CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 42|Reply: 0

[Sarawak] AirBorneo perluas laluan dua tahun lagi

[Copy link]
Post time 20-1-2026 01:10 PM | Show all posts |Read mode
Lebar sayap ke destinasi serantau, global selaras dengan pelan pembangunan berfasa sedang dilaksana


Abdul Karim berjabat tangan dengan Megat (tiga kiri) selesai kunjungan dan sidang media, hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

KUCHING: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo dijangka mula melebarkan sayap ke destinasi serantau dan global dalam tempoh dua tahun akan datang selaras dengan pelan pembangunan berfasa yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan itu dijangka bermula sekitar pertengahan tahun 2027 selepas AirBorneo menstabilkan operasi sedia ada serta melengkapkan keperluan armada dan pelesenan antarabangsa.

Menurut beliau, buat masa ini AirBorneo masih memberi keutamaan kepada penerbangan dalam Sarawak menerusi perkhidmatan Rural Air Service (RAS) yang sebelum ini dikendalikan oleh MASwings dan disokong melalui subsidi kerajaan persekutuan.

“Industri penerbangan ini sangat mencabar dan memerlukan perancangan rapi. Pada peringkat awal, AirBorneo masih menggunakan pelan yang diambil alih daripada MASwings dan meneruskan peranan RAS.

"Namun saya melihat mulai Julai ini akan ada pergerakan yang lebih ketara,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, dalam tempoh dua tahun akan datang, AirBorneo dijangka mula memperluaskan laluan ke peringkat serantau termasuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, khususnya ke Kuala Lumpur, sebelum membuka destinasi Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina.

“Untuk keluar dari Sarawak, syarikat penerbangan memerlukan pesawat yang lebih besar dan lesen antarabangsa.

"Buat masa ini AirBorneo bergantung kepada ATR dan Twin Otter yang sesuai untuk RAS tetapi pesawat jet bersaiz lebih besar sudah pun dalam perancangan,” jelasnya.

Beliau berkata, fasa kedua pengembangan dijangka berlangsung antara 2027 hingga 2029, melibatkan destinasi Asia Tenggara dan Asia Timur, selaras dengan aspirasi Premier Sarawak yang mahu AirBorneo terbang ke Jeju, Korea Selatan, sekali gus membuka laluan ke Jepun, China dan Korea.

“Selepas 2029, saya yakin AirBorneo akan berada pada tahap yang stabil. Apabila sudah kukuh, insya-Allah, AirBorneo berpotensi untuk terbang ke peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Megat berkata pihak pengurusan kini sedang memuktamadkan pelan rangkaian penerbangan dan keperluan armada sebelum dibentangkan kepada lembaga pengarah untuk kelulusan.

Menurut beliau, keutamaan AirBorneo adalah untuk berkhidmat kepada komuniti, memperkukuh hubungan serantau, membina syarikat penerbangan yang berdaya tahan serta berkembang secara mampan dengan Sarawak sebagai teras utama.

“Lembaga pengarah dan pengurusan amat komited memastikan setiap keputusan yang dibuat memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Sarawak, sambil membina asas kukuh untuk pertumbuhan masa depan,” katanya.

Mengulas status operasi semasa, Megat berkata proses peralihan sistem daripada Malaysia Aviation Group (MAG) kepada AirBorneo telah berjaya diselesaikan pada 14 Januari lalu tanpa sebarang gangguan operasi.

“Ketika ini kami mengendalikan lapan pesawat ATR dan tiga pesawat Twin Otter yang beroperasi dari dua hab termasuk Kota Kinabalu, dan setakat ini operasi berjalan stabil, tepat masa dan lancar,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-1-2026 12:12 PM GMT+8 , Processed in 0.550712 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list