Foto hiasan.
Seremban: Wanita dan anaknya maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (Km) 10, arah selatan Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH), di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, wanita berkenaan dikatakan menaiki sebuah motosikal bersama dua anak berusia 12 dan 14 tahun menghala ke Seremban.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, wanita berkenaan dan anak perempuan berusia 14 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Kemalangan membabitkan motosikal jenis SYM dengan kereta jenis Proton Preve di KM 10 SPDH, sekitar jam 12.15 tengah malam.
"Siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu kereta berusia 46 tahun bersama isteri dalam perjalanan dari Port Dickson menghala ke Seremban," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, ketika kejadian, kereta sedang dipandu di lorong kiri manakala motosikal ditunggang mangsa yang berusia 40 tahun berada di lorong kecemasan.
"Secara tiba-tiba motosikal itu dikatakan masuk ke lorong laluan kereta menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.
"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal dan seorang anak perempuannya meninggal dunia di lokasi kemalangan.
"Manakala seorang lagi anak lelaki berusia 12 tahun yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Pemandu dan penumpang kereta hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian.
"Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
|