
Hamid (tengah) bergambar kenangan bersama keluarga Lau dan wakil penerima dari sekolah menengah persendirian Cina di seluruh Sarawak di KTS Garden pada Isnin. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo menyifatkan mendiang Dato Sri Dr Lau Hui Kang sebagai seorang tokoh berintegriti tinggi, berprinsip serta perintis pembangunan ekonomi negeri yang memainkan peranan penting pada saat mencabar dalam sejarah Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperingati 20 Tahun Pemergian Dato Sri Dr Lau Hui Kang di KTS Garden pada Isnin, sambil mengimbau perkenalan pertamanya dengan mendiang pada tahun 1984 ketika beliau berkhidmat sebagai Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Menurutnya, ketika itu LCDA baru berusia tiga setengah tahun, ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan dasar pembangunan kawasan bandar dan luar bandar melalui kerjasama dengan sektor swasta serta komuniti setempat.
“Pada masa itu, terdapat banyak kontroversi dan tentangan, termasuk dakwaan bahawa LCDA adalah satu cara kerajaan memperoleh tanah, khususnya di kawasan luar bandar.
"Sambutan daripada sektor swasta amat hambar dan sukar untuk menggalakkan usahawan menyertai usaha pembangunan,” katanya.
Dalam situasi mencabar itu, Hamid berkata mendiang merupakan individu pertama yang menyahut seruan kerajaan untuk terlibat dalam pembangunan perladangan, khususnya dalam sektor kelapa sawit.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan sektor perladangan, yang kini menjadi salah satu penyumbang utama kepada ekonomi Sarawak, tidak dapat dipisahkan daripada semangat perintis mendiang serta beberapa tokoh lain sepertinya.
“Mendiang seorang yang tidak banyak bercakap, tetapi bersikap positif, sangat sopan dan praktikal.
"Beliau sentiasa mengemukakan cadangan yang konkrit dan bertindak pantas apabila berdepan cabaran,” tambahnya.
Mengimbau detik mencabar politik Sarawak pada tahun 1987, Hamid berkata isu LCDA menjadi antara topik utama dalam kempen pilihan raya negeri yang sengit ketika itu, melibatkan pelbagai parti politik.
Beliau mendedahkan bahawa sebelum pilihan raya, beliau diminta mengumpulkan beberapa tokoh perniagaan untuk menghadiri sesi bersama Ketua Menteri bagi menerangkan peranan LCDA dan dasar pembangunan kerajaan negeri.
“Usaha tersebut amat sukar kerana tiada siapa yang mahu hadir.
"Namun sekali lagi, individu pertama yang memberi maklum balas positif adalah mendiang.
"Hanya selepas beliau bersetuju hadir, barulah tauke-tauke lain turut bersetuju," ujarnya.
Menurut beliau, sesi tersebut akhirnya berjaya diadakan dan memainkan peranan penting dalam menjelaskan hala tuju pembangunan negeri, serta memberi kesan besar terhadap keputusan akhir Pilihan Raya Negeri Sarawak 1987.
Secara peribadi, Hamid menyifatkan mendiang sebagai seorang yang rendah hati walaupun memiliki kekayaan dan kejayaan besar serta seorang yang menepati janji dan mematuhi peraturan.
"Satu perkara yang sangat saya kagumi ialah beliau tidak pernah membuang masa orang lain. Beliau amat menghargai masa, sama ada masa sendiri atau orang lain," jelasnya.
Beliau menambah, dengan nilai-nilai integriti, disiplin dan tanggungjawab dimiliki, mendiang berjaya membina legasi perniagaan kukuh serta mewariskan pasukan dan generasi penerus yang mantap.
"Yang paling penting, beliau telah meninggalkan nilai dan kualiti insan yang menjadi contoh kepada generasi seterusnya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat KTS Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming, menegaskan bahawa legasi mendiang ayahnya, Dato Sri Dr Lau Hui Kang, bukan sahaja terletak pada kejayaan perniagaan, tetapi yang lebih utama ialah nilai kehidupan, tanggungjawab, dan khidmat kepada masyarakat yang diwariskan kepada generasi seterusnya.
Menurut beliau, di mata masyarakat umum, mendiang merupakan seorang usahawan yang dihormati, pendidik, serta pemimpin masyarakat.
Namun, bagi anak-anaknya, mendiang adalah seorang bapa sejati yang mendidik melalui teladan dan membentuk kehidupan mereka berlandaskan nilai-nilai murni.
"Ayah saya jarang berbicara panjang, tetapi tindakannya sentiasa jelas. Beliau percaya bahawa keperibadian lebih penting daripada kejayaan, dan tanggungjawab lebih utama daripada pengiktirafan," katanya.
Sejak usia muda, mendiang sanggup mengetepikan kepentingan peribadi demi menjaga neneknya yang uzur, sekali gus mencerminkan nilai ketaatan kepada orang tua yang dipegang teguh sepanjang hayatnya.
Mendiang dan isterinya berkahwin pada tahun 1944 dan mengharungi kehidupan rumah tangga lebih enam dekad dengan saling menyokong, menjadikan keluarga sebagai keutamaan serta menitikberatkan pendidikan dan pembentukan akhlak anak-anak.
"Beliau mahu kami berjaya, tetapi tidak sekali-kali dengan mengorbankan prinsip.
"Kami diajar supaya rajin berusaha, merendah diri, berpegang teguh pada nilai dan sentiasa bersyukur," ujar beliau.
Justeru, aspek pendidikan, khususnya pendidikan Cina, dijadikan mendiang sebagai misi sepanjang hayat.
Beliau percaya bahawa bahasa dan pendidikan merupakan asas penting dalam mengekalkan jati diri, budaya, serta kesinambungan generasi.
"Mendiang memberi sumbangan secara senyap dan ikhlas, tanpa mengharapkan pujian, sebaliknya menilai kejayaan melalui kesan dan manfaat kepada orang lain," katanya lagi.
Di majlis itu, KTS Group memberi sumbangan bernilai RM1 juta kepada Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Cina Persendirian Bersatu Sarawak.
Sebagai sokongan terhadap pendidikan Cina dan sebagai penghargaan atas dedikasi para pendidik, pihaknya juga mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM2 juta untuk diagihkan sebagai bonus satu bulan kepada para guru sekolah menengah persendirian Cina di seluruh Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo
|