Butterworth: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia, dipercayai dibunuh, di kediamannya di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua, di sini hari ini.
Mangsa berusia 41 tahun itu ditemui terbaring di atas katil dalam sebuah bilik tidur dengan kesan luka kelar pada lehernya.
Difahamkan, seorang jiran memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis kira-kira 1.40 tengah hari selepas mangsa, yang juga seorang ibu tunggal, tidak memberikan sebarang respons walaupun pintu hadapan rumahnya didapati terbuka manakala pintu jeriji besi dalam keadaan berkunci.
Mangsa dikatakan mencari rezeki dengan membawa beberapa pelajar yang tinggal di flat berkenaan ke sekolah.
Mangsa tinggal di unit itu bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun.
Polis masih menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, termasuk usaha mengenal pasti motif pembunuhan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.
Ketua Polis Negeri, Datuk Azizee Ismail, ketika dihubungi berkata pihak polis masih mengumpul maklumat.
"Kita akan menunggu sehingga bedah siasat selesai," katanya.