipercayai dibunuh di kediamannya di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua, hari ini.
Mangsa berusia 41 tahun itu ditemui terbaring di atas katil di salah sebuah bilik tidur dengan kesan kelar pada leher.
Ketua Polis Negeri, Datuk Azizee Ismail, ketika dihubungi dilaporkan berkata pihak polis masih mengumpul maklumat berhubung kejadian.