
KOTA KINABALU: Hari Keselamatan Internet 2026 akan dianjurkan pada 8 Februari 2026 (Ahad) di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur sebagai acara komuniti berskala besar yang menumpukan pendidikan keselamatan digital, teknologi pintar serta hiburan mesra keluarga.
Program tahunan yang disambut di lebih 170 negara itu bertujuan mempromosikan penggunaan internet secara selamat, bertanggungjawab dan positif, khususnya dalam kalangan kanak-kanak serta golongan muda.
Di Malaysia, penganjuran Hari Keselamatan Internet 2026 diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena sambutan Hari Keselamatan Internet Antarabangsa atau Safer Internet Day.
Bertemakan ‘Teknologi Pintar, Pilihan Selamat (Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab)’, program berkenaan menekankan kepentingan membuat pilihan digital yang bijak dalam memanfaatkan teknologi serta kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan perkembangan pesat landskap digital masa kini.
Fokus utama diberikan kepada kanak-kanak, remaja dan keluarga agar penggunaan teknologi dapat dilakukan secara beretika, selamat dan bertanggungjawab.
Sepanjang penganjuran, orang ramai bakal disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran interaktif keselamatan internet, sesi pocket talk bersama pakar, aktiviti komuniti, demonstrasi teknologi pintar serta pelancaran rasmi Kempen Internet Selamat 2026.
Acara itu turut dimeriahkan dengan konsert mini artis tempatan sebagai pendekatan santai bagi mendekati masyarakat pelbagai lapisan.
Melalui gabungan elemen pendidikan, penglibatan dan kesejahteraan, Hari Keselamatan Internet 2026 menyokong usaha pembentukan Masyarakat MADANI Digital yang berilmu, berdaya tahan, berdaya saing serta peka dan bertanggungjawab dalam persekitaran dalam talian.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 sekali gus memainkan peranan bersama dalam mewujudkan ekosistem internet yang lebih selamat untuk semua.
Sumber : Utusan Borneo
|