Edited by Vellfire at 24-1-2026 11:04 PM

TAKZIAH: Seluruh warga PDRM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
SEMPORNA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden kematian seorang pegawai Unit VAT 69 Komando semasa menjalankan latihan operasi di perairan Pulau Mataking.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Mohd Ismail berkata, pasukan memandang serius kejadian berkenaan dan tidak berkompromi dalam aspek keselamatan anggota ketika menjalankan latihan atau operasi.
Menurutnya, mangsa, Inspektor Khairul Azhar Kamaruddin, berusia lingkungan 40-an, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam kira-kira jam 10.25 pagi.
“Pegawai berkenaan menerima bantuan kecemasan serta rawatan awal di lokasi sebelum dipindahkan ke Hospital Semporna, bagaimanapun beliau disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Siasatan terperinci kini digerakkan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden termasuk semua faktor yang boleh menyumbang kepada kejadian,” katanya.
Katanya, penelitian melibatkan prosedur latihan, tahap pematuhan tatacara operasi standard, penggunaan serta keadaan peralatan selaman, selain aspek kesihatan dan keselamatan anggota.
“Siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus bagi memastikan setiap sudut dinilai tanpa pengecualian.
“Sekiranya terdapat sebarang kelemahan atau keperluan penambahbaikan, tindakan segera akan diambil demi keselamatan warga pasukan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu selaras komitmen PDRM untuk memastikan setiap latihan operasi mematuhi piawaian keselamatan tertinggi, khususnya membabitkan unit elit berisiko tinggi seperti VAT 69.
Difahamkan, Allahyarham bersama sepasukan anggota Team Charlie VAT 69 tiba di jeti sekitar jam 8 pagi sebelum bergerak ke lokasi latihan selepas membuat persiapan peralatan.
Kakitangan resort berhampiran bersama anggota pasukan memberi bantuan awal termasuk pertolongan cemas dan bantuan pernafasan kecemasan sejurus mangsa dikesan tidak sedarkan diri.
Allahyarham memegang jawatan Troop Commander 9, Skuadron C, 69 Komando yang berpangkalan di Ulu Kinta, Perak.
Pemergian beliau satu kehilangan besar kepada pasukan memandangkan pengalaman luas dalam operasi khas serta latihan taktikal.
Dalam masa sama, Mohd Khalid berkata seluruh warga PDRM merakamkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga keluarga Allahyarham diberi ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.
|