Langkawi: Fenomena 'laut terbelah' menarik ribuan pengunjung ke Tanjung Rhu di sini, pagi tadi, bagi merasai pengalaman unik berjalan kaki di atas beting pasir sejauh satu kilometer merentasi lautan cetek.
Kejadian unik yang hanya berlaku sekali setahun itu membolehkan orang ramai berjalan kaki dari Pantai Tanjung Rhu ke Pulau Kelam Baya selama kira-kira satu setengah jam bermula jam 7 pagi.
Tinjauan mendapati pengunjung tidak melepaskan peluang merakam pelbagai hidupan marin di dasar laut memandangkan kawasan terbabit lazimnya mempunyai kedalaman sehingga 2.5 meter ketika air pasang.
Seorang pengunjung, Rosemah Abdul Hadi, 28, dari Kampar, Perak berkata, pengalaman berjalan di atas beting pasir itu memberi peluang kepadanya melihat habitat marin dari jarak dekat buat pertama kali.
"Banyak habitat marin saya jumpa seperti tapak sulaiman, kuda laut, sotong kurita dan batu karang yang cantik.
"Percutian saya ke Langkawi selama tiga hari dua malam kali ini memang berbaloi kerana difahamkan fenomena ini hanya berlaku setahun sekali," katanya ketika ditemui, hari ini.
Pendapat sama turut dikongsi Ruzita Mohd Salleh, 30, dari Tampin, Negeri Sembilan yang sanggup membuat tempahan penginapan di sebuah resort berhampiran bagi menyaksikan fenomena itu dari awal hingga akhir.
"Saya antara pengunjung terawal memasuki beting pasir ini dan sempat mengambil banyak gambar habitat marin di sekitar Pulau Kelam Baya," katanya.
Fenomena air surut habis itu turut ditinjau Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin.
Wan Kamarul berkata, keunikan fenomena jarang berlaku itu mula diketengahkan sebagai produk pelancongan Langkawi sejak lima tahun lalu dan terus mendapat sambutan menggalakkan.
"Dianggarkan 2,500 pengunjung tiba seawal jam 5.30 pagi semata-mata untuk melihat sendiri fenomena itu," katanya.