Baling: Proses minuman berasaskan akar kayu serta campuran pelbagai jenis bahan ramuan tradisional tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Itu tindakan sebuah premis di daerah ini yang diserbu Cawangan Risik Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) dibantu oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman serta pegawai dan anggota dari Majlis Daerah Baling (Bahagian Perlesenan), Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Kedah melalui operasi bersepadu semalam.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, hasil semakan lanjut ke atas premis itu mendapati aktiviti pemprosesan bahan minuman ini dijalankan tanpa lesen daripada Majlis Daerah Baling (MDB) serta produk terbabit juga didapati tidak berdaftar dengan KKM.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi itu menemui peralatan memasak serta bahan campuran herba yang digunakan untuk menghasilkan minuman herba.
"Pemeriksaan lanjut oleh pasukan serbuan turut menemui sejumlah mesin memproses dan membungkus minuman herba, pelbagai jenis akar kayu dan herba serta minuman herba yang sudah siap dibungkus untuk edaran.
"Berikutan itu, seorang lelaki dan wanita berusia antara 30 hingga 41 tahun ditahan untuk tindakan lanjut.
"Kami turut merampas pelbagai peralatan serta mesin memproses minuman herba, pelbagai jenis minuman herba yang siap dibungkus serta pelbagai jenis akar kayu dan herba, " katanya semalam.
Balveer Singh berkata, jumlah anggaran nilai rampasan dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.
Katanya, kes disiasat di bawah Peraturan 7 (1) (a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
"Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Jualan Dadah 1952 seperti berikut iaitu kesalahan pertama boleh didenda tidak melebihi RM25, 000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan individu.
"Bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
"Untuk kesalahan syarikat pula boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama manakala kesalahan berikutnya denda sehingga RM100,000, " katanya.
Balveer berkata, kes turut disiasat di bawah Seksyen 17 (1) Akta Makanan 1983 dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk tindakan selanjutnya.
"Briged Utara Pasukan Gerakan Am akan terus mempergiatkan rondaan dan pengawasan diseki tar Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bagi mengekang aktiviti jenayah membabit kan mana-mana kesalahan di bawah OP Taring Dosej.
"PGA komited untuk mengambil tindakan tegas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang," katanya.