|
View: 292|Reply: 0
|
[Tempatan]
Perpustakaan Negara Lancar Pusat Pembelajaran Imersif
[Copy link]
|
|
|
KUALA LUMPUR: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) melangkah ke fasa baharu pendigitalan ilmu apabila melancarkan Pusat Pembelajaran Imersif yang memanfaatkan teknologi Realiti Maya (VR), Realiti Terimbuh (AR) dan Metaverse, dalam usaha memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat pembelajaran moden dan relevan dengan keperluan semasa.
Ketua Pengarah PNM, Edy Irwan Zulkafli berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memperkaya pengalaman pembelajaran digital pengguna selain mengubah persepsi terhadap perpustakaan sebagai ruang pembelajaran statik dan konvensional.
“PNM melihat keperluan untuk bergerak seiring perubahan zaman dengan memanfaatkan teknologi terkini bagi memastikan perpustakaan terus menjadi pusat ilmu yang inklusif, progresif dan dekat dengan masyarakat,” katanya sempena Majlis Pembukaan Pusat Pembelajaran Imersif PNM di Perpustakaan Negara Malaysia, hari ini.
Beliau berkata, pusat berkenaan dilengkapi pelbagai teknologi canggih termasuk hologram, avatar pustakawan, skrin LED melengkung, panel interaktif, Robozone serta AR Photobooth, selaras agenda pendigitalan khazanah warisan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan Inisiatif Belanjawan 2025.
Menurut beliau, penggunaan teknologi imersif itu bukan sahaja memperluas akses kepada sumber maklumat digital, malah berperanan menggalakkan literasi digital dan memperkukuh perpaduan masyarakat melalui pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif.
Jelas beliau, langkah PNM memperkenalkan teknologi berkenaan untuk menarik semula minat generasi muda mengunjungi perpustakaan.
Seorang pengunjung, Muhammad Haziq Azman, 25, berkata, kaedah pembelajaran berasaskan teknologi lebih dekat dengan kecenderungan anak muda dan berpotensi menjadikan perpustakaan sebagai ruang pembelajaran alternatif yang lebih menarik.
“Anak muda sekarang memang lebih tertarik dengan teknologi. Bila ada VR dan pendekatan macam ini, pembelajaran jadi lebih mudah dan efisien berbanding kaedah formal semata-mata,” katanya.
Pandangan sama dikongsi seorang lagi pengunjung, Syaznani Nadira Redhuan Maullod, 22, yang menyifatkan penggunaan teknologi imersif sebagai inisiatif tepat untuk menggalakkan lebih ramai golongan muda mengunjungi PNM.
“Ini pengalaman pertama saya ke Perpustakaan Negara dan adanya VR menjadikan ia lebih menarik. Saya rasa ini satu inisiatif yang baik untuk tarik minat anak muda,” katanya.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan pelancaran Kalendar PNM 2026 dan menjadi simbol komitmen berterusan PNM dalam memodenkan perkhidmatan perpustakaan sejajar aspirasi negara ke arah pembelajaran digital bersepadu. – UTUSAN |
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|