ANAQI Mikhael bersama ibu, Syahira dan bapanya, Mohamad Sharafi ketika ditemui di BSI di Bukit Timbalan, hari ini. FOTO Arkib NSTP
Johor Bahru: Pesakit kegagalan fungsi hati Anaqi Mikhael Mohamad Sharafi, 9, akan ke China pada 21 Januari depan bagi menjalani pembedahan pemindahan hati.
Ibu kanak-kanak berkenaan, Syahira Sarbini, 33, berkata penerbangan dari KLIA itu dijadualkan pada jam 8.55 pagi.
"Anaqi Mikhael, suami dan saya serta kakak ipar yang bakal menjadi penderma hati kepada ana akan ke sana.
"Kami juga akan ditemani oleh seorang sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Biliary Atresia Malaysia Association (BAMA)," katanya ketika dihubungi.
Syahira berkata, keluarganya menumpukan kepada tahap kesihatan Anaqi Mikhael supaya proses pembedahan berjalan lancar.
"Diharap pembedahan yang bakal dijalani anak sulung kami di China akan membolehkannya menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak seusia yang lain," katanya.
Pada 29 Disember lalu, akhbar ini melaporkan kebimbangan suami isteri berkaitan nasib anaknya yang memerlukan pembedahan pendermaan hati dalam tempoh terdekat berikutan kesihatannya semakin merosot.
Ibu saudara Anaqi, Siti Saleha yang bekerja sebagai jururawat Klinik Kesihatan Air Tawar 2, Kota Tinggi bakal menderma sebahagian organnya.
Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menyalurkan bantuan RM125,000 bagi kos pembedahan selain beg oksigen mudah alih bernilai RM17,000.
|