CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 32179|Reply: 0

[Sarawak] Umur minimum perkahwinan dihadkan usia 18 tahun

[Copy link]
Post time 3-2-2026 01:25 PM | Show all posts |Read mode
Bagi kurangkan perkahwinan awal, kehamilan remaja untuk lindungi kesihatan, kebajikan, masa depan golongan muda



Fatimah (tengah, depan) bergambar bersama para penerima watikah pelantikan OSTPC Peringkat Negeri Sarawak Bagi Sesi 2 Februari 2026-1 Februari 2028. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

KUCHING: Kerajaan negeri mengehadkan umur minimum perkahwinan pada usia 18 tahun bagi mengurangkan perkahwinan awal dan kehamilan remaja untuk melindungi kesihatan, kebajikan serta masa depan golongan muda.

Demikian kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah sambil menambah bahawa kerajaan Sarawak amat komited memastikan setiap dasar dan pendekatan yang dilaksanakan berteraskan prinsip ‘for the best interest of the child’, demi menjamin keselamatan, kesejahteraan dan masa depan generasi muda negeri ini.

“Apabila remaja tidak lagi bersekolah dan berada dalam komuniti tanpa hala tuju yang jelas, ibu bapa pula risau.

"Ada yang tidak boleh bekerja kerana masih bawah umur, akhirnya jalan yang sering berlaku adalah untuk menunggu orang meminang dan mereka berkahwin awal,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) Bil. 1/2026 yang diadakan di Bilik Persidangan, Wisma Wanita, di sini hari ini.

Fatimah yang juga merupakan Pengerusi One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) Sarawak memperjelaskan perkahwinan awal membawa risiko besar khususnya dari sudut kesihatan reproduktif.

“Dari segi biologi, tubuh remaja perempuan belum bersedia sepenuhnya untuk kehamilan dan melahirkan anak.

"Dari segi mental dan emosi pula, mereka juga belum benar-benar bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu,” jelasnya.

Justeru, Majlis Pembangunan Sosial (MPS) sebelum ini telah mencadangkan umur minimum perkahwinan di Sarawak ditetapkan pada usia 18 tahun selaras dengan usia tamat pendidikan menengah iaitu sekitar umur 17 tahun.

“Umur 18 tahun adalah usia yang lebih munasabah kerana seseorang itu telah menamatkan pendidikan menengah dan lebih bersedia dari segi kematangan, fizikal, mental serta sosial,” ujarnya.

Tambah beliau juga di Sarawak terdapat tiga sistem perundangan perkahwinan, iaitu undang-undang sivil, syariah dan adat, yang masing-masing mempunyai peruntukan tersendiri berkaitan umur minimum perkahwinan.

Bagi undang-undang sivil, Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 menetapkan umur minimum 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan, namun perkahwinan bawah umur memerlukan lesen khas yang diluluskan Ketua Menteri, yang kuasanya telah diwakilkan kepada Residen di setiap bahagian di Sarawak.

Bagi undang-undang syariah, perkahwinan orang Islam di Sarawak menetapkan umur minimum 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan, namun perkahwinan bawah umur hanya boleh diluluskan dengan kebenaran Mahkamah Syariah.

Sementara itu, bagi perkahwinan adat, umur minimum tidak dinyatakan secara jelas dan bergantung kepada tafsiran ‘cukup umur untuk berkahwin’ mengikut adat dan komuniti masing-masing.

Namun, Majlis Adat Istiadat Sarawak kini sedang menjalankan libat urus dengan pemimpin masyarakat dan ketua kaum bagi menyeragamkan umur minimum perkahwinan adat kepada 18 tahun bagi kedua-dua jantina.

Beliau menegaskan bahawa langkah ini bukan bertujuan menyekat perkahwinan, sebaliknya untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko kesihatan, kemiskinan, keciciran pendidikan serta masalah sosial.

“Kita mahu mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan perkahwinan awal dan juga kehamilan remaja. Kedua-duanya berkait rapat, tetapi ada juga kes yang berbeza.

"Namun matlamat kita tetap sama untuk melindungi masa depan anak-anak kita,” tegasnya.

Advokasi melalui program komuniti, modul pendidikan, libat urus bersama belia, ibu bapa, pemimpin masyarakat serta agensi kerajaan akan terus diperkukuhkan bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan had umur perkahwinan 18 tahun sebagai standard perlindungan sosial.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-2-2026 08:14 PM GMT+8 , Processed in 0.040352 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list